Dalam teknik tanaman hidroponik media tanaman yang betul akan memudahkan pengurusan dan penghasilan. Ini kerana bagi cara penanaman secara biasa lazimnya tanaman akan ditanam di dalam media tanah. Tanah dapat membekalkan utamanya air dan nutrien kepada tanaman. Selain daripada itu biasanya media yang digunakan memberi sokongan kepada tanaman dan pengudaraan kepada akar tanaman. Perbezaan utama antara media tanah dan media hidroponik ialah media hidroponik tidak perlu mengandungi sebarang nutrien kerana setiap nutrien yang diperlukan oleh tanaman disediakan oleh larutan nutrien.Terdapat pelbagai jenis media yang biasa digunakan di dalam penanaman secara hidroponik antaranya ialah cocopeat, rockwool, span, dan hydroton. Media ini juga merupakan ‘inert’ yang bermakna ia tidak mengandungi sebarang nutrien dan mikroorganisma serta tidak terurai (cocopeat adalah separa ‘inert’ kerana ianya media organik). Fungsi utama media hidroponik adalah untuk memegang air dan nutrien, menyokong tanaman dan membekalkan pengudaraan yang baik untuk akar tanaman. Walaupun begitu, penanaman sesetengah tanaman secara hidroponik boleh juga dibuat tanpa menggunakan sebarang medium. Apa pun pemerhatian penulis blog kini bagi kebanyakan tanaman ramai yang suka gunakan kenis media cocopeat kerana ia sesuai digunakan dan ia juga mudah untuk didapati.
(1) COCOPEAT (Sabut Kelapa)
Cocopeat adalah sabut kelapa yang telah diurai/dihancurkan oleh mesin pengurai sabut. Cocopeat digunakan sebagai media tanaman mengantikan tanah dalam tanaman secara fertigasi. Biasanya cocopeat boleh digunakan sehingga 3,4 kali (atau bahkan lebih) iaitu selepas dibasuh dengan air dan ia sememangnya ia lebih menjimatkan. Menggunakan cocopeat dalam polibeg atau takung sekaligus membolehkan ia membantu mengelakkan penyakit bawaan tanah kepada tumbuhan. Cocopeat memegang kelembapan dengan baik dan juga mempunyai pengudaraan yang baik tetapi sebaiknya ia perlu dibasuh sebelum digunakan kerana cocopeat mengandungi kandungan garam tinggi yang boleh mengganggu pertumbuhan tanaman. Campuran nutrien juga mungkin perlu disesuaikan untuk medium cocopeat dengan memberi lebih nitrogen dan magnesium. Terdapat beberapa ciri yang ada dan ini menjadikannya media yang utama dalam penanaman komersil antaranya adalah ia mempunyai kos yang rendah, mudah didapati, bebas dari penyakit tanah, memegang air dengan baik, ringan dan pelbagai lagi. Aspek-aspek ini juga menjadikannya alternatif utama kepada tanah bagi penanam-penanam hobi. Terdapat beberapa perkara penting yang anda perlu tahu jika ingin mendapatkan pertumbuhan tanaman yang terbaik apabila menggunakan cocopeat. Ini kerana didakwa dimana cocopeat boleh mempunyai kandungan garam sodium chloride yang tinggi. Ianya boleh menyebabkan pelbagai masalah untuk tanaman seperti membantutkan pertumbuhan dan menjejaskan aspek kesihatan. Namun apa pun masalah ini mudah sahaja untuk diselesaikan dengan dengan membasuh media cocopeat (flushing) sebelum digunakan untuk melarutkan garam dan menariknya keluar. Sebelum menanam disyorkan untuk meletakkan cocopeat di dalam bekas tanaman dan siram dengan air sehingga basah sepenuhnya untuk mengurangkan kandungan garam di dalam cocopeat. Alternatif yang lebih mudah adalah dengan menyediakan bekas dan tempat tanaman 1-2 minggu sebelum menanam dan biar hujan lakukan ‘flushing’ tersebut.
