Tuesday, February 4, 2020

KEARAH KECUKUPAN MAKANAN NEGARA

FAKTUR KECUKUPAN MAKANAN (Food Availability) dan KESELAMATAN MAKANAN (Food Security) merupakan salah satu tanda aras kepada usaha didalam mengukur tahap kemajuan sesebuah negara. Di Malaysia menurut laporan buletin suku tahunan terkini (Suku Ketiga, 2019) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia yang bertajuk “Import Makanan dan Kadar Pertukaran” sesuai dirujuk untuk dibincangkan didalam artikel pada kali ini. Dilaporkan dimana Malaysia masih kekal sebagai sebuah negara yang mengimport makanan dengan sekurang-kurangnya seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan (24 peratus) dimana ia merupakan produk makanan yang perlu diimport. Laporan ini mendakwa dan bermakna Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian (Self-Sufficiency Level atau SSL) negara dalam bekalan makanan. Dilaporkan dimana dalam laporan tersebut iaitu jumlah import makanan pada 2018 bernilai RM54 bilion berbanding 2013 yang berjumlah RM43 bilion dan ini bermakna ia mencerminkan berlaku peningkatan kadar pertumbuhan kompaun tahunan sebanyak lima (5) peratus sepanjang lima tahun. Dalam pada itu jumlah eksport makanan dan minuman pada 2018 juga meningkat dengan pantasnya (purata 6 peratus) yang berjumlah RM35 bilion pada 2018 berbanding dengan RM26 bilion pada tahun 2013. Namun begitu jumlah nilai import masih lagi melebihi daripada nilai eksport. Laporan tersebut juga didapati ada menekankan secara keseluruhan yang Malaysia mempunyai tahap keberdikarian yang mencukupi terhadap permintaan domestik di dalam pelbagai barangan makanan asas. Artikel malam ini selepas keletihan melawat beberapa buah ladang nanas sekitar Banting dan Kelang, saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai bagaimana dan tindakan perlu diambil kira kearah mencapai kecukupan makanan negara pada masa akan datang sebagai bahan rujukkan semua.


Malaysia yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dan juga kaum mempunyai kepelbagaian budaya dan makanan. Boleh dikatakan daripada makanan tradisional seperti Nasi Lemak, Roti Canai, Nasi Goreng sehingga kepada makanan moden dan terkini seperti Pizza, Nasi Arab, Burger, Kebab semuanya memerlukan bahan mentah yang dihasilkan sndiri dan diimport. Nasi Arab boleh dikatakan bahan mentah untuk membuatnya adalah bahan diimport daripada Beras Basmati, Minyak Sapi Ghee, Daging Kambing (Bebiri), Bawang, Garam, rempah ratus semuanya adalah diimport. Beberapa bahan tempatan untuk nasi arab ini mungkin seperti timun, terung, kacang panjang, cilii dan beberapa lagi ada dihasilkan dalam negara. Dilaporkan dimana daripada 33 produk pertanian yang paling lazim digunakan (seperti terung, timun, bayam dan telur) dimana kini separuh dari jumlah makanan ini juga mempunyai nisbah pencapaian keberdikarian (self-sufficiency ratio atau SSR) iaitu lebih daripada 100 peratus. Ia dilaporkan mencapai lebih 100% seperti jenis sayuran Timun (118 peratus), Terung (116 peratus), Bayam (116 peratus), Telur Ayam (116 peratus), Kacang Panjang (111 peratus), Kacang Bendi (107 peratus), Nanas (106 peratus), Sotong (105 peratus), Pisang (103 peratus) dan Udang (103 peratus). Dalam pada itu penulis blog berjaya menyemak dimana SSR untuk daging, ayam dan tuna pula berjumlah 98 peratus dan merupakan dua jenis produk import makanan terendah. Ia kemudian pula  diikuti dengan Ketam (93 peratus), Ikan kembung (83 peratus), Kelapa (78 peratus), Beras (70 peratus), Kobis Bulat (42 peratus), Cili Besar (39 peratus), Daging Lembu (25 peratus), Buah Mangga (25 peratus) dan Daging Kambing (11 peratus). Bagaimana pun peratus SSR ini boleh turun naik bergantung kepada banyak faktur mengikut tahun seperti faktur bencana alam, serangan penyakit dan perosak, harga input, bajet kerajaan dan swasta, permintaan pengguna dan sebagainya.


