Friday, August 13, 2021

TANAMAN KANTAN - MENGUNTUNGKAN!

MENANAM POKOK KANTAN
(Phaeomeria speciosa) atau jenis lain (Erlingera elator Jack) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Zingiberaceae sama seperti tanaman halia, lengkuas dan dari jenis pokok Herba. Bunga kantan kini merupakan ulam yang penting dalam masakan Tradisional Melayu semenjak dulu kala. Pokok kantan dipercayai berasal dari Malaysia terutama tumbuh meliar di kawasan tanah lembab. Antara negeri yang mengusahakan tanaman kantan di Malaysia ialah di Johor, Perak, Pahang, Kelantan, Selangor dan Terengganu dengan keluasan kira-kira 180 hektar pada tahun 2020. Terdapat beberapa usahawan di Batu Pahat yang menanam kantan secara Komersial terutama untuk bekalan tempatan dan diekspot ke Singapura. Penulis pernah menemui usahawan tersebut semasa lawatan ke Ladang Kantan dan membuat tinjauan teknologi dikebun tersebut. Bunga Kantan di gunakan dalam masakan seperti asam pedas, kuah laksa asam, ulam nasi kerabu dan ramuan dalam sambal. Beberapa kegunaan lain seperti untuk tujuan perubatan tradisional. Kantan mengandungi pelbagai unsur khasiat seperti zat Protein, Vitamins dan serat. Pokok kantan mempunyai akar serabut dimana daunnya lurus dan berupih. Bunga kantan biasanya berwarna merah jambu yang kemerahan dimana bunga jantan dan betina terdapat pada satu bunga. Setiap jambak mempunyai 240- 345 kuntum bunga tersusun melingkari jambak bunga. Buah kantan bersegi mempunyai 3-5 segi seperti berlian yang selalu mengandungi 150-180 biji benih. Pokok kantan sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah dan elakkan kawasan yang bertakung air. Di Malaysia belum ada kultivar yang di kenalpasti tetapi penulis dapati kebanyakkannya Kultivar Tempatan. Penanaman pokok kantan menggunakan benih dari Rizom atau dari biji benih. Penggunaan benih rizom lebih popular kerana mudah serta menjadi pilihan petani. Kaedah ini lebih cepat berhasil sedangkan biji benih lama untuk berhasil ( 2 tahun). Rizom kantan di cangkul dari perdu pokok induk. Pastikan ada 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk proses pertumbuhan. 
Artikel subuh ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai potensi tanaman kantan seperti yang dilaporkan media tempatan yang menguntungkan sekadar menambah ilmu pengetahuan kepada pembaca semua.

Media Utusan dengan rencana bertajuk "
Bunga penyedap masakan" menarik dikongsikan laporannya. Biasanya bunga  kantan dihasilkan dan selalu dipasarkan tanpa semburan sebarang racun berbahaya. Pada hari biasa, harga sebatang bunga kantan di pasaran adalah sekitar RM1.50 hingga RM2 sebatang,  namun menjelang musim perayaan harganya boleh melebihi RM5 sebatang.  Bunga kantan sememangnya menjadi buruan ramai kerana selain menjadi ramuan penting dalam pelbagai jenis masakan, ia juga boleh dimakan segar sebagai ulam terutama dalam menu nasi kerabu. Sesuai dengan harganya yang boleh tahan, sayur itu bukannya mudah untuk diperoleh kerana penanamannya memakan masa hampir dua tahun. Seorang petani bunga kantan dari Bangi, Selangor, Saqdam Zaim Arffain berumur 29 tahun mendakwa meskipun tanaman itu mudah dijaga masih tidak ramai yang sanggup masuk kebun bagi mengusahakannya lantaran tempoh yang memang lama untuk mendapatkan hasilnya (Sila lihat foto disebelah). Secara keseluruhan, tanaman kantan mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum ia mula berbunga dan boleh dipetik.  