Tuesday, August 17, 2021

KUMBANG TANDUK DAN FAKTANYA

KUMBANG TANDUK
atau KUMBANG BADAK (Oryctes rhinoceros) merupakan sejenis serangga yang merupakan perosak utama pada tanaman palma terutama kelapa dan kelapa sawit. 
Kumbang badak (atau dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Rhinoceros Beetle atau Rhino Beetle) ialah subfamili (Dynastinae) dalam famili Scarabaeidae. Terdapat lebih daripada 300 spesies kumbang ini yang dikenalpasti. Ia merupakan antara kumbang terbesar dimana mampu untuk mencapai saiz 60 milimeter panjang. Walau bagaimanapun kumbang badak ini adalah tidak mengancam manusia kerana ia tidak menggigit atau menyengat. Penulis blog mengenali kubang ini semenak kanak-kanak dahulu dan suka mencari kemudian mengikatnya dengan benang dn dibiarkan terbang untuk dilihat beramai-ramai bersama rakan-rakan. Ada semacam pertandingan pula dimana kumbang siapa yang paling lama terbang dengan gaya cantik akan menang.  Kumbang tanduk dewasa adalah serangga perosak kerana ia akan mengorek masuk pokok kelapa melalui bahagian bawah pelepah daun muda dan mula makan bahagian umbut dan tisu-tisu lembut. Aktiviti ini akan menyebabkan kemusnahan dan kematian pada pokok kelapa terutama yang baru ditanam dan pokok yang masih muda atau menyebabkan pertumbuhan pokok tersebut terbantut. Pemeriksaan penulis blog dikebun kelapa diseluruh negara semasa bertugas dahulu mendapati dimana kesan kerosakan pada pokok yang lebih matang dapat dilihat pada bahagian daun yang dipotong seperti bentuk kipas. Kerosakan ini diakibatkan oleh kumbang yang memakan daun-daun muda sebelum ia berkembang lagi. Kumbang tanduk betina akan meletakkan telur-telurnya dalam bahan organik seperti longgokan najis ternakan, longgokan batang, daun serta apa sahaja bahan yang mereput. Bahan-bahan ini akan menjadi sumber makanan buat larva. Biasa juga telurnya yang berbentuk bujur bulat, berukuran 3.5 mm panjang, berwarna putih yang akhirnya bertukar menjadi warna kelabu. Telur-telur ini akan menetas selepas 8 ke 12 hari. Larva yang menetas akan melalui 3 fasa instar. Peringkat larva mengambil masa 80 ke 200 hari untuk lengkap. Dilihat dimana kemudian larva ini akan memasuki peringkat pre-pupa yang akan mengambil tempoh 8 ke 13 hari. Larva ini akan menjadi pupa dalam kebuk pupa yang diperbuat dari tanah atau bahan organik. Peringkat pupa akan mengambil tempoh 30 hari sebelum bertukar menjadi dewasa. Kumbang dewasa mampu hidup mencapai 6 bulan. Terdapat perbezaan yang nyata diantara kumbang tanduk jantan dan kumbang tanduk betina. Kumbang tanduk jantan mempunyai tanduk yang panjang berbanding kumbang tanduk betina. Manakala pada abdomen kumbang tanduk jantan tidak terdapat (atau pun ia mungkin terdapat hanya sedikit) bulu pada bahagian abdomen. Manakala bagi kumbang tanduk betina mempunyai tanduk yang pendek dan mempunyai bulu yang lebat pada segmen terakhir abdomen. Artikel yang ke 6,657 ini pada subuh Isnin iaitu dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai beberapa fakta kumbang badak atau pun kumbang tanduk untuk dijadikan bahan rujukan pembaca blog yang setia.

Pengalaman penulis blog yang pernah berkunjung ke 
Museum Serangga, Kawan GNFI yang terletak di Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta, Indonesia dulu menarik untuk dikongsikan. Muzeum ini menyimpan berbagai keanekaragaman dunia serangga dimana salah satunya serangga kumbang tanduk. Bagaimana pun sejenis kumbang tanduk dengan nama latin sebagai Chalcosoma caucasus telah dipilih sebagai logo dari Museum Serangga kerana banyaknya peranan yang kumbang tersebut lakukan terhadap proses keseimbangan alam (Sila lihat foto disebelah). Dijelaskan terpilihnya kumbang tanduk dimana antara lain adalah sebab kumbang tanduk sebagai agen pereputan bahan organik dan memang dijadikan sebagai indikator biologi kualiti hutan dimana ia merupakan serangga terbesar di Asia Tenggara dan adalah dikelaskan sebagai tidak termasuk serangga yang merugikan alam sekitar. Sebagai kumbang terbesar di dunia yang banyak di Irian Jaya dilaporkan  kumbang ini memiliki ciri khas adanya tanduk di kepala. Warna kumbang tanduk yang biasanya hitam atau coklat tua dengan panjang tubuh 90 -130 milimeter untuk jantan dan 50 -  60 milimeter untuk betina. memang ada perbezaan tanduk pada kumbang jantan dan betina (Sila lihat foto dibawah sekali). Diperiksa dimana  tanduk pada kumbang jantan lebih panjang dan melengkung ke belakang sedangkan tanduk kumbang betina hanya berupa tonjolan sahaja. Selain memiliki tanduk sebagai ciri khasnya penulis blog dapati dimana kumbang jantan juga memiliki dada yang mereka gunakan untuk bertarung satu sama lain untuk mendapatkan hak berkawin atau untuk mengawan kumbang dengan betina.

