Thursday, November 4, 2021

TELAGA TIUB DAN FAKTA PENTING

SISTEM TELAGA TIUB
(Tube Well) 
merupakan satu cara atau sistem yang digunakan untuk mendapatkan air dari dalam tanah dengan menggunakan paip PVC yang ditanam ke dalam tanah dan juga merupakan penggunaan air alternatif yang diambil airnya dari kedalaman tanah lebih 20 meter atau beratus meter di bawah permukaan bumi. Penulis blog beberapa kali terlibat didalam pembinaan telaga tiub di banyak lokasi terutama dikawasan projek pertanian yang sering terjejas bekalan air pertanian di musim kemarau dahulu. Ada telaga tiub yang sangat berjaya dan ada yang kurng berjaya setelah usaha mencari dan menggalinya dijalankan. Apa pun dilapangan dilaporkan ada pelbagai cara boleh digunakan untuk mengerudi dan memasang paip ini. Apa yang penting adalah selepas itu air dari dalam paip PVC ini dipam dengan menggunakan pam tangan atau pam elektrik melalui laluan paip getah ke atas ia berterusan dan mempunyai kualiti yang boleh digunapakai. Dilapangan ada jenis telaga tiub yang dibina dengan dengan baik di mana tiub atau paip keluli tahan karat sepanjang 100 - 200 milimeter garispusat (3.9 - 7.9 inci) di seluruhnya ditanam ke dalam akuifer bawah tanah. Apa yang penting juga dibahagian bawah tanah sebaiknya sudah dilengkapi dengan saringan (penapis) dan alatan pam yang sesuai mengangkat air kepermukaan untuk tujuan domestik atau pengairan pertanian. Kedalaman telaga yang diperlukan bergantung pada kedalaman lapisan simpanan atau laluan air dalam tanah. Biasanya tiub atau selongsong telaga tiub ini boleh menggunakan besi atau PVC yang tahan lama. Air yang masuk kedalam tiub ini akan sentiasa merembes dari sekelilingnya dimana dalam beberapa kes tertentu ia juga  mengandungi zarah pasir atau kelodak yang mana ia boleh menyebabkan cepat pam cepat rosak (akibat haus bergeser dengan pasir pada injapnya). Penting juga dipasang penapis sesuai untuk menghalang pasir dan kelodak. Dilaporkan dimana antara kelebihan pengairan telaga tiub seperti sebenarnya dengan teknik betul dan kajian awal air bawah tanah mudah didapati. Terdapat takungan air atau laluan air bawah tanah yang kadangkala cetek berdekatan dengan permukaan tanah dan ada yang berada jauh kedalam tanah. Jika jumlah takungan air bawah tanah ini banyak maka ia mampu mengairkan kawasan pertanian yang luas walau pun pada musim kemarau berpanjangan. Bergantung kepada sistem dan teknologi yang digunakan untuk membina telaga tiub ia memang satu kaedah yang terbaik untuk tujuan domestik dan sektor pertanian terutamanya untuk tanaman makanan. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis rencana mengenai kepentingan telaga tiub dan faktanya untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Penulis blog yang beberapa tahun pernah terlibat dengan menyediakan telaga tiub atau di sesetengah negeri ia dipanggil sebagai 'Air Boring' sahaja. Boring itu berasal dari perkataan 'menggali' atau 'bore' tanah sehingga menjumpai air bawah tanah yang dicari. Air ini 
sebenarnya ialah air yang dipamkan melalui proses pengerudian (boring) dari air bawah tanah ke permukaan tanah melalui laluan paip. Sumber air bawah tanah di sesuatu kawasan itu akan diambil dari lapisan batuan keras granite atau batuan keras lain dan air disedut dari dalam tanah lebih 20 meter atau beratus meter daripada permukaan bumi. Air yang diekstrak dipercaya lebih berkualiti kalau dibandingkan dengan air dari permukaan sungai dan kolam. Air telaga tiub ini selalunya akan menjadi bekalan air yang banyak digunakan di beberapa lokasi sebagai bekalan harian. Perkara yang penting untuk menentukan air mata di kawasan untuk digali telaga tiub ini adalah lokasinya. Bukan semua kawasan adalah sesuai untuk digali kerana di sesetengah tempat, airnya akan berbau busuk dan berwarna merah disebabkan mengandungi toksik logam atau air asidik yang tidak sesuai bagi digunakan sebagai air minuman atau pun air untuk tanaman. Selain itu juga