Sunday, September 13, 2020

KELAPA MATAG - SATU ANALISIS

KELAPA MATAG (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa hibrid yang popular di Malaysia semenjak ianya berjaya dipromosikan oleh Jabatan Pertanian Malaysia semenjak lebih dari 15 tahun lalu. Kelapa hibrid ini adalah hasil penyelidikan beberapa pihat termasuk oleh United Plantation Estate di Bagan Datuk, Perak yang menanam secara meluas kelapa ini dan mampu menyumbang buah kelapa untuk negara. Kelapa Matag di dafterkan dengan Kod Nombor Pendaftaran CN13 (Matag Green), CN13 (Matag Oren dan CN15 (Matag Gold). Bagi keterangan lanjut mengenai varieti kelapa sila baca pautan ini (Sila klik disini). Pada peringkat awal pengenalan kelapa ini oleh Jabatan Pertanian benih kelapa Matag F1 hanya sekitar RM6.50 sepokok dan banyak diedarkan kepada petani di Johor, Perak dan Selangor sebagai kawasan tumpuan. Masa itu penerimaan pekebun kelapa masih kurang kesedaran kecuali beberapa orang petani seperti di Sungai Ayam, Batu Pahat, Johor dan Projek PPK di Bagan Datok Perak yang didakwa sangat berjaya didalam penanaman kelapa matag ini. Bagaimana pun keadaan sudah banyak berubah apabila rata-rata orang ramai menyedari akan kelebihn kelapa hibrid Matag ini sehingga sanggup membeli benih kelapa Matag F2 dan F3 malahan membeli benih yang sudah di 'culling' (benih yang dibuang di nurseri) untuk menanamnya. Kini keadaan sudah banyak berubah apabila kempen kesedaran sering dibuat berterusan agar petani dan petani hobi hanya boleh membeli benih kelapa Matag F1 daripada sumber pembekal benih disahkan sahaja iaitu melalui dan oleh pihak Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Harga benih F1 kelapa Matag di tarifkan sekitar RM56.00 sepokok daripada pembekal SPBT sedia ada akan tetapi harga bantuan dari Jabatan Pertanian difahamkan hanya RM15.00 sepokok untuk peserta projek kelapa matag yang diberikan bantuan jabatan. Semasa artikel ini ditulis dianggarkan hampir 3,000 hektar kelapa matag telah di tanam di Malaysia dimana dilaporkan telah hampir 80% sudah berbuah. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya mengupas beberapa analisa mengenai tanaman kelapa Matag di Malaysia sekadar ingin berkongsi info dengan pembaca blog ini.


Ramai kalangan umum keliru malahan ada juga Pak Menteri juga keliru kerana mengatakan kelapa Matag adalah kasil kajian MARDI. Bagaimana pun dari maklumat diterima proses penyelidikan kelapa ini telah lebih awal dijalankan oleh Penyelidik di UP Estates di Perak dimana mereka kemuidan menanam kelapa ini secara estet beribu ekar diladang mereka. Kajian lanjutan mengenai kelapa ini oleh pihak MARDI dijalankan kemudian akan tetapi Jabatan Pertanian banyak membuat plot pemerhatian dikebun petani di Seluruh Malaysia. Penghasilan kelapa Matag memang tinggi bagi kebun yang dijaga baik dimana pekebun menyatakan pendapatan mereka lumayan. Saya ada menulis artikel testimosi penanaman kelapa matag sebelum ini untuk dijadikan rujukkan (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi. Bagaimana pun ramai juga kalangan pekebun kelapa yang kurang berjaya menanam kelapa matag ini kerana kurang minat, kurang dijaga dan juga diserang perosak dan penyakit. Jabatan Pertanian telah dilaporkan menjalani proses pengauditan projek ini dimana pada umumnya projek kelapa matang ini didakwa telah berjaya meningkatkan pendapatan petani kelapa dan mampu meningkatkan bekalan kelapa negara (data sebenar ada disimpan oleh Jabatan Pertanian). Penggantian pokok kelapa tua (senile tree) jenis Malayan Tall (CN1) yang ditanam semanjak tahun 1960'an sehingga awal 1980'an sebelum program Rancangan Pemulihan Semua Kawasan Kelapa (Projek RPSKK) Jabatan Pertanian perlu dilanjutkan dengan penanaman kelapa baka terpilih.

