Wednesday, November 11, 2020

KULAT GANODERMA - APAKAH DIA?

GANODERMA (Ganoderma boninense) adalah termasuk organisma eukariotik yang digulongkan dalam kelompok cendawal atau kulat sejati yang memiliki bahagian tubuh buah. Dinding sel terdiri jenis Chitin yang tidak memiliki klorofil. Kulat ini juga termasuk jenis kulat yang mudah tumbuh dan membiak diatas yang bersifat saprofit dan parasit pada tumbuhan. Sebagai sejenis pahogen, kulat ini selalunya akan menyebabkan Penyakit Reput Pangkal Batang dan Bahagian Akar kepada pokok hutan dan juga paling berisiko adalah tanaman Kelapa Sawit. Penyakit reput pangkal batang (RPB) yang menyerang pokok kelapa sawit disebabkan kulat Ganoderma dianggap ancaman terhadap industri sawit negara pada masa kini dan masa hadapan. Jika tidak dikawal secara konsisten, industri sawit dijangka mengalami kerugian besar, sekali gus menjejaskan pengeluaran hasil dan akhirnya pokok mati. Rekod menunjukkan ada ladang sawit dijangkiti kulat berkenaan seawal usia dua tahun selepas ditanam. Sebanyak 632 daripada 1,061 ladang (59.57 peratus) di negara ini membabitkan kawasan 59,148 hektar dilaporkan diserang kulat Ganoderma dengan anggaran kerugian RM1.5 bilion. Kes serangan kulat Ganoderma di beberapa ladang FELDA menunjukkan peningkatan jangkitan saban tahun dengan rekod pada 2014 mencapai 60 peratus membabitkan 261 ladang. Penyakit ganoderma ini merebak melalui akar yang memusnahkan sistem saluran air dan nutrien pokok yang dijangkiti mengakibatkan pereputan batang sawit. Kesan perubahannya terhadap kanopi pokok seperti pucuk baru tidak berkembang, pelepah menjadi hijau pudar, kekuningan, terkulai layu dan kering sehingga akhirnya menyebabkan pokok tumbang dan mati. Pokok yang dijangkiti Ganoderma menyebabkan pengurangan hasil melalui bilangan tandan berkurangan manakala buah makin kecil dan ringan. Oleh itu pelbagai kaedah dan cara dilakukan secara tepat untuk mengatasi penyakit ganoderma agar ianya dapat dicegah dengan maksima. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsi maklumat dengan pembaca semua mengenai ganoderma sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

Struktur kulat Ganoderma boleh mencapai saiz diameter sehingga 30 cm. Warna permukaan atas tubuh buah kecoklatan dengan tepi putih kekuningan dimana semasa kulat ini matang warnanya mengilat (Sila lihat foto disebelah). Pada permukaan bahagian bawah berwarna putih pudar dan ia mempunyau lubang atau berpori iaitu ditempat terbentuknya basidium spora. Spora bagi kulat ini lazimnya boleh bertahan dalam tanah dalam keadaan dorman sampai bertahun-tahun lamanya dan boleh tumbuh semula. Struktur kulat ganoderma ini selalunya akan terletak saling berdekatan atau ia saling menutup dan bersambung sehingga terbentuk susunan besar. Dari segi pengelasan kulat ganoderma ini sebenarnya ia dari kumpulan Kingdom : Fungi, Phyllum : Basidiomycota, Class : Basidiomycetes, Subclass : Agaricomycetidae, Ordo : Polyporales, Family : Ganodermataceae, Genus : Ganoderma dan yang dibincangkan adalah dari Species : Ganoderma boninense. Sebenarnya bila menyebut cendawan ganoderma ia juga banyak ditanam sebegai makanan berkhasiat yang komersil. Jenis
Ganoderma berguna ini adalah sejenis cendawan yang mempunyai nilai-nilai perubatan atau farmaseutikal yang unik. Istilah saintifik bagi kulat berfaedah ini adalah Ganoderma lucidum, manakala istilah am yang lainnya ialah Reishi yakni panggilan bagi masyarakat di Jepun dan Ling-zhi pula panggilan bagi masyarakat di China. Kulat ini berwarna merah dan mempunyai kulit luar yang keras dan berkilat. Ia adalah lebih terkenal dengan nama Reishi dan Ling-zhi dan telah digunakan oleh masyarakat China dalam bidang perubatan semenjak lebih 3,000 tahun lampau.