Apa yang penulis blog analisa, seperti yang dinyatakan di atas dimana ramai rakyat Malaysia memang ada memakan banyak produk makanan tertentu (seperti cili, daging merah dan juga mangga) dimana timbul persoalan apakah sebab berlaku di sebalik corak kebergantungan ini?. Memang realitinya adalah sikap majoriti rakyat Malaysia adalah masih wujud perasaan iaitu mereka lebih cenderung untuk berbelanja produk import berbanding produk tempatan. Perkara ini juga pernah dinyatakan oleh pihak kepimpinan negara dan pihak kementerian pertanian mengenai memilih barang import daripada barangan tempatan termasuk makanan. Sebagai contoh membawa dulang hantaran untuk majlis meminang atau pada majlis pernikahan masih ramai dikalangan masyarakat Melayu yang mengggunakan buah epal, kiwi dan anggur (Sila lihat foto disebelah) bukannya buah pisang, jambu batu, jambu air, ciku dan buah nenas sebagai hadiah. Dikalangan masyarakat bandar dan kini di pinggir bandar mereka akan membawa anak-anak dan keluarga untuk pergi ke premis makanan Fast Food seperti KFC, Pizza Hut, Burger Kings, Mc Donalds, Kenny Rogers dimana rantaian restoren seperti ini memang melambangkan prestij dikaca mata mereka walau pun ada kemungkinan ia bukanlah dari kategori makanan yang sihat. Kebanyakan bahan untuk makanan fast food ini juga adalah diimport (daging, Kobis Holland, kentang, tepong, rempah dan sebagainya) dari luar negara. Syarikat ini dominan didalam promosi melalui iklan di TV, internet dan Papan Iklan tepi jalan sehinggakan sampai daripada peringkat kanak-kanak sehingga orang tua tetap mengunjungi rantaian restoren makanan segera dari luar negara ini. Cuma ayam yang melebihibSSL dalam rantaian fast food ini. Bagaimana pun bagi menternak ayam perlukan jagung bijirin dan kacang soya yang diimport bernilai lebih dari RM3.6 billion setahun.


Salah satu faktur yang boleh dilihat mengenai isu ini adalah kemungkinan berlaku kes ketidakcekapan pengurusan pengeluaran hasil pertanian. Penulis blog dapati dimana  kadar import yang tinggi menunjukkan bahawa masih wujud lagi permintaan produk makanan yang tinggi dalam negara yang mana pasaran tempatan tidak mampu untuk memenuhi kadar permintaan tersebut. Ini kerana secara teorinya, permintaan yang tinggi untuk sesuatu produk akan terus mendorong pengeluaran atau bekalan yang lebih tinggi. Namun kini apabila berlaku peningkatan dalam permintaan produk tempatan persoalannya adalah mengapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk bekalan produk itu bertambah dalam negara?. Adakah ia berpunca daripada akibat daripada kesan ketidakcekapan dalam pengurusan pengeluaran hasil pertanian dimana ia termasuk rangkaian pengedaran dan keseluruhan rantaian bekalan kurang cekap atau ada monopoli. Mungkgkinkah ia juga akibat daripada kebergantungan yang obsesif terhadap lokasi tanah untuk penanaman tertentu seperti di Cameron Highlands yang kini membekalkan 10 peratus daripada jumlah sayur-sayuran di Semenanjung Malaysia. Langkah kerajaan didalam menubuhkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kelolaan Jabatan Pertanian dan beberapa GLC yang terlibat dilihat berjaya mengimbangi keadaan ini. Penanaman Sweet Chili Pallermo di TKPM Tanah Rata Cameroon Highland adalah salah satu contoh model yang berjaya (Sila lihat foto disebelah). Perlu ada pihak yang sentiasa mengawasi dan meramalkan akan bekalan dan permintaan produk pertanian dengan lebih berkesan (Forecasting).


Apabila diteliti, antara faktor-faktor dalam pengeluaran pertanian selain daripada bahan mentah, buruh, utiliti dan logistik adalah faktur lain seperti ada lapisan-lapisan yang melibatkan pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna, yang semuanya mempengaruhi kos dan harga runcit akhir sesebuah produk makanan tersebut. Penulis blog yang selalu membuat tinjauan dikebun mendapati berlaku juga faktur kekurangan skala ekonomi dalam proses pengeluaran dan kerumitan dalam rantaian bekalan domestik telah menghalang tercapainya kadar keberdikarian negara dalam bekalan makanan. Lazimnya skala ekonomi dapat dicapai apabila lebih banyak unit sesuatu produk boleh dihasilkan dengan kos input yang semakin berkurangan. Sekira skala ekonomi gagal dicapai maka hasilnya ialah firma-firma akan memasukkan kos pengeluaran yang tinggi itu ke dalam harga akhir produk mereka. Biasanya disebabkan oleh kerana kos pengeluaran produk tempatan melibatkan kos yang tinggi, pendekatan yang lebih praktikal adalah mengimport dengan jauh lebih murah barangan makanan dari luar negara. Berdasarkan tinjauan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada awal tahun 2020 ini 85 peratus pengilang Malaysia dilaporkan mengalami kenaikan kos pengeluaran sebanyak 10 peratus akibat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas bahan mentah, komponen dan perkhidmatan. Ini bermakna untuk produk makanan dan minuman yang mempunyai kandungan pengeluaran domestik yang agak tinggi maka langkah fiskal seperti SST boleh menaikkan kos. Maka bagi meningkatkan keberdikarian negara dalam bekalan makanan ada kemungkinan dimana para pengilang dapat diberi pengecualian cukai atau dikenakan tarif yang rendah untuk bahan mentah dan separuh mentah yang diimport bagi tujuan pengeluaran makanan tempatan.


