Tuesday, November 17, 2020

TEKNOLOGI TANAMAN UBI KAYU (Part 2)


TANAMAN UBI KAYU
(Manihot esculenta Crantz ) atau Tapioca dipercayai berasal dari bahagian tropika Amerika dan diperkenalkan ke kawasan-kawasan tropika yang lain pada kurun ke-17 oleh penjajah Portugis. Ianya dari jenis tanaman dikotiledon dan tergolong dalam famili Euphorbiaceae. Di Malaysia tanaman ubikayu selalunya ditanam secara monokrop komersil atau pun ditanam sebagai tanaman campuran dengan buah-buahan. Bagaimana pun di kawasan pendalaman di Malaysia serperti perkampungan orang asli dan di Sarawak serta Sabah tanaman ubi kayu ini ditanam bersama-sama dengan padi bukit juga ditanam secara kecil-kecilan yang menjadi penting didalam membekal makanan mereka. Kini ada usaha sektor swasta untuk menanam secara besar-besaran untuk tujuan pengeluaran biodisel, kanji, prosesan keripik dan juga pelbagai produk lain. Tinjauan penulis blog ke negara jiran Thailand mendapati tanaman ubikayu idlakukan diatas tanah bris dimana ia merupakan tanaman komersil penting untuk dijual kepada kilang. Umum tahu dimana ubikayu boleh dijadikan sebagai makanan pada manusia serta haiwan ternakan dan juga boleh diusahakan untuk industri pengeluaran kanji. Ubi kayu juga mempunyai potensi sebagai bahan makanan ternakan, bahan mentah dalam pembuatan sirap fruktosa-glukosa kandungan tinggi (sejenis pemanis dalam industri minuman dan mimuman yang bertin) dan pengganti separa tepung gandum. Seluas 3,337 hektar ubikayu ditanam di Malaysia pada tahun 2018 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 48,652 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2019). Antara negeri yang luas menanam ubikayu di Malaysia adalah Johor (693 hektar), Selangor (676 hektar) dan Sarawak (641 hektar) dan negeri-negeri lain menanam luas kurang dari 100 hektar. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai teknologi tanaman ubikayu untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda semua.

Peringkat asas menanam ubikayu adalah menentukan jenis dan varieti ubikayu yang hendak ditanam dan mempastikan benih mencukupi dan tulin. 
Penyediaan bahan tanaman menggunakan keratan dimana ia hendaklah diperolehi dari bahagian batang yang telah cukup matang iaitu bahagian tengah batang. Bahagian batang yang muda tidak sesuai dijadikan bahan tanaman kerana ianya mudah kering. Jika ianya diperlukan juga kerana kekurangan bahan tanaman sebaiknya hendaklah ditanam terlebih dahulu di tapak semaian untuk tujuan pengakaran. Bahagian pangkal batang perlu dielakkan kerana bahagian ini selalu diserang oleh mosaik virus. Keratan hendaklah diperolehi dari pokok-pokok yang bebas penyakit. Keratan berukuran lebih kurang 30cm perlu disediakan apabila kerja-kerja penanaman akan dilakukan (Sila lihat  foto disebelah). Sebaiknya untuk penyediaan anak benih 30 cm bahagian pangkal dan hujung atau bahagian batang yang masih hijau perlulah dibuang. Dengan itu sebatang pokok ubi kayu dapat memberikan 4 - 5 keratan iaitu untuk pokok yang berumur 6 - 8 bulan selepas ditanam. Jumlah batang pokok ubi kayu yang diperlukan sebagai bahan tanaman untuk kawasan seluas satu hektar ialah lebih kurang 2,000 batang. Sementara sebanyak 9 - 10 keratan boleh diperolehi dari sebatang pokok ubi kayu yang berumur 10 - 12 bulan.  Sebelum menanam sebaiknya dielakkan dari kawasan penanaman yang lembab dimana ia menakung air yang boleh menyebabkan keratan anakbenih akan menjadi rosak atau buruk. Keratan benih akan mula tumbuh lebih-kurang dalam masa seminggu selepas penanaman. Kerja-kerja penggantian keratan yang tidak tumbuh boleh dilakukan dalam bulan yang pertama. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 1.0m x 1.0m dan jumlah keratan yang diperlukan untuk satu hektar ialah 10,000 keratan. 

