Monday, October 5, 2020

KEMAJUAN SEKTOR PERTANIAN DI MALAYSIA

SEKTOR PERTANIAN 
sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah sektor ini juga merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor pertanian ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut dimana majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan. Namun begitu penulis blog mendapati dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur dipandang sayu walau pun peranannya  masih sangat relevant. Para petani tradisional juga dilaporkan semakin berkurangan tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun. Lebih parah dan juga kesan kemajuan sektor lain menyebabkan generasi pelapis yang diharapkan akan meneruskan pekerjaan turun-temurun itu lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang didakwa ianya lebih ´bermaruah´ dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan. Perkara ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian didakwa masih tidak stabil. Berlaku penghijrahan tenaga buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan kekurangan tenaga buruh terutama untuk sektor pertanian. Malahan dilaporkan bilangan ladang di Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh turut meningkat tahun demi tahun. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology" malam ini saya menulis mengenai kemajuan dan isu semasa sektor pertanian di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukan semua pembaca.

Berlaku k
ekurangan tenaga buruh yang mendesak menyebabkan ramai pekerja asing dibawa masuk. Di antara tahun 2001-2003 sahaja dilaporkan ada seramai 19,343 buruh asing tambahan telah diambil bekerja dalam sektor pertanian (termasuk sektor peladangan). Lebih parah, petani asal yang tinggal adalah terdiri daripada petani yang sudah tua dan uzur. Berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian pada tahun 2002/2003, 39% daripada petani yang ditemubual berumur lebih dari 55 tahun. Selain daripada faktor dalam penghijrahan ini, antara masalah yang dihadapi oleh sektor pertanian kini ialah saiz ladang yang berskala kecil dan tidak ekonomik. Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Kajian yang dijalankan mendapati 65% pesawah padi mengusahakan sawah yang bersaiz kurang dari satu hektar. Sub-sektor pengeluaran makanan pertanian juga terpaksa bersaing dengan sektor perladangan untuk mendapatkan tanah yang baik. Umpamanya, sektor perladangan sahaja menguasai 83% daripada 6.36 juta hektar tanah yang bertanam.Di samping saiz tanah yang kecil dan tidak ekonomik, terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi daya pengeluaran yang rendah dan kos purata yang tinggi di sub-sektor pekebun kecil. Pertama ialah kekurangan tenaga buruh yang berpelajaran, produktif dan cekap. Kekurangan ini akan menyebabkan perancangan yang baik dan pengurusan yang cekap tidak dapat dilaksanakan. Juga, petani yang kurang pendidikan akan menghadapi masalah kekurangan modal kerana mereka sukar memperolehi kredit daripada institusi kewangan. Untuk mendapatkan kredit, mereka terpaksa memenuhi syarat dan keperluan yang kompleks yang ditetapkan oleh institusi berkenaan.

Kekurangan modal pula merupakan penghalang untuk mereka menyerap teknologi moden, terutamanya menanam semula tanaman getah yang telah tua dengan baka benih atau klon yang tinggi daya pengeluarannya dan lumayan hasilnya. Sebabnya untuk menanam semula dimana ramai petani terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan hasil. Dalam tempoh tersebut lazimnya mereka tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan semasa lagi. Dengan itu walaupun ada teknologi moden berpotensi memberikan manfaat yang besar akan tetapi mereka tidak berkemampuan untuk menerimanya. Disebabkan kekurangan pengetahuan tentang teknologi moden, kebanyakan petani tidak mengguna baka benih atau klon yang berdaya pengeluaran tinggi yang terkini, tidak menggunakan baja dan bahan kimia secara optimum dan betul maka mereka tidak melaksanakan pembaik pulih tanah dan mengamalkan adat dan budaya tradisi yang tidak mendorong ke arah memperoleh daya pengeluaran yang tinggi. Selain daripada itu, negara juga menghadapi masalah kekurangan benih di sektor-sektor kecil tertentu. Bagi sektor sayur-sayuran umpamanya, 95% benih yang diperlukan adalah diimport dari Thailand, Taiwan, China, Australia dan lain-lain lagi. Benih buah-buahan seperti benih hybrid tembikai yang berhasil tinggi pula perlu djimport dari luar negeri seperti Taiwan. Harga benih hybrid ini agak tinggi dan mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran. Negara juga perlu mengimport 25% benih ikan untuk menampung keperluan semasa. Dari segi pelaburan swasta dalam sektor makanan, ianya lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di dalam sektor pembuatan atau sektor perladangan. Ini kerana masih wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian mundur dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain. Selain daripada itu, sektor pengeluaran makanan juga memerlukan usaha lebih intensif berbanding dengan sektor-sektor lain. Sebagai usaha untuk memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan ladang sedia ada kepada ladang berskala komersil, Kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak syarikat swasta yang besar untuk menceburi sektor pengeluaran makanan.

