Sunday, December 26, 2021

CILI ORGANIK - BAGAIMANA TANAMNYA? (Part 1)

TANAMAN CILI ORGANIK
(Organic Chili) merupakan satu usaha yang perlu dilakukan untuk menghasilkan cili yang lebih dijamin keselamatannya. Tanaman Cili Besar (Capsicum annuum) atau Cili Padi (Capsicum frutescens) boleh juga dilakukan secara komersil atau dikawasan keliling rumah dengan sistem atau cara pertanian organik. Penulis blog merujuk rekod keluasan tanaman cili di Malaysia iaitu seluas 3,320 hektar pada tahun 2021 dengan pengeluaran hasil sebanyak 29,960 metrik tan bagi cili besar. Taman cili padi pula seluas 626 hektar dengan pengeluaran sebanyak 1,714 metrik tan (Sumber: Booklet statistik keluasan tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Negeri Johor merupakan paling luas menanam cili pada tahun 2021 iaitu seluas 680 hektar diikuti dengan Kelantan (657 hektar) dan Pahang (416 hektar). Penulis blog dapati keluasan tanaman cili di Malaysia dan jumlah pengeluaran cili tempatan adalah masih tidak mencukupi kerana Malaysia masih perlu mengimport hampir 50% keperluan cili negara terutamanya dari Thailand, Vietnam dan China. Berkait dengan perkara tersebut tahap kesedaran terhadap isu alam sekitar serta keselamatan makanan telah mencetuskan kesedaran terhadap kepentingan penghasilan produk pertanian secara organik. Di Malaysia kini produk cili organik kebanyakannya diimport dari luar dan ditanam pada skala yang kecil. Jabatan Pertanian melaporkan dimana sebanyak 72 buah ladang telah didaftarkan bawah pensijilan myOrganic pada tahun 2020 dan hanya terdapat 2% ladang sahaja ladang yang mengusahakan tanaman cili. Antara beberapa risiko serangan penyakit dan perosak cili serta ketiadaan panduan pengeluaran tanaman yang lengkap menjadi cabaran kepada petani dalam mengusahakan pertanian organik. Penggunaan biopestisid serta kaedah kejuruteraan ekologi sebagai pendekatan alternatif bagi mengawal serangan penyakit dan perosak tanaman didapati berpotensi membantu pengeluaran cili organik dalam negara. Artikel pada pagi Jumaat sehari sebelum Perayaan Hari Natal esok hari dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan mengenai beberapa cara penanaman cilii organik untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Telah menjadi trend dimana kesedaran pengguna terutama sayuran seperti cili menjadi pilihan mereka apabila ada kaedah jaminan seperti persijilan MyOrganic (Sila lihat foto sebelah). Apa pun penulis blog dapati k
ecenderungan para pelanggan terhadap pemilihan produk organik adalah disebabkan oleh faktor termasuk kesihatan, keselamatan makanan dan juga alam sekitar. Kesedaran terhadap risiko kesihatan akibat residu racun perosak dalam produk hasilan pertanian menjadikan pertanian organik semakin mendapat sambutan di Malaysia. Sering dilaporkan didalam akhbar dan media lain dimana terdapat kes-kes kandungan sisabaki racun yang melebihi paras dibenarkan dipasaran apabila pemeriksaan oleh pihak berkaitan dijalankan. Mereka yang didapati bersalah bila kes dibawa kemahkamah boleh dihukum. Jabatan Pertanian dan MARDI dan beberapa institusi lain dilapor telah mengambil inisiatif dengan menjalankan penelitian bagaiamana teknik penanaman dan pengeluaran cili secara organik yang boleh menjadi panduan lengkap kepada petani dan seterusnya diguna pakai dalam sistem pengeluaran cili secara organik. Petani yang ingin menanam dan menghasilkan produk cili organik perlu diberikan latihan dan pendedahan akan amalan-amalan yang betul didalam menghasilkan cili organik ini. Hanya mereka yang telah memohon memasukki skim persijilan MyOrganic dan menghasilkan produk tersebut akan diberikan sijil pendaftaran yang boleh dlabelkan pada kotak pembungkusan cili mereka (Sila lihat foto disebelah). Persijilan MyOrganic ini memerlukan komitment dari semua pihak daripada petani, agen pengembangan pertanian, pihak swasta berkaitan dan juga pihar pemasar untuk dijayakan. Ada juga beberapa dakwaan dimana harga cili organik adalah lebih mahal daripada harga cili konvensional.

