Thursday, October 29, 2020

APAKAH DIA - KELADI BIRAH?

PERKATAAN 'BIRAH' adalah merujuk kepada tumbuhan jenis keladi daripada genus Alocasia. Terdapat banyak jenis perkataan yang berkaitan dengan 'birah' tetapi orang Melayu sejak dahulu lebih suka memanggilnya dengan merujuk kepada tumbuhan keladi kerana lebih dikenali melalui pepatah "miang keladi". Peribahasa 'Miang Keladi' ini bermakna iaitu seseorang yang semakin tua semakin miang atau dalam bahasa mudah selalu dikatakan 'menggatal'. Terdapat juga tempat yang dinamakan sempena pokok birah iaitu Kampung Teluk Birah yang terletak di Teluk Intan, Perak malahan ada sebuah sekolah dinamakan Sekolah Kebangsaan Teluk Birah. Penulis blog yang banyak menulis mengai pelbagai jenis tumbuhan di Malaysia termasuk tanaman keladi mendapati dimana pokok birah adalah tumbuhan berubi (rizom). Batang pokok keladi ini tidak nyata dengan tangkai yang bergabus serta tidak bercabang dan bercantum sempurna dengan daun. Tunas daun baru terbentuk pada pangkal daun lama dimana jika diteliti akan dilihat bentuk daun berbagai. Ciri bentuknya ini yang sebenarnya membezakannya dengan keladi minyak ialah tangkainya bersambung di celah cabang daun manakala tangkai keladi minyak bersambung di tengah daun . Daunnya kalis air dan mempunyai lapisan seperti lilin di permukaan daun. Anak pokok baru boleh tumbuh dari ubi keladi dan terpisah dari ubi utama. Anak pokok mempunyai bentuk daun yang berbeza kerana faktor ontogeni. Keadaan ini selalunya memang menyukarkan didlam sistem penamaan kepada anak pokok birah yang dijumpai dari habitat asal. Apa pun dari segi aspek bitaninya dan dari segi pengkelasan saintifi saya dapati pokok birah adalah tumbuhan Angiosperma daripada jenis monokotiledon dalam order Arales dan Keluarganya adalah dibawah Araceae (jenis kumpulan keladi). Artikel subuh yang dingin ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya berjaya paparkan mengenai keladi birah dan beberapa info penting boleh dibaca mengenainya untuk dijadikan bahan rujukkan. 

Penulis menarik kepada tajuk iaitu Keladi Lambuk dan Keladi Birah. Dalam saya merujuk beberapa pakar dalam botani tumbuhan ada dinyatakan bahawa perkataan  '
Birah'  sebenarnya adalah dirujuk kepada satu jenis keladi yang dulu banyak tumbuh di Tanah Melayu (dan juga di Sumatra). Lazimnya juga perkataan ini hanya digunakan oleh masyarakat melayu di sekitar Malaysia dan ada digunakan di Bahagian Pantai Timur Sumatra, Indonesia. Mereka sebenarnya telah lama tahu dan mengenal Birah sebagai tanaman herba yang berguna untuk menghilangkan rasa sakit akibat angin atau masuk angin. apa yang dirujuk juga menyatakan simana daun birah pada kebun yang subur dapat mencapai ukuran lebar sehingga 1m atau lebih besar lagi. Bagaimana pun hakikatnya keladi birah suka hidup di tempat yang lembab dan semua orang perlu sangat berhati hati kerana Getah Birah yang berkhasiat ini gatal jika kena kulit apa lagi kalau jenis kulit yang allergik. Sekali pandang mungkin ramai dikalangan pembaca blog anim agro technology todak kenal aantara daun Keladi Birah dengan Daun Keladi Lambuk (Sila lihat foto diatas). Ini kerana jika dilihat sekali pandang ia seakan sama saahaja warna dan bentuknya. Bagaimana pun jenis keladi Lambuk yang dijadikan makanan tradisional di pendalaman Pahang ini telah dijadikan masakan eksotik. Saya  sudah beberapa kelai menikmati sayuan batang keladi lambuk yang dihidangkan semasa menjadi Pengarah Pertanian Negeri Pahang dahulu.