Cara penanamannya juga mudah iaitu melalui rizom yang diambil daripada pokok kantan yang sudah matang dan ia menghasilkan bunga. Cara pengambilan rizom daripada pokok tidak matang kurang digalakkan kerana ia boleh menyebabkan tumbesaran kurang menggalakkan. Rizom biasanya daripada pokok bunga kantan yang sudah matang dan menghasilkan bunga. Rizom yang dicantas batangnya boleh ditanam di dalam tanah gambut yang lembap dan dekat dengan mata air. Jika tanah berpasir, tanah liat mahupun tanah berpaya tidak sesuai untuk penanaman pokok bunga kantan dimana ia sebaiknya sesuai ditanam berhampiran sumber air. Rizom yang baru ditanam perlu disiram sekali sehari bagi memastikan keperluan pokok mencukupi untuk mengeluarkan anak pokok baharu dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Selepas empat minggu, ia sudah boleh bergantung kepada cuaca dan penyiraman perlu dikurangkan. Baja NPK yang tinggi kandungan nitrogen juga boleh diberi bagi menggalakkan tumbesaran pokok dan menjaga kandungan klorofil dalam daun.  Ibu rizom (batang yang sudah tua) boleh dipotong bagi membolehkan anak pokok mendapat nutrien secukupnya. Dalam tempoh empat hingga enam bulan, biasanya ia akan mengeluarkan lebih banyak anak pokok dan apabila mencapai usia satu tahun, tingginya sudah mencecah antara lapan hingga 10 kaki. Dalam tempoh dua tahun, tingginya akan mencecah 16 hingga 20 kaki dimana ia mula mengeluarkan bunga di celahan batang pokok. Dalam serumpun, ia memiliki antara 10 hingga 15 batang pokok dan sebatang pokok kantan matang boleh menghasilkan antara satu hingga dua batang bunga.  Bunga kantan akan membesar dan berubah warna dalam tempoh empat hingga tujuh hari dan boleh dipetik sebelum ia kembang. Secara purata, bunga kantan boleh dipetik dalam tempoh empat hingga lima hari sekali. Bunga kantan yang sudah kembang tidak boleh dijual dan ia biasanya akan dibiarkan begitu sahaja di pokok. Dia yang juga bekas cef kilang itu berkata, penjagaan pokok kantan sememangnya mudah kerana ia sukar diserang penyakit atau serangga perosak kerana baunya tidak disenangi. Pada masa sama perlu juga waspada serangan kulat dalam tanah yang tidak kelihatan secara luaran. Tanaman itu juga tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi dan semua orang berminat boleh mengusahakannya. Dia hanya bermula dengan 300 rumpun pokok kantan pertama dan kini ia berkembang kepada lebih 800 rumpun dalam tempoh hampir empat tahun. Untuk 300 rumpun pertama dahulu, ia mampu memberi pendapatan kira-kira RM3,000 sebulanPokok kantan boleh dibaratkan sebagai sekali sahaja bersusah payah menanam, tetapi hasilnya berpanjangan. Apa-apa pun jika berbudi pada tanah memang ada hasilnya dimana dia tidak menggunakan sebarang racun kimia untuk tanamannya. Dia memasarkan hasil tanaman berkenaan secara terus kepada pengusaha restoran dan kedai runcit sekitar Bangi dan Dengkil. Ia sememangnya laris kerana orang ramai tertarik dengan kesegaran bunga kantan selain kaedah stay cara penanamannya yang tidak menggunakan racun berbahaya.