sebaiknya kawasan yang berhampiran dengan sistem kumbahan seperti tangki kumbahan adalah tidak sesuai digali kerana air kumbahan mungkin akan diserap masuk ke dalam air bawah tanah itu dan tercemar air bawah tanah kawasan tersebut. Tambahan pula, kawasan yang terdapat air paya, sawah padi, kawasan tanah gambut dan berhampiran laut juga tidak sesuai untuk digali telaga tiub. Walau pun pada setengah lokasi warna dan rasa air bawah tanah ini agak berlainan dengan air paip akan tetapi ujian perlu dijalankan untuk menilai akan kualitinya sebelum ia digunakan. Tempat yang sesuai adalah di kawasan tanah liat dan di bawahnya terdapat lapisan pasir yang bertindak sebagai penapis semula jadi sebelum air tersebut disedut ke permukaan bumi. Kualiti air yang disedut dari air bawah tanah adalah mempunyai risiko untuk diminum terus. Ia mempunyai kebarangkalian pengguna yang meminum air bawah tanah tanpa rawatan terdedah dengan bakteria leptospira yang akan menyebabkan penyakit leptospirosis atau dikenali sebagai penyakit kencing tikus. Di samping itu dilaporkan dimana air tanpa rawatan mungkin mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh mengancam kesihatan pengguna jika menggunakannya dalam masa jangka panjang. Bagi kegunaan domestik air yang bersih merupakan salah syarat utama untuk kehidupan manusia. Sebaiknya penggunaan air bawah tanah mendapat lesen penggunaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa air tersebut adalah selamat diminum mengikut standard yang ditetapkan bawah Air Minuman Berbungkus dan Air Mineral Semula Jadi Jadual ke-25 dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Kejadian kemarau panjang akibat El-Nino pada tahun 2016 merupakan antara yang paling terkesan kepada sektor pertanian negara. Penulis blog masa itu terlibat dalam menyediakan laporan status jumlah kerugian dialami oleh sektor pertanian bernilai ratusan juta juga. Bagaimana pun kerajaan membantu dengan menyediakan beberapa prosek bekalan air pertanian termasuk pembinaan telaga tiub sebagai 
sumber air alternatif petani. Penulis blog masih ingat bagaimana salah satu projek telaga tiub yang dibina di Lembah Beriah, Bagan Serai kira-kira 100 kilometer dari Ipoh untuk dijadikan sumber bekalan air alternatif kepada petani terutama ketika kritikal kesan musim kemarau. Ramai petani yang dulu mengusahakan tanaman seperti sayur dan padi di sekitar kawasan itu sebelum ini hanya memperoleh sumber bekalan air dari kolam takungan, anak sungai dan parit dan apabila kemarau ia kering.  Menerusi pembinaan telaga tiub ini petani gembira kerana bekalan air untuk pertanian tidak terputus, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas dan kemarau. Kejadian dimana Empangan Tasik Bukit Merah yang susut disebabkan cuaca panas akibat fenomena El Nino sehingga menjejaskan aktiviti penanaman oleh petani. Ada beberapa jenis telaga tiub dan satu daripadanya adalah jenis telaga tiub cetek yang mana mempunyai kedalaman 21.3 meter  -  30.4 meter. Penulis blog dapati pembinaan telaga jenis itu yang mempunyai saiz paip dua inci melibatkan kos sekitar RM2,800 hingga RM3,500 bagi satu unit. Telaga ini hanya mampu membekalkan air untuk keluasan tanaman satu hingga tiga hektar dan bekalan air sekitar 100 -  180 liter sejam. Kedalaman yang tidak melebihi 100 kaki ini juga boleh dipengaruhi oleh cuaca. Apabila berlaku kemarau melampau, telaga tiub ini boleh juga menjadi kering dan kualiti airnya hanya sesuai untuk kegunaan pertanian dan bukan untuk kegunaan minuman. Dilaosai berhampiran terdapat telaga tiub yang mempunyai kedalaman 60.9 hingga 91.4m dan kemampuan bekalan air bawah tanah boleh mencapai hingga 10 hektar. Telaga tiub jenis ini boleh membekalkan air sekitar 150 - 200 liter seminit. Kualiti airnya berpotensi untuk kegunaan domestik dengan anggaran kos membina telaga tiub itu boleh mencecah RM150,000 seunit. Dilaporkan sehingga beberapa tahun kemudian telaga tiub ini terus berfungsi dengan baik.