Kesan daripada proses l
iberalisasi perdagangan di bawah WTO dan AFTA juga akan menyebabkan hasil pertanian negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang rendah. Lambakan hasil pertanian dijangka akan berlaku apabila sekatan bukan tarif di negara-negara ahli yang mempunyai kos pengeluaran lebih tinggi dihapuskan. Import makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion. Kenaikan permintaan makanan membawa kepada kenaikan harga makanan. Pada 1996, kenaikan harga makanan menyumbangkan 57% daripada kenaikan Indeks Harga Pengguna. Kejatuhan ringgit sejak Julai 1997 sebanyak 40% (RM2.6 kepada RM3.6 sedolar) telah meningkatkan kos import makanan dan input pertanian. Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada 1997. Krisis kewangan telah menyedarkan Malaysia akan perlunya peningkatan dalam aspek keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan sendiri dan menyusun strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan dari negara lain. Juteru, di sinilah sektor pertanian memainkan peranan pentingnya.

Berlaku juga proses transformasi pertanian di Malaysia dengan beberapa Pelan Rancangan Malaysia (RMK). 
Sektor pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Justeru itu kerajaan di bawah kementerian yang berkaitan melihat usaha-usaha berikut sebagai jalan penyelesaiannya dimana strategi pertama dengan melakukan 'Transformasi Ladang'. Bagi saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet/kelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program seperti Plantation Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi tujuan untuk mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu. Strategi kedua adalah melalui 'Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi". Cara ini dimana negara perlu meningkatkan tahap dan proses dalam pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post harvest´ atau lepas tuai.

Strategi ke tiga adalah melalui '
Pengurusan Ladang Yang Moden' dimana dialukan program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal.Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar. Strategi ke empat dengan amalkan 'Daya saing Lebih Tinggi' dimana kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang pemprosesan, stesen kuarantin dan setiap pintu masuk ke dalam negara.

Strategi kerajaan yang ke lima dengan '
Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan' bagi mengatasi masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan, intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Seterusnya melaksanakan 'Pengezonan (zoning)' yang selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian yang berasaskan produk, pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan berjaya dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage) diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC). Perlaksanaan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga membolehkan kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu. Seterusnya adalah mewujudkan 'Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan' dengan menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya. 

Aspek ke 8 adalah mengadalan '
Latihan Pertanian' kepada golongan sasaran dimana peranan Pusat Latihan Pertanian Negara dipertanggungjawabkan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang pasti ada berpengetahuan dan berkemahiran. Selain daripada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang membina Kolej Pertanian di Kedah di samping meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada supaya dapat memberikan latihan yang lebih baik kepada golongan sasar. Strategi ke sembilan adalah menyediakan 'Kemudahan Infrastruktur Pertanian'. Sebagai usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor pertanian, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke pasaran. Walaupun peruntukan yang besar memang diperlukan oleh sektor pertanian, kedudukan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dapat disangkal. Justeru, mengekal dan memeliharanya merupakan langkah yang sangat bijak oleh kerajaan disamping dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi bagi umat warganegara khasnya dan warga dunia amnya yang semakin bertambah. Sektor pertanian di Malaysia merupakan masih sangat relevan terutama disasakan selepas kes Pandemik Covid-19 apabila sektor lain tidak bergerak akan tetapi sektor pertanian dan makanan dilihat sangat kritikal kepentingannya. Apa pun sektor pertanian perlu dirancang terus program dan pertumbuuhannya demi kepentingan keselamatan negara. Semuga artikel ini memberi info berguna kepasa semua pembaca blog anim agro technology kali in. Wasallam!!!...
SEKTOR PERTANNIAN..JANGAN DILUPA...
PENTING DIBANGUNKAN... SENTIASA...
PANDEMIK COVID19... AMAT TERASA...
MAKANAN PENTING... MAJU MALAYSIA...

By,
M Anem,
Senior Agronoomist Expert,
Room Irama 5, Mezzanine Floor,
Hotel Everly, Putrajaya,
WP Persekutuan,
Malaysia.
(18 Safar 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.