Saturday, April 10, 2021

TINJAUAN NANAS MD2 DI KG RUNGUS, SABAH

PROJEK TANAMAN NANAS MD2
di Kg Rungus, Botition, Beluran, Sabah memberikan pengalaman baru kepada penulis blog dalam aktiviti penanaman nanas. Tinjauan ini dilakukan bersama Pengerusi LPNM dan beberapa pegawai kanan LPNM sempena perjumpaan kunjung hormat LPNM dengan Ketua Menteri Sabah di Sandakan. Projek tanaman nanas MD2 (Ananas comosus) di kampung ini di berikan bantuan asas oleh Jabatan Pertanian Sabah sebagai salah satu projek perintis tanaman nanas MD2 yang mana tanaman nanas sedang dipromosikan dalam negara sebagai tanaman dibawah Skim Kekayaan Baru (SKB) negara. Ketibaan para rombongan yang diketuai oleh Pengerusi LPNM iaitu YB Dato Dr Sharudin Jamal disambut oleh Yang Berhormat Samad (kampung beliau) dan beberapa petani yang terlibat dengan projek penanaman perintis nanas MD2 dikampong tersebut seramai sekitar 6 orang. Tinjauan ini dilakukan mengikuti SOP Covid19 seperti pemakaian pelitup muka, penjarakkan sosial dan juga penggunaan pencuci tangan setiap masa. Projek tanaman nanas ini merupakan salah satu daripada beberapa projek tanaman nanas MD2 di Sabah yang terus berkembang luas untuk pasaran domestik. Dari penjelasan ketua projek dimana memaklumkan bagaimana bermulanya projek bagi tanaman nanas MD2 ini dimulakan hujung 2019 dengan bantuan anakbenih sulur diberikan oleh Pejabat Pertanian Daerah dan juga bantuan input serta khidmat nasehat. Bagaimana pun kebun tersebut adalah merupakan tanah bercerun dimana ada beberaa penyediaan batas tanaman yang tidak mengikuti amalan teknikal baik dimana ia boleh ditambahbaik. Penyediaan batas dari atas kebawah cerun yang tidak betul oleh beberapa peserta menyebabkan berlaku kejadian hakisan tanah yang serius sejal lebih setahun lalu. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan mengenai hasil tinjauan teknologi aktiviti penanman nanas MD2 di Kg Rungus, Sandakan Sabah untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Bantuan berupa penyediaan kawasan, input pertanian (Sulur benih, plastik silvershine, baja dan juga racun) dibawah program khas tanaman nanas MD2 oleh Jabatan Pertanian Negeri Sabah. Penulis blog ucapkan taahniah kepada Jabatan Pertanian dan juga Ahli Yang Berhormat diatas inisiatif penanaman nanas MD2 sehingga berjaya menuai hasilnya semasa lawatan kami. Sehingga artikel ini ditulis Agensi LPNM masih belum wujud di Sabah dimana industri tanaman nanas di Sabah masih dibawah kelolaan Jabatan Pertanian Negeri. Menteri Pertannian dan Industri Makanan (MAFI) telah pun membuat kenyataan media di Laman Nanas, MAEPS Serdang pada Mac 2021 dimana menyatakan bahawa LPNM akan beroperasi di Sabah tidak lama lagi setelah kerajaan negeri pada dasarnya juga telah bersetuju demi memajukan industri nanas yang sangat baik dan berpotensi tinggi di Wilayah Sabah. Penulis blog mendapati penanaman nanas komersil yang agak luas berada di Keningau (sekitar 70 ekar) dimana ia diusahakan oleh Usahawan ikonik Datok Yap yang juga pengeluar susu segar terbesar di Sabah dengan varieti nanas Keningau Diamond (Sila klik disini). Berlainan dengan cara penanaman nanas oleh pekebun keci di Kg Rungus ini yang dikategorikan sebagai petani kecil yang menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian. Ketua Projek memaklumkan dimana Jabatan Pertanian menyediakan benih nanas MD2 sebanyak 18,000 sulur dalam 3 peringkat penghantaran. Kerja-kerja untuk penyediaan tanah seperti membersihkan tanah, membuat batas dan memasang plastik silvershine disiapkan secara manual dan berperingkat mengikut jadual bekalan anakbenih sulur nanas MD2. Bagaimana pun aktiviti penanaman nanas ini berjaya disiapkan untuk kesemua benih yang dihantar kepada kelompok nanas di sini dimana peserta bekerjasama dalam menanamnya. Tanah dibersihkan dan dibina batas kemudian dipasang plastik silvershine walau pun ada kalangan petani menanam terus atas tanah tanpa batas dan plastik silvershine. Kini sebahagian besar pokok sudah mula berbuah dengan aktiviti menghormon dilakukan secara berperingkat untuk memudahkan jadual pemasaran.

