Tuesday, November 30, 2021

MINUMAN JUS BATANG PISANG

JUS DARI BATANG PISANG?
. Pasti bunyinya agak pelik bagi sesiapa yang kali pertama mendengarnya. Pokok pisang terdiri daripada beberapa komponen semasa pertumbuhannya dimana komponen ini mempunyai fungsi yang berlainan. Komponen pertama adalah akar pokok pisang yang terdiri daripada akar serabut yang berada didalam tanah. Fungsinya adalah untuk mempastikan pokok pisang berdiri teguh diatas permukaan tanah dimana akar memegang kuat sehingga pokok tidak tumbang. Akar juga berfungsi sebagai organ yang menyerap nutrien dan air untuk proses fotosintesis pada daunnya. Komponen kedua adalah batang pisang yang merupakan jenis pseudostem dimana mengandungi banyak air didalamnya. Batang pisang pula mengandungi bahagian tengah yang dipanggil 'empulur' yang selalu dimakan didalam penyediaan gulai batang pisang dengan daging. Kulit luar batang pisang ada yang diproses menjadi kerepik kulit batang pisang. Daun pisang pula berada dibahagian atas pokok dengan berwarna hijau yang menjalankan proses fotosintesis setelah mendapat nutrien, air, cahaya matahari dan oksijen. Daun pisang meluas digunakan sebagai pembungkus makanan seperti nasi lemak, pembungkus kuih mueh dan sebagainya. Jantung Pisang (banana flower) pula memang enak dimakan sebagai ulaman dan bunganya yang boleh dikeringkan untuk ramuan sayuran. Buah pisang merupakan hasil terpenting pada pokok pisang sama ada untuk dimakan segar atau diproses menjadi makanan lain. Kegunaan buah pisang yang berkhasiat memang telah diketahui kerana ia mengandungi banyak tenaga dan mineral serta vitamin sehinggakan para ahli sukan akan makan buah pisang semasa perlawanan berlangsung. Bagaimana pun artikel kali ini agak berlainan kerana akan diketengahkan 'jus batang pisang' yang jarang didapati dalam mana-mana penulisan di Malaysia. Artikel petang Isnin ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai kepentingan jus batang pisang dan manafaatnya untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Penulis blog agak lama juga untuk berfikir bagaimana untuk mencari kaedah terbaik dalam mendapatkan jus dari batang pisang sebelum menulis artikel ini. Pokok pisang mempunyai batang yang lembut dan didalamnya menang ada banyak air. Bagaimana pun air tersebut agak sukar untuk dikumpulkan secara semulajadi atau tulen jika menebuk batangnya begitu sahaja. Oleh itu perlu ada cara menyediakan jus batang pisang secara lebih praktikal. Rupa-rupanya dalam beberpa jurnal dan laporan kajian ada beberapa kaedah mendapatkan jus batang pisang. Penulis blog mendapati antara kaedah paling mudah dan praktikan menyediakan jus batang pisang adalah dengan mengambil batang pisang segar dan dipotong mengikut kesesuaian sebelumdirendam di
dalam air selama satu jam untuk melembutkannya. Keratan batang pisang tersebut kemudian dihancurkan sehingga lumat dengan cara mengisarnya didalam mesin pengisar (blender). Kisar sehingga halus dan kemudian ia perlu ditapis airnya dengan menggunakan saringan atau penapis yang sangat halus. Tadah titisan jus batang pisang didalam bekas atau gelas dimana akan dilihat cecair yang berwarna pucat agak kekuningan atau kelam didalam gelas. Warna jus ini biasanya bergantung kepada varieti batang pisang digunakan dan juga jika berlaku proses oksidasi akibat ianya agak lama terdedah diudara. Pastikan cecair jus ini dipisahkan dari seratnya semasa menyaring. Cara mudah meminumnya adalah dengan menambah perahan limau nipis dan tambah sedikit gula serta garam makan untuk menambah citarasanya diminum secara tradisional. Ia boleh dimium terus begitu sahaja atau ada yang suka memasukkan kedala peti sejuk didinginkan untuk rasa lebih lazat. Bagaimana pun terdaat banyak resepi disediakan didalam menjadikan jus batang pisang sebagai air minuman menarik diujirasa. Antaranya jus batang pisang dicampur mentega, susu, coklat, perisa buah-buahan dan banyak lagi kombinasi. 

