Friday, December 10, 2021

BAKUL SUMOSACK - BANTU PEKEBUN NANAS

BAKUL NANAS SUMOSACK merupakan satu inovasi terbaru kepada industri nanas negara untuk kerja penuaian buah nanas. Tanaman nanas (Ananas comosus) di Malaysia merupakan salah satu aktiviti pertanian yang telah lama di komersilkan sejak sebelum merdeka lagi dengan nanas jenis morris pada masa itu telah mendominasi penanaman nanas oleh sektor perladangan dan sektor pekebun kecil. Kemudian beberapa varieti nanas lain untuk tujuan di proses menjadi nanas kaleng (nanas didalam tin) telah menjadi salah satu produk eksport penting dari Malaysia dengan beberapa buah estet nanas dan kilang nanas terutama di Negeri Johor. Kawasan tanah gambut di Negeri Johor telah dibuka dan ditanam dengan nanas untuk dihantar ke kilang sebagai satu sumber pendapatan pekebun nanas. Beberapa varieti nanas kaleng seperti Nanas Moris, Nanas Gandul, Nanas N36 dan sebagainya diusahakan sehingga Malaysia terkenal sebagai sebuah negara menjadi pengeluar produk nanas dalam tin terbesar didunia. Bagaimana pun pada abad ini semuanya sudah berubah apabila penanaman nanas di Malaysia bertukar dan ditumpukan kepada pengeluaran nanas segar dan hanya sebahagian kecil sahaja yang di tanam untuk kegunaan kilang. Pengenalan beberapa varieti nanas premium terutama nanas MD2 (dengan nombor daftar varieti AC9) telah menjadikan senario permintaan untuk nanas segar meningkat dengan drastik. Ciri-ciri asas nanas premium MD2 yang manis, tidak lidas, aroma yang kuat dan jangkahayat buah yang lama membolehkan nanas MD2 sesuai untuk pasaran domestik dan eksport.  Pihak LPNM yang memperkenalkan nanas ini menjadikan ia sebagai varieti dominan dikalangan pengusaha nanas selain daripada nanas Josapine. Kebolehan pasaran nanas MD2 di peringkat antarabangsa lebih terserlah apabila kini nanas MD2 segar dieksport ke China, Singapura, Negara Timur Tengah, Korea dan beberapa negara lain menjadikan industri nanas semakin diminati melalui jalan laut dan jalan udara. Dikawasan kebun atau ladang nanas pula beberapa peralatan menuai hasil diperlukan antaranya parang tajam untuk memotong buah nanas dan bakul khas untuk membawa buah nanas ke tepi jalan dimana ia kemudian dikumpulkan sebelum dibawa ke pusat pengumpulan. Artikel subuh ini sambil melihat Jambatan Drawbridge di Kuala Terengganu dari Tingkat 15 bangunan hotel FRKT, saya dapat menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai inovasi Bakul Sumosack yang diperkenalkan didalam industri nanas negara untuk dijadikan bahan rujukkan semua dan beberapa perkara mengenai penuaian hasil nanas.