Kisah dari Harian Metro bertajuk '
Bunga kantan untung besar' juga menarik untuk dirujuk. Berdasarkan pendapat berbudi pada tanah, pasti dapat hasilnya dan peribahasa jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pepatah itu dibuktikan seorang petani iaitu Ahmad Mustafa Yunus berumur 57 tahun yang terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan secara komersial (Sila lihat foto disebelah). Kebun berkenaan diusahakannya di kawasan seluas dua hektar di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang. Penulis blog pernah membuat tinjauan ke lokasi semasa bertugas sebagai Pengarah Pertanian Negeri Pahang. Kini terdapat 1,000 rumpun pokok berkenaan yang tumbuh subur hingga mencapai ketinggian dua meter dan ini membabitkan tiga jenis iaitu bunga berwarna merah, putih dan merah jambu. Dia mula terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan 20 tahun lalu. Usaha itu hasil sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyediakan modal permulaan, selain benih. Aktiviti memungut bunga kantan pramatang dilakukan setiap tiga hari dan purata hasil antara 400 hingga 700 kuntum seminggu.  Sebelum dipasarkan bunga kantan digred dan diikat setiap sepuluh kuntum. Selain dia menanam dia pernah menjadi pemborong dan menjual hasil pertanian itu kepada beberapa pembeli. Sejak beberapa tahun lalu dia hanya menumpukan kepada aktiviti pengeluaran bunga kantan saja. Setiap minggu dia dibantu isteri dan anak ke kebun untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti membersih kawasan, melakukan penjarangan pokok, menanam semula, meracun, memungut hasil dan menjual kepada beberapa pemborong.  Mengusahakan tanaman pokok bunga kantan sangat mudah. Saya hanya perlu membeli racun rumpai terpilih yang digunakan setiap dua hingga tiga bulan sekali. Pokok kantan hidup subur di kawasan berair dan lembap sementara musuh seperti serangga tidak berminat menyerang kerana aroma yang terdapat padanya. Setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok. Hanya bunga yang belum berkembang saja diambil bagi memastikan ia tidak mudah rosak dan busuk apabila terdedah cuaca yang panas. Harga bunga kantan katanya bergantung kepada saiz dan jenisnya iaitu antara 40 hingga 70 sen sekuntum. Dia menjual terus kepada beberapa pembeli pasar Selayang, Selangor dan pasar besar Kuantan setiap minggu, namun kini pemborong datang ke rumahnya untuk mendapatkan bekalan. Kini setelah 15 tahun dia berulang-alik ke pasar Selayang dan pasar besar Kuantan untuk menjual bunga kantan termasuk pelbagai sayur kampung seperti pucuk paku hijau, ulaman, rebung dan ubi. Setiap kali musim buah-buahan dia turut menjual durian, rambutan, dokong, duku dan manggis. Bunga kantan jenis merah dianggap terbaik dan mendapat permintaan lebih tinggi dalam kalangan suri rumah dan tukang masak profesional berbanding jenis putih dan merah jambu.  Bagi menjaga kualiti dan mutu bunga kantan ia perlu segera dipasarkan sebaik saja proses membersih dan menggred dilakukan. Aspek pembungkusan perlu diberikan perhatian bagi memastikan bunga kantan sentiasa dalam keadaan kering dan tidak mudah patah. Pokok bunga kantan yang tergolong dalam keluarga halia digunakan sebagai penambah perasa dan aroma makanan selain menjadi penawar pelbagai jenis penyakit termasuk turut digunakan untuk awet muda dalam kalangan wanita Melayu. Pokok bunga kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, namun pada waktu tertentu pengeluaran bunga berkurangan dalam tempoh beberapa bulan. Ketika bunga kantan berkurangan, katanya dia beralih kepada aktiviti lain bagi menampung pendapatan keluarga. Untuk menambah pengeluaran bunga kantan, saya kini berusaha memulihkan pokok sedia ada. Dengan usia pokok lebih 20 tahun, aktiviti sampingan seperti membaja perlu dilakukan secara berjadual. Bagi menambahkan lagi pendapatan penduduk kampung, dia sedia berkongsi pengalaman mengusahakan kebun tanaman bunga kantan dan mereka yang berminat boleh mencuba projek berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya mudah. Kebun.  tanaman pokok bunga kantan mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara besar-besaran. Harga produk berkenaan di pasaran mencecah RM4 sekuntum terutama pada musim perayaan. Dia sedia bertukar pengalaman dan membekalkan benih kepada mana-mana pihak yang berminat untuk tujuan mengusahakan tanaman berkenaan. Pokok bunga kantan yang ditanam berbeza terutama dari segi saiznya berbanding yang banyak terdapat di kampung. Mereka yang sudah berminat boleh datang melihat projek yang saya usahakan dan dari situ mungkin akan datang minat. Tanaman kantan sesuai dilakukan secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar, sebaliknya mampu memberi keuntungan besar.