Penanaman boleh dilakukan dengan 2 cara sama ada Secara Condong (Slanting) atau pun Secara Baring (Horizontal). Bagaimana pun penulis blog mendapati kebanyakan petani-petani mengamalkan penanaman cara condong.  Kaedah ini dimana benih atau bahan tanaman ini akan ditanam dengan membiarkan lebih kurang 10cm batang di atas permukaan tanah dengan beberapa tunas terdedah. Kecondongan yang selalu dilakukan adalah dipraktikan sekitar 40 - 45 darjah.
 Teknologi ini didakwa membolehkan pengakaran dan pertumbuhan pokok akan menjadi lebih cepat. Kaedah kedua iaitu menanam car baring dilaporkan lebih sesuai untuk kawasan yang kurang menerima hujan atau tanah yang mudah kering. Cara ini adalah untuk tanah yang sering basah mungkin akan menyebabkan keratan mudah rosak atau buruk. Jika penanaman menggunakan jentera diamalkan maka selalunya kaedah penanaman secara baring adalah sesuai kerana pertumbuhannya akan lebih seragam. Ada pula amalan menanam Secara Menegak bagi diamalkan seseorang petani terutama dikawasan tanah gambut. Menanam secara menegak membolehkan akar akan keluar daripada semua sudut dan pembentukkan umbisi kebih menyeluruh kedudukannya. kelemahan tanaman secara menegak dimana ada kemungkinan anakbenh tumbang jika tidak terlalu dalam semasa mennamnya.

Penanaman u
bi kayu memerlukan makanan yang banyak. Oleh itu baja yang sewajarnya perlu diberikan. Pada amnya penggunaan baja lengkap/sebatian (NPK 12:12:17:2 ) dengan kadar 450kg - 700kg/ha boleh digunakan. Pembajaan secara tabur tidak begitu digalakan kerana ini akan memudahkan rumput rampai mengambil nutrien berkenaan. Pembajaan boleh dilakukan semasa penanaman dan pembajaan kali ke-2 boleh dilakukan pada ketika umur pokok 2 bulan selepas ditanam. Kawalan rumpai memang sangat penting didalam amalan agronominya. Semasa penyediaan tanah pada peringkat awal yang teratur dikatakan dapat mengawal rumput dengan baik. Pengawalan rumpai perlu dilakukan dalam masa tiga bulan yang pertama. Selepas pokok tumbuh dengan rimbun dan subur secara tidak langsung pertumbuhan rumput-rumpai dapat dikawal. Kawalan rumput-rumpai pada tiga bulan yang pertama ini boleh dilakukan secara manual atau penggunaan racun herba. Pengawalan rumput secara manual ialah samaada menggunakan tajak atau cangkul. Kerja-kerja merumput menggunakan kaedah ini boleh dilakukan ketika pokok berumur 25 - 30 hari selepas ditanam dan merumput kali yang kedua boleh dilakukan pada ketika umur pokok dua bulan. Penggunaan racun pra-cambah seperti Diuron (1.6kg a.i./ha ) boleh juga digunakan untuk mengawal pertumbuhan rumput. Penyemburan dilakukan sebelum atau sejurus selepas penanaman. Jika penggunaan racun ini tidak begitu berkesan kerja merumput perlu dilakukan pada bulan yang ke-2 atau ke-3. Racun rumput pra-cambah seperti seperti Atrazine dan Alachlor boleh juga digunakan. Artikel ini mempunyai 3 segmen yang perlu dibaca bersama. Semuga siri artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM UBIKAYU... TEKNOLOGI ADA...
JENIS MANIS... JENIS PAHIT YANG MANA...
BENAIH DPTANAM... KEMUDIAN DI BAJA...
BILACUKUP UMUR... DITUAI HASILANNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronommist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(29 RabiulAwal 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.