Tuesday, October 26, 2021

PENYAKIT LAYU BAKTERIA PISANG - PENCERAHAN!

PENYAKIT LAYU BAKTERIA PISANG
 atau
Blood Disease Bacterium (BDB) pertama kali dilaporkan pada tahun 1906 di Kepulauan Saleiran, Sulawesi, Indonesia. Foto diatas menunjukkan dimana buah pisang yang diserang dilihat dari luarnya cantik dan normal akan tetapi apabia dipotong isinya dilihat membusuk, berwarna kuning kemerahan dan mereput. Pokok pisang nipah diantara varieti yang paling meluas diserang penyakit moko diperingkat awal serangan. Jangkitan bakteria ini dilaporkan menjadi serius pada tahun 1916 sehingga ada kawasan tanaman tersebut terpaksa petani meninggalkannya kosong. Pada awal tahun 1920 pula dilaporkan penyakit ini mula tersebar ke selatan Sulawesi pula dan menjangkiti kultivar pisang Kepok iaitu pisang tempatan dan juga beberapa spesies pisang liar. Ketika itu didapati bakteria ini dikenali sebagai Pseudomonas celebensis dan kemudian dikenal pasti sebagai spesies Xanthomonas. Laporan terkini mengesahkan patogen ini merupakan salah satu strain dalam bakteria yang kompleks spesies Ralstonia solanacearum akan tetapi berbeza fitotip berbanding dengan patogen penyebab penyakit Moko. Simptom penyakit ini kelihatan seakan-akan simptom penyakit Moko akan tetapi perumahnya terhad pada tanaman pisang sahaja dan tidak menyerang tanaman lain seperti tanaman Solanaceae yang mana ia boleh diserang oleh penyakit Moko. Penyakit yang pada awalnya terhad pada beberapa daerah di Indonesia kini dilaporkan mula tersebar ke kawasan lain. Di Malaysia Jabatan Pertanian melaporkan dimana penyakit ini telah tersebar luas di negeri Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Sarawak. Simptom penyakit Penyakit darah pisang (BDB) menunjukkan simptom yang sama dengan penyakit Moko. Simptomnya adalah layu yang bermula dari pucuk apabila daun-daun muda akan menunjukkan simptom kekuningan dan pucat, bergulung, nekrotik dan mengering. Akhirnya didapati sulur akan menjadi layu dan mati. Buah pisang yang diserang pada peringkat awal tumbesaran akan terencat, masak awal dan reput. Walaupun buah yang dihasilkan kelihatan normal di bahagian luar, tetapi apabila dipotong isinya kelihatan membusuk, berwarna kuning kemerahan dan mereput. Tangkai buah pula berubah warna, bunga jantan iaitu jantung pisang menjadi busuk, berair dan rosak. Tisu vaskular akan kelihatan membusuk kehitaman dan apabila batang pokok dipotong secara merentas, terdapat jalur-jalur merah keperangan dikesan pada tisu vaskular. Sekiranya direndam di dalam air, batang pokok pisang yang dijangkiti akan mengeluarkan cecair putih atau 'ooze' yang kelihatan seperti susu. Pokok yang diserang akhirnya akan layu dan mati. Sebaran penyakit ini boleh berlaku pada pisang yang ditanam di kawasan yang sumber tanah dan airnya tercemar dengan bakteria ini. Jangkitan juga boleh berlaku melalui alat atau jentera-jentera pertanian dan melalui serangga yang hinggap pada bunga jantan yang telah dijangkiti penyakit yang kemudian hinggap pula pada bunga tanaman pisang yang lain. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan mengenai penyakit moko pisang sebagai satu ancaman kepada industri pinang di Malaysia untk dijadikan bahan rujukkan semua.

