Monday, December 27, 2021

CILI ORGANIK - BAGAIMANA TANAMNYA? (Part 2)

TANAMAN CILI ORGANIK
(Organic Chili) merupakan satu usaha yang perlu dilakukan untuk menghasilkan cili yang lebih dijamin keselamatannya. Tanaman Cili Besar (Capsicum annuum) atau Cili Padi (Capsicum frutescens) boleh juga dilakukan secara komersil atau dikawasan keliling rumah dengan sistem atau cara pertanian organik. Penulis blog merujuk rekod keluasan tanaman cili di Malaysia iaitu seluas 3,320 hektar pada tahun 2021 dengan pengeluaran hasil sebanyak 29,960 metrik tan bagi cili besar. Taman cili padi pula seluas 626 hektar dengan pengeluaran sebanyak 1,714 metrik tan (Sumber: Booklet statistik keluasan tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Negeri Johor merupakan paling luas menanam cili pada tahun 2021 iaitu seluas 680 hektar diikuti dengan Kelantan (657 hektar) dan Pahang (416 hektar). Penulis blog dapati keluasan tanaman cili di Malaysia dan jumlah pengeluaran cili tempatan adalah masih tidak mencukupi kerana Malaysia masih perlu mengimport hampir 50% keperluan cili negara terutamanya dari Thailand, Vietnam dan China. Berkait dengan perkara tersebut tahap kesedaran terhadap isu alam sekitar serta keselamatan makanan telah mencetuskan kesedaran terhadap kepentingan penghasilan produk pertanian secara organik. Di Malaysia kini produk cili organik kebanyakannya diimport dari luar dan ditanam pada skala yang kecil. Jabatan Pertanian melaporkan dimana sebanyak 72 buah ladang telah didaftarkan bawah pensijilan myOrganic pada tahun 2020 dan hanya terdapat 2% ladang sahaja ladang yang mengusahakan tanaman cili. Antara beberapa risiko serangan penyakit dan perosak cili serta ketiadaan panduan pengeluaran tanaman yang lengkap menjadi cabaran kepada petani dalam mengusahakan pertanian organik. Penggunaan biopestisid serta kaedah kejuruteraan ekologi sebagai pendekatan alternatif bagi mengawal serangan penyakit dan perosak tanaman didapati berpotensi membantu pengeluaran cili organik dalam negara. Artikel pada pagi Jumaat sehari sebelum Perayaan Hari Natal esok hari dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan mengenai beberapa cara penanaman cili organik untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Bagi tujuan p
enyediaan tapak untuk aktviti penanaman di ladang yang luas seperti di kawasan terbuka sebaikny, jentera berat seperti traktor yang dilengkapi dengan bajak piring (disc plough) digunakan untuk membajak tanah. Tujuan membajak tanah adalah untuk memecahkan tanah dan juga meningkatkan porositi dan pengudaraan tanah serta menghapuskan rumpai dan sisa baki tanaman terdahulu. Saiz batas yang disarankan ialah 1 meter lebar dengan 15 - 25 cm tinggi dan batas perlu dirapikan menggunakan cangkul. Penggunaan sungkupan plastik dibenarkan dalam pertanian organik dan dapat menghalang pertumbuhan rumpai di samping mengekalkan kelembapan tanah. Bagaimana pun penggunaan sungkupan daripada jerami padi adalah terbaik kerana ia dapat mengurangkan pertumbuhan rumpai, memberikan keadaan kelembapan tanah dan juga membekalkan baja (Sila lihat foto disebelah). Sungkupan semula jadi organik seperti jika  penggunaan jerami dan sekam padi amatlah digalakkan di ladang organik.  Jarak yang sesuai dan standard penanaman cili ialah 60 cm x 60 cm. Sistem pengairan dipasang sama ada dengan sistem pengairan, paip polietilena dan sistem perenjis boleh digunakan dalam sistem pengairan dan tanaman cili disyorkan untuk disiram setiap pagi dan petang mengikut keadaan cuaca. Bagi penanaman cili organik keliling rumah perlu disediakan pasu atau beg plastik sesuai dan diisikan dengan tanah campuran atau peatmoss dan di susun dikawasan yang mendapat cukup sinaran cahaya matahari.