Meneliti lanjut dimana secara morfologi dimana bentuk tubuh kumbang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Kepala, Dada (Thorax) dan Perut. Warna kumbang tanduk hitam mengilat dimana pada bahagian tengah dada kumbang terdapat enam kaki (3 pasang) dan dua pasang sayap (Sila lihat foto disebelah). Bahagian kepalanya memiliki sepasang mata, sepasang antena dan mulut. Diperiksa lanjut dimana pada dibahagian kepala terdapat satu tanduk atau seakan sumbu (horn) bersaiz kecil. Kepala kumbang tanduk biasanya akan mempunyai struktur keras dan ia dilengkapi dengan rahang yang kuat berwarna hitam pula. Lazimnya semua kumbang tanduk ini akan mempunyai sepasang antena bersegmen yang biasanya menonjol di depan matanya. Dari segi kehidupan dimana kumbang tanduk yang biasa aktif pada malam hari ini banyak terdapat pada berbagai jenis pokok palma (jenis kelapa) dan selalunya suka bertelur pada batang tanaman pokok kelapa yang sedang dalam proses mereput atau proses membusuk. Kumbang tanduk betina biasanya bertelur dan membiak di pelbagai tempat iaitu seperti tempat sampah, daun-daun yang telah mereput, daun-daun yang telah mengering, najis haiwan atau kompos, batang kelapa yang sudah membusuk atau reput dan serbuk kayu yang berada di kawasan pokok kelapa. Lazimnya dimana seekor kumbang tanduk betina mampu bertelur sebanyak 35 - 70 biji telur. Larva dari kumbang tanduk bersaiz agak besar dan dapat dilihat dengan mudah dengan warna putih kelabu ditutup dengan rambut coklat. Larva ini akan memakan umbut kelapa dan memusnahkan pokok tersebut dimana ianya boleh membunuh tumbuhan jika tidak dikawal dengan baik. Kitaran hidup ku
mbang tanduk bervariasi bergantung pada habitat dan keadaan persekitarannya. Kehebatan dari kumbang ini adalah sebab ia mempunyai 'mandibula' atau 'sepasang bahagian mulut' digunakan untuk menggigit, memotong dan memegang makanan yang kuat. Biasanya semasa kumbang tanduk menemukan pokok kelapa yang sesuai maka ia akan merosak tanaman tersebut dengan cara menggorek ke pusat pucuk tanaman dengan kaki mereka yang memiliki barisan duri tajam.

Kerosakan oleh kumbang dewasa dengan mana ia akan mengorek ke dalam pucuk dan memakan tisu-tisu lembut kelapa. Apabila pelepah membesar maka daun kelapa akan membentuk seperti kipas. Serangan teruk boleh menyebabkan air bertakung didalam lubang yang dikorek dan mendedahkan pucuk tehadap serangan kumbang jalur merah (Sila lihat foto disebelah). Kumbang tanduk dewasa bertelur dalam batang kelapa yang reput atau bahan organik ataupun dalam sampah sarap. Larva (grub) kumbang tanduk akan hidup dalam bahan ini sehingga menjadi pupa. Kaedah kawalan kumbang tanduk boleh dijalankan dengan cara Kawalan Cara Kultura dan Kawalan dengan Bahan Kimia (Racun Serangga). Cara kawalan dengan 
Amalan kultura dimana sebaiknya ditumbangkan pokok kelapa yang terdapat simptom serangan dan dipotong kecil-kecil dan kemudian semuanya dibakar. Perangkap Kumbang dengan menggunakan bahan PVC dan Feromon juga sesuai dilakukan. Perangkap PVC berukuran 2m tinggi dengan garis pusat 10cm diletakkan di kawasan kelapa beserta feromon bagi memerangkap kumbang tanduk dewasa. Perangkap diletakkan di kawasan terlindung cahaya matahari. Feromon perlu diganti 3 bulan sekali dan disyorkan agar perangkap ini mesti diperiksa setiap 2 minggu sekali dan semua kumbang yang diperangkap dan terkumpul didalamnya perlu dimusnahkan atau dibunuh. Kaedah kedua adaah dengan menggunakn teknologi Perangkap Organik. Cara ini adalah dimana batang kelapa sepanjang 1m x 1m diisi dengan habuk kelapa yang digunakan untuk memerangkap kumbang dewasa. Kumbang-kumbang dewasa akan datang dan seterusnya akan bertelur dan kemudian akan menetas. Oleh itu semua kumbang yang terdapat di perangkap perlu awal untuk dimusnahkan. Pembersihan Ladang atau sanitasi kebun dengan cara membuang tempat pembiakan juga perlu dilakukan sebagai kaedah kawalan mudah. Tanaman penutup bumi yang baik mampu untuk mengurangkan kadar serangan kumbang badak dari berlaku. Terkini diperkenalkan satu teknologi baru iaitu kaedah kawalan kumbang badak dengan Cara Kawalan Biologi dimana sejenis Kulat Green Muscardin (Metarrhizium anisopliae) digunakan. Kulat ini dilaporkan mampu untuk memusnahkan kubang badak semulajadi. Akhir sekali adalah dengan kaedah kawalan secara kimia dimana pada pokok kelapa yang kecil (atau baru ditanam) maka boleh diletakkan sebanyak 1 - 2 biji bahan dikanali sebagai "Moth Ball" atau  3-4 butir racun carbofuran. Semburkan racun kimia jenis Cypermetrin, Acephate atau Nurelle mengikut dos atau kadar yang di syorkan di label setiap 14 hari dilaporkan mampu mengurangkan kerosakan pokok kelapa akibat serangan oleh kumbang tanduk dikebun. Semuga artikel ini memberikan ifo terbaik mengenai fakta kumbang tanduk untuk dibaca dalam anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
KUMBANG TANDUK... BADAK SAMA...
BERWARNA HITAM.. COKLAT ADA...
KOREK BATANG... KELAPA PALMA...
PERLU DIKAWAL... DARI MULA-MULA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(8 Muharram 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.