Tuesday, September 15, 2020

TEKNOLOGI TANAM NAPIER - HASIL BAIK

RUMPUT NAPIER (Pennisctum purpureum) atau dikenali juga sebagai rumput gajah merupakan rumput yang berasal dari kawasan tanah besar Afrika dan Pulau Bioko yang mana ia beriklim tropika. Diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 1940-an dilaporkan dimana rumput ini digunakan dengan meluas sebagai sumber makanan utama dalam sistem potong dan angkut bagi industri ternakan ruminan sama ada tenusu atau pedaging seperti fidlot. Rumput ini mempunyai pelbagai varieti seperti King Grass, Common Napier, Red Napier, Uganda, Dwarf Mott dan Dwarf Australian, namun varieti yang digunakan secara meluas oleh kebanyakan penternak di Malaysia adalah daripada varieti Taiwan Napier, Indian Napier dan Dwarf Napier. Varieti Dwarf bermaksud varieti Napier daripada jenis pokok yang rendah dan kurang berbatang. Tingginya kurang daripada 1.6 meter dimana ia mampu untuk menghasilkan lebih daun berbanding dengan batang. Terdapat juga varieti rumput Napier hibrid yang telah dikacukkan dengan pelbagai tanaman lain untuk tujuan meningkatkan hasil yang diperoleh di samping menambah baik ciri-ciri morfologinya. Antara hibrid yang terkenal dan diguna pakai di seluruh dunia termasuklah varieti hibrid CO yang diberi kod nombor tertentu mengikut generasi dan ciri-ciri hasilnya. Hibrid lain yang terkenal ialah Napier Pakchong 1 Thailand yang mampu menghasilkan 450 - 600 tan/ha setahun dan mempunyai kandungan protein yang lebih tinggi berbanding dengan rumput Napier biasa. Saya ada menulis beberapa artikel mengenai rumput napier untuk dirujuk dengan pautan berikut (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi.  Artikel dalam blog "Anim Agro Technology" kali ini saya menulis semula mengenai teknologi menanam rumput napier yang dilaporkan oleh kumpulan penyelidik MARDI dimana ia mampu untuk memberikan hasil baik untuk rujukkan pembaca semua.


Pelbagai penyelidikan telah dijalankan oleh MARDI, Universiti dan pihak swasta untuk mengetahui bagaimana cara menambah baik kandungan nutrisi, kadar pertumbuhan dan peningkatan hasil bagi setiap varieti. Namun begitu teknik penanaman, penjagaan dan pengurusan rumput Napier yang betul masih lagi memainkan peranan yang penting kepada penghasilan dan kualiti yang optimum selain turut memanjangkan jangka hayat rumput berkenaan. Pelbagai teknik penanaman rumput napier dikaji agar bersesuaian dengan keadaan tanah dan bentuk muka bumi kawasan penanaman, keadaan cuaca atau iklim dan juga teknologi penuaian rumput sedia ada. Sebagai contoh dimana teknik penanaman Napier yang popular di negara-negara benua Afrika adalah dengan menggunakan Teknik Tumbukiza yang telah terbukti mampu meningkatkan dan mengekalkan hasil rumput Napier selain mengurangkan kesan cuaca panas dan kemarau terhadap rumput ini. Teknik Tumbukiza ini biasanya memerlukan lubang sama ada berbentuk bulat atau segi empat yang dikorek dengan kedalaman 60 - 90 cm dan dimasukkan campuran tanah topsoil atau tanah lom satu bahagian dengan dua bahagian tinja haiwan. Benih Napier disusun di dalam lubang sebelum ditimbus dan disiram. Teknik ini berjaya menyelesaikan masalah para penternak di negara Afrika apabila rumput ditanam kurang terjejas ketika musim kemarau melanda kerana akarnya yang tumbuh ke dalam tanah mendapat nutrien yang cukup daripada tinja haiwan berkenaan. Ini menunjukkan kesan yang positif apabila teknik penanaman, penjagaan dan pengurusan yang betul dapat membantu meningkatkan hasil dan mengekalkan prestasi rumput ini secara optimum.