Dilaporkan media dimana fakta 'Manfaat air bawah tanah sebagai sumber alternatif' dilaporkan oleh Bernama. Isu pencemaran air bukan baharu dalam kehidupan terutama bagi pengguna semakin bosan dan letih dengan isu yang seolah-olah tiada noktah. Loji rawatan air kerap kali terjejas apabila sumber air permukaan dirawat tercemar dan berbau busuk. Sebenarnya dalam bidang geologi, penggunaan sumber air bawah tanah antara penyelesaian masalah pencemaran sumber air permukaan. Sumber lebih selamat dan kurang berisiko tercemar ini dapat membekalkan air sangat diperlukan ketika kemarau. Walaupun air permukaan mengalami penyusutan ketika kemarau, sumber air bawah tanah masih boleh dieksploitasi dengan menggunakan sistem telaga digali pada kedalaman hingga lapisan akuifer. Telaga air tanah yang dikorek untuk mengeluarkan air bawah tanah bukanlah perigi yang biasa kita jumpa di kampung. Perigi ialah lubang yang tidak dalam dan hanya dipenuhi oleh air dari lapisan yang cetek sahaja. Secara geologinya, air ini berasal daripada lapisan akuifer bebas (unconfined aquifer). Akuifer ialah ruang di mana air boleh berkumpul, biasanya lapisan batu pasir atau batu lain yang poros. Air dalam akuifer bebas ini biasanya ia tidak terkurung dan ia boleh mengalir atau menyusup secara bebas. Bila berlaku kemarau biasanya air ini mudah kering. Telaga air tanah yang biasanya dipanggil telaga tiub pula mampu mengeluarkan air dari akuifer tidak bebas (confined aquifer) pada kedalaman biasanya antara 30 hingga 70 kaki. Air dalam akuifer tidak bebas ini terperangkap di antara lapisan batuan keras di bahagian atas dan bawahnya. Air tanah ini tahan lama (tidak kering) dan biasanya dibotolkan sebagai air mineral semulajadi. Air tanah lebih bersih, jernih dan tidak tercemar berbanding air perigi. Kesimpulannya dimana telaga tiub bukan boleh korek semberono di mana-mana pakai cangkul ataupun back-hoe sahaja akan tetapi memerlukan kajian terperinci di kawasan tertentu serta menggunakan kaedah penggerudian oleh pakar. Selain dari kegunaan aktiviti harian, sumber air bawah tanah ditemui dalam sistem retakan batuan dieksploitasi untuk industri air mineral. Sumber air bawah tanah ditemui di kawasan gambut pula digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memadamkan api. Kebakaran di kawasan gambut sering berlaku pada musim kering dan memberikan impak buruk kepada kesihatan, sekali gus menjejaskan tahap kualiti udara. Dalam konteks ini, ahli geologi dan geofizik menyumbang ilmu dan kepakaran dalam menentukan lokasi sumber air bawah tanah. Imej satelit dan foto udara digunakan geosaintis dalam bidang sistem informasi geografi (GIS) untuk mencari zon berpotensi mengandungi sumber air bawah tanah. Kewujudan air dalam sistem retakan batuan biasanya lebih berkualiti dan menjadi sasaran pengusaha kilang air mineral. 