Penulis blog merujuk kepada beberapa akhbar tempatan semalam dan media elektronik yang melaporkan dimana '
Bakul Sumosack bantu pekebun nanas dalam penuaian buah' dan ditulis semula untuk bahan rujukkan pembaca blog semua. Berita yang dipetik dari Kluang, Johor ini telah mempaparkah kisah dimana terdapat bakul ergonomik Sumosack yang dicipta khas untuk kegunaan pekebun nanas dan adalah diharapkan dapat membantu mengurangkan masalah berkaitan gangguan 'musculoskeletal' yang menjejaskan tulang, otot dan sendi golongan pengusaha nanas di Malaysia. Dilaporkan banyak pihak dijangka akan menyambut baik inovasi ‘Smart Fruit Harvesting Basket’ seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Rn Mohd Khairuzamri di Kg Parit Ghani, Pontian semasa demonstrasi dijalankan bersama wartawan. Hasil ciptaan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama LPNM itu didakwa adalah merupakan satu inovasi bagi menggantikan bakul rotan sekali gus membantu meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas.  Bakul ergonomik atau lanjung nanas yang masih dalam tempoh percubaan ini bagaimana pun merupakan sumbangan daripada SME Corp dengan pelaksana Yayasan Inovasi Malaysia di bawah ‘Program Berimpak Tinggi’ (HIP-6) juga merupakan satu ciptaan atau langkah yang baik di mana penciptaannya mengambil kira faktor keselamatan dan faktor kesihatan pekebun. Keesokkan harinya penulis blog sempat bertanya terus kepada Ketua Pengarah LPNM di Sg Merab, Selangor dimana beliau nyatakan kehebatan lain bakul ini adalah ia ringan, ada sistem membuka bahagian bawah bakul bagi mengeluarkan buah dan sistem tali sandar yang selesa. Bakul lajong rotan sedia ada apabila hendak mengeluarkan buah yang berat ini petani perlu membongkok menuang buah atau menurunkan bakul ketanah. Bakul ini saya lihat akan memainkan peranan penting bagi membantu dan menyokong pengusaha dan pekerja kebun nanas untuk membuat kerja ini dengan lebih mudah, ringan dan ia mempunyai ciri-ciri khas keselamatan menjaga struktur tulang belakang. Pengenalan inovasi ini dijalankan di Pusat Pengumpulan Nanas Kelompok Parit Ghani, Kampung Parit Gantung, Parit Haji Basri dihadiri sama oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika melawat Projek Tanaman Nanas Kelompok Parit Ghani dan mengujicuba bakul sumosack tersebut (Sila lihat foto disebelah)Hadir sama dalam lawatan tersebut adalah Setiausaha Bahagian Industri Tanaman, Ternakan Dan Perikanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Mazlan Othman dan Profesor Madya Dr Emilia Zainal Abidin, dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM. Dalam lawatan tersebut dilaporkan sebanyak 50 unit bakul Sumosack disumbangkan kepada pekebun nanas terpilih di Johor sebagai satu pengenalan oleh LPNM. Dalam perkembangan lain, MAFI melalui LPNM juga menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar menjelang tahun 2025 iaitu berbanding 17,000 hektar pada 2020.  Selain itu juga LPNM akan meningkatkan kadar peratusan tanaman nanas varieti MD2 daripada 15 peratus ketika ini kepada 50 peratus dalam RMK12 dimana ia adalah bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta eksport. 

Sebagai rujukkan penulis blog faham dimana sejak dahulu penggunaan Bakul Tuaian Nanas merupakan satu alat yang penting digunakan dalam industri penanaman nanas. Bakul nanas ini selalunya digunakan oleh petani dan pekerja upahan dalam mengumpul mengisikan buah nanas didalamnya sebelum dihantar ke pusat pengumpulan. Anda boleh membaca artikel tulisan saya yang diposting pada Oktober 2017 megenai bakul tuaian nanas rotan ini dengan pautan (Sila klik disini). Memang bukan mudah untuk kerja memetik buah nanas kalau tidak ada bakul seperti ini yang diletakkan dibahagian belakang pemetik buah nanas. Terdapat banyak jenis dan bahan yang digunakan untuk membuat bakul tuaian buah nanas seperti bakul yang dibuat daripada Plastik, Buluh, Rotan, Kanvas dan sebagainya. Penulis blog turut mendapati bagaimana pun bakul yang paling popular dikalangan penanam nanas di Malaysia adalah yang mana ia  diperbuat daripada Rotan. ROTAN merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dari suku Calameae yang mempunyai 17 genus dan sekitar 611 spesies. Tumbuhan ini ada dalam hutan malar hijau kawasan tropika termasuk di Malaysia dan digunakan dalam industri perabut, hiasan serta lain-lain kegunaan. Penggunaan bahan asas rotan ini kerana ia merupakan jenis bahan yang amat tahan lasak berbanding dengan material lain. Bahan buluh juga ada yang digunakan didalam membuat bakul tuaian nanas seperti di negara jiran Indonesia. Terdapat beberapa jenis buluh yang sesuai untuk dianyam untuk dijadikan bakul tuaian nanas. Ia adalah lebih murah daripada bakul yang dibuat daripada rotan. Bakul ini perlu dikendong dibahagian belakang pemetik buah dengan dua tali mengikat dibadan. Lazimnya jumlah buah yang boleh diisikan kedalam bakul adalah diantar 10 - 15 biji bergantung kepada varieti, saiz dan juga ukuran jambul. Pemetik hasil buah nanas perlu ada kemahiran untuk memotong tangkai buah dan seterusnya 'mencampakkannya' kedalam bakul dibelakangnya (Sila lihat foto disebelah). Apabila sudah penoh maka ia akan dihantar kepada lokasi atau bekas pengumpulan dikebun nanas dan dibuat grading sebelum buah nanas ini sesuai dijual untuk pasaran domestik atau dieskport.

