Saturday, August 29, 2020

BAJA DAN FUNGSI BAJA APA DIA?

BAJA (Fertilizer) adalah salah satu perkara yang asas dalam bidang pertanian yang mesti difahami oleh mereka yang terlibat dalam sektor pertanian terutamanya sektor tanaman. Ini kerana baja adalah bahan yang biasanya mengandungi unsur pemakanan tumbuhan yang perlu dibekalkan secara langsung kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Setiap bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan dan dibekalkan kepada tanah contohnya Nitrogen (N), Phosforus (P) dan Kalium (K) adalah unsur paling asas untuk baja yang selalu disebut 'Baja NPK'. Unsur-unsur lain adalah sedikit di gunakan tetapi penting iaitu Unsur Pekit (Trace element) seperti Magnesium (Mg), Boron (B), Manganese (Mn), Zinc (Zn), Zat Besi (Fe) dan banyak lagi dimana kesemuanya akan dikelaskan sebagai baja tumbuhan. Dalam pada itu terdapat bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung untuk memperbaiki struktur dan tekstur tanah bertujuan untuk meningkatkan daya kelembapan tanah dan daya pegangan air tanah serta mengawal keasidan tanah. Bahan ini adalah dianggap sebagai bahan pembetulan tanah (soil amendment), pelembap tanah (soil conditioner) dan bahan tambahan tanah (soil additives). Kesemua bahan ini adalah penting dalam mempertingkatkan kesuburan tanah bertujuan bagi menampung keperluan pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal penanaman sehingga kepada peringkat penuaian hasil. Dipasaran terdapat banyak produk dan jenama baja daripada dalam bentur butiran (granule), serbuk (powder), cecair (liquid), ketulan, pekatan dan bermacam lagi. Bagaimana pun paling asas adalah apakah sebenarnya keperluan tumbuhan untuk unsur baja yang diperlukan melalui beberapa kaedah penentuan. Pada penulis blog kefahaman petani terhadap kepentingan dan keperluan baja adalah asas kepada pertanian. Artikel jam 6.00 subuh ini dari Aras 3 Colmar Tropicale, di Bukit Tinggi, Bentong sambil mendengar bunyi beberapa unggas saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai baja, fungsi dan juga kepentingannya untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.

Sebenarnya dalam ilmu asas pertanian ada dinyatakan terdapat 18 unsur pemakanan tumbuhan yang diperlukan oleh tanaman mengikut peringkat pertumbuhan, cara pengambilan unsur pemakanan tersebut dan jenis tanaman.  Unsur yang paling utama dan paling penting dalam pertumbuhan hampir kesemua jenis tanaman ialah Nitrogen, Fosforus dan Kalium (N,P,K). Unsur Nitrogen sangat penting bagi pertumbuhan tanaman daripada perlu dari peringkat awal percambahan sehingga kepada peringkat pembentukan daun. Unsur Fosforus (Phosporus) atau 'P' ini pula memang penting bagi pembentukan akar dan dahan. Unsur Kalium (K) adalah penting dalam pembentukan bunga dan buah. Ketiga-tiga unsur baja ini  akan di gabungkan didalam beberapa formulasi berlainan dalam bekas berbeza untuj tujuan pembajaan yang berlainan. Baja kimia adalah baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik dengan asas utama NPK+TE yang banyak dipasarkan. Paling asas adalah forlumasii sebatian baja untuk peringkat pertumbuhan tanaman (atau peringkat vegetatif) iaitu NPK15:15:15 dan baja untuk mengeluarkan bunga dan buah iaitu peringkat pertumbuhan reproduktif dengan formulasi NPK12:12:!7:2:TE. Sebagai contoh tanaman nanas memerlukan kedua-dua jenis baja bagi proses tumbesaran pokok dan pengeluaran buah nanas (Sila lihat foto disebelah). Pemberian baja nanas ini bukan sahaja diberikan dalam beberapa peringkat malahan teknologi terkini penggunaan baja semburan atau baja foliar semakin sering diberikan penanam nanas.

