Monday, March 2, 2020

IKAN PUYU - MUDAH DITERNAK

IKAN PUYU (Anabas testudineus) adalah sejenis ikan air tawar daripada famili Anabantidae dimana ia mendiami kawasan di sawah, tali air serta sungai-sungai kecil yang merupakan habitat utama. Spesies ini hidup dari apa yang penulis blog lihat secara berkumpulan dan mudah dijumpai dengan memerhatikan riak di permukaan air kerana ikan puyu akan mengambil udara untuk bernafas ke permukaan air. Di Malaysia terdapat 2 spesies Ikan Puyu yang biasa diternak di Malaysia iaitu 'Ikan Puyu Kampong' dan 'Ikan Puyu Siam'. Ikan puyu yang dipelihara adalah ikan puyu siam yang saiznya agak besar sedikit daripada baka ikan puyu tempatan yang terdapat di Malaysia. Ikan puyu menjadi pilihan dalam industri akuakultur kerana tahan lasak dan ia juga cepat membesar jika diberi makan dan persekitaran yang sesuai. Jangkamasa ternakan adalah dalam tempoh 3 - 4 bulan sahaja bergantung kepada pengurusan ternakan melalui kadar pemberian makanan (FCR), kualiti benih dan kualiti air. Keadaan persekitaran yang menyerupai makanan organik adalah digalakkan di permukaan kolam dipenuhi dengan media seperti keladi bunting, kangkung, kiambang dan kemeling. Mengikut kajian, kolam ternakan yang paling baik adalah kolam tanah kerana habitat ikan ini datangnya dari persekitaran semulajadi seperti habitatnya. Penulis blog menjumpai jiran rumah yang menternak ikan puyu didalam kanvas dan tong air dengan komersil walau pun hanya ada 4 bekas. Dakwanya dia memang suka makan ikan puyu dimana dahulu minat mencarinya dengan memancing atau cara lain menangkapnya untuk dijadikan lauk. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan penternakan ikan puyu sebagai satu hobi atau bidangusaha yang boleh dikomersilkan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Ikan Puyu (penulis blog diberitahu panggilan nama di negeri Sabah dan Brunei adalah Ikan Karuk) merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak. Sawah atau tali air serta sungai kecil menjadi habitat utama spesies ini. Bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah yang berair kerana pada ketika tertentu pada musim hujan, kebanyakanya berpindah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. Ia paling layak digelar spesies yang suka berhijrah. Spesies ini juga mampu bertahan tanpa air hingga enam hari selagi dikekalkan lembab. Ikan puyu dewasa mampu menjangkau panjang kira-kira 25 cm atau 9.8 inci. Spesies ini hidup secara berkumpulan dan lantaran itu, spesies ini mudah terancam oleh aktiviti-aktiviti penangkapan ikan seperti jaring, pukat, jala, tuba dan pancingan yang keterlaluan (tanpa mengamalkan kaedah 'tangkap dan lepas' bagi yang bersaiz kecil). Terdapat kepercayaan dalam masyarakat Melayu yang mana spesies ini mampu untuk menghalang tuan rumah daripada dipukau oleh orang yang ingin masuk mencuri. Ini disebabkan ikan ini dipercayai tidak tidur. Lantaran itulah masyarakat Melayu telah lama memang ada memelihara spesies ini di dalam rumah untuk tujuan itu. Ikan puyu juga dijual sebagai makanan di pasar-pasar tani. Dalam pada itu untuk terus hidup biasanya ikan ini berupaya melompat ke darat sebagai ikhtiar hidup mencari air dilokasi lain. Beberapa kejadian yang menyebabkan kematian telah berlaku apabila ia melompat ke dalam mulut manusia lalu mati tercekik. Ikan Puyu adalah sumber protin penting untuk dimakan dimana sesetengah tempat di India dan di Asia Tenggara di mana keupayaannya untuk hidup di luar air bagi jangka masa yang panjang, selagi kekal lembab, meningkatkan keupayaan pemasarannya.