Agen penyebab penyakit penyakit layu bakteria pada pisang di Malaysia dikenali sebagai Blood Disease Bacterium (BDB). Bakteria ini tergolong sebagai agak kompleks spesies Ralstonia solanacearum Filotip IV kerana wujud hubungannya yang rapat dengan spesies lain seperti Ralstonia solanacearum dan Ralstonia syzygii. Koloni bakteria ini berbentuk bulat tetapi tidak sekata, garis pusatnya kurang daripada 5 mm, melekit, berwarna merah di tengah dan putih di sekelilingnya apabila dipencilkan di atas medium Tripheny tetrazolium chloride (TZC) dengan jelas dapat diliha (Sila lihat foto disebelah). Bakteria BDB ini menjangkiti tanaman pisang sahaja dan tidak menjangkiti tanaman keluarga Solanaceae yang lain seperti bakteria penyakit Moko. Bakteria BDB ini juga didapati boleh menjangkiti spesies bunga Heliconia akan tetapi dilaporkan ia tidak menunjukkan simptom. Bagaimana pun kaedah dalam pencegahan Patogen penyakit BDB ini dikenal pasti boleh disebar oleh serangga yang hinggap pada bunga jantan iaitu pada jantung pisang yang berpenyakit. Kebolehannya untuk berada di dalam tanah sehingga 24 bulan juga didakwa akan mendatangkan risiko pada tanaman pisang. Bakteria ini juga didapati boleh tersebar secara mekanikal dimana contohnya melalui peralatan pertanian tercemar yang digunakan. Sehingga kini memang tiada lagi kaedah kawalan kimia atau biologi berjaya dibangunkan untuk mengawal akan penyakit ini. Walau bagaimanapun, melalui amalan pertanian baik (Good Agriculture Practice - GAP) dilaporkan penyakit ini dapat dibendung penyebarannya daripada terus merebak ke kawasan lain. Antara kaedah-kaedah pencegahan yang boleh dilakukan adalah seperti amalan penggunaan bahan tanaman bebas penyakit, sering mensanitasi atau menyahkuman semua peralatan pertanian yang digunakan dan juga cara memusnahkan dengan segera pokok-pokok berpenyakit. Cara lain sesuai dilakukan dengan mengamalkan amalan giliran tanaman lain di tapak yang sama, membungkus buah bagi mengelak jangkitan daripada serangga (tebuan, semut, langau dsb) yang mengerumuni buah serta membuang bunga jantan iaitu jantung pisang bagi mengelak jangkitan oleh serangga. Seterusnya amalan seperti menyembur racun serangga, sering membuang rumput rampai di ladang bagi menghalang serangga yang tercemar berlindung pada rumpai dan dikhuatiri rumpai juga boleh menjadi perumah gantian bagi bakteria BDB Kesimpulan.

Dalam pada itu penulis blog yang pernah terlibat dalam pembasmian dan kutipan data mengengenai penyakit ini mendapati memang sukar untuk petani mengenali simptomnya diperingkat awal. Ini kerana berdasarkan beberapa kajian yang telah dijalankan terhadap agen penyebab penyakit layu bakteria pada pisang, adalah disahkan bahawa agen penyebab penyakit tersebut ialah Blood Disease Bacterium dan bukannya Ralstonia solanacearum iaitu bakteria penyebab penyakit Moko. Pengesahan terhadap pengenalpastian agen penyebab ini penting bagi merangka strategi pengurusan penyakit yang berkesan. Mengikut info yang saya kutip dari Jabatan dan penulisan blog saya sendiri memang tanaman pisang ialah tanaman buah-buahan popular yang ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan eksport. Keluasan penanaman pisang direkod seluas 26,274 hektar pada tahun 2020 dengan penghasilan sebanyak 370,060 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2020). Negeri Johor masih kekal sebagai paling banyak menanam pisang seluas 7,612 hektar (telah menghasilkan sebanyak 115,358 mt) diikuti dengan Sabah (3,270 ha) dan Pahang (2,541 ha).  Di Malaysia kedua-dua kumpulan pisang untuk ‘makan segar’ dan ‘pisang untuk diproses’ ditanam hampir di seluruh negeri. Antara jenis-jenis pisang dalam kumpulan ‘untuk diproses’ yang ditanam ialah termasuk jenis pisang Nangka, pisang Nipah, pisang Tanduk, pisang Raja Lang dan pisang Awak, Sementara itu pisang dalam kumpulan ‘makan segar’ pula ialah pisang Berangan, Pisang Cavendish, Pisang Rastali dan Pisang Mas. Pada masa ini hampir 50% daripada keluasan tanaman pisang di negara ini ditanam dengan pisang Berangan dan Cavendish. Sejak serangan penyakit layu bakteria mula menyerang tanaman pisang pada tahun 2007 di Johor seperti yang pernah dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dimana hampir 61% kawasan pisang dilaporkan telah dijangkiti dengan penyakit ini. Semasa mula dikesan dimana penulis blog masih bertugas di Negeri Johor mendapati dimana penyakit layu bakteria ini dikenali sebagai penyakit Moko dengan agen penyebabnya ialah Ralstonia solanacearum. Kajian pengenalpastian yang dijalankan ke atas penyakit ini mendapati penyakit layu bakteria pada pisang di negara ini bukan disebabkan oleh penyakit Moko akan tetapi disebabkan oleh penyakit darah pada pisang yang disebabkan oleh Blood Disease Bacterium (BDB). Pencerahan ini pernah dibentangkan oleh pihak MARDI melalui beberapa seminar dan penulisan hasil kajian mereka.

