Tuesday, June 15, 2021

KENTANG - FAKTA MENANAM

KENTANG
(Solanum tuberosum) atau Potato merupakan sejenis tanaman yang sangat penting didunia kerana ia menjadi bahan makanan berasaskan karbohiderat yang utama. Kentang antara bahan yang kerap digunakan dalam hidangan sama ada masakan Barat, Cina, India atau Melayu mengikut jenis menu disediakan. Penulis blog mendapti dimana penggunaan kentang dianggarkan lebih satu bilion penduduk dunia yang menjadikan kentang sebagai menu utama harian mereka. Namun ada sebilangan individuyang cuba mengelak makan kentang kerana mereka beranggapan kandungan karbohidrat dalam kentang menyumbang kepada pertambahan berat badan. Bagaimana pun tanpa disedari tindakan itu merugikan mereka kerana kentang mempunyai sumber karbohidrat yang di dalamnya kaya dengan pelbagai zat makanan. Merujuk kepada Jurnal Nutrition Today yang melaporkan dimana diet seimbang mengandungi makanan kaya karbohidrat semula jadi seperti padat dengan nutrien, berupaya menambah baik prestasi fizikal. Kajian terdahulu membuktikan karbohidrat penting untuk prestasi fizikal dan mental yang optimum, kaya mikronutrien sesuai untuk mereka yang aktif bersukan. Kentang sebagai sajian harian berkhasiat dan menjadi sumber tenaga dalam memperkasakan mereka yang aktif terutama atlet. Jurulatih Kecergasan Malaysia iaitu Kimberly Yap mendakwa kentang menjadi pilihan atlet yang menggantikannya dengan pengambilan karbohidrat lain sebagai sumber tenaga utama. Beliau yang juga pemenang pingat emas sukan triatlon pada dua temasya Sukan SEA dakwa sebagai ahli sukan masing-masing mementingkan berat ideal dengan mengamalkan diet seimbang. Kentang membekalkan karbohidrat, kalium dan tenaga yang perlukan tubuh. Khasiatnya jauh lebih baik berbanding makanan daripada sumber karbohidrat lain. Makanan tinggi tenaga ini mempengaruhi prestasi sukan kategori kompetitif. Kentang juga amat kaya dengan zat besi, vitamin C dan serat yang diperlukan tubuh. Selalunya kentang dipilih sebagai makanan terbaik bertenaga tinggi dalam menu diet atlit terutama bagi acara lasak. Ramai pakar pemakanan memilih menu yang berasaskan kentang untuk atlet peringkat global. Menu ini telah pun diputuskan pada acara Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan. Dalam 100 gram (gm) nasi biasanya mengandungi 0.3 miligram (mg) zat besi sedangkan dalam kentang pula mengandungi 0.8 mg iaitu lebih tinggi. Dalam kuantiti 100 gm pisang mengandungi sebanyak 358 mg kalium iaitu jumlah lebih rendah berbanding kentang dalam kadar berat sama iaitu mengandungi sehingga 535 kalium. Kentang juga mengandungi 620 miligram kalium. Kentang dilaporkan sebagaii tanaman makanan ketiga paling penting di dunia selepas beras dan gandum iaitu di tanam di 125 negara tetapi tidak ditanam di Malaysia. Kentang mengandungi nutrien penting diet seperti Kalium, vitamin C dan serat pemakanan utama. Nutrien dalam kentang mengelakkan tekanan darah dan kesihatan usus. Dilaporkan seramai 180 cef menyediakan 7,000 sajian dengan kentang sebagai antara menu utama atlet di sukan Olimpik PyeongChang 2018. Malaysia merupakan 'net importer' kentang segar dan pelbagai produk berasaskan kentang bernilai ratusan juta ringgit setiap tahu. Penanaman kentang di Malaysia per;u digalakkan seperti di negara jiran Indonesia yang mampu mengekspoert hasil kentang mereka. Artikel pagi Isnin ini dalm blog "Anim Agro Technology" saya amenulis mengenai teknologi menanam kentang yang dijalankan dinegara jiran untuk dijadikan bahan  rujukan petani di Malaysia dan pembaca semua.