Petani sebaiknya perlu tahu dan faham dimana beila berlaki kekurangan tiga unsur utama NPK ini akan menampakkan simptom secara umumnya pada daun (kurang nitrogen), pertumbuhan terbantut (kurang fosforus) dan tidak membentuk bunga (berpunca kurang kalium). Walau bagaimanapun memang terdapat juga unsur sekunder (unsur pekit) yang tidak kurang pentingnya dalam pertumbuhan tanaman iaitu Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), Sulfur (S) dan Sodium (Na) dan lain-lain lagi yang mana ia diperlukan tanaman untuk pertumbuhan yang subur. Apa pun selain daripada unsur utama dan unsur sekunder, unsur surih seperti Boron (B), Zink (Zn), Ferum (Fe), Mangan (Mn), Klorin (Cl), Molybdenum (Mb), Kobalt (Co) dan Tembaga (Cu atau copper) yang diperlukan oleh tanaman tetapi dalam jumlah yang sedikit. Maksudnya dimana samada ada atau tidak ada unsur surih ini dalam pembajaan tidak begitu signifikan dari segi pertumbuhan tanaman. Jika kepekatan unsur surih tinggi dalam tanah maka perkara ini akan menyebabkan kesan Toksik (keracunan) terutama bagi tanaman yang baharu disemai. Unsur lain diperlukan tumbuhan seperti Oksigen, Karbon dan Hidrogen yang tanaman perlukan adalah didapati daripada atmosfera bebas iaitu dalam bentuk karbon dioksida dan air selalunya melalui daun dan fotosintesis. Namun begitu penulis blog dapati dimana unsur karbon dan hidrogen boleh terdapat dalam baja urea disebabkan oleh penghasilan baja urea melalui proses ‘Haber’. Baja urea dihasilkan daripada gabungan gas nitrogen daripada atmosfera dengan hidrogen daripada gas asli contohnya seperti metana seterusnya membentuk gas ammonia.

Sebenarnya untuk memahami akan baja dan fungsi Baja perlu pembaca faham dimana baja boleh dikelaskan mengikut empat kumpulan yang berbeza dari segi kandungan nutriennya iaitu baja kimia (bukan organik), baja organik, baja galian (mineral) dan baja organik sintetik. Cara pelepasan nutrien dalam setiap jenis baja ini adalah berbeza mengikut kandungan nutrien baja tersebut. Dipasaran lazimnya ada jenis Baj Kimia, Baja Organik, Baja Galian atau Baja Mineral dn juga Baja Organik Sintetik. BAJA KIMIA adalah sejenis baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik contohnya campuran bahan yang mengandungi asid sulfurik dan gas ammonia dalam pembuatan baja ammonium sulfat. Baja jenis kimia ini adalah jenis  baja paling banyak dan lazim digunakan didalam dunia pembajaan tanaman kerana ia tepat, mudah digunakan, bekalan berterusan dan juga paling praktikal. Biasanya telah dikaji iaitu melalui tindak balas kimia, bahan kimia tersebut berubah kandungan dari segi atom dan molekul lalu membentuk bahan baharu iaitu ammonium sulfat. Baja kimia ini mengandungi banyak unsur yang diformulasi mengikut kehendak pasaran tetapi asasnya adalah NPK. Kandungan unsur pemakanan tumbuhan adalah tinggi dalam baja kimia. Pelepasan unsur pemakanan tumbuhan daripada baja kimia adalah cepat berbanding baja organik dan baja mineral disebabkan sifat yang mudah larut dan mudah meresap ke dalam tanah. Biasanya baja kimia digunakan pada peringkat pertumbuhan yang tertentu, contohnya sepuluh ke 20 hari selepas penanaman, peringkat pembungaan dan peringkat pembentukan buah bagi memastikan nutrien daripada baja kimia digunakan sepenuhnya oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan tersebut.

BAJA ORGANIK pula adalah baja yang dihasilkan menggunakan bahan asli tanpa campuran bahan kimia. Cara penghasilan baja organik adalah daripada pereputan sisa pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa haiwan. Paling banyak dipasaran adalah baja organi asas Tahi Ayam (Chicken dung) sama ada dari jenis segar, kering atau di perkayakan dengan NPK. Apa pun penguraian bahan asli daripada sisa tanaman dan haiwan selalunya akan mengambil masa lebih kurang dalam julat tiga bulan sehingga lapan bulan mengikut tinggi atau pun rendahnya kandungan bahan yang mudah atau lambat terurai. Hasil akhir daripada proses penguraian baja organik ini dikenali sebagai kompos (compost) iaitu baja organik yang terkenal dalam meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman. Kandungan bahan humus (organik) dalam kompos adalah tinggi dan kandungan nutriennya bergantung kepada campuran sisa yang digunakan, contohnya jika campuran menggunakan daun kekacang dan sisa haiwan, kandungan nitrogen adalah tinggi. Biasanya jika abu daripada proses pembakaran asas organik seperti pelepah kelapa sawit dan padi (sekam padi) ada digunakan sebagai salah satu daripada bahan campuran pembuatan kompos dimana kesannya kandungan kalium adalah tinggi. Pelepasan bahan humus daripada kompos adalah perlahan dan biasanya dibekalkan kepada tanaman pada musim awal penanaman supaya boleh diambil oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan.