Portal berita hmetro.com dengan tajuk berita 'Ancaman moko' dari kebun di Masjid Tanah, Melaka menarik dikongsikan. Foto menunjukkan dimana penyalit layu bakteria atau moko telah dikesan menyerang hasil tanaman pisang kebanyakan petani di sekitar Masjid Tanah. Petani yang telah lama juga mengusahakan tanaman pisang nangka, nipah dan berangan mendakwa kerugian selepas mendapati hasil tanaman mereka rosak akibat diserang penyakit itu sejak setahun lalu. Ancaman penyakit tersebut bertambah serius pada musim kemarau sejak Januari 2019 dimana akibat kekurangan air menyebabkan bakteria terbabit merebak dengan lebih cepat. Bagi penanam pisang iaitu Mohd Tamin (berumur 64 tahun) yang mengusahakan kebun seluas 1.2 hektar dengan tanaman pisang, nanas, cempedak, durian, limau nipis, rambutan dan nangka tidak terkecuali daripada mengalami serangan moko. Sejak setahun lalu dia laporkan tanaman pisang nangka, nipah dan berangan musnah akibat penyakit itu dan saya mengambil langkah memindahkan anak pisang yang sudah direndam dalam racun dan bahan peluntur ke kebun lain tetapi tetap tidak menjadi. Dia mendakwa selain bahagian dalam batang pisang yang  membusuk dan menjadi hitam berlaku kesan sama didapati pada buah pisang apabila bahagian dalamnya berwarna hitam menunjukkan ia sudah rosak. Kebun pisangnya terletak di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah mendapati pisang lang dan tanduk mempunyai daya tahan penyakit yang lebih baik berbanding pisang nangka, nipah dan berangan. Namun begitu kedua-dua pisang itu menghadapi masalah batang pokok mudah patah akibat kekurangan air pada musim kemarau. Dia yang berjaya  mengusahakan kebun berkenaan sejak lima tahun lalu mendapati penyakit berkenaan tidak mudah untuk diatasi dengan penggunaan racun atau baja dimana ini sekali gus menyebabkan pokok yang sudah dihinggapi dengan penyakit terpaksa dimusnahkan (Penulis blog rasa macam serangan virus corona covid19 yang berlaku keada manusia). Jabatan Pertanian Melaka menyatakan dimana penyakit Moko berpunca daripada jangkitan bakteria Ralstonia solanacearum yang ada dalam tanah dan boleh hidup antara dua hingga tiga tahun. Masaalah serangan seakan Moko ini adalah penyakit berbahaya bagi pokok pisang dan setakat ini tiada rawatan khusus yang mampu mengubati jangkitan penyakit itu. Semua petani diminta memusnahkan semua pokok dijangkiti dan melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan tidak menanam pisang selama beberapa tahun. Kebun yang diserang BDB juga perlu dikuarantin selama 18 hingga 24 bulan bagi mengurangkan pertumbuhan bakteria dalam tanah. Dia beritahu dimana pokok pisang yang ditanam pada mulanya nampak sihat dan subur tetapi ia tiba-tina bahagian daunnya berubah menjadi warna kuning dan batang mereput.

Dalam pada itu penulis blog juga sering ada ditanya dan masih terus memberikan khidmat nasehat kepada pekebun pisang bagaimana kaedah kawalan dan kaedah pencegahan penyakit BDB ini. Pertama sekali sebaiknya dibuang semua daun pokok pisang dan kalau masih ada lag jangkitan disyorkan agar pokok tersebut mesti ditebang paras perdu dan buang jauh dari kawasan kebun pisang. Disyorkan juga untuk disembur dengan racun kulat dan menabur garam kasar dimana jika ada yang tumbuh baru keluar lazimnya akan sihat hendaknya. Dilaporkan juga dimana virus moko ini macam serangan virus covid19 kerana setakat ini belum ada rawatan khusus untuk penyakit ini. Sejak lama dikenalpasti serangan penyakit ini dimana cara paling selamat adalah TEBANG dan BAKAR sahaja pokok yang dijangkiti. Walau pun kalangan pekebun ada yang cakap kena tabur dengan garam kasar atau menyembur clorox atau sembur racun anti kulat apa pun sehingga artikel ini siap ditulis diposting pada Oktober 2021 belum ada cara berkesan menghapuskan virus ini. Cara seterusnya adalah dengan menyediakan sistem perparitan yang baik dalam kebun pisang untuk mengelakkan dari air bertakung kerana kulat suka bersarang di tempat yang lembap. Bagaimana pun merujuk kepada jurnal penyelidikan yang dilakukan di Filipina dimana pH tanah perlu di naikkan kepada pH7 sebab kalau tanah dikawasan pokok pisang ini berasid maka pokok pisang akan lebih mudah diserang penyakit. Terbaik amalan dimana sebelum pekebun pisang menanam pisang perlu mengelakkan mengambil anak benih pisang dari pokok induk yang pernah diserang penyakit BDB ini. Penyelidikkan dan pemerhatian juga mendapati dimana benih pisang yang diambil dari pokok induk dari kawasan tersebut memang berpotensi akan di jangkiti kerana virus ini boleh bertahan lama pada tanah dan akar. Penyakit BDB memang memberikan ancaman kepada industri pisang negara walau pun terkini dilaporkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia bahawa kadar serangan penyakit BDB di Malaysia semakin kurang mengancam berbanding masa dahulu dan petani semakin kurang melaporkan insiden ini. Semuga artikel ini memberikan satu pencerahan yang lebih berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
PENYAKIT BDB... MOKO LAIN JUGA...
POKOK ROSAK... MATI AKHIRNYA...
SUKAR DI KAWAL... MYGAP CARA...
BACA ARTIKEL... INFO DITERIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(19 Rabiulawal 1443H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.