Tuesday, March 8, 2022

LEPAT CHICHA DAN BUNGA CHICHA

LEPAT LIAT BUNGA CHICHA merupakan sejenis makanan tradisi yang resepinya menggunakan bunga Chicha sebagai keperluan utama membuatnya. Walau pun penulis blog hanya dapat dua kali ujirasa semasa bertugas di Kedah dahulu ia memadai untuk memahami akan bagaimana keenakan kuih tradisional tersebut. Baru-baru ini Majallah Tiga (M3) dari TV3 iaitu rancangan popular puluhan tahun ini telah menayangkan dokumentari menarik mengenai kuih lepat bunga chicha yang memang amat menarik. Memang makanan tradisional ini agak jarang dijumpai atau disediakan kecuali pada musim ada bunga chicha yang keluar dalam musim kemarau. Mereka yang ada peluang mendapatkan makanan ini memang bertuah. Bagaimana pun membuat sendiri kuih ini boleh dilakukan jika membaca artikel ini dan mempunyai bahan yang mencukupi serta ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat. Biasanya bahan-bahan diperlukan adalah bunga chicha segar sekitar 2 genggam (ini yang agak sukar mendapatkannya), santan kelapa (2 cawan), gula pasir (300 gm), tepung pulut (500 gm), garam (1 sudu teh), kelapa parut )kuantiti sekitar 1 mangkuk ditambah secubit garam) dan bahan minyak masak yang digunakan untuk disapu dalam daun pisang. Cara,cara membuatnya adalah dengan mengisar bunga chicha, santan dan gula hingga sebati. Kemudian dicampurkan bahan kisar dengan tepung dan garam dan di gaul sebati. Seterusnya dimasukkan 2 sudu makan adunan kuih ke dalam daun pisang yang telah disapu minyak masak agar tidak melekit. Letakkan sesudu kelapa parut di tengah adunan sebagai intinya. Ia kemudian dibungkus daun pisang seperti cara membuat kuih lepat dan seterusnya dikukus selama 40 minit dalam alat pengukus. Kemudian setelah masak ia diangkat dan disejukkan sebelum dihidang dan dinikmati keenakan kuih tradisional ini. Memang enak sekali makanan ini terutama jika perut memang sedang lapar. Kreativiti membuat makanan ini boleh diinovasikan dengan menggunakan cawan kopi dimana perlu dipastikan daun pisang telah dilayurkan atas api supaya lembut dan tidak koyak. Petua dimana sebaiknya bunga chicha boleh dikeringkan untuk digunakan pada masa akan datang juga boleh diamalkan. Bagaimana pun jika ingun untuk menggunakan bunga kering hanya perlu guna 1 genggam bunga sahaja.  Adunan kuih seperti adunan lepat pisang atau ubi menghasilkaan kuih yang lembut dan mudah dikaut juga dengan sudu. Ini untuk memastikan kuih tidak menjadi keras apabila dikukus. Boleh juga ditambahkan sukatan air atau santan jika menggunakan bunga kering sehingga mendapat adunan yang lembut. Sukatan seperti boleh gantikan bunga chicha dengan 2 cawan gula merah (kurangkan 1 cawan gula) sesuai dilakukan. Artikel pagi khamis ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsikan ilmu mengenai kuih Lepat Bunga Chicha untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Apakah dia bunga chicha?. Ramai kalangan pembaca yang mungkin kali pertama mendengarnya. Bunga Chicha sebenarnya adalah dari Pokok Chicha (
Stereospermum fimbriatum) iaitu sejenis tumbuhan dari keluarga Bignoniaceae yang ada tumbuh di Malaysia. Musim bunga chicha akan muncul sekitar bulan Mac setiap tahun. Pokok chicha tumbuh semulajadi di hutan-hutan seperti di Semenanjung Malaysia, Thailand, Burma dan Indo-China. Penduduk kampong akan mendapatkan bunga ini di dalam hutan dimana penulis blog pernah ke Baling, Kedah untuk melihat dan mencari bunganya dahulu semasa membuat lawatan teknologi  pertanian disana. Bunganya juga adalah memang lembut, berwarna merah jambu cair dan berbau seperti mawar (Sila lihat foto disebelah). Fungsi bunga ini sering digunakan sebagai pewarna coklat kepada kuih tradisional seperti membuat lepat bunga chicha dan sebagai bahan perasa yang unik. Ramai yang masih tidak kenal pokok dan bunga chicha dimana untuk mengetahuinya selalu melalui taburan bunga-bunga yang gugur di bawah pokok. Bunganya seakan 'tekoma' iaitu sejenis pokok hiasan lanskap di tepi jalan. Kaedah mengenal bunga chicha ialah bentuk seperti 'trumpet' dan ada 'rambu ramba' di hujung kelopaknya. Apa pun memang sering dikaitkan keunikan tentang bunga chicha dengan kuih lepat dikalangan peminatnya sahaja. Bagaimana selalunya kuih ini menjadi makanan tradisi orang Kedah terutama mereka yang tinggal di daerah Baling di mana pokok chicha ini lebih mudah didapati.

