Thursday, May 14, 2020

TEKNOLOGI TANAM CENDAWAN KUKUR (Part 2)

CENDAWAN KUKUR (Schizophyllum commune) adalah sejenis cendawan dimana ia lazimnya ada pada kayu reput dari keluarga Schizophylaceae. Keluarga cendawan dari Schizophylaceae mempunyai banyak spesis yang ada tumbuh pada batang kayu untuk proses pereputan. Penulis blog dapati di Malaysia cendawan kukur dari pokok kayu getah merupakan jenis yang paling popular di kutip untuk dijadikan bahan makanan yang sangat enak dan berkhasiat. Banyak nama gelaran diberikan kepada jenis cendawan ini mengikut lokaliti seperti Jamur Gerigit (Jawa Daerah Muar), Cendawan Tapak Tiung (Negeri Sembilan), Kulat Sisir, Kulat Sisik dan banyak lagi. Saya mengenali akan cendawan ini dari zaman kanak-kanak lagi kerana sering mengutip sendiri di kawasan kebun getah keliling kampung di Muar dahulu terutama selepas musim hujan. Bagaimana pun terkini sudah ada teknologi bagi mengeluarkan cendawan sisir atau cendawan kukur ini secara komersil hasil kajian saintis MARDI untuk dijadikan rujukkan. Artikel ini adalah merujuk kepada Buletin MARDI bilangan 11/2017 yang sesuai dituis semula bagi dijadikan bahan rujukkan. Artikel sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak covid-19 saya tulis lagi dalam "Anim Agro Technology'' teknologi bagaimana menanam cendawan kukur yang boleh dijadikan bahan rujukan semua. 

Seterusnya adalah bagaiman acara pengisian beg medium dimana lazimnya campuran dimasukkan ke dalam beg polipropilena (polypropylene) sama ada dengan menggunakan mesin pengisi (filler) atau secara manual. Campuran dimampatkan dengan menghentak beg secara perlahan. Pelbagai jenis saiz beg polipropilena boleh digunakan bergantung kepada pengusaha. Saiz yang disyorkan adalah berukuran 9 cm x 25 cm. Selepas dipadatkan, bahagian atas beg disarungkan dengan tengkuk (neck) dan ditutup dengan menggunakan sama ada kapas atau span. Seterusnya adalah proses pengukusan beg medium. Beg medium yang telah siap perlu dikukus dengan menggunakan alat pengukus (steamer) untuk membasmi mikroflora yang terdapat pada campuran bahan asas supaya tidak merosakkan beg medium dan merencatkan pertumbuhan miselium cendawan. Suhu pengukusan ditentukan pada 90 ° C selama 6 – 8 jam dan diukur dengan menggunakan jangkasuhu (Gambar 5). Namun begitu, jangkamasa pengukusan boleh disesuaikan dengan suhu. Sebaik sahaja pengukusan selesai, beg medium dikeluarkan dan disejukkan kepada suhu bilik di dalam bilik suntik benih. Bilik suntik benih hendaklah dibersih dan dibasmi kuman sebelum suntikan benih dimulakan.

Perkara kritikal didalam cara menanam cendawan adalah aktiviti Penyuntikan benih. Beg benih cendawan kukur diramas untuk meleraikan bijirin supaya suntikan mudah untuk dilakukan. Lapkan beg benih cendawan kukur dengan 75% etanol dan dikeringkan dengan menggunakan tisu. Benih cendawan kukur dimasukkan ke dalam beg medium yang telah siap dikukus. Pastikan penutup dan habuk kayu di dalam beg medium tidak dicemari kotoran semasa proses penyuntikan benih. Sekiranya benih cendawan kukur diperoleh dalam bentuk botol (Gambar 6), pencungkil digunakan untuk meleraikan bijiran. Pencungkil dipanaskan dengan menggunakan api dan disejukkan sebelum cungkilan benih dilakukan untuk memastikan tiada pencemaran berpunca daripada pencungkil yang digunakan. Seterusnya adalah proses pengeraman. Pengeraman beg cendawan dilakukan di dalam rumah cendawan. Sebelum digunakan, rumah cendawan hendaklah dibersihkan terlebih dahulu dengan menggunakan kapur (gipsum) dan 10% klorox yang disembur pada rak dan lantai rumah cendawan. Rak dan lantai rumah cendawan dibiarkan kering sepenuhnya sebelum pemindahan beg cendawan dilakukan. Kaedah yang sama juga digunakan jika sistem gantungan beg cendawan digunakan di dalam rumah cendawan. Beg cendawan yang siap disuntik disusun secara menegak di dalam rumah cendawan. Jika ketiadaan rak, beg cendawan boleh diletakkan di lantai bilik suntikan. Beg cendawan diperam selama 30 - 35 hari pada suhu 28 - 30 ° C.


Fasa pertumbuhan cendawan kukur perlu difahami dengan jelas oleh usahawan. Ini kerana sebaik sahaja beg cendawan matang (miselium memenuhi beg cendawan) maka beg akan ditoreh sebanyak 5 torehan secara menegak untuk memberi ruang pertumbuhan pengeluaran cendawan berlaku (Sila lihat foto disebelah). Beg cendawan yang telah ditoreh, akan digantung atau diletakkan kembali di atas rak. Hasil dipungut selepas 7 - 10 hari torehan dilakukan. Selepas tuaian pertama, beg cendawan direhatkan selama 12 – 14 hari sebelum tuaian kedua dilakukan. Setiap beg cendawan boleh menghasilkan lebih kurang 40 - 50 g cendawan kukur setiap kali tuaian. Perlu tahu bagaimana cara pengendalian lepas tuai cendawan kukur . Ini kerana selepas dituai maka sebaiknya cendawan kukur boleh dikeringkan supaya dapat disimpan dengan lebih lama lagi. Kaedah pengeringan cendawan kukur boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan sinaran matahari atau menggunakan oven pengering. Namun begitu, adalah digalakkan untuk menggunakan oven pengering bagi mengekalkan kebersihan dan tahap kekeringan cendawan kukur supaya konsisten. Untuk mengekalkan tahap kekeringan, cendawan kukur dibungkus dengan menggunakan plastik lut sinar. Gel silika jenis gred makanan (food grade) dimasukkan ke dalam bungkusan untuk memastikan kandungan udara di dalam beg adalah kering dan secara tidak langsung dapat meningkatkan jangka hayat cendawan kukur. Tatacara penuh penanaman cendawan kukur menggunakan habuk kayu getah sebagai beg medium adalah seperti Carta alir 1. Cendawan kukur kering perlu direndam terlebih dahulu untuk melembutkannya sebelum digunakan dalam sebarang jenis masakan. Tiada pengurangan cita rasa antara cendawan kukur segar dengan cendawan kukur kering.  Artikel ini ditulis dalam 3 bahagian iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dijadikan bahan rujukkan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
CENDAWAN KUKUR... ADA TEKNOLOGINYA...
KAJIAN MARDI... SUDAH DIJALANKANNYA...
ARTIKEL DITULIS... BAHAN RUJUKANNYA...
USAHAWAN MEMBACA...LAKSANAKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,'
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(12 Syaaban 1441H).
STAY HOME... ELAKKAN COVID-19!!..

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.