Monday, July 18, 2022

TANAM JAMBU BATU TEPI RUMAH

MENANAM JAMBU BATU
di tepi rumah merupakan satu aktiviti yang mudah dan menyeronokan terutama apabila pokok tersebut berbuah. Ini kerana penanaman pokok jambu batu boleh dilakukan diatas kawasan tanah lapang disekeliling rumah atau pun didalam pasu besar yang sesuai. Penulis blog semasa tinggal di kuarters semasa bertugas dahulu memang ada pernah menanam pokok jambu batu di banyak tempat dan negeri dimana bertugas.Apa pun sebenarnya tanaman Jambu Batu (Psidium guajava Linn) merupakan buah-buahan tropika yang sesuai ditanam di Malaysia dan sudah banyak petani yang menanam secara komersil. DIlihat daripada potensi pasarannya juga memang buah jambu batu banyak dijual di pasar-pasar termasuk pasar tani, pasar  malam, pasaraya, kantin sekolah, kantin pejabat dan sepanjang lokasi PLUS perhentian rehat lebuh raya. Belajar daripada sejarah dimana sebenarnya jambu batu dipercayai berasal dari kawasan antara Peru dan Mexico iaitu di kawasan tropika Amerika. Jambu batu tersebar ke merata kawasan tropika dan sub tropika diseluruh dunia dengan pelbagai varieti dan kegunaan. APa pun iklim yang sesuai bagi tanaman jambu batu adalah lokasi yang memerlukan suhu tinggi (27-28 Celcius) dengan taburan hujan yang tinggi dan seragam sebanyak 2,500 mm setahun. Memang taburan hujan yang mencukupi akan memberi kesan yang baik kepada tumbesaran vegetatif pokok. bagaimana pun jika berlaku situasi hujan yang lebat dan berpanjangan akan menjejaskan pengeluaran bunga dan juga penghasilan buah. Penulis blog yang menulis lebih daripada 25 artikel berkaitmengenai jambu batu juga mendapati dimana secara amnya pokok jambu batu memerlukan tekanan kekurangan air yang singkat untuk merangsangkan berbunga. Artikel pada petang Selasa kali ini dalam blog "Anim Agro Technology'' saya kongsikan mengenai penanaman jambu batu sebagai aktiviti menarik dilakukan dikawasan rumah unutuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Tanaman jambu batu merupakan tanaman jangka panjang yang perlukan penjagaan terutama amalan cantasan dan membalut buah selain daripada pembajaan dan pengairan serta kawalan musuh dan perosak. Buah jambu batu dilaporkan memang mengandungi kandungan vitaman C sebanyak 3 kali ganda lebih tinggi daripada buah oren, 2 kali ganda lebih tinggi daripada buah betik dan 10 kali ganda lebih tinggi daripada buah pisang. Kebanyakan vitamin C didapati di bahagian kulit dan mesokarpa buah. Secara amnya jenis buah yang berisi merah mengandungi vitamin C yang lebih tinggi berbanding buah yang berisi putih. Buah jambu batu mengandungi bebeapa jenis gula seperti fructose, D-gulose dan sucrose dimana kandungannya masing-masing adalah 3.4%, 2.8%, 0.3%. Kandungan gula didalam buah jambu ini didapati bertambah semakin buah membesar dan akan diganti dengan sucrose apabila buah masak. Selalunya apa yang penulis blog buat tinjauan penanaman jambu komesil diladang akan dilakukan pada awal musim hujan dan hanya pokok benih yang sihat dan segar sahaja digunakan. Bagaimana pun kini dengan pemasangan sistem pengairan yang sempurna penanaman dan penghasilan jambu batu komersil dilakukan sepanjang tahun. Jika menanam dikawasan rumah pula dengan bilangan tidak banyak boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Benih tanaman jambu batu boleh dibuat sendiri dengan mengetut pada pokok dewasa atau membelinya sahaja dari nurseri atau pasar malam. Harga anakbenoh dalam polibeg ini selalunya dijaul diantara RM6.00 - RM10 sepokok bergantung kepada varieti dan saiz pokok tersebut. Antara varieti yang sesuai seperti Kampuchea (GU6) atau Varieti Lohan (GU16) atau pilih sahaja varieti jambu batu tan[a biji yang dijual.