Sebenarnya pada daun keladi lambuk jika idteliti ememang berbeza dengan daun keladi birah. Hakikatnya adalah dimana daun keladi lambuk mempunyai struktur seperti 'bintat' pada laidaun seperti bintat dan lekukan (Sila lihat foto disebelah). Struktur ini tidak terdapat pada daun pokok keladi birah. Selanjutnya dalam membuat rujukkan mengenai keladi birah dimana ia digunakan untuk tujuan perubatan. Antara cara perubatan dengan keladi birah yang mana lama diamalkan adalah dengan memotong batang birah sepanjang 15 cm panjang. Bahan lain yang diperlukan seperti kapur sirih setengah sudu teh dan air panas untuk mencairkan kapur sirih. Caranya dengan mengambil kapur sirih dan ia kemudian diletakkan dalam piring kemudian dititiskan air hangat sehingga kapur pecah seperti pasta cair. Kemudian diambil sepotong batang keladi birah dan ianya ditekan atau diketukkan hujungnya pada kapur. Kapur yang melekat pada batang keladi birah disapukan pada bahagian badan yang ada sakit-sakit. Petua untuk menghindari getah yang gatal maka disyorkan agar digunakan alas lain sewaktu sesiapa cuba jika ingin memegangnya. Masyarakat melayu dahulu akan terus amalkan menggunakan keladi birah untuk mengubati masalah pada bengkak-bengkak, kejadian masuk angin, sakit kepala disebabkan oleh hujan, demam, perut kembung, masaalah kaki kejang atau kaki krem dan sebagainya. Walau pun amalan ini sudah agak dilupakan kerana lebih mudah mendapatkan rawatan dari klinik atau doktor hospital atau doktor swasta tetapi ianya masih relevant.

Bagi mengubati masaalah perut yang sakit kembung sebaiknya disapukan sahaja keladi birah disekitar pusat di perut. Ianya didakwa akan melegakan masaalah tersebut. Ada pun seterusnya untuk sakit kepala maka sebaiknya disapukan kapur dan keladi birah pada bahagian tengkuk. Ia juga didakwa akan dapat menghilangkan sakit kepala tersebut. Sebagaimana yang penuls bentangkan hanya berdasarkan kepada info yang diperolehi semasa membuat lawatan di kawasan kampung-kampung di Pahang. Lazimnya batang keladi birah berwarna kemerahan ('mirah' atau red colour). Dalam bahasa lain ia juga pernah dipanggil sebagai '
Sinthe wulung' di Indonesia iaitu sejenis tumbuhan dengan nama saintifiknya sebagai Colocasia plumbea. Apa pun cara perubatan menggunakan keladi birah ini semakin kurang popular masa kini kerana mudahnya untuk mendapatkan rawatan perubatan moden. Tanaman keladi ini mampu dan berpotensi untuk ianya dikembangkan bagi meningkatkan pendapatan petani. Penulis blog anim agro technology harap lebih banyak penyelidikan dan penulisan dalam negara mengenai keladi lambuk dan keladi birah dan bagaimana ia boleh ditanam secara komersil dan ekonomik. Pihak yang terlibat dengan penyelidikan tumbuuhan seperti MARDI, FRIM, Universiti dan pihak sawasta yang berkepentingan boleh meneruskan kajian dan penyelidikan mengenai kegunaan dan kepentingan keladi biran secara berterusan.