Air dalam batuan biasanya dijumpai hasil penyiasatan geofizik bawah permukaan secara terperinci dan kedalamannya melebihi 500 meter. Sumber air ini sangat bernilai dan susah untuk tercemar disebabkan wujudnya penapis semula jadi dan jauh di dalam bumi. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia saban tahun menjalankan kerja penggerudian telaga tiub bagi membantu pelbagai pihak dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. Pelbagai pihak mendapat manfaat seperti sekolah, balai raya, kawasan pertanian dan institusi awam. Langkah jabatan ini menyediakan garis panduan kepada orang ramai bagi tujuan pembinaan telaga tiub untuk aktiviti pengekstrakan air tepat pada masanya. Bagi Kelantan umpamanya dimana penggunaan telaga tiub atau dipanggil telaga boring amat meluas. Tahap penggunaan telaga tiub bagi mendapatkan air bawah tanah semakin mendapat perhatian ramai pihak. Di sinilah peranan ahli hidrogeologi dalam memastikan cara kesesuaian tahap penggunaan sumber air bawah tanah agar berada pada tahap optimum.  Nasihat dan buah fikiran mereka perlu dirujuk bagi tujuan memastikan tiada isu berbangkit seperti jarak zon penampan bagi telaga dibina dan kesan aktiviti manusia kepada kitaran hidrologi tidak terjejas. Pengusaha kilang seperti kilang sarung tangan dan industri getah memerlukan sumber air dalam kuantiti banyak. Bayangkan betapa terjejasnya perniagaan pengusaha terbabit apabila sumber air permukaan tercemar dan tidak dapat digunakan.  Penggunaan sumber air bawah tanah perlu ditingkatkan bagi menyokong keperluan bekalan air bersih. Pelbagai peraturan dan undang-undang digubal bagi memastikan pengguna melaporkan aktiviti pengepaman sumber air bawah tanah agar aktiviti abstraksi sumber air bawah tanah terkawal dan tidak menjejaskan alam sekitar. Antara undang-undangnya, Akta Penyiasatan Kaji Bumi 1974 di bawah Seksyen 13 dan Enakmen Air Negeri. Pembinaan telaga tiub lebih daripada 4.5 juta liter per hari pula memerlukan Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA). Peranan semua pihak dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih terutama sumber air permukaan amat penting. Namun, ia memerlukan pandangan ahli geologi dalam bidang hidrogeologi untuk membantu negara dalam memberikan alternatif penggunaan air bawah tanah. 

Dalam portal berita Sinar Harian melaporkan '
Telaga tiub 'penyelamat' musim kemarau' yang terjadi di Pulau Langkawi menarik dikongsikan. Penduduk di Pekan Kuah di sini mengambil inisiatif membina dua telaga tiub sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air. Bagi penduduk, Baharom Mustafa, 65, berkata dimana kedua-dua telaga tiub itu dibina dengan kos bernilai RM2,000 setiap satu dan mengambil masa hampir satu hari untuk disiapkan.  Penduduk kampung bergotong-royong menggali telaga berkenaan secara manual sebelum mengupah orang untuk kerja-kerja pendawaian. Telaga tiub sedalam 30 kaki itu menggunakan pam air yang dijana sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik. Idea membina telaga tiub itu tercetus sejak dua minggu lalu berikutan kadar caj penggunaan air penduduk meningkat setiap kali musim panas. Daripada berbelanja lebih untuk membayar bil air, lebih baik dimanfaatkan sumber air bawah tanah yang tidak pernah kering biarpun ketika kemarau. Air dari telaga tiub jernih walaupun dari sumber bawah tanah. Baharom yang juga pesara penolong akauntan kanan berkata, telaga tiub yang dibina itu banyak membantu penduduk menjalani urusan harian terutama yang menghadapi masalah bekalan air. Katanya, terdapat beberapa kawasan di sekitar Kuah menghadapi masalah bekalan air ekoran daripada angin monsun timur yang berlarutan. Lima minit pertama selepas telaga dibina air akan dialirkan ke dalam longkang kerana keruh. Pun begitu kualiti air tidak berbau tanah dan apabila jernih maka barulah diisi ke dalam tangki untuk kegunaan harian penduduk. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TELAGA TIUB... SANGAT BERGUNA...
BOLEH DIBUAT... CARI LOKASINYA....
KOS MEMBUAT... IKUT MODELNYA....
MUSIM KEMARAU...BARU NIKMATINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(26 Rabiulawal 1443H).
Posted from:
Room 314, mboutique Hotel, 
Jln Hala Datuk 5, Ipoh,
Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.