Thursday, January 14, 2021

TEKNOLOGI TANAM HALIA FERTIGASI - LENGKAP

TANAMAN HALIA FERTIGAS
I (Zingiber officinale Roscoe) kini merupakan satu teknologi  yang telah menjadi trend dan menarik minat ramai usahawan. Ini kerana penulis blog juga mendapati kaedah menanam halia fertigasi mampu uuntuk memberikan pulangan baik kepada pengusahanya. Halia ialah tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi dan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi dalam keadaan biasa. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga seperti orkid yang berwarna kuning kehijauan yang mana ia menjadikan halia sesuai sebagai tanaman hiasan dimana biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 - 1,500 meter dari aras laut. Di Malaysia apa yang saya tinjau, tanaman halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha ialah varieti Bentong, Bara, Cina, Tanjung Sepat dan varieti Indonesia. Bagaimana pun varieti halis ini belum didaftarkan semuanya dibawah Senarai Varieti Tanamam di Jabatan Pertanian Malaysia. Tanaman halia ini dikatakan dapat membantu menghadam makanan, membantu menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan dapat juga membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada. Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi (Premium quality) jika dibandingkan dengan varieti halia daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain. Kini tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem Tanaman Fertigasi Halia di tanah rendah ialah satu teknik alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah kini menjadi kenyataan. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia secara komersial di seluruh dunia. Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah pun terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat 3 - 5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology'' saya menulis mengenai teknologi lengkap menanam halia secara fertigasi hasil tinjauan dan rujukkan dari beberapa penulisan untuk rujukkan pembaca semua.

Usahawantani yang baru teringin hendak memulakan tanaman fertigasi halia perlu mengetahui akan keperluan tanaman halia.
Sebelum memulakan proses menanam halia secara fertigasi sebaiknya pengusaha perlu menyediakan dua infrastruktur utama iaitu Struktur Pelindung Hujan (SPH) dan sistem pengairan fertigasi. Kedua-dua jenis infrastruktur ini perlu disediakan terlebih dahulu sebelum proses menanam dimulakan. Penulis blog dapati pada masa ini ada pelbagai jenis sayur-sayuran dan bunga-bungaan ditanam di bawah struktur pelindung hujan. Struktur pelindung hujan dapat mengurangkan kerosakan tanaman daripada serangan penyakit akibat hujan seperti antraknos, hawar pucuk dan kerosakan akibat timpaan hujan yang lebat dan secara langsung dapat mengurangkan penggunaan racun kulat. Struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis serangga digunakan untuk tanaman halia di tanah rendah. Struktur jenis ini dapat memberi kesan lindungan kepada tanaman halia dimana ini sekali gus mengurangkan cahaya yang sampai kepada tanaman halia serta mengurangkan lembapan udara kerana peredaran udara di bawah struktur tidak terganggu.  Struktur pelindung hujan yang sesuai bagi pengeluaran halia di tanah rendah terdiri daripada bumbung yang diperbuat daripada plastik telus cahaya (lut sinar) atau diperbuat daripada jaring hitam 50 - 70%. Anggaran kos pembinaan seunit rumah pelindung hujan berdimensi 100’ x 20’ x 8’ berkerangka besi galvani ialah RM15,500 - RM20,000 bergantung kepada lokasi dan rekabentuk. Manakala kos pembinaan rumah pelindung hujan berkerangka kayu pula dikawasan kampung dianggarkan kurang 40% daripada kos pelindung hujan berkerangka besi galvani. Bagaimana pun struktur yang menggunakan besi galvani lebih tahan lama dan ekonomik untuk jangkamasa panjang.