Berita dari Suara Perak dengan tajuk '
Bunga Kantan Beri Pendapatan Lumayan' membuktikan bahawa tanaman ini memang tidak mengecewakan petani. Di Parit dilaporkan siapa sangka bermula dengan hanya suka-suka mena­nam ulam-ulaman dan herba di belakang rumah kini akhirnya ia menjadi punca pendapatan sampingan buat seorang pesara tentera. Bagi Mohd. Jamil Ahmad berumur 56 tahun yang mula menanam ulam-ulaman dan herba sejak 1990-an sekitar rumah­nya yang terletak di Kampung Ekor Lambat, Bota, Perak gembira dengan usahanya. Setelah bersara daripada tentera, dia mula serius mengusahakan tanaman bunga kantan di sekitar rumahnya pada 2009. Pokok bunga kantan atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok herba berwarna merah muda boleh juga digunakan sebagai gubahan hiasan. Tunas bunga itu boleh dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu selain itu ia juga boleh digunakan dalam masakan asam pedas, nasi ulam serta masakan kari. Pada mulanya, dia menanam bunga kantan untuk sekadar memenuhi masa lapangnya tetapi setelah menyedari bunga kantan mendapat permintaan dan harga tinggi sehingga mencecah RM2.50 sekuntum ketika itu membuatkan dia lebih serius untuk menanamnya. Dia mula giat menanam pokok bunga kantan di sekitar rumahnya dan tanah di kampungnya yang difikirkan sesuai untuk menanam pokok herba tersebut. Dia memilih untuk menanam pokok bunga kantan kerana ia tidak memerlukan proses perjagaan yang rapi dan rumit. Pokok bunga kantan ini mudah ditanam kerana serangga jarang mendekati pokok ini dan proses menanamnya juga senang, hanya perlukan air dan sedikit baja. Tanaman bunga kantan juga kurang dimusnahkan oleh serangga perosak kerana aroma yang terdapat padanya tanaman itu menyebabkan ia kurang musuh tanaman. Apa pun paling utama bunga kantan antara produk agro yang mudah dijaga selain senang ditanam di tanah yang lembap tapi tidak berair. Sepokok bunga kantan juga boleh membiak dengan banyak dan ia lebih subur apabila daun yang sudah tua dibuang selain memerlukan cahaya matahari yang mencukupi. Apabila perdu sudah besar, ia perlu dipe­cahkan untuk mengelak pelepah pokok bercantum dan perdunya juga akan dipilih mengikut kriteria untuk dijadikan benih. Bunga kantan boleh dijual pada usia enam ke tujuh bulan namun bergantung kepada benih dan hasil keluaran pula tiga kali seminggu dengan sekali keluaran 300 hingga 400 kuntum. Kini dia mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil daripada tuaian bunga kantan. Permintaan bunga kantan pada masa kini amat menggalakan kerana ia jarang diusahakan secara komersial. Dalam pasaran bunga kantan ia lebih tertumpu di sekitar Batu Gajah, Perak Tengah serta Manjung selain membekalkannya ke hotel sekitar Bandar Seri Iskdandar. Dia menjual pada harga RM1.00 sebatang namun apabila tiba musim kemarau harganya akan melonjak tinggi hingga mencecah RM1.50 sebatang. Kalau sebelum ini dia menanam bunga kantan berwarna putih dan merah namun permintaan jenis ini kurang mendapat sambutan dan kini sepenuhnya hasil keluaran adalah berwarna merah jambu sahaja. Sehingga kini dia mempunyai dua ekar tanaman itu di lokasi berasingan. Dia sedia ber­kongsi pengalaman mengusahakan kebun tanaman bunga kantan dan menggalakan mereka berminat mencuba tanaman berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya yang amat mudah. Tanaman itu sesuai dibuat secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar sebaliknya memberi keuntu­ngan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Bagi membantu golongan belia memperoleh pendapatan, saya juga membantu anak muda di kampung ini dalam tanaman bunga kantan. Semuga artikel panjang ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
MENANAM KANTAN... PERLU BERUSAHA...
POKOK DIBAJA... BERHASIL LAMA JUGA...
HASIL DITUAI... DIGREDKAN IKUT HARGA...
SIAPA BERMINAT... BOLEH MULAKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Air Keroh,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka, Malaysia.
(14 Zulhijjah 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.