Penanaman dikawasan atas tanah dipilih lokasi yang mendapat sinaran cahaya matahari yang mencukupi. Ini kerana jika kawasan agak terlindung atau ada naungan maka prestasi tanaman jambu batu kusang produktif. Tanah tersebut sebaiknya tidak bertakung air dan dibuat busut kerana akarnya akan rosak apabia terendam terutama pada musim hujan. Buatkan lubang penanaman dan baja sebanyak 5 kg baja organik, 100 gm baja fostat dan 250 gm kapur dicampurkan ke dalam lubang penanaman tersebut. Anakbenih jambu batu kemudian dimasukkan dalam lubang, ditimbus dengan tanah dan kemudian dipadatkan sehingga menjadi busut kecil. Setiap anak pokok hendaklah diikat pada kayu sokongan berukuran satu meter tinggi dan diberi sungkupan. Penyiraman dilakukan setiap hari sekiranya tidak hujan. Jarak tanaman jika ada kawasan lapang disekeliling rumah yang disyorkan ialah 4m x 4 m dan jarak ini memberikan kepadatan sebanyak 625 pokok sehektar. Bagaimana pun trend kini rmai yang menanam jambu batu didalam bekas tong atau didalam pasu besar. Ini kerana lagi besar bekas penanaman yang digunakan adalah lebih baik. Tanah campuran diisikan kedalam pasu yang telah dicampur dengan baja organik dan komponen lain kedalam dan kemudian diletakan yang sesuai (ada sinaran matahari). Penanaman anakbenih disesuaikan dengan saiz bekas tanaman dan penjagaan sama sahaja dengan penanaman diatas tanah. Bagaimana pun adalah lebih baik dipasang sistem pengairan automatik mini jika ingin meninggalkan rumah bercuti untuk jangkamasa agak lama. Penulis blog berpengalaman dimana pokok jambu batu yang baru ditanam mati semasa ditinggalkan dimusim panas.

Amalan agronomi yang penting bagi tanaman jamu batu adalah melakukan amalan PEMANGKASAN (Pruning). Ini kerana aktiviti pemangkasan merupakan satu operasi pengurusan yang penting. Ia dilakukan dengan beberapa bertujuan asasnya untuk kerja membentuk dan mengawal tumbesaran pokok dan jga bagi mengawal pengeluaran bunga serta akan memperbaiki sistem pengudaraan pokok. Amalan membuat pemangkasan ini juga akan menambah kemasukan sinaran matahari, memudahkan kerja-kerja pengurusan dan juga pastinya akan mampu mengawal serangan musuh dan juga masaalah serangan penyakit. Pemangkasan peringkat awal
dibuat bagi tujuan tumbesaran pokok untuk mewujudkan satu rangka pokok yang baik. Anak pokok tut yang mempunyai 2-3 dahan primer dicantas pada paras 0.5 meter panjang untuk mengelakkan pertumbuhan dahan-dahan sekunder. Apa pun sebaiknya pada setiap dahan primer, 3 atau 4 dahan sekunder yang seimbang dikekalkan untuk memberi rangka pokok. Bagi anak pokok cantum, batang utamanya dicantas pada paras 0.5 meter dengan tujuan menggalakkan pertumbuhan dahan-dahan sekunder. Dari 2-3 dahan sekunder dipilih, cantasan dilakukan sekali lagi pada paras 0.5 meter untuk bertujuan menggalakkan pertumbuhan dahan-dahan tertier. Kekalkan 3 atau 4 dahan tertier pada setiap dahan sekunder. Bagi dahan dan ranting-ranting yang bersilang, berpenyakit, mati, lemah dan yang tidak diperlukan hendaklah dicantas. Pemangkasan ini juga dilakukan untuk mengawal pertumbuhan vegetatif pokok dan secara tidak langsung mempengaruhi musim pembungaan. Selepas musim buah pastikan ranting-ranting dahan tertier dicantas pada paras 25-30 cm untuk ianya dapat mengggalakkan pengeluaran pucuk-pucuk baru. Selalunya dari pengalaman penulis blog dimana dari aktiviti cantasan pada pucuk-pucuk ini, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun kedua hingga daun keempat. Hujung pucuk kemudian dipotong untuk mempercepatkan tumbesaran pokok. Untuk memudahkan kerja-kerja pengurusan, ketinggian pokok dikawal pada tahap ketinggian 1.8 meter. Kemudian perlu juga dilakukan pemangkasan pemulihan apabila pokok-pokok telah tua dan tidak lagi produktif. Ianya dilaksanakan dengan cara mencantas dahan-dahan tertier supaya digantikan dengan pucuk-pucuk yang baru.