Perbezaan diantara penanaman cili organik dengan cili konvensional adalah didalam bagaimana pengurusan amalan agronominya. Penggunaan bahan kimia memang tidak disyorkan didalam cara pengurusan organik sebaliknya bahan lain yang mesra alam diaplikasikan. Bagi tujuan p
embajaan untuk mendapatkan proses pertumbuhan optimum tanaman cili bergantung kepada pelbagai faktor persekitaran seperti suhu, air, cahaya dan juga kandungan nutrien di dalam tanah. Keperluan makronutrien tanaman cili adalah seperti nitrogen 276 kg/ha, fosforus 29 kg/ha, kalium 310 kg/ha, kalsium 52 kg/ha dan magnesium 30 kg/ha. Pembajaan secara organik untuk tanaman cili yang disyorkan ialah kompos biomas tanaman, kompos tinja haiwan, baja bioorganik (Sila lihat foto disebelah) dan baja cecair foliar organik. Baja organik sangat bermanfaat kepada tanah dan tanaman kerana mempunyai sifat perapi tanah yang dapat memperbaiki struktur tanah dan pengudaraan, meningkatkan nutrien dan kadar keupayaan pegangan air, meningkatkan aktiviti biologi dan memperbaiki tahap kesuburan tanah. Pembajaan asas tanaman cili perlu dibekalkan semasa penyediaan batas dan seterusnya boleh dibekalkan secara berkala sehingga penuaian hasil. Baja cecair organik diberi kepada pokok sebaiknya pada peringkat pembungaan dan pembentukan buah. Kadar pembajaan yang disyorkan mengikut jenis baja organik yang digunakan. bagi pemberian Baja Kompos disyorkan guna kompos biojisim atau kompos tinja haiwan 200 g/m2 atau 3 t/ha (sama untuk semua jenis kompos). Sebaiknya baja kompos digaul rata pada batas bersama tanah semasa penyediaan batas. Ia akan merapikan tanah dan membekalkan nutrien untuk petumbuhan tanaman. Bagi aplikasi Baja Bioorganik boleh guna dua cara. Bagi baja kompos sisa biojisim pertanian dengan mikrob bermanfaat dan diperkaya dengan nutrien daripada bahan semula jadi, enzim tumbuhan, asid amino, asid humik dan sebagainya dengan kadar 300 g/pokok. Pemberian baja pada minggu ke-2, 4, 5 dan 8 selepas tanam secara ditabur dan digaul bersama tanah pada pangkal pokok. Baja ini akan membekalkan nutrien (makro dan mikro) untuk tumbesaran akar, daun, batang dan buah. Jika menggunakan baja kompos tinja haiwan pula yang diperkaya secara organik dan diperkaya dengan bahan semula jadi seperti mineral asli, abu tandan, asid amino, enzim tumbuhan, asid humik dan sebagainya. Pembajaan dengan baja cecair organik boleh diberikan dengan baja campuran enzim amino asid (FAA), enzim tumbuhan (FPJ) dan enzim buahan (FFJ) dicampur dengan kadar 1:1:1 untuk semburan foliar dan juga kadar 100 mL/pokok bagi pencairan baja 1:20.  Baja ini sesuai diberikan semasa pembungaan dan pembentukan buah cili dan selepas setiap penuaian. Baja ini akan membekalkan nutrien mikro dan perangsang organik bagi melebatkan bunga dan buah.  Tiada penggunaan baja NPK komersil didalam pertanian organik cili.

Pertanian Organik boleh digabungkan dengan sistem p
engesyoran sistem penanaman cili secara organik yang lebih praktikal. Kaedah mempelbagaikan jenis tanaman merupakan satu pendekatan untuk mengawal populasi perosak dan penyakit. Populasi serangga perosak yang tinggi akan menyebabkan kerugian dalam sistem penanaman cili tunggal berbanding dengan sistem tanaman pelbagai. Terdapat tiga pengesyoran untuk menanam cili secara organik iaitu cili ditanam bersama tanaman sempadan, tanaman beregu dan tanaman selingan. Bagi kaedah pertama iaitu Tanaman Sempadan yang mana ia perlu ditanam sebulan lebih awal daripada tanaman cili. Ini kerana dalam tempoh sebulan maka tanaman sempadan akan mencapai ketinggian tertentu yang berfungsi sebagai dinding sempadan dan menyekat kemasukan serangga perosak. Tanaman sempadan yang sesuai untuk cili adalah seperti jagung, sorghum atau tunera dijarakan dengan jarak sesuai. Boleh juga dijalankan cara Tanaman Regu yang merupakan cara tanaman berlainan famili ditanam bersama, Ia akan bertindak sebagai tanaman penolak dan juga menarik musuh semula jadi. Tanaman regu dituai lebih awal sementara menunggu hasil cili sebagai pendapatan sampingan dimana antara jenis tanaman yang sesuai adalah seperti selasih, kucai, salad dan sebagainya. Bagi cara Tanaman Selingan pula dimana ditanam dua tanaman atau lebih ditanam secara serentak di kawasan yang sama dalam satu musim. Cara ini ia akan mengurangkan keseragaman tanaman dan ia juga boleh mengurangkan potensi serangan perosak seperti bayam, salad, jagung dan kacang renek sesuai ditanam sebagai tanaman selingan. Artikel ini ditulis dalam tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dibaca bersama. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TANAM CILI... ORGANIK CARANYA....
IKUTI PERATURAN... ADA DI CERITA...
DAFTAR SIJIL... MYORGANIC NAMANYA...
PRODUK SIHAT... JAMINAN KUALITI ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(20 Jamadilawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.