Ciri-ciri Ganoderma yang perlu pembaca fahami adalah apabila spora dari kulat ini dapat bertahan selama bertahun-tahun dalam tanah dengan masa inkubasi yang lama dimana ia boleh menyebabkan berlaku serangan oleh kulat ini yang juga hampir tidak dapat dikenali sejak mula. Selalunya pada awalnya serangan oleh kulat dan penyakit ini hanya menyerang tanaman kelapa sawit generasi kedua dan seterusnya. Bagaimana pun ia juga boleh menyerang tanaman kelapa sawit yang baru ditanam dengan umur masih muda pada generasi pertama bahkan banyak juga dilaporkan ia menyerang semasa menyediakan benih ditapak semaian lagi. Tanda serangan oleh kulat ini pada pokok sawit muda dilihat bila daunnya menguning pada satu sisi, berbintik-bintik, bentuk daun yang lebih pendek yang diikuti nekrosis (Singh, 1991). Secara keseluruhan warna daun menjadi pucat dan pudar dengan kadar pertumbuhan pokok menjadi lambat serta daun tombak tidak membuka. Selalunya gejala serangan pada tanaman dewasa hampir serupa dimana dapat dibagi menjadi beberapa stadium iaitu Stadium 1, Satdium 2, Stadium 3 dan Stadium 4. Peringkat Stadium I dimana warna daun menguning, pucat, tidak berkilat, layu seperti kekurangan air dan terdapat nekrosis pada helaian daun mulai dari pelepah tertua. Dilihat juga dimana pelepah pucuk paling atas lebih kecil dibanding pelepah daun dibawahnya. Peringkat Stadium II dimana tanda serangan terus meluas dan muncul miselium benang-benang putih pada pangkal batang dan akar di sekitarnya. Gejala nekrosis semakin meluas sampai pada pucuk daun termuda. Peringkat Stadium III dilihat dimana miselium berubah menjadi tubuh batang jamur yang muncul pada pangkal batang, daun tombak yang tidak terbuka ≥3 pelepah di ujung tanaman serta pelepah ke 4,5 dan 6 patah dan menggantung. Peringkat Stadium IV apabila didapati pada pangkal batang dan akar keropos sehingga tanaman mudah roboh. Pada stadium ini tanaman sudak tidak mungkin bisa disembuhkan serta kemungkinan menjalar ke tanaman di sekitarnya sangat besar.

Kaedah Penyebaran Penyakit Ganoderma pada kelapa sawit dari jenis Kulat Ganoderma boninense dilaporkan  ia sudah tersebar meluas di seluruh dunia. Apa pun didapati sebenarnya diperingkat awal lagi kulat ini tumbuh subur pada tanaman dalam hutan dan keluarga Arecaceae (Palma). Dilaporkan dimana cara penularan penyakit yang disebabkan oleh kulat ini dapat melalui beberapa cara. Pertama sekali melalui kontek langsung dengan bahagian akar pokok yang telah sakit. Ia mudah berlaku apabila tanaman dewasa yang sudaj diserang iaitu bahagian pelepah daun dan akar tanaman sudah saling bertemu. Juga banyak dilaporkan sering terjadi pada tanaman kelapa sawit yang bersempadan langsung dengan hutan. Kedua penyebaran dengan penyebaran melalui Spora. Apa pun spora merupakan organ pembiakan kulat Ganoderma boninense dimana sebuah kulat atau cendawan Ganoderma dapat menghasilkan jutaan spora yang dapat tersebar melalui agen pembawa seperti udara, air dan tanah serta serangga. Ketiga dengan cara penyebaran innokulum sekunder iaitu daripada innokulum spora ganoderma berasal dari tanaman kelapa sawit yang terinfeksi dan sudah mati. Apa pun selalunya semakin tua umur tanaman sawit yang mati maka semakin banyak sumber populasi innokulum yang tersedia.

Bagaimana pun memang banyak cara pencegahan dan Pengurusan Kulat Ganoderma ini dibuat penyelidikan dan rawatannya. Konsep yang selalu di pentingkan adalan "Adalah Lebih Baik Mencegah Daripada Mengubati". Ini amat penting difahami kerana pepatah ini sangat tepat untuk kaedah mengendalikan penyakit yang disebabkan oleh kulat dari spesis Ganoderma boninense ini. Memang agak sukar untuk mengesan dan mengesahkan simptom serangan ganoderma sejak daripada peringkat awal. Perkara ini menyebabkan penyakit ini sangat susah untuk dikendalikan kerana apabila ia sudah muncul tanda serangan biasanya sudah dalam stadium akhir serangan sehingga tidak mudah untuk dirawat. Apa pun banyak saintis berpendapat pencegahan dan pengendalian ganoderma dapat dilakukan secara bersepadu dan konsep menyeluruh melalui beberapa pendekatan. Kaedah paling asas adalah apa yang dikatakan sebagai mematuhi "Standard Operating Procedure (SOP)" dimana ia bermula dari cara pembukaan tanah, penyediaan benih tanaman, penanaman dan pengurusan tanaman yang baik. Amalan melakukan bancian dan diagnosis pokok secara rutin untuk mengetahui status serangan penyakit ganoderma sejak awal penting untuk diakukan pengawalan dengan baik. Antara bahan yang sering digunakan adalah penggunaan Trichoderma spp dan Gliocladium spp. Tetapi kedua bahan semulajadi ini didakwa bukan jawapan yang lengkap dimana ia juga masih belum memberikan hasil yang signifikan. Apa pun ada mereka yang menggunakan kombinasi lengkap produk GDM seperti GDM Blackbos, GDM SAME Granule dan Baja Organik Cecair khusus untuk tanaman Kelapa Sawit. Ada juga yang mana mereka menggunakan bakteria Pseudomonas alcaligenes dan Pseudomonas stutzeri yang terkandung didalam baja organik cecair. Ada dakwaan dimana hasil kelap sawit boleh meningkat sebaik sahaja serangan ganoderma terkawal. Penambahbaikan kesuburan tanah dengan penggunaan bahan perapi tanah seperti Dolomite dan Zeolite juga dilaporkan banyak mengatasi masaalah serangan kulat ganoderma. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
KULAT SERANGAN SAWIT...GANODERMA..
MUDAH MEMBIAK... MELALUI SPORA...
PERLU DIKENALPASTI... DARI MULA...
SUDAH ADA.. MESTI DIKAWAL SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11F, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(1 RabiulAwal 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.