Amalan Pembajaan bagi tanaman jambu dikawasan tepi rumah adalah erkara yang mudah dijalankan. Pembajaan ini bertujuan untuk menjamin tumbesaran pokok dan penghasilan yang optimum, pembajaan hendaklah dilakukan dengan cara yang berkesan pada kadar dan masa yang tepat berasaskan peringkat dan corak tumbesaran pokok. Berikan baja butir NPK, baja organik serta baja foliar sekerap mungkin ikut kesesuaian kerana bilangan pokok yang tidak banyak. bagi tujuan pengurusan air penting kerana keperluan air adalah faktor utama untuk meningkatkan pengeluaran hasil jambu batu dan tumbesaran pokok. Ini kerana dengan adanya pengurusan air yang berkesan, pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan dan kematian pokok terutamanya di peringkat awal pertumbuhan dapat dikurangkan. Perlu juga dibuat proses penjarangan dan pembalutan buah. Ini kerana selepas musim buah dan selepas pemangkasan dibuat, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun pucuk baru. Pada amalan kebiasaannya terdapat 1-3 putik buah pada satu tangkal. Untuk memperolehi saiz buah yang besar, penjarangan putik buah digalakkan, iaitu dengan meninggakan hanya satu putik sahaja pada satu tangkai. Amalan Membalut Buah dengan beg kertas merupakan satu amalan yang penting dalam pengurusan tanaman buah jambu batu. Selain daripada membalut ini memberi perlindungan daripada serangan lalat buah, buah yang telah dibalut juga didapati lebih bersih dan menarik. Apa pun pembalutan dilakukan apabila buah mencapai saiz sebesar telur ayam. Pembalutan buah jambu perlu dilakukan berperingkat sesuai dengan keadaan pokok jambu yang tumbuh ditepi rumah yang dijaga dengan baik.

Buah 
jambu batu yang masak dimakan segar dimana ia biasanya mempunyai tekstur agak rangup bergantung kepada varieti. Varieti Lohan adalah yang paling enak. Pada penulis blog buah jambu batu yang baru dipetik ini dibasuh dan dipotong nipis kemudian ditabur dengan asam boi atau perasa lain untuk dimakan (Sila lihat foto disebelah). Sudah menjadi trend kini didalam majlis kenduri perkahwinan dimana buah jambu batu asam boi dihidangkan kepada tetamu jemputan. Jika buah sudah terlalu masak pula dengan isi yanglembut dan berbau wangi sesuai juga dibuat jem, jeli, jus, kordial, kek, pai, sup dan manisan. Isi atau just ditinkan atau dijadikan serbuk. Dalam pada itu daun jambu batu memang ia boleh digunakan sebagai ganti daun teh. Buah Jambu batu dianggap sebagai superfruit kerana kaya dengan serabut diet, vitamin A dan C, asid folik dan diet mineral. Memang sudah ada laporan dimana sebiji buah jambu batu mengandungi kira-kira empat kali ganda jumlah vitamin C berbanding sebiji buah oren. Jambu batu juga mengandungi kepekatan antioksidan yang tinggi dan boleh dianggap sebagai satu produk semula jadi dengan sifat-sifat serat pemakanan serta bahan sebatian antioksidan. Jambu batu merah pula mempunyai jumlah kandungan serat pemakanan yang tinggi, iaitu antara 56.6 - 76.1 peratus dengan nisbah serat pemakanan larut terhadap tidak larut menyamai nisbah yang terdapat dalam bijirin, dan mengandungi nilai kalori yang rendah (97.1 - 249 kcal/100 g). Dalam aspek perubatan dilaporkan buah Jambu batu juga dipercayai mempunyai beberapa khasiat jika diamalkan setiap hari seperti menghilangkan rasa mual semasa mengandung, menurunkan paras kolesterol dalam darah, menurunkan paras gula dalam darah, mengurangkan berat badan, mengawal tekanan darah, membantu pertumbuhan kulit yang licin dan sihat, mampu menaikkan sel darah putih dan merah, meningkatkan kadar sistem metabolisme, membantu penghadaman dan mengelak sembelit, mengubat cirit-birit, dan sebagai ejen antioksida (melambatkan proses penuaan - awet muda serta mampu untuk melawan kanser. Semuga artikel ini mendorong pembaca blog anim agro technology kali ini berminat untuk menanam jambu batu dikawasan rumah. Wasallam!!!...
TANAM JAMBU BATU... DIMANA SAJA...
KAWASAN DIRUMAH... BOLEH DICUBA....
DAPATKAN BENIH... POKOK DIJAGA...
BERBUAH KELAK... NIKMATI RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(6 Zulhojjah 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.