Memang cocopeat adalah jenis media yang mana kandungan nutrien didalamnya rendah. Oleh itu apabila menggunakan media cocopeat sebaiknya pembajaan perlu dibuat dari peringkat awal penanaman disebabkan kandungan nutrien di dalamnya adalah rendah. Kebiasaanya baja larut air seperti baja AB digunakan untuk tanaman yang menggunakan cocopeat. Kelebihan jenis baja larut air berbanding kebanyakan baja granul adalah ianya memang ada mengandungi kesemua nutrien yang tanaman perlukan. Untuk mendapatkan pertumbuhan yang terbaik, gunakan air larutan baja setiap kali siraman tetapi pastikan kepekatan adalah bersesuaian. Baja larut air adalah baja sintetik dan jika anda ingin menanam secara organik memang digalakkan menggunakan tanah campuran yang lebih sesuai dengan baja organik berbanding cocopeat. Medium organik seperti media cocopeat mempunyai caj-caj negatif pada permukaannya yang menarik ion-ion positif. Nutrien diambil oleh tanaman di dalam bentuk ion dan setiap nutrien mempunyai nilai caj yang tertentu. Ion kalsium dan magnesium lebih kuat tertarik berbanding ion positif lain kepada caj negatif pada cocopeat yang menyebabkan nutrien ini terikat dan tanaman tidak boleh mendapatkannya. Ini boleh menyebabkan tanaman tidak mendapat kalsium dan magnesium yang mencukupi. Anda boleh mengenali sama ada tanaman anda kurang nutrien kalsium atau magnesium serta nutrien lain dari warna daun.Cara untuk mengatasi isu ini adalah dengan meningkatkan nutrien kalsium dan magnesium di dalam larutan baja. Kalsium boleh dibekalkan dengan calcium nitrate dan magnesium boleh dibekalkan dengan magnesium sulfate atau epsom salt. Untuk setiap 10l air baja tambah 8g calcium nitrate dan 6g magnesium sulfate dan siram seperti biasa. Nutrien tambahan diperlukan pada awal penanaman sahaja (2-4 minggu) kerana lama-kelamaan lokasi-lokasi caj negatif medium cocopeat akan tepu dengan calcium dan magnesium dan nutrien. Nutrien tambahan ini sebaiknya diberikan dari awal lagi kerana kesan kekurangan kalsium terhadap daun tidak hilang jika diberikan selepas kekurangan dikesan kerana nutrien ini adalah ‘immobile’ di dalam tanaman.
(2) Hydroton
Hydroton ialah media tanam hidroponik berbentuk bulat dimana ia adalah media yang sangat baik kerana adalah dapat menyimpan kandungan air dengan baik, bersih. nilai pH yang neutral dan memang stabil. Ini kerana media ini selalu dijadikan pilihan kerana selain cocopeat biasanya pelet tanah liat atau yang biasa disebut hydroton juga menjadi media yang popular dikalangan pencinta tanaman. Seperti nama unik sebagai 'Hydroton' yang mana ia dibuat dari tanah liat yang membentuk bola bulat dari bahan berpori. Antara ciri menjadi kelebihan hydroton adalah dapat melepaskan nutrien ke aliran air dan pH neutral. Selain itu hydroton yang mana bentuknya yang bulat dapat membantu memastikan berlaku keseimbangan oksigen atau air sehingga tidak terlalu kering atau terlalu banyak air. Namun begitu didakwa kekurangan menggunakan hydroton ini adalah jisimnya yang berat untuk digunakan.
Artikel ini ditulis didalam 2 segmen iaitu Part 1 dan Part untuk dibaca bersama. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MEDIA TANAMAN...BANYAK JENISNYA...
COCOPEAT... ANTARA BANYAK DIGUNA....
BACA ARTIKEL... BARU TAHU BENDANYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka,
Malaysia.
(29 RabiulAkhir 1442H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.