Penulis blog dapati dimana sebaiknya usahawantani perlu faham apakah dia Tanaman
Sistem Fertigasi. Komponen utama sistem pengairan fertigasi halia ialah tangki air baja 900 atau 600 gelen, tong stok baja, pam air berkuasa 2 hp, pengatur masa digital, penapis, injap dan sistem paip yang membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman yang perlu disusun atur (Sila lihat rajah sebelah). Sistem paip terbahagi kepada paip utama (polipipe HDPE) 32 mm, paip sekunder (polipipe HDPE) 32 mm, paip pembahagi (polipipe LDPE) 16 mm atau 20 mm dan tiub mikro 1.0 mm berserta penitis panah. Pengusaha juga perlu mendapatkan alat pengukur konduktiviti elektrik (EC) untuk menentukan kepekatan baja dan pH meter untuk mengukur nilai pH air. • Bagi penanaman halia secara fertigasi, polibeg tegak boleh digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz 24’’ x 16’’ adalah disyorkan. Medium tanaman yang disyorkan bagi halia ialah 100% coco peat. Tinjauan penulis blog telah menunjukkan penggunaan polibeg hitam sesuai bagi tanaman halia dan dapat meningkatkan hasil rizom bagi setiap meter persegi. Pemberian air baja boleh dikawal secara manual atau menggunakan pengatur masa automatik. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum halia ditanam ke dalam polibeg. Jarak di antara polibeg yang disyorkan ialah 1 kaki, manakala jarak di antara barisan tanaman ialah 5 kaki. Terdapat beberapa kaedah penanaman yang boleh dilakukan. Ada lapan (8) langkah dalam usaha penanaman halia secara fertigasi yang melibatkan persediaan sebelum tanam dan pengurusan selepas tanam. Lapan langkah tersebut adalah seperti yang berikut: 1. Memilih varieti halia 2. Menyediakan benih halia 3. Memilih medium dan menyediakan polibeg 4. Memindahkan anak pokok halia 5. Membuat larutan stok baja 6. Menguruskan tanaman 7. Kawalan penyakit dan serangga perosak dan yang ke 8 adalah aktiviti Menuai halia. Pemilihan varieti halia yang sesuai adalah penting untuk memastikan hasil yang tinggi , cepat berhasil dan tahan serangan perosak serta penyakit. Sebaiknya kenalpasti jenis halia yang digunakan oleh pengguna atau masyarakat sekitar bagi memudahkan proses pemasaran hasil. Pada masa kini penulis blog dapati dimana terdapat lima (5) varieti utama halia yang menjadi pilihan pengusaha untuk dikomersialkan di Malaysia iaitu halia Tanjung Sepat, Cina, Indonesia, Bara dan Bentong. Ciri-ciri halia yang baik. Antara ciri yang dilihat adalah seperti halia yang mempunyai rizom besar, rizom berwarna pucat kekuningan, mempunyai isi rizom berwarna kuning cair, mempunyai serat yang rendah dan juga mempunyai ciri tahap kepedasan yang tinggi.

Penyediaan benih halia adalah kritikal dan memerlukan kos tinggi. Sebaiknya b
enih halia dibeli atau diperolehi dari pembekal berwibawa iaitu benih halia dihasilkan daripada rizom halia matang yang berusia 9 -10 bulan. Halia matang yang dipilih dilerai dan dipotong 7 - 11 cm panjang dengan memastikan 2 - 3 mata tunas pada setiap potongan supaya benih cepat bercambah. • Rizom benih kemudiannya dirawat bagi elakkan penyakit dengan cara merendamkan ke dalam racun kulat seperti previcur N selama 3 - 5 minit sebelum disemai. Rizom benih halia boleh ditanam dengan dua cara iaitu disemai di dalam bekas semaian atau disemai terus ke dalam polibeg. Sebaiknya bekas semaian (5 m x 1 m) diisi dengan coco peat dan benih disemai pada jarak setengah kaki di antara satu sama lain. Selepas 21 hari kemudian anak benih halia yang disemai boleh dipindahkan ke dalam polibeg. Medium bagi tanaman yang disyorkan ialah 100% coco peat kerana mudah diperoleh, murah dan lebih mesra alam. Coco peat perlu dimasukkan ke dalam polibeg hitam berukuran 24’’ lebar x 16’’ tinggi tanpa lubang. Sebanyak 3 - 4 lubang lebihan air dibuat 2’’ dari dasar polibeg di bahagian tepi kiri dan kanan. Coco peat dibasah dan ditoskan terlebih dahulu sebelum kemudian ia dimasukkan ke dalam polibeg untuk mengelak masalah hidung atau mata berair. Polibeg disusun rapat kiri dan kanan paip pembahagi. Setiap polibeg dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan nutrien dari tangki larutan baja. Memindahkan anak pokok halia. Sebaiknya sebelum menanam, medium tanaman di dalam polibeg dibilas dengan mengalirkan air bersih menggunakan kaedah sistem pengairan fertigasi yang telah disediakan selama 2 jam setiap hari sehingga air jernih keluar daripada beg tanaman melalui lubang lebihan air yang mungkin mengambil masa 3 - 4 hari. Anak benih halia daripada bekas semaian yang sudah berakar (21 hari disemai) boleh dialihkan ke dalam setiap polibeg. Selepas proses memindahkan anak pokok halia selesai maka pengairan tanpa baja diberi dua kali sehari iaitu selama 4 minit setiap kali selama 2 hari. Larutan baja akan disalurkan kepada beg tanaman mulai hari ketiga selepas menanam.  Pastikan jadual pengairan ini sentiasa dilakukan mengikut keperluan.