Dalam akhbar Utusan Malaysia Online pada 16 April 2016 bertajuk "Dulu makan gaji, kini usahawan kelapa berjaya" ia melaporkan apa yang dicatit diatas. Wartawan Mohamad Azmi Zaid yang turut sama dalam lawatan ini menyatakan iaitu siapa sangka daripada hanya makan gaji dengan purata hasil berpendapatan RM1,500 sebulan kini Mohd Hamidi Kason berumur 30 telah mampu memperolehi berpendapatan sekitar RM50,000 setiap bulan selepas terlibat dalam perniagaan penanaman pokok kelapa. Dalam pada itu menurutnya, selepas melihat hasil tuaian kelapa yang memberansangkan pada permulaan penanaman tanaman itu kemudian dia bertekad untuk berhenti bekerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan pokok kelapa. “Saya memang berminat dalam bidang penanaman ini sejak dari dahulu lagi, selepas saya melihat hasilnya lantas tidak fikir dua kali untuk berhenti berkerja. “Saya mula hanya dengan dua ekar sahaja bagaimanapun kini saya ada sekitar 36 ekar untuk tanaman pokok kelapa jenis matag dan pandan. “Dulu kelapa harga hanya RM1 sebiji namun kini harga kelapa boleh mencecah sehingga RM1.70 sebiji. Cuba bayangkan kalau setiap hari ladang saya boleh keluarkan lebih daripada 1,000 biji kelapa sehari.

Penulis blog merujuk kepada komen seorang pakar kelapa daripada MARDI Perak iaitu Tn Hj Ngalim (rakan lama penulis blog). Menurutnya berdasarkan faktor semasa, agak sedih melihat kepada pembangunan industri kelapa kita ketika ini kerana pengeluarannya tidak dapat memenuhi permintaan. Pada peringkat huluan pula, pengeluaran buah kelapa agak terhad manakala penanam yang mempunyai azam membangunkan industri kelapa berdepan dengan masalah ketidakcukupan benih yang dihasilkan. Beliau juga pernah menjawat Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Hortikulktur, Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Hilir Perak sebelum bersara pada 2019 (Sila lihat foto disebelah). Dakwanya ada beberapa isu penting yang membelenggu industri kelapa tempatan antaranya pokok sedia ada sudah tua dan sukar untuk dituai selain masalah kekurangan tenaga buruh terutama untuk menuai. Masalah lain antaranya termasuklah keluasan penanaman berkurangan meskipun pengeluaran meningkat tetapi belum cukup penuhi permintaan industri tempatan dan terpaksa mengimport terutama dari Indonesia. Antara isu yang lebih penting adalah wujudnya keperluan mengeluarkan varieti baharu kelapa yang kualiti tinggi. Kinii kadar kebergantungan berterusan terhadap kelapa Matag tidak dapat menjamin industri ini akan berkembang. Kelapa Matag merupakan sejenis varieti hibrid yang popular ketika ini, dihasilkan menerusi kacukan dua induk kelapa berbeza iaitu Tagnanan sebagai induk jantan dengan Malayan Red Dwarf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD) sebagai induk betina. Nama ‘Matag’ pula singkatan gabungan antara ‘Ma’ (Malayan) dan ‘Tag’ (Tagnanan) dari Filipina bagi menggambarkan kelapa hibrid hasil kacukan dua varieti berbeza. Baka Matag kini sudah memenuhi 30 peratus kawasan bertanam kelapa dan kesukaran mendapat baka tersebut berlaku disebabkan minat kepada baka tersebut terlalu tinggi. Oleh itu kepelbagaian genetik perlu diwujudkan iaitu dengan menghasilkan pelbagai varieti dan sekiranya ada serangan penyakit besar-besaran atau serangga, masih ada pilihan bagi penanam. Bagi mendepani isu kesukaran mendapatkan baka Matag, pihaknya telah menjalankan penyelidikan pembaikbakaan beberapa varieti baharu kelapa dan yang sedang dijalankan sekarang. Pihak tertentu kini juga sedang menjalankan kajian ini dan sekiranya tidak ada masalah maka varieti baru ini boleh diumumkan. Antara beberapa varieti kelapa hibrid MARDI yang berpotensi untuk diguna pakai sebagai bahan tanaman pilihan selain Matag kini dalam penilaian. Bagaimana pun penulis blog dapati setelah beberapa varieti kelapa ini diumumkan benih kelapa hibrid MARDI masih sukar atau belum boleh didapati lagi sehingga artikel ini ditulis. Semuga industri kelapa negara akan lebih cerah dimasa akan datang di Malaysia dengan penglibatan semua pihak. Wasallam!!...
KELAPA HIBRID... BANYAK JENISNYA...
MATAG POPULAR... BENIHNYA MANA...
HIBRID KELAPA MARDI... APA CERITA...
INDUSTRI KELAPA... PERLU DIJAGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(27 Zulhijjah 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.