Monday, May 31, 2021

GULA APONG - PELBAGAI FAKTA

GULA APONG
merupakan satu jenis produk gula yang dibuat daripada nira nipah yang sangat popular terutama di Sarawak. Saya mengenali gula apong setelah bertugas di Jabatan Pertanian Sarawak selama lebih 2 tahun dan berpeluang melihat proses pembuatan gula apong. Gula Apong juga merupakan air manisan yang diperbuat daripada air nira yang dihasilkan daripada Pokok Nipah (Nyipa fruiticans) yang banyak terdapat di sepanjang sungai-sungai di Sarawak terutama di Kota Samarahan dan juga Betong. Berlainan pula jika di Semenanjung Malaysia, air nira ini sama dengan air nira kelapa yang kemudian dimasak menjadikan Gula Melaka ataupun 'nise' jika di Kelantan. Secara tradisional gula apong yang dihasilkan dipasar secara borong dalam tin biskut dan jika untuk pasaran runcit ia di pasarkan menggunakan beg plastik (Sila lihat foto diatas) yang dijual dengan harga RM 2.00 - RM 4.00 bergantung kepada isipadu bungkusan. Kenaikan harga gula pasir menjadikan gula apong mula mendapat tempat dihati pengguna di Sarawak dan mula menunjukkan potensi pasaran yang baik. Melihat kepada peluang pasaran ini, Jabatan Pertanian Sarawak telah mengorak langkah menginovasikan pembungkusan gula apong ini dengan memperkenalkan gula apong dalam bentuk botol plastik yang cukup menarik. Selain itu Nira nipah merupakan minuman asli yang masih mendapat sambutan bukan sahaja dari masyarakat Melayu tetapi juga dari kaum-kaum lain. Di kampung-kampung, perusahaan nira nipah telah memberi hasil atau pendapatan sampingan yang paling menguntungkan. Hampir kesemua bahagian pokok nipah dapat dimanfaatkan oleh manusia. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info tentang Gula Apong dan pelbagai fakta yang dilaporkan dalam media tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan kepada pembaca blog semua. 

Utusan Sarawak dengan artikel bertajuk '
Nipah, gula apong berpotensi jadi perusahaan strategik' sesuai untuk dikupas dalam blog ini.  Perusahaan nipah dan gula apong berpotensi menjadi perusahaan strategik bernilai tinggi di Sarawak. Kini dengan kepesatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri makanan pada masa ini maka produk berasaskan gula apong yang diusahakan kini dapat dipelbagaikan dan mendapat permintaan meluas di pasaran. Dikawasan Demak Laut dimana kebanyakan kawasannya seperti di Kampung Pinggan Jaya, Kampung Tanjong Bako, Kampung Semilang Beradik, Kampung Muara Tebas, Kampung Goebilt, Kampung Senari dan Kampung Bako masih diseliputi pokok nipah dan ini memberikan sumber kepada pengeluaran gula apong secara komersial. Selain gula apong dimana daun-daun nipah boleh digunakan dengan pelbagai kegunaan untuk masakan dan kraftangan. Kepelbagaian penghasilan barangan daripada nipah memberi nilai tambah kepada potensi gula apong. Hasil dari satu kajian oleh Craun Research Sdn Bhd telah membuat produk yang menghasilkan serbuk gula apong yang boleh menggantikan gula dalam minuman. Serbuk gula apong amat tinggi antioksida dan penghasilannya akan membuka ruang atau mempelbagaikan penggunaan gula apong. Apa yang menarik gula apong hanya dihasilkan di Sarawak iaitu di Kuching dan Betong yang mempunyai banyak sumber pokok nipah. Kini sudah tiba masanya kerajaan Sarawak berusaha mewujudkan Taman Industri Nipah dan Pembuatan Gula Apong secara komersial untuk keperluan domestik dan eksport. Selain mempunyai kelebihan dan potensi yang tinggi didakwa dimana gula apong juga boleh dijadikan produk asli kelua-ran tempatan serta produk berasaskan gula apong lain bagi memenuhi sektor pengeluaran makanan di Sarawak.