Dalam akhbar My Mero dari Kota Bharu bertajuk "Ternak ikan puyu dalam kolam DIY" menarik minat penulis blog untuk mengulasnya. Foto disebelah Mohd Izzat ada menunjukkan kerja membuat persiapan membungkus benih ikan puyu yang diternak dalam kolam DIY di kampung Paya Latuh, Kadok, Kota Bharu, Kelantan. Beliau dakwa dimana jika dua tahun lalu ideanya untuk mengkomersialkan penternakan ikan puyu dipandang sinis dan tidak mendapat sokongan pihak berkaitan. Bagaimana pun kini usaha itu ternyata membuahkan hasil. Dia kini mampu mendabik dada apabila menjadi satu-satunya pembekal benih ikan puyu atau nama saintifiknya Climbing Anabas di negara ini. Dia mampu membekalkan 30,000 - 50,000 benih ikan puyu hibrid setiap minggu. Apa yang lebih membanggakan dimana dia kini sudah memiliki 10 kolam berkonsepkan Do it yourself (DIY) yang menggunakan kanvas untuk menternak benih ikan dan transit ikan puyu sebelum dijual kepada pembeli. Dia kini  memperoleh bekalan benih ikan puyu baka Chumphon F1 dari Thailand sebanyak 200,000 hingga 250,000 ekor sebulan. Dia akan memilih baka itu kerana ia berbeza dengan baka lain dari segi saiz fizikal yang lebih lebar seperti ikan talapia, isi agak tebal dan warnanya hijau kekuningan. Sebenarnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan biasanya benih ikan puyu yang diternak ini mampu mencecah satu kilogram untuk enam ekor dan paling berat pernah saya ternak adalah 400 gram seekor. Beliau yang merupaakan graduan Diploma Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menyatakan dimana benih ikan puyu dibekalkan ke seluruh negara secara pos menggunakan bas ekspress. Dia yang memiliki sijil sebagai pembekal yang diiktiraf dari Thailand turut memberi jaminan untuk penggantian benih lain jika benih ikan puyu yang dibekalkan itu mati dalam tempoh 24 jam atau terbantut semasa proses pembesarannya. Dakwanya selain benih ikan puyu hibrid dia juga turut membekalkan benih ikan ubi, sepat, belut dan akan datang adalah ikan emas pada harga borong. Dia kini dalam proses menghasilkan makanan ikan (pelet) sendiri sebagai kaedah mengurangkan kos selain menjualnya dengan harga yang lebih murah kepada penternak lain. Kini dia juga turut menghasilkan ikan puyu pekasam sejak dua tahun lalu.

Dalam laporan lain bertajuk "Ketagih memburu si puyu" dimana En Khairul sanggup untuk memandu beratus kilometer ke Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Johor semata-mata mahu mencari lubuk ikan betuk atau turut dikenali sebagai puyu. Ia bukan saja menghilangkan rasa gian untuk memancing, namun hobi itu turut menghasilkan perolehan lumayan buat dia dan rakan-rakannya. Dakwanya kini harga pasaran ikan air tawar sudah disiang itu boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram. Selalunya dia akan ke lubuk betuk biasanya terletak di kawasan ladang kelapa sawit dan ada kalanya, mereka bermalam di dalam kereta. Dia yang berasal dari Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling di sini, dan lebih dikenali dengan panggilan Gemang dalam kalangan penduduk berkata dimana sejak aktif memancing betuk tiga tahun lalu, mereka menimba pelbagai pengalaman pahit dan manis. Ada kalanya mereka ini hanya mampu memancing lima betuk daripada pagi hingga petang. Jika murah rezeki, banyak betuk yang dapat. Memnga mereka tidak kira di mana lokasinya, kami akan mencarinya. Kami membuat perancangan dengan memilih hari sesuai dan selebihnya terserah kepada rezeki. Disepanjang membuku ikan dan pengalamannya memancing betuk dinyatakan pernah memancing dengan jumlah tangkapan paling banyak ialah 12 kilogram (kg) dan ia diperoleh dalam tempoh tiga jam. Peristiwa ini berliaku semasa memancing di ladang sawit di Pontian, Johor tahun lalu. Menceritakan akan segala pengalamannya, Khairul Nizam berkata, dia akan mencari telur kerengga kerana ia umpan paling sesuai berbanding cacing. Lazimnya mereka akan keluar memancing pada Sabtu atau Ahad. Selain itu, kami juga membawa pisau dan gunting bagi memudahkan kerja menyiang betuk yang dikumpulkan sebelumdibawa pulang untuk dimakan sendiri atau dijual. Permintaan ikan ini amat baik dikalangan peminat ikan air tawar. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
IKAN PUYU... IKAN BETUK SAMA...
MUDAH DITERNAK...BELI BENIHNYA...
LEPAS 3-6 BULAN... 6 EKOR/KG DIKIRA...
ENAK DI MASAK... PELBAGAI CARANYA...

By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Precint 11F, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(15 JamadilAwal 1441H).
Bersamaan 9 Januari 2020).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.