Sektor perladangan tanaman nanas dikawasan tanah mineral yag agak rata dan luas memerlukan p
akej mekanisasi ladang dalam pengeluaran nanas. Jentera ini selalunya akan dapat membantu pengusaha estet di peringkat ladang dan juga petani kecil yang mampu mengguaannya dengan cara menyewa daripada mereka yang memberikan perkhidmatan tersebut. Kini penulis blog percaya dimana pakej mekanisasi ini bukan sahaja dapat membantu didalam meringankan beban kerja petani, malah menjadikan kerja-kerja ladang lebih menarik dan senang dilaksanakan. Berdasarkan pemerhatian yang penulis blog jalankan dimana pakej mekanisasi yang terdiri daripada mesin penanam, mesin merumput antara baris merangkap mesin membaja, mesin semburan, mesin bantuan penuaian dan mesin pengurusan lepas tuai di ladang sangat membantu dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas. Mekanisasi penuaian buah nanas dilakukan pada tahap kematangan buah dengan berpandukan indeks warna yang tertentu dari satu hingga tujuh (ranum) seperti dalam. Tempoh kematangan bergantung pada varieti nanas. Nanas Moris, Nanas Sarawak, Nanas Josapine dan Nanas Gandul masing-masing dituai pada 125-130, 160-170, 115-117 dan 145-150 hari selepas aruhan pembungaan. Kesemua tempoh itu dikira dari hari pertama aruhan pembungaan sehingga buah nanas masak pada indeks 1 atau 2. Kegagalan estet menuai pada peringkat kematangan atau indeks yang sesuai akan menurunkan gred buah nanas yang ingin dipasarkan. Operasi penuaian kini dipermudahkan dengan sebuah mesin bantuan penuaian berbentuk lengan sepanjang 12 meter yang dipasang pada sisi treler (Sila lihat foto disebelah). Mesin bantuan penuaian ini memerlukan traktor dengan kuasa sekurang-kurangnya 60 kuasa kuda. Semasa aktiviti penuaian dijalankan, traktor akan bergerak perlahan di tepi ladang melalui laluan 2 meter lebar antara plot barisan tanaman nanas manakala pekerja akan memotong buah nanas dan meletakkanya di dalam pelantar penghantar (conveyor) dan terus dibawa ke dalam bakul di atas treler yang disangkut di belakang traktor. Biasanya 3 - 4 orang pekerja berupaya memetik dalam purata satu tan buah dalam masa 20 minit. Mesin bantuan ini dilengkapi dengan sistem hidraulik bagi melaraskan kedudukan lengan (tinggi dan rendah, kanan ke kiri) dan menggerak-gerakkan bakul buah untuk menyusun buah. Setelah penuh maka bakul akan digelongsorkan keluar dan bakul baharu akan diganti sehingga selesai kerja penuaian. Buah nanas yang dikumpulkan ini kemudian digredkan sebelum dimasukkan dalam kotak khas untuk dijual dipasaran. Kepada pembaca yang ingin mengetahui menganai Bakul Sumosack boleh berhubung dengan pihak LPNM. Semuga artikel ini memberi info yang berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
BAKUL SUMOSACK...BAIK INOVASINYA...
LEBIH RINGAN... LEBIH MUDAH DIGUNA...
DIPERKENALKAN... DI PARIT GHANI SANA...
MENUAI NANAS...ADA PELBAGAI CARANYA..

By,
M Anem.
Senior Agronomist,
Room Tingkat 15, Felda Residence Hotel,
Kuala Terengganu, Terengganu,
Malaysia.
(4 Jamadilawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.