Mengenai persoalan bagaimanakan 
cara menanam kentang yang betul akan dipelajari didalam artikel ini dan membincangkan cara tanam kentang yang boleh mendatangkan hasil yang praktikan dan memberikan pulangan baik. Kentang merupakan sejenis sayuran umbisi yang tidak asing lagi dalam menu harian kita. Di Malaysia dimana selepas mengambil makanan utama beras dan gandum, kentang ialah tanaman makanan ketiga paling penting diambil kerana ia mudah didapati dan pelbagai jenis makanan yang disesuaikan dengan citarasa. Penulis blog sering makan kentang goreng, kentang putar, kentang dalam kari, kentang dalam karipap, kentang dalam pau dan banyak lagi. Kentang sebagai sumber karbohidrat yang utama dimakan manusia juga mengandungi kadar serat yang tinggi selain vitamin C. Mungkin ramai di antara kita berpendapat bahawa kentang tidak boleh ditanam di Malaysia disebabkan iklim yang panas dan lembap berlaku sepanjang tahun. Bagaimana pun sebagai perbandingan sebenarnya dibeberapa negara Asia lain mereka merupakan pengeluar terbesar kentang di dunia terutama daripada negara China dan diikuti oleh India. Dari segi logik dan amalan agronomi sebenarnya penulis blog mendapati kentang boleh ditanam di negara kita jika diberi penjagaan dan menanam varieti kentang yang sesuai dengan iklim. Artikel ini akan paparkan beberapa perkara asas teknologi menanam kentangyag boleh diujicuba kepada sesiapa sahaja untuk mencubanya. Sebaiknya cuba pelajari cara terbaik untuk menanam kentang di kebun mahupun halaman rumah. Apa yang pasti ia memang boleh memberikan hasil jika dilakukan dengan baik. Benih kentang boleh didapati daripada pembekal yang telah berpengalaman menanam kentang (Sila lihat foto disebelah). Hanya benih yang baik dan amalan penjagaan yang baik boleh menghasilkan kentang sendiri.

Percubaan menanam kentang sendiri cuma memerlukan beberapa perkara asas. Bahan keperluan paling penting adalah bahan tanaman (benih) kerana diseluruh dunia terdapat lebih 4,000 varieti kentang yang ditanam secara komersil (Sila lihat foto paling bawah mengenai varieti kentang). Pokok kentang berbatang lembut dan berketinggian kira-kira 2 kaki emmpunyai banyak variasi bunga pokok seperti ada jenis  kentang berwarna ungu, biru, merah, merah jambu dan putih. Bagi memulakan penanaman antara bahan keperluan untuk menanam kentang adalah seperti benih iaitu
ubi kentang segar, tanah sebagai media penanaman, perlu ada batas (jika mempunyai kawasan yang luas) atau polibeg yang diisikan dengan media tanaman sesuai (jika hanya ada ruang adalah terhad), Baja NPK dan juga Sungkupan (bahan tambahan jika ada). Kalau menanam dikawasan rumah didalam polibeg perlu pastikan kawasan menanam menerima cahaya matahari yang banyak sepanjang hari. Jika tanaman kentang terlindung maka penghasilan dan prestasi kentang kurang baik. Penanaman kentang memang mudah dilakukan  dengan langkah pertama adlah mencambahkan umbisi kentang dahulu. Sebaikny dikumpulkan ubi kentang yang sudah mempunyai beberapa tunas pada setiap biji. Susun ubi kentang secara menegak di dalam bekas atau kotak dengan rapi dan sebaiknya ia diletakkan di dalam bilik yang gelap selama 2 minggu. Pada peringkat ini sebaiknya ubi kentang tidak perlu disiram dengan air kerana ia akan menjadi busuk dan selalunya selepas 2 minggu maka pucuk akan mula keluar dari tunas pada ubi kentang (Sila lihat foto diperenggan atas).