Menyentuh mengenai Birah Ular atau keladi ular dengan nama saintifik Alocasia denudata Engl amat perlu dibincangkan dalm artikel anim agro kali ini.  Ini adalah disebabkan akan ia merupakan sejenis tumbuhan tempatan Asia Tenggara yang tumbuh semulajadi. Di Indonesia pula dilaporkan tumbuhan ini ia dikenali sebagai telinga kelinci. Ramai kalangan orang kampung dan orang awam yang selalu tersilap atau keliru diantara jenis keladi Alocasia denudata dengan keladi birah hitam dengan tanggapan ia ialah spesies yang sama atau variasi. Dalam pada itu sebenarnya jenis 
Keladi Seberang atau keladi sebaring (Alocasia macrorrhizos Linn G. Don) merupakan sejenis pokok Keladi Birah juga sebaliknya oleh kerana apabila dilihat warna keseluruhannya hijau dan bahagian daunnya juga seakan-akan keladi, maka ia dikenali sebagai keladi. Ia menyebabkan kekeliruan semasa mencari nama saintifik. Pokok ini boleh tumbuh besar hingga mencapai 10 kaki. Birah Tengkorak atau keladi tengkorak atau 'kris plant' atau Alocasia amazonica juga dalam genus Alocasia. Ia ialah kacukan diantara dua spesies keladi iaitu dari jenis Alocasia sanderiana Hort. dengan jenis Alocasia watsoniana Hort. Pokok yang popular dan ditanam sebagai tanaman hiasan (ornamental plants) di kawasan khatulistiwa ini mempunyai urat berwarna hijau muda dimana ia berlatarbelakangkan hijau pekat serta mempunyai unjuran di setiap urat utama. Ia sangat cantik sebagai tanaman hiasan.

Dalam pada itu ada spesis 
Keladi Birah Hitam atau juga dikenali sebagai keladi Merbah, Keladi Ular, Keladi Sebaring, Keladi rimau, Keladi hitam, Keladi cantik, Keladi cali atau Keladi Birah Kijang dengan nama saintifiknya Alocasia denudata juga merupakan sejenis tumbuhan dalam keluarga keladi. Pokok ini mempunyai jenis batang tidak nyata, mempunyai rizom atau ubi dan akar berselirat. Tangkai daun menegak, licin berdebu, mempunyai keratan rentas bulat. Ia bersambung sempurna dengan daun dan berwarna gelap. Daun berbentuk kepala anak panah berwarna hijau gelap. Tajam dibahagian bawah dan bercabang tumpul di atas. Tangkai daun bersambung di celah belahan atas daun. Ia mempunyai urat daun berwarna hijau cerah bersusun seperti tulang ikan. Berbeza dari birah ular ia mempunyai lebihan segitiga di bahagian dalam celah atas daun. Birah ular atau Keladi Rimau, Keladi Ular, Keladi Canek atau Keladi Candik dengan nama saintifik Alocasia denudata Engl. ialah tumbuhan tempatan selatan China dan Asia Tenggara. Umum selalu tersilap A. denudata dengan birah hitam dengan tanggapan ia ialah spesies yang sama atau variasi. Birah ular mendapat nama daripada warna tangkai yang yang bercorak sisik ular, manakala birah hitam pula bertangkai hitam keunguan. Pokok birah ular adalah jenis tumbuhan berubi (rizom). Batang keladi ini tak nyata, tangkai bergabus, tidak bercabang dan bercantum sempurna dengan daun. Tunas daun baru terbentuk pada pangkal daun lama. Daunnya berbentuk kepala anak panah, bentuk tajam di bawah, terbahagi dua di atas dan berbentuk tajam di kedua-dua belah hujung. Daunnya kalis air dan mempunyai lapisan seperti lilin di permukaan daun. Anak pokok baru boleh tumbuh dari ubi keladi dan terpisah dari ubi utama. Pokok ini boleh dijumpai di pinggir dan dalam hutan. Pokok ini sentiasa dijumpai tidak berkelompok di kawasan yang agak terdedah kepada cahaya matahari di lantai hutan. Pokok ini kurang menjadi pilihan peminat seni laman kerana lambat membiak. Warnanya juga hanya hijau dengan sedikit cerah pada urat daun. Hanya bentuknya saja yang unik menjadikannya bernilai kepada peminat tumbuhan araceae ini. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!......
KELADI BIRAH... JARANG JUMPA...
KESAN GATAL.. SIAPA TERKENA...
KAJIAN DIBUAT... BE,UM SEMPURNA...
BACA ARTIKEL... FAHAMLAH SAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11F, Putrajaya,
WP Pesekutuan,
Malaysia.
(20 Safar 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.