Tanaman nanas di kampung Rungus ini diatas tanah yang baru dibuka dengan masih banyak unsur baja semulajadi. Uniknya dimana ada beberapa lokasi pokok nanas agak kurang kelihatan kerana terlindung dengan semak dilereng bukit walau pun pertumbuhan nanas masih agak memuaskan. Apa yang dilihat dari mata kasar mengenai amalan agronomi tanaman masih perlu ditambahbaik lagi terutama untuk amalan kawalan rumpai, aspek kawalan perosak dan juga perlu pemasangan pelindung buah kerana berlaku agak serius buah rosak akibat kes lecur oleh pancaran matahari atau pun 'sunburn'. Petani disyorkan untuk meletakkan pelindung buah nanas dengan cap nanas atau jaring hitam atau lalang kering diatas jambul buah. Dilaporkan gangguan haiwan liar seperti babi, musang dan monyet sesekali menganggu tanaman nanas dimana ia telah merosakkan pokok nanas dan buah nanas. Penulis blog dapati petani yang kali pertama menanam nanas MD2 ini amat gembira pada kali pertama menuai buah tersebut dan membuat ujirasa nanas MD2 setelah lebih setahun lamanya menunggunya. Mereka nyatakan nanas ini lebih manis, kurang lidas dan juga berbau agak harum. Galakan daripada YB Samad dalam memajukan projek tanaman nanas MD2 disini boleh dipuji kerana beliau membolehkan minat lebih ramai bakal peserta yang ingin bersama menanam nanas sama dimasa akan datang. Memang pada pendapat penulis blog potensi untuk memeprluaskan tanaman nanas di kampung ini boleh diperluaskan lagi kerana kedudukan lokasi Kg Rungus adalah berada pada jalan utama.

Nanas dari kampung ini telah mula dituai secara berperingkat-peringkat mengikut jadual homon yang gunakan pil ANA. Apa yang penulis blog lihat dimana memang ada kemunkinan besar anakbenih yang digunakan adalah daripada benih dari Kultur Tisu (TC) kerana buah yang dihasilkan berlainan bentuknya daripada buah nanas MD2 yang biasanya berbentuk selinder. Ia dikukuhkan dengan lebih jelas lagi dengan memeriksa pada bentuk daun dan duri pada daun. Di lihat pada buah yang masih berada dipokok dimana lebih banyak buah yang panjang lonjong (kadar 2/3) daripada buah nanas yang berbentuk selinder (hanya 1/3). Benih dari TC memang masih belum disyorkan untuk penanaman nanas hibrid secara komersil terutama untuk pasaran eksport. Dari segi ujirasa buah yang panjang dan lonjong dibahagian bawah buah adalah manis (mencapai lebih 15 darjah brix) akan tetapi dibahagian atas didapati masam sedikit (sekitar 8-9 darjah brix). Buah ini lazimnya susah untuk dimasukkan kedalam kotak bagi pasaran eksport kerana terlalu panjang dan jambul serta tangkainya perlu dipotong dimana ia menjejaskan ketahanan buah untuk jangkamasa lama semasa proses penghantaran kepasaran eksport. Bagaimana pun nanas MD2 dari kampung ini mendapat harga runcit pasaran tempatan agak baik iaitu sekitar RM5.00 sekilogram. Daripada ukuran timbangan dimana kebanyakan buah nanas ini beratnya antara 3.0 - 3.5 kg sebiji. Buah nanas dari sini memang sudah mula mendapat pasaran baik. Dimasa akan datang adalah diharapkan petani di Kg Rungus ini akan mendapatkan anakbenih sulur nanas yang asli (bukan dari benih TC) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk LPNM, DOA, LPP dan disahkan melalui persijilan Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT). Ini akan membolehkan hanya anakbenih terbaik dan berkualiti akan menjadikan industri nanas negara khususnya di Sabah akan terus bekembang baik terutama untuk pasaran domestik dan pasaran eksport pada masa akan datang. Tinjauan ini memberikan penanda aras untuk kemajuan industri nanas di Wilayah Sabah. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. 
Wasallam...!
TANAM NANAS MD2... KG RUNGUS SANA...

TANAH CERUN... BARU KALI PERTAMA...

BENIH TC... PELBAGAI BENTUK BUAHNYA...

PERLU DIBANTU... AGAR MAJU BERJAYA... 


By,

M Anem,

Senior Agronomist,

Room 627, Hotel Sabah,

Jalan Utama, Sandakan,

Sabah,

Malaysia.

(28 Syaaban 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.