Pertanian organik bagi cili bermula dengan tahap penyediaan kawasan penanaman dan penyediaan anakbenih cili. Pengurusan anak benih cili adalah termasuk penggunaan medium tanaman, biji benih dan nutrisi yang dibenarkan dalam pengeluaran cili secara organik dapat menjamin pertumbuhan tanaman yang optimum dan bebas penyakit. Semaian biji benih cili biasanya menggunakan medium asas tanaman yang poros, sederhana lembap dan bebas penyakit seperti peatmoss perlite dan vermiculite. Bekas semaian yang sesuai adalah menggunakan dulang semaian yang mempunyai 104 lubang atau bekas plastik bertutup. Ruang semaian mestilah ditutup dengan jaring kalis serangga, terlindung daripada hujan dan mempunyai ruang lindung matahari (30 - 50%) dan cahaya terus. Rak semaian yang berketinggian 120 cm adalah sesuai untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan anak benih. Sebaiknya lakukan siraman secara manual menggunakan tong siraman atau secara semburan kabus (misting) boleh digunakan pada ruang semaian. Setelah muncul daun sebenar maka perlu nutrien dibekalkan melalui semburan baja foliar organik atau dituang ke dalam dulang takungan untuk rendaman akar anak pokok. Dulang takungan tanaman berfungsi untuk menakung air bagi keperluan anak benih dalam dulang semaian (Sila lihat foto disebelah). Penambahan baja organik jenis cecair ke dalam takungan dapat menambah nutrien bagi menghasilkan anak benih yang sihat dan mengurangkan kesan-kesan dari kejutan pemindahan anak benih (transplanting shock). Penting untuk dipastikan hanya anakbenih yang sihat, bebas penyakit dan subur untuk ditanam seterusnya. 

Dalam portal berita hmetro.com dengan tajuk berita 'Racun serangga organik' amat relevan bagi tulisan rencana kali ini. Dilaporkan dimana konsep pertanian lestari yang mementingkan penjagaan alam sekitar kian mendapat perhatian masyarakat termasuk membabitkan tanaman organik menggunakan baja dan racun perosak yang dibuat secara organik tanpa bahan kimia berbahaya. Penerapan konsep berkenaan bukan saja diterima petani atau peladang yang mengusahakan tanaman untuk tujuan komersial, tetapi juga isi rumah yang menanamnya sebagai hobi bagi kegunaan sendiri. Apa yang lebih menarik, kaedah yang digunakan juga dapat mengurangkan kos apabila bahan digunakan boleh diperoleh dengan mudah membabitkan barangan harian dari dapur setiap rumah.  Contoh paling mudah adalah menghasilkan racun serangga organik yang hanya menggunakan campuran beberapa bahan terutama sayuran. Bagi Pensyarah Kanan (Penilaian Risiko) Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norida Mazlan berkata, kajian dibuat pihaknya menemui dua kaedah untuk menghasilkan racun serangga organik atau lebih tepat penghalau serangga (Sila lihat foto disebelah). Kaedah ini sudah lama ditemui namun tidak ramai yang menggunakannya walaupun racun serangga buatan sendiri itu ternyata berkesan. Kaedah pertama adalah menggunakan bahan A iaitu lima ulas bawang putih, enam biji cili api, seulas halia dan 300 mililiter (ml) air. Bahan B iaitu satu sudu minyak masak dan satu sudu cecair pencuci pinggan,” katanya pada Program Klinik Pertanian Daerah Batang Padang di Arena Merdeka, Tapah, Perak. DIdakwa dimana alatan yang diperlukan adalah pengisar, penapis, bekas simpanan (botol) dan penyembur. Kisar bahan A kemudian tapis dan ambil patinya sebelum dicampurkan bersama bahan B dan kacau hingga sebati serta kemudian disimpan dalam bekas selama 24 jam. Seterusnya untuk penggunaan, pati campuran itu kemudian dicampur dengan nisbah satu bahagian bersama empat bahagian air sebelum disembur pada tanaman. Pati atau racun serangga itu boleh disimpan selama enam bulan dan lebih lama disimpan ia lebih berkesan. Kaedah kedua adalah lebih mudah dengan hanya menggunakan daun semambu dan air. Dengan menggunakan 250 gram daun semambu dengan 1.5 liter air dan kemudian ramas daun semambu sebelum masukkan ke dalam bekas berisi air berkenaan. Rendam daun semambu selama 12 jam atau tidak lebih 24 jam dan tapis airnya. Kemudian barulah dimasukkan air dalam bekas penyembur berisi air dengan nisbah 1:50 dan perlu digunakan semuanya kerana tidak boleh disimpan melebihi 24 jam. Semua kaedah penghasilan penghalau serangga organik berkenaan hanya menggunakan kos yang rendah atau boleh dikatakan tanpa sebarang kos, namun untuk keberkesanan ia perlu kerap disembur pada tanaman. 
Artikel ini ditulis dalam tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dibaca bersama. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TANAM CILI... ORGANIK CARANYA....
IKUTI PERATURAN... ADA DI CERITA...
DAFTAR SIJIL... MYORGANIC NAMANYA...
PRODUK SIHAT... JAMINAN KUALITI ADA...

By,
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(20 Jamadilawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.