Dilaporkan juga dimana '
Gula apong Sarawak ke pasaran antarabangsa' dan disasarkan untuk memasuki pasaran Eropah melalui negara Turki. Kerajaan Negeri bersama FAMA nyatakan sudah ada perbincangan dibuat dengan beberapa ahli perniagaan dan wakil kerajaaan di negara tersebut untuk mengeksport gula apong keluaran Sarawak. Hasil daripada perbincangan tersebut dilaporkan mereka sangat berminat untuk jalinkan kerjasama membawa produk gula apong ini yang dihasilkan dari nira nipah ke Eropah melalui pintu masuk Turki. Bagi mengukuhkan lagi potensi gula apong untuk memasuki pasaran yang lebih luas, kata Ishak, pihaknya sekarang ini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan antarabangsa termasuk Pensijilan Amalan Pertanian Baik (MyGAP). Apa pun skim pensijilan itu penting sebelum dapat mengeskport produk dimana kini sudah menetapkan gula apong untuk diangkat sebagai Produk Juara atau Signature Product bersama 14 lagi produk lain dari seluruh Malaysia yang akan dilancarkan di peringkat kebangsaan. Selain pasaran Eropah dilaporkan dimana FAMA akan turut memasarkan produk gula apong Sarawak ke Semenanjung Malaysia, Timur Tengah dan beberapa negara Asia. Oleh itu bagi menjamin kuantiti produk itu agar mampu memenuhi keperluan eksport maka para pengusaha gula apong harus memastikan bekalan sumber yang berterusan selain menggalakkan anak-anak muda atau mereka yang berminat untuk terlibat dalam perniagaan produk tersebut. Kini Kerajaan Sarawak juga mempunyai hasrat yang sama untuk memperluaskan kawasan tanaman nipah di negeri ini terutama di Kampung Tambak, Pusa terletak dalam Bahagian Betong. Usaha itu dibuat bagi menampung sumber air nira yang diperoleh daripada nipah liar. Kini selain kawasan nipah sedia ada seluas kira-kira 50 hektar di Kampung Tambak sudah ada satu kawasan lain di Taman Nipah turut akan diwujudkan di kampung terbabit. Kini dengan usaha pembukaan Taman Nipah seluas 10 hektar pada tahun ini dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM2juta maka ia bukan sahaja menambahkan lagi pengeluaran sumber nira untuk penghasilan gula apong tetapi berpotensi menjadi produk agro pelancongan yang menarik di Pusa.

Menarik mengenai produk dari gula apong iaitu '
Tuak Manisan' yang mana ia juga semakin dipopularkan di Saratok. Jika kebanyakan masyarakat Dayak di Bumi Kenyalang menganggap ‘tuak’ sebagai minuman tradisional yang masam dan pahit serta memabukkan, lain pula ceritanya bagi penduduk di Kabong, Saratok di Sarawak. Penduduk Kabong menjadikan ‘tuak’ yang memabukkan itu sebagai manisan dan memprosesnya sebagai gula untuk kegunaan harian. Ia dipanggil juga sebagai gula tuak. Berbeza dengan pembuatan tuak yang dijadikan sebagai arak, gula itu diproses dengan air nira nipah akan tetapi perlu memastikan tidak menjadi masam. Seorang pengusaha gula tuak dari Kampung Kabong, Thomas Mohamad berumur 56 mendakwa gula berkenaan sebenarnya lebih kurang sama dengan gula merah cuma bezanya ia dihasilkan menggunakan nira nipah yang mudah diperolehi di negeri ini. Apa pun prosesnya macam buat tuak dan bezanya ia tidak perlu diperam dan sebaliknya dimasak untuk dijadikan gula. Bagaimana pun ketika mengambil air nira nipah itu perlu berhati-hati terutama ketika menakung air bagi mengelakkan airnya menjadi masam. Gula berkenaan biasanya digunakan untuk menghasilkan kuih tradisional masyarakat Sarawak seperti Kuih Celorot, Keria dan Bongkol malah ia juga sedap dicampur dalam cendol (Sila lihat foto disebelah). Mmemang tidak lengkap dapur orang Sarawak kalau tidak ada gula ini. Bagi kebanyakan penduduk Sarawak dimana gula manis ini dipanggil juga sebagai gula apong. Kini memang bukan mudah memperolehi gula apong ini kerana pengeluarannya agak terhad dan tidak hairan ia dijual dengan harga yang tinggi. Sebenarnya penghasilan gula apong melalui proses rumit dan setiap satu daripadanya amat memerlukan ketelitian. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
GULA APONG... NIPAH POKOKNYA...
WARNA COKLAT... ENAK AROMA...
DI SARAWAK... BANYAK BUATNYA...
DIBUAT KUEH... PELBAGAI JENAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(19 Syawal 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.