Diberitakan dimana batang pokok pisang juga boleh ianya digunakan sebagai ramuan ubat semulajadi untuk merawat atau mencegah beberapa penyakit berbahaya seperti penyakit batu dalam buah pinggang (ginjal), mengawal tekanan darah, mengubati masaalah gastrik dan dilaporkan mampu untuk penurunan berat badan. Terdapat produk komersil jus batang pisang di keluarkan di India yang dibungkus didalam tetrapack sama seperti minuman kesihatan lain (Sila lihat foto di sebelah). Penulis blog sehingga kini masih belum lagi menjumpai produk seumpamanya dipasaran runcit di Malaysia. Jus batang pisang ini dilaporkan mampu melakukan detoksifikasi (detox) dan pencernaan serta membantu untuk mengeluarkan racun dari dalam tubuh. Ia juga adalah sejanis cecair asli yang sangat efektif untuk membersihkan sistem pencernaan yang selalunya menyebabkan punca penyakit. Apa yang penting juga dilaporkan ju ini akan membantu melancarkan proses buang air besar kerana ada bahan serat yang  mana ia baik untuk usus manusia. Di negara jiran dilaporkan jus batang pisang yang dicampur dengan biji buah keras atau kapulaga akan melancarkan kencing dan juga mencegah penyakit buah pinggang pengamalnya. Kegunaan lain jus ini adalah dimana ia boleh diminum dengan campuran air limau nipis dimana didakwa mencegah pembentukkan batu karang pada ginjal. Cara ini juga membantu menghilangkan rasa sakit dan ketidakselesaan yang disebabkan masaalah saluran kencing. Jus batang pisang yang mengandungi serat juga membantu melambatkan pelepasan gula dan lemak dalam sel-sel tubuh manusia. Ia seterusnya didakwa kan dapat meningkatkan kadar metabolisme tubuh dan kandungan kalorinya juga tidak akan membuat berat badan menjadi obesiti. Dilaporkan juga dimana jus batang pisang akan membantu mengawal kolesterol dan tekanan darah. Ini kerana ia kaya dengan vitamin B6 dan zat besi (Fe) yang dapat meningkatkan jumlah hemglobin dalam darah. Selain itu juga didakwa minuman ini juga yang kaya dengan Kalium (K) adalah amat berkesan mengawal kolesterol dan tekanan darah tinggi. Jus ini juga menyembuhkan masaalah gastrik kepada pengidapnya. Ia akan menyeimbangkan kadar kandungan asid didalam perut pesakit dengan menghilangkan rasa pedih perut atau rasa terbakar. Jus batang pisang dilaporkan meraway anemia (kekurangan sel darah merah).

Kalangan mereka yang mengamalkan minum jus batang pisang secara rutin kerana dibeberapa negaraAsia seperti di 
India, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand memang dilaporkan batang dan bunga pisang boleh dimasak dan akan dimakan. Gulai daging batang pisang merupakan resepi yang sangat popular dibeberapa negeri utara Semenanjung Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Batang pokok pisang hasil kajian makmal dilaporkan mengandungi banyak nutrisi seperti tanin, gula, vitamin A, vitamin B, vitamin C, saponin, kalium, serotonin, hidrokitiptamin dan neropinefrin. Beberapa laporan menyatakan di USA jus ini dijual dengan harga mahal. Dari laporan tersebut dinyatakan jus batang pisang pernah dijual di Hornbill Asian Market, USA pada harga USD5.95 (RM25.20) sekilogram yang mana harga tersebut hampir menyamai denga sekilo daging lembu segar. Kalangan pengguna di USA dilaporkan memang sudah mempercayai dari dulu jika batang pisang boleh dijadikan sebagai ubat ramuan yang mampu untuk merawat pelbagai penyakit berbahaya hingga boleh dijadikan minuman atau makanan yang lazat. Mereka tahu dengan dakwaan jus batang pisang mampu mengeluarkan racun atau toksin yang ada pada tubuh dan juga mampu untuk membersihkan sistem pencernaan. Jus ini juga disahkan memang boleh membantu memlancarkan buang air besar kesan kandungan bahan serat baik untuk usus manusia. Ada kemungkinan jika ada pengusaha tempatan yang membaca artikel ini untuk menjadikan bisnes membuat jus batang pisang sebagai satu sumber pendapatan baru di Malaysia. Batang pisang memang banyak tredapat di Malaysia dan lazimnya tidak digunakan secara optima. Pihak tertentu seperti MARDI dan Universiti boleh melakukan penyelidikan mengenai bagaimana untuk mendapatkan jua batang pisang secara komersil, menentukan varieti pisang terbaik, umur pokok pisang dan sebagainya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pemnava blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
BATANG PISANG... DIBUANG SAHAJA...
DI PERAH JUSNYA... ADA KHASIATNYA...
DICAMPUR PERISA... ENAK RASANYA...
PENYEMBUH PENYAKIT... KENA CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(22 Rabiulakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.