Dalam menentukan pertumbuhan haila untuk tumbuh dengan baik maka pastikan m
embuat larutan stok baja dengan tepat. Pokok halia memerlukan 16 unsur nutrien untuk pertumbuhan yang sempurna. Ia dibahagi kepada 2 unsur iaitu unsur makro dan mikro. Unsur makro iaitu unsur yang diperlukan dengan kuantiti unsur mikro iaitu unsur yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Sementara itu unsur makro termasuklah nitrogen (N), fosforus (F), kalium (K), kalsium (Ca), sulfur (S) dan magnesium (Mg). Unsur mikro pula adalah seperti besi (Fe), mangan (Mn), boron (B), zink (Zn), tembaga (Cu), natrium (Na), ammonium (NH4) dan molibdenum (Mo). Kepekatan unsur ini dalam tumbuhan berbeza antara satu dengan yang lain. Unsur mikro sangat kecil kuantitinya, tetapi diperlukan dan sangat penting bagi pertumbuhan dan kesuburan tanaman. Manakala unsur lain seperti oksigen, hidrogen dan karbon diperoleh daripada udara. Unsur dalam sebatian ini akan diadunkan mengikut formulasi yang ditetapkan dan dilarutkan di dalam air menjadi larutan stok baja sebelum dibancuh ke dalam air. Ia kemudiannya diagihkan ke setiap pokok dengan seragam. Formulasi baja berbeza mengikut jenis tanaman. • Rumusan baja halia fertigasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok B. Larutan stok baja disediakan dengan kepekatan 100 kali ganda daripada yang diperlukan oleh pokok, tetapi boleh juga disediakan dalam kepekatan 200 kali ganda untuk mengurangkan ruang menyimpan tangki larutan stok. Kalsium nitrat disediakan secara berasingan daripada sebatian yang mengandungi fosfat dan sulfat untuk mengelak berlakunya tindak balas kimia dan terjadinya pemendakan. Biasanya kalsium nitrat dan zat ferum disatukan dan disediakan berasingan daripada 9 sebatian lain. Larutan stok yang mengandungi CN dan zat ferum dilabelkan sebagai larutan stok A. Manakala larutan stok B mengandungi sebatian-sebatian lain seperti kalium nitrat, monokalium fosfat, magnesium sulfat, mangan sulfat, kuprum sulfat, zink sulfat, asid borik, ammonium molibdat atau natrium molibdat. Sebatian stok A dan B ditimbang berasingan dan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Larutan stok (pati baja) disyorkan supaya sentiasa tersedia dan dicairkan di dalam tangki larutan apabila diperlukan. Semasa membuat larutan baja, keduadua larutan stok tidak boleh dicampurkan serentak ke dalam tangki air. Larutan stok hendaklah dituang satu persatu bagi mengelak berlakunya tindak balas kimia yang mewujudkan sebatian lain yang tidak larut.

