Saturday, April 11, 2020

KELADI TELUR - APA DIA

KELADI TELUR (Colocasia esculentum) merupakan sejenis keladi yang juga dipanggil dengan 'Keladi Sarawak'. Keladi ini dipanggil sebagai 'Keladi Telur' kerana bentuknya agak bulat bujur seperti telur yang melekat pada bahagian bawah umbisi (Sila lihat foto diatas). Jenis keladi ini memang paling unik dikalangan jenis ubi keladi yang boleh dimakan (edible yam) di negara kita. Keladi daripada keluarga Eupbobiaceae ini bagaimana pun mungkin ramai dikalangan generasi muda yang kurang mengenalinya kerana ia semakin kurang ditanam atau pun dijual. Di Malaysia terdapat banyak jenis keladi yang ditanam untuk dijadikan bahan makanan yang kaya dengan nutrisi seperti karbohiderat dan bahan mineral yang lain. Antara jenis keladi yang popular ditanam di negara kita termasuk Keladi Cina, Keladi Mawar, Keladi Minyak, Keladi Pinang, Keladi Aiskerim dan beberapa lagi. Selain isi buah umbisi keladi yang dijadikan makanan lazimnya daun keladi juga ada yang digunakan sebagai sayuran (dibalur dan buat buntil), sulur keladi dan batang (pelepah) keladi yang juga enak dimasak sebagai sayuran. Penulis blog berpeluang melihat pokok keladi telur ini dikampong di Muar Johor dahulu kerana ia ditanam dikawasan keliling rumah dikawasan tanah gambut. Kawasan tanah gambut yang telah dibakar selalunya subur dan amat sesuai untuk ditanam dengan jenis keladi telur ini. Bagaimana pun sekarang ini agak sukar untuk membeli keladi telur ini kerana semakin kurang yang menanamnya dan menjualnya. Kunjungan penulis blog ke Pekan Air Hitam, atu Pahat sesekali ada menjumpai keladi telur ini masih dijual sebagai makanan yang eksotik. Artikel tengahari ini dalam blog "Anim Agro Technology'' sempena arahan larangan berada dirumah akibat wabak Covid 19 saya menulis mengenai keladi telur sebagai bahan rujukkan anda semua.


Kawasan sesuai untuk penanaman keladi telur adalah dari jenis tanah subur khususnya dari jenis tanah gambut. Penulis blog dahulu ada berkesempatan untuk membuat tinjauan ke kebun tanaman keladi di Batu 15, Air Hitam, Muar yang luas menanam keladi minyak dan ada juga petani yang menanam keladi telur ini (Sila lihat foto disebelah). Anak benih keladi telur boleh didapati dengan menggunakan umbisi itu sendiri, anak sulur pokok yang dipotong menngikut ukuran sekitar 25-30 cm. Kawasan kebun dibersihkan dan lubang ditugal dan masukkan anak benih dan seterusnya dipadatkan. Pokok keladi ini mempunyai batang dan daun bersaiz besar dengan warna hijau perak. Penting dijalankan kawalan rumpai dari peringkat awal penanaman dan diberikan baja NPK15:15:15 diperingkat vegetatif diikuti dengan baja NPK12:12:17:2 apabila dersedia untuk hasilkan umbisi. Keladi telur mengambil masa lebih 12 bulan untuk ia berbuah dan sedia untuk dituai.  Keladi Telur atau Keladi Ssarawak memang berbeza dengan jenis keladi yag lain kerana hasilnya bukanlah dari umbisi induknya tetapi daripada umbisi-umbisi kecil yang keluar dari umbisi pokok induk. Umbisi-umbisi ini perlu dituai apabila pokok induknya matang. Sekiranya lambat dituai ia akan menghasilkan anak pokok dan sesuai untuk dijadikan benih pula.


Daripada tinjauan didapati pokok keladi telur ini memang berlainan dengan keladi minyak dan keladi yang lain. Jangan terkejut dimana batang keladi telur ini memang tidak boleh dijadikan sayuran seperti keladi-keladi lain kerana ia mempunyai banyak getah yang menyebabkan rasa gatal. Pokok keladi ini jika dipotong pun memang ada keluarkan banyak cecair atau getah yang boleh menyebabkan gatal-gatal kepada mereka yang allergik. Dalam pada itu lazimnya bahagian umbisi induknya (Sila lihat foto paling atas) juga tidak dimakan tetapi akan dijadikan bahan penanaman baru apabila hasilnya dituai. Penelitian juga mendapati sepokok keladi telur ini boleh hidup dengan subur subur dimana ia boleh menghasilkan banyak umbisi keladi sehingga 10 biji - 15 biji atau lebih. Umbisi-umbisi ini boleh dijadikan makanan dengan direbus atau juga boleh dijadikan sayuran seperti masak lemak. Pada saya lebih suka kalau keladi telur ini diproses atau dijadikan kerepek atau beberapa jenis kuih tradisional seperti kuih talam. Biasanya umbisi keladi telur ini atau sarawak hanya direbus dan dimakan panas-panas bersama kelapa parut dan gula merah. Ia juga boleh sesuai untuk digoreng dan dibuat getuk keladi.

Bagaimana pula jika anda menanam dan hendak menjualnya?. Dalam beberapa tinjauan di Air Hitam dan pasar malam di Bukit Baru, melaka keladi telur ini ada dijual dengan harga sekitar RM5.00 sekilogram (Sila lihat foto disebelah). Bergantung kepada saiz umbisi lazimya satu kilogram sekitar 6-8 biji sahaja. Buah yang segar boleh bertahan selama 2-3 minggu sebelum ianya menjadi kurang enak jika direbus akibat terlalu lama disimpan. Bagaimana pun jika disimpan didalam peti ais ia lebih tahan lama. Sesuai direbus dengan membasuhnya dan dibubuh sedikit garam sehingga empuk. Bagaimana antara resepi yang paling ummph adalah pengat Keladi Telur dengan anda boleh gunakan bahan iaitu 7 - 8 ketul keladi telur, 2.5 cawan santan sederhana pekat, 4 sudu besar gula merah (kalau hendak lebih manis ditambah lagi), secubit garam dan juga 2 helai daun pandan. Cara menyediakan dengan keladi telur yang siap dikupas dicuci bersih kemudian ia dipotong dengan saiz sederhana tebal. Keladi perlu direbus dan seterusnya ia ditoskan. Kemudian dimasukkan santan, keladi, garam dan juga daun pandan dalam periuk. Seterusnya dididihkan sambil dikacau supaya tidak membuak. Kemudian boleh ditambahkan gula merah dan ia dimasak hingga gula merah hancur. Bila keladi dah empuk maka diujirasa akan kemanisannya dan bila empu keladi boleh dipadamkan api. Keladi Telur sangat cepat empuknya berbanding keladi biasa atau keledek dimana ia tidak perlu masak lama. Sewsuai dimakan diwaktu petang hari atau bila-bila masa teringin makan pengat keladi telur. Semuga anda mendapat info yang berguna membaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
KELADI TELUR ... KELADI SARAWAK SAMA....
BUAHNYA BANYAK... KELILING PERDUNYA...
ENAK DIREBUS... KEREPEK, PENGAT JUA...
BACA ARTIKEL... TERINGIN MEMBELINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(26 Rejab 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.