Jika ingin menanam kentang didalam kebun sebaiknya disediakan batas-batas tanaman mengikut kesesuai (sama seperti membuat batas tanaman keledek). Apa pun sama ada menanam didalam batas dikebun atau didalam polibeg untuk adalah ianya bergantung kepada ruang yang ada. Bagi anda yang mempunyai ruangan yang luas disyorkan dimana ukuran batas yang terbaik ialah dengan kedalaman 6 - 8 inci dan jarak antara batas 2 - 3 kaki. Apa pun bagi penanaman dalam polibeg sebaiknya pilihl jenis polibeg yang besar supaya dapat memaksimakan pertumbuhan pokok dan ubi. Penulis blog syorkan untuk menggunakn ukuran saiz polibeg yang paling sesuai iaitu berukurn 24 x 24 inci. Langkah seterusnya adalah menyediakan media tanaman dalam polibeg sama ada menggunakan tanah campuran atau kini ada yang menggunakan media cocopeat. Biasanya selepas 2 minggu ubi kentang dicambahkan maka akan kelihatan ada pucuk baru kira-kira 2 - 3 inci panjang akan muncul pada tunas ubi. Disyorkan agar pada setiap benih ubi kentang ini ianya boleh dipotong kepada beberapa bahagian bergantung kepada jumlah dan pertumbuhan tunas. Namun begitu sebaiknya ubi tersebut boleh sahaja ditanam sebiji secara keseluruhan tanpa dipotong untuk mempercepatkan pertumbuhan dan penuaian dan elakkan kerosakan akibat seranga kulat pada potongan benih. Bagi penanaman di atas batas sebaiknya diaturkan ubi kentang dengan jarak 1 - 2 kaki antara setiap ubi. Bagi penanaman di dalam polibeg pula perlu di isi tanah di dalam polibeg sebanyak separuh daripada ketinggian polibeg tersebut. Tanam satu ubi atau iaitu dengan satu potongan tunas sahaja di dalam setiap polibeg dan kemudian perlu dikambus ubi dengan ketinggian tanah kira-kira 4 inci. Ada keperluan untuk mencacak batang kayu yang digunakan untuk membuat lubang tanaman bata batas. Bagi tujuan penjagaan dan pembajaan awalnya dilakukan proses penyiraman selepas menanam. Penyiraman dan pengairan amat penting bagi tanaman kentang kerana perlu dipastikan tanaman kentang mendapat kadar air secukupnya dengan tanah sentiasa lembap tetapi tidak menakung air. Sungkupan juga boleh diletakkan di atas tanah untuk tujuan menjaga kelembapan tanah. Bahan-bahan organik seperti sabut kelapa, rumput kering, jerami padi dan kompos amat baik sebagai sungkupan serta sumber nutrien. Kedua-dua jenis pembajaan organik dan pembajaan kimia sesuai diberikan kepada tanaman kentang. Baja organik boleh dicampurkan dalam tanah sebelum penanaman dilakukan. Kadar bagi pembajaan kimia pula ialah NPK Biru dengan kadar 0.5 kg per 100 kaki persegi. Pembajaan perlu dimulakan 2 minggu selepas menanam dan diulangi setiap 4 minggu kemudiannya. Hentikan pembajaan 2 minggu sebelum menuai. Dalam pada itu perlu dilakukan proses merumpai yang perlu dilakukan secara berkala supaya rumpai yang tumbuh tidak mengambil nutrien yang diberi kepada tanaman kentang. Racun kimia boleh disembur dengan kadar yang disyorkan sekiranya terdapat kehadiran perosak. Aktiviti menambah tanah adalah perlu bagi tanaman kentang dimana ia berlainan dengan tanaman makanan lain lebih-lebih lagi bagi pokok kentang yang ditanam di dalam polibeg. Tanah perlu ditambah 3 - 4 inci lebih tinggi dari permukaan tanah sedia ada dimana ini adalah bertujuan untuk membanyakkan penghasilan kentang oleh pokok kentang. Dilaporkan dimana dengan penjagaan yang baik maka penuuaian hasil kentang akan mengambil masa sekitar 70 - 120 hari untuk matang dan menghasilkan ubi. Tuaian boleh dilakukan apabila daun pada pangkal tanaman mula menguning atau menggali sedikit diperdunya untuk melihat ubi kentang didalamnya. Menuai kentang dingen membongkar tanah dan mengumpulkan umbisinya sebelm dibersihkan, digredkan dan diisikan kedalam kotak (Sila lihat foto disebelah). Kentang yang berkualiti boleh disimpan selama beberapa bulan dalam keadaan suhu bilik. Semuga artikel ini memberi infi berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENANAM KENTANG... BAGAIMANA...
SIAPKAN TANAH... PLOBEG JUGA...
BENIH DISEMAI... BERTUNAS DIA...
LEPAS 3-4 BULAN... MENUAI PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(3 Dzulkaedah 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.