Pengur
san tanaman halia secara fertigasi tidak sukar dilakukan asalkan pengusaha memahaminya. Pemberian larutan baja dilakukan mengikut masa yang ditetapkan dengan bantuan pengatur masa (timer). Tanaman halia memerlukan larutan nutrien dengan kepekatan yang tertentu di beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah µS. • Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5 - 4.0. Bagi pokok halia nilai bacaan EC yang disyorkan adalah antara 1.8 - 2.4. Pada umur pokok yang baru dipindahkan ke dalam polibeg nilai pada EC yang diberi ialah 1.8. Ia kemudiannya dinaikkan kepada 2.4 selepas minggu ketiga sehingga tamat musim penanaman. Kejadian penimbunan sisa garam galian di dalam medium tanaman sering terjadi di kawasan tanah rendah tropika. Selepas 30 hari, medium tanaman di dalam polibeg perlu dibilas dengan air bersih yang dilakukan setiap 15 hari bagi melarut dan seterusnya menyahkan timbunan garam yang boleh menyebabkan toksik kepada tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama 1 jam tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok. Satu lagi faktor yang penting dalam pengeluaran tanaman halia adalah aras keasidan larutan nutrien yang dinamakan pH iaitu pengukuran asid atau alkali sesuatu larutan. Larutan itu berasid jika pHnya kurang daripada 7, neutral pada nilai 7 dan alkali jika nilai bacaannya lebih daripada 7. Bagi tanaman halia secara fertigasi, pH yang disyorkan adalah antara 5.5 - 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus. Kaedah Pengairan baja hendaklah dilakukan setiap hari dengan kekerapan 4 - 6 kali sehari dan ia bergantung pada keadaan cuaca dan peringkat umur pokok. Pada hari yang panas pembajaan fertigasi dilakukan 4 - 6 kali sehari. Pada hari hujan atau mendung dan lembap pembajaan dilakukan 1 - 2 kali sehari. Pokok halia yang baru ditanam tidak memerlukan banyak baja berbanding dengan pokok halia yang telah ada mengeluarkan rizom. Jangka masa penitisan ini dilakukan bergantung pada saiz paip dan tekanan air (pam) iaitu 3 - 5 minit. Biasanya pam dimatikan apabila kelihatan tanda-tanda lembap pada medium tanaman dan lebihan air mula keluar daripada lubang lebihan air. Secara umumnya, tanaman memerlukan 1 - 1.5 liter air sehari. Pada peringkat awal iaitu selepas dipindahkan ke dalam polibeg, kuantiti larutan baja yang diperlukan adalah antara 200 - 300 ml sehari. Selepas minggu ketiga dipindahkan ke dalam polibeg, keperluan larutan baja bertambah kepada 500 - 800 ml sehari. Pokok perlu diperiksa setiap hari untuk mengesan penitis yang tersumbat bagi mengelak pokok layu kerana tidak mendapat larutan baja. Pemeriksaan yang cekap boleh dilakukan antara jam 9.00 -10.00 pagi. Biasanya pokok halia akan layu bermula daripada daun. Apabila ini terjadi, cabut penitis daripada tiub mikro dan bersihkan. Penggunaan penapis lazimnya boleh mengurangkan masalah ini. Walau bagaimanapun, penapis perlu sentiasa dibersihkan dari semasa ke semasa supaya dapat berfungsi dengan baik.

Amalan agronomi dengan cara m
engawal penyakit dan serangga perosak perlu untuk  dijalankan sepanjang penanaman dilakukan. Penanaman halia secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan ada menghadapi beberapa masalah serangga perosak dan penyakit. Faktor asas seperti kebersihan persekitaran ladang, kebersihan sistem pengairan fertigasi dan amalan kultur oleh pengusaha dan pekerja ladang memainkan peranan penting dalam mencegah sebarang serangan serangga perosak dan penyakit. Mungkin akan ada serangan serangga perosak dan penyakit utama tanaman halia boleh dikawal dengan cara amalan kultur yang betul atau menggunakan racun perosak atau kedua-duanya sekali. Penyemburan racun perosak hanya digunakan apabila perlu sahaja dan semua tatasusila penggunaan racun kimia mesti betul dan dipatuhi. Diantara perosak dan penyakit tanaman halia termasuk  Ulat pengorek (Udaspes folus)yang mesti dikawal dengan menyembur racun Permethrin, Penyakit  Layu Bakteria (Pseudomonas solanacearum) dikawal dengan memusnahkan pokok berserta polibeg dan medium yang berpenyakit. Boleh juga menggunakan rizom benih yang sihat dan pelu dipastikan ada sistem saliran yang baik. Penyakit halia jenis Bintik Daun Halia (Phyllosticta zaingibera) dikawal dengan menyembur racun kulat Benomyl atau membuang daun berpenyakit. Penyakit akar (Fusarium oxysporum) boleh dikawal dengan cara menyembur racun Previcur N atau caralain menggunakan rizom benih yang sihat dan memenentukan saliran yang baik.