Seterusnya adalaj BAJA GALIAN atau MINERAL iaitu jenis baja yang dihasilkan melalui pemecahan batuan yang memang mengandungi nutrien contohnya batu kapur yang mengandungi Kalsium (Ca) serta Magnesium (Mg) dan batuan fosfat yang mengandungi fosforus. Proses penghasilan galian ini adalah disebabkan oleh tindakan luluhawa fizikal dan luluhawa kimia terhadap batuan yang merubah bentuk dan kandungannya. Biasanya aktiviti perlombongan batuan dilakukan bagi mendapatkan galian dalam bentuk serpihan yang lebih kecil atau serbuk galian yang sedia untuk digunakan. Kebanyakan baja galian ini juga mempunyai nutrien tumbuhan yang rendah dan cara untuk pelepasan unsur pemakanan ke dalam tanah adalah lambat disebabkan batuan ini lambat larut dan memerlukan jumlah air secukupnya bagi proses pelarutan dalam tanah. Contoh baja galian ialah ‘China Rock Phosphate’ (CRP), ‘Christmas Island Rock Phosphate’ (CIRP), dan ‘Egyptian Rock Phosphate’ (EGP). Batuan fosfat ini dinamakan mengikut tempat perlombongan batuan fosfat tersebut.

BAJA ORGANIK SINTETIK merupakan jenis baja yang dihasilkan daripada gabungan gas dan sebatian organik yang disintesis secara bukan semula jadi. Proses penghasilan baja organik sintetik menggabungkan gas ammonia, hidrogen dan karbon dioksida. Apa pun sumber kepada gas ammonia ialah pengikatan gas nitrogen (N2) oleh proses Haber atau pembentukan ‘cyanamide’ (sebatian hablur asid lengai terhasil daripada pembebasan ammonia), manakala sumber kepada gas karbon dioksida ialah gas yang terbebas daripada perindustrian dan perkilangan. Baja urea adalah merupakan satu-satunya penemuan yang unggul dalam pembuatan baja organik sintetik. Dalam proses penghasilan baja urea, gas hidrogen yang terhasil melalui tindak balas air dan gas membentuk gas karbon dioksida dalam jumlah yang banyak. Namun begitu, gas yang terhasil daripada air, berfungsi dalam menyeimbangkan campuran nitrogen dan hidrogen yang mengandungi kepekatan gas karbon dioksida yang tinggi (70 - 80%). Proses penghasilan baja urea ini ialah tindak balas berbalik dan memerlukan suhu yang tinggi (400 - 500° C). Penemuan dalam kaedah penghasilan baja urea ini menyebabkan penggunaan baja urea secara meluas bukan sahaja disebabkan cara pelepasan unsur pemakanan yang cepat tetapi juga disebabkan oleh kandungan nitrogen yang tinggi iaitu 46%. Penulis blog membuat kesimpulan dimana ilmu pengetahuan mengenai jenis kandungan unsur pemakanan dalam setiap baja dan juga fungsi unsur tersebut kepada pembentukan dan pertumbuhan tanaman adalah penting bagi menentukan faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan baja. Selain daripada itu, cara pelepasan setiap nutrien daripada baja mempengaruhi keberkesanan cara penggunaan baja. Semuga artikel ini memberi info yang berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
AMAT PENTING... ILMU TENTANG BAJA...
BANYAK JENIS... BANYAK JENAMANYA...
BAJA NPK... PALING SELALU DI JUMPA...
POKOK SUBUR... HASIL BERGGANDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 3306, Top Floor, Camelia Block,
Colmar Tropicale Resort,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(9 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.