Dalam media tempatan termasuk laporan oleg Berita Harian (BH) yang bertajuk '
Rezeki bunga Chica ketika musim kemarau' memang wajar dirujuk. Dilaporkan dimana dua orang penduduk setempat Che Nen dan Norhayati sedang bersedia untuk mengutip bunga Chica ketika musim kemarau untuk dibuat lepat. Kisah dari Padang Terap, Kedah ini dimana disebabkan kemarau dan cuaca cuaca panas melanda setiap awal tahun memberi rezeki kepada penduduk Kampung Lubuk Tok Wi untuk menghasilkan lepat bunga Chica yang hanya berbunga sekali dalam setahun. Bunga Chica atau nama saintifiknya Stereospermum fimbriatum hanya tumbuh di dalam hutan dan bunganya akan luruh ketika ditiup angin ketika cuaca panas terik. Bunga chica hanya akan berbunga antara penghujung Disember hingga Mac setiap tahun iaitu sewaktu kemarau dan bunganya seakan sama seperti bunga Sakura Jepun. Setiap kali musim kemarau, beliau dan anaknya akan mengutip bunga Chica yang warna putih ungu di dalam kawasan hutan kira-kira 200 meter dari rumahnya untuk menghasilkan lepat. Ada juga penduduk membuat tempahan kenduri atau untuk makan sendiri kerana lepat bunga Chica mengeluarkan warna semula jadi serta bau wangi ketika dikukus. Bunga Chica yang siap dikutip akan dicuci dengan bersih sebelum dicampur dengan santan, tepung beras, gula dan garam dan dikisar sehingga halus sebelum dibalut dengan daun pisang hutan. 

Setiap pagi beliau akan mengutip bunga Chica seawal jam 7.30 pagi untuk tujuan mendapatkan bunga segar, malah pada hujung minggu ada ramai penduduk dari kampung berdekatan atau dari Perlis datang mengutip bunga Chica tersebut. Kuih Lepat bunga Chica biasanya dijual pada harga RM1 untuk empat keping lepat bersaiz kecil dan sukar ditemui di pasar tani jika ada yang berkeinginan untuk menikmatinya. Pokok Chica sudah berusia 50 tahun dan selagi berbunga, ada rezeki penduduk di sini tetapi kalau hujan, ia tidak berbunga. Dalam pada itu selain lepat, bunga Chica ini boleh dibuat kuih koci, tepung bungkus, tepung talam dan cucur jawa dan rasanya lain dari yang lain yang enak belaka. Bagi usahawan dan penduduk Taman Kemangi iaitu Norhayati Derani (45 tahun) mendakwa dimana setiap kali musim kemarau maka dia akan meluangkan masa membuat lepat bunga Chica dan memberi kepada jiran (Sila lihat foto disebelah). Kuih Lepat bunga Chica ada cara untuk membuatnya dan tersilap sukatan akan menyebabkan tidak sedap selain perlu dikukus kira-kira 45 minit. Dia akan  mengutip bunga Chica dalam kuantiti banyak dan separuhnya dia akan buat lepat manakala separuh lagi dijemur sehingga kering untuk dibuat serbuk. Ia mengeluarkan bunga mengikut musim dan boleh lepat pada bila-bila masa kerana serbuk boleh tahan sehingga setahun. Biasanya satu bakul bunga Chica dikutip mampu menghasilkan antara 80 hingga 100 biji lepat dan rasanya lebih enak berbanding lepat lain.

Dalam media lain dilaporkan '
Bunga Chica; Rezeki Musim Kemarau' memang menarik dikongsikan. 
Di Daerah Sik, Kedah ketibaan musim kemarau pastinya dinanti-nantikan oleh sebahagian penduduk di sekitar Kg Belantik kerana pada musim ini pokok chica akan mengeluarkan bunga chica. Pokok bunga chica tinggi dan besar dan hanya berbunga setahun sekali iaitu sekitar pertengahan bulan Februari hingga Mac. Bunga chica berwarna merah jambu dan apabila kering ia bertukar warna coklat. Bagi Dulmataksiah Hassan atau lebih mesra disapa Kak Ma iaitu salah seorang penduduk Kampung Surau sering menanti ketibaan musim bunga chica. Sudah menjadi kelaziman bagi dirinya serta penduduk di sekitar kawasan ini untuk mengutip bunga chica apabila tiba musim kemarau. Lazimnya mereka akan mengutip bunga pada waktu pagi kerana bunga ini gugur pada awal pagi. Bunga yang telah dikutip akan diproses untuk dijadikan lepat chica (Sila lihat foto disebelah). Lepat chica merupakan makanan unik kerana ia hanya boleh didapati di kawasan tertentu sahaja di negeri ini. Selain daripada itu ia dihasilkan daripada bunga menjadikan ianya unik dan istimewa. Bunga yang telah dikutip akan direndam dan dibersihkan terlebih dulu. Kemudian bunga tersebut akan dikisar bersama-sama santan dan juga gula. Seterusnya, bahan-bahan tersebut akan dicampurkan dengan tepung pulut, tepung gandum serta secubit garam. Selesai semua proses tadi, bungkus serta kukus lepat tersebut sehingga masak. Lepat yang telah dimasak sesuai dijadikan menu minum petang. Biasanya bunga-bunga ini juga boleh disimpan dalam tempoh yang lama tetapi perlu dijemur sehingga kering bagi mengelakkan daripada rosak. Rasanya lain daripada biasa, belum makan pun kita boleh bau wangi lepat yang dibuat daripada bunga chica ini. Selalunya lepat tidak ada inti, tapi lepat bunga chica ni ada inti, itu yang membuatkan lepat ini lain daripada yang lain. Aktiviti mengutip bunga chica ini menyeronokkan dan ia juga sebagai salah satu aktiviti riadah yang dapat menyihatkan tubuh badan. Disebabkan oleh keunikannya dan semakin ia mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi dimana pernah dia meraih pendapatan sehingga RM1,000 dengan menjual lepat bunga chicha ini. Semuga artikel dalam blog anim agro technology ini memberi info berguna. Wasallam!!!...
BUNGA MENARIK... IA BUNGA CHICHA...
MUSIM KEMARAU... KELUARLAH DIA...
BAHAN KUIH LEPAT... UNIK RASANYA...
PERGI KEKEDAH.. KENALAH UJIRASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka,
Malaysia.
(29 Rejab 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.