Bagaimana pun lazimnya teknik dalam penanaman di Malaysia disesuaikan dengan cuaca dan tanah. Teknik penanaman rumput Napier varieti Taiwan telah dijalankan dan dibuat laporan oleh pihak MARDI Muadzam Shah, Pahang dengan menggunakan tiga jenis teknik yang berbeza bagi melihat kesan teknik-teknik ini terhadap tahap dan kadar tumbesaran dan hasil rumput Napier untuk info dikongsikan. Pemerhatian dijalankan terhadap peningkatan dan pengekalan prestasi rumput berkenaan selepas empat kali pemotongan. Teknik-teknik yang digunakan adalah teknik tanaman secara baris dalam tanah iaitu teknik tampang atau pacak 45° dan teknik rumpun atau perdu dalam tanah (Sila lihat foto paling bawah). Rumput Napier ditanam menggunakan keratan batang yang dipotong pada anggaran 3 - 4 ruas. Sebanyak 35 kg keratan benih Napier digunakan untuk ditanam pada tanah yang dibajak piring dan bajak sikat yang berkeluasan 100 m2. Benih ditanam pada jarak 100 cm di antara baris dan 60 cm di dalam baris untuk teknik tampang dan rumpun. Keratan benih yang ditanam disiram dengan cara menggunakan pancuran air atau sprinkler dan dibiarkan tumbuh untuk tempoh 90 hari atau tiga bulan sebelum tuaian pertama.  Bagi membolehkan akar rumput tumbuh dengan baik ke dalam tanah sebelum dituai secara manual menggunakan parang. Pembajaan dilakukan menggunakan baja NPK 15:15:15 pada kadar 150 kg/ha pada usia empat minggu atau sebulan dan baja urea pada kadar 75 kg/ha pada usia rumput lapan minggu atau dua bulan. Baja organik seperti tinja haiwan boleh juga sesuai untuk digunakan. Pengurusan pengairan, pembajaan dan pemotongan yang baik pada umur yang sesuai memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan prestasi rumput Napier. 

Laporan menunjukkan dimana 
hasil rumput Napier varieti Taiwan (t/ha) yang ditanam menggunakan tiga teknik penanaman tersebut (Sila lihat dan fahami rajah diatas). Teknik penanaman secara baris di dalam tanah memberikan hasil paling tinggi iaitu sebanyak 24 tan/ha diikuti dengan teknik rumpun manakala teknik tampang memberikan hasil terendah iaitu 19 tan/ha pada pemotongan kali pertama. Bagi pemotongan kedua dan seterusnya, teknik penanaman secara baris masih memberikan hasil paling tinggi diikuti oleh teknik rumpun dan tampang disebabkan pembentukan pucuk atau tiller baharu yang lebih banyak pada teknik penanaman baris di dalam tanah dan rumpun kerana pucuk baharu tumbuh di setiap ruas yang ditanam. Bagi teknik tampang, hanya satu atau dua ruas ditumbuhi pucuk baharu manakala ruas yang berada di atas tanah kebanyakannya akan mengering dan pucuk baharu tidak tumbuh. Secara keseluruhannya, hasil rumput Napier semakin meningkat selepas beberapa kali pemotongan tanpa mengira teknik penanaman yang digunakan. Pemilihan teknik penanaman adalah penting bergantung kepada keupayaan pengusaha. Namun, ketiga-tiga teknik ini boleh dipraktikkan dengan mengambil kira kelebihan dan kelemahannya.


Hasil yang diperoleh bagi potongan pertama ditimbang dan diambil sampel sebelum dikeringkan dan dihantar untuk analisis kandungan nutrisi. Parameter lain seperti kelebihan dan kekurangan bagi setiap teknik secara pemerhatian juga direkodkan. Pemotongan kedua, ketiga dan keempat dilakukan selang 60 hari atau dua bulan selepas pemotongan pertama. Bagi rumput yang tumbuh selepas pemotongan pertama dan pemotongan seterusnya, baja NPK diberikan pada kadar 150 kg/ha pada usia rumput dua minggu dan baja urea pada kadar 50 kg/ha pada usia enam minggu. Sebagai kesimpulan amalan menanam sendiri rumput Napier di ladang para penternak mampu didalam usaha menjimatkan kos makanan ternakan selain daripada mengurangkan kebergantungan kepada dedak makanan ternakan. Sistem tanaman rumput Napier yang baik akan memberikan pulangan yang optimum kepada penternak. Penternak boleh memilih untuk menggunakan pelbagai teknik penanaman yang telah diperincikan kelebihan dan kelemahannya untuk dipraktikkan di ladang mereka. Pengurusan pengairan, pembajaan dan pemotongan rumput Napier yang baik mampu meningkatkan hasil selain mampu untuk memanjangkan hayat dan mengekalkan prestasi keseluruhan rumput Napier. Kos bahan makanan ternakan semakin meningkat setiap tahun. Usaha mengeluarkan bahan makanan bersumberkan bahan tempatan seperti rumput Napier merupakan satu perusahaan yang berpotensi besar untuk dijalankan sama ada oleh para penternak atau pengusaha persendirian. Melalui teknik penanaman dan pengurusan pembajaan serta pengairan yang baik dan betul, kadar tumbesaran, hasil dan prestasi rumput Napier dapat ditingkatkan dan dikekalkan selain turut memanjangkan jangka hayat rumput berkenaan. Amalan pengurusan ladang atau kawasan pastura Napier yang baik mampu menjimatkan kos pengurusan makanan ternakan dan secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada penternak atau pengusaha terbabit. Penulis blog memberi kredit kepada semua pasukan pegawai penyelidik MARDI yang terlibat dengan kajian ini dan bahan laporan yang dijadikan bahan rujukan kepada semua. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM RUMPUT...MUDAH SAHAJA...
BENIH BERMUTU... TANAH DISEDIA...
MENANAMNYA BETUL.. MESTI DIBAJA...
MAKANAN TERNAKAN... PERLU ADA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 3306, Colmar Tropicale,
Bukit Tinggi, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(7 Muharram1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.