Dalam usaha menanam halia secara fertigasi apa yang paling utama adalah penghasilan dari penuaian dijalankan. 
Halia boleh dituai sebagai halia muda atau halia tua/matang. Halia boleh dipungut sebagai halia muda dalam masa 4 - 6 bulan selepas dipindahkan ke dalam polibeg. Manakala tuaian bagi halia tua atau matang boleh dituai dalam tempoh 9 bulan selepas dipindahkan ke dalam polibeg. Bagaimana pun penulis blog dapati perlu dilihat rupa tanaman halia tersebut dimana diantara tanda-tanda halia sudah matang atau tua adalah berlakunya nekrosis di bahagian hujung daun dan daun halia mulai kering pada usia 7 - 8 bulan. Secara purata setiap rumpun halia di dalam polibeg akan menghasilkan 2.4 sekilo halia muda manakala bagi halia tua, rizomnya mampu mencecah 5.4 sekilo (Sila lihat foto disebelah) Penggredan hasil rizom halia dilakukan berdasarkan saiz rizom, timbangan berat dan rasa kepedasan rizom halia. Pengendalian lepas tuai yang teratur bagi halia amat penting untuk mengawal kerosakan dan kemerosotan mutu kualiti rizom. Mutu dan harga pasaran halia boleh berubah menurun akibat jangkitan kulat, kehilangan air (kecut dan berkedut-kedut) dan juga percambahan tunas. Polibeg halia dialihkan ke bangsal atau tempat yang redup pada awal pagi ataupun petang. Halia akan dikeluarkan daripada polibeg dan dicuci dalam keadaan persekitaran yang redup bagi mengelak kehilangan kandungan air yang selalunya boleh menyebabkan halia menjadi kecut. Kesan pancaran matahari juga boleh menyebabkan penghijauan yang akan menjejaskan mutu halia. Rumpun halia akan dipotong dan diasingkan daripada beg tanaman. Halia dan medium tanaman akan dikeluarkan daripada beg tanaman. Seterusnya, rizom akan diasingkan daripada medium tanaman dengan menggunakan semburan air separa kuat supaya tidak menjejaskan rupa dan bentuk halia. Halia yang telah dibasuh dimasukkan ke dalam bakul plastik. Bahan pengalas seperti kertas atau span perlu bagi mengelak geseran antara bakul dan rizom halia. Kutipan harus dibawa dengan secepat mungkin ke tempat Pusat Pengumpulan atau rumah pembungkusan bagi operasi penyediaan yang seterusnya. Banyak analisa ekonomi dilakukan mengenai menanam halia fertigasi. Analisis ekonomi ini mengambil kira kesemua kos yang terlibat serta pulangan (hasil) yang diramalkan daripada projek ini. Kos pembangunan Projek ini melibatkan kos pembangunan (kos permulaan) yang tinggi terutama untuk pembinaan struktur pelindung hujan dan sistem pengairan fertigasi. Bagi satu hektar tanah biasanya sebanyak 30 unit struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis serangga sesuai dibangunkan yang melibatkan kos sebanyak RM355,400. Kos operasi dan penyelenggaraan Kos operasi dan penyelenggaraan meliputi upah/gaji serta kos untuk kerja membaik pulih infrastruktur. Kos penyelenggaraan merangkumi 5% daripada jumlah kos pembangunan. Kos pengeluaran Kos pengeluaran pula akan merangkumi kos input (baja fertigasi, benih, racun dan lain-lain. Anggaran kos pengeluaran bagi halia muda dan tua adalah dimana bagi Tuaian HALIA MUDA menghasilkan sebanyak 2.4 kg/pokok/musim. Bilangan musim/tahun adalah sekitar 3 kali dengan bilangan pokok/SPH sebanyak 500 polibeg. Anggaran jumlah hasil sekitar 108,000 kg dimana dengan anggaran harga ladang RM3/kg maka anggaran jumlah pendapatan/tahun sebanyak RM324,000. Dalam pada itu bagi tuaian HALIA TUA mampu menghasilkan sebanyak 5.4 kg/pokok/musim dengan bilangan 1 kali musim/tahun. Dengan bilangan pokok sebanyak 500 pokok ia akan menghasilkan sebanyak 81,000 kg semusiam. Halia tua boleh dijual dengan harga ladang sekitar RM3.60/kg diman ini akan menjadikan anggaran pendapan kasar setahun sebanyak RM291,600/tahun atau RM 24,400 sebulan. Itu diatas kertas dimana ia boleh didapati jika semuanya okey. bagaimana pun jika kurang 50% pun masih tinggi anggaran pendapatan. Penanaman halis secara fertigasi sangat berpotensi dengan Nilai Kini Bersih pada 10% adalah RM493,420 (Halia tua) dan RM36,674 (Halia muda) dengan Nilai Nisbah Kos (BC Ratio) 1.78 (Halia tua) dan 1.69 (Halia muda). Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
MENANAM HALIA... FERTIGASI CARANYA...
DALAM POLIBEG... BAWAH SPH MESTINYA...
TUAI HALIA MUDA... ATAU PUN HALIA TUA...
BOLEH UNTUNG... JIKA IANYA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(28 JamadilAwal 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.