Dalam kes lain seperti cadangan untuk reformasi cukai tanah berkemunkinan terdapat juga keperluan dalam memberi tumpuan kepada dasar memastikan lebih banyak tanah untuk pengeluaran makanan melalui reformasi cukai tanah dan skim pengagihan tanah seperti yang dilakukan oleh Felda. Apa pun fokusnya adalah untuk mempromosikan keberdikarian negara dalam bekalan makanan dan bukan untuk mengeksport tanaman komoditi tempatan untuk pertukaran asing seperti kelapa sawit dan getah. Tanaman intergrasi seperti getah dengan kelapa sawit dan pisang dengan kelapa sawit boleh dilakukan dengan lebih agressif (Sila lihat foto disebelah). Dalam kawasan seperti Felda, Estet Swasta dan GLC berkemungkinan perlu ada dasar agar mereka juga terlibat terus dengan tanaman makanan seperti buah-buahan, sayuran dan tanaman kontan lain dikawasan mereka. Beberapa dasar yang boleh dilihat semula adalah seperti bagaimana tanah yang ditukarkan penggunaannya untuk tujuan pertanian adalah tertakluk kepada bayaran premium yang lebih rendah kepada kerajaan negeri. Akta Pengambilan Tanah 1960 hendaklah digunakan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian terutaman tanaman makanan. Mungkin juga penting dalam melaksanakan proses digitalisasi maklumat pertanian yang membolehkan daya penghasilan (productivity) yang lebih tinggi dimana ia mampu berikan hasil dan kualiti pengeluaran makanan yang lebih tinggi. Caranya dengan mengenalpasti tapak yang sesuai atau yang diperuntukkan untuk  aktiviti penanaman tanaman makanan.


Ketersediaan teknologi berkaitan dengan tanaman dan produk makanan seperti sektor ternak air dan ternakan perlu dikemaskini keberkesanan dan kesesuaiannya. Mungkin dengan adanya pelaksanaan teknologi pintar melalui AgTech (teknologi pertanian) yang akan merevolusikan pertanian dapat membantu perkara ini. Blog pertanian 'Anim Agro Technology' sebagai contoh di kunjungi seramai 15,000 - 20,000 sehari dimana petani, penyelidik, usahawan dan pegawai pengembangan melayari untuk membaca sebanyak 5,700 artikel didalamnya. Ketersediaan teknologi pertanian dalam blog ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk pertanian pintar di Malaysia apabila penggunaan internet untuk segalanya (Internet-of-things, IoT) telah digunakan seperti untuk penanaman padi, durian, sayuran dan pelbagai komoditi lain. Dilapangan memang ada banyak lagi pautan yang dapat dilakukan untuk memperluaskan penggunaan teknologi pintar dalam bidang lain seperti penanaman cili, bawang merah dan daging ternakan. Kepentingan inovasi dalam sektor pertanian yang lebih terperinci (precision farming) juga akan memberi kesan terhadap pengurangan beban kerja manual petani apabila digitalisasi dan teknologi pintar akan mengambil alih peranan mereka. Contohnya dengan penggunaan alatan dron yang boleh terbang dimana ia telahpun digunakan untuk tujuan penyemburan di sawah padi.Teknologi ini boleh digunakan juga  untuk mengukur dan menyediakan data sebenar terkini bagi petani dalam menentukan tahap pengairan dan baja mereka.


Pertanian masa akan datang secara konvensional perlu diadaptasi kepada kaedah pertanian moden seperti pertanian 'vertical farming, 'vege factory', 'roof top farming', 'aquaponik', 'hidroponik', 'organic' dan sebagainya yang mampu untuk petani menghasilkan hasil yang berkualiti dan berharga. Ia sesuai dilaksanakan terutama dibawah konsep 'Pertanian Bandar' yang mana ada dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Penulis blog sempat melawat bagaimana teknologi 'rooftop farming' yang dilaksanakan di Singapura mampu menghasilkan sayuran organik yang berkualiti (Sila klik disini). Projek ini boleh diaplikasikan dengan mengubah bangunan-bangunan lama dan baharu kepada kawasan pengeluaran bekalan makanan atau dikawasan bumbuung bangunan yang sesuai. Kaedah peanaman boleh dilakukan pada tingkat tertentu di kawasan bangunan-bangunan tinggi untuk menanam sayur-sayuran. Penulis blog selepas mesyuarat Bilateral Malaysia-Singapore berpeluang melihat sendiri di Singapura dimana aktiviti pertanian langit (sky farming) sudah diterapkan untuk memenuhi keperluan makanan negara mereka dan memastikan sekuriti makanan. Budaya perladangan mereka juga bergantung kepada hydroponics dan aeroponics. Pada saya hydroponik menggunakan kaedah pertanian yang berasaskan air dan nutrien pekat yang tidak memerlukan penggunaan tanah. Ia menggunakan bahan-bahan bukan organik seperti perlite, rockwool, pelet tanah, lumut gambut atau vermiculite. Pertanian Aeroponics pula menggunakan proses tumbuh-tumbuhan diletakkan di dalam persekitaran udara yang sejuk dan berkabus. Ia mempunyai konsep yang sama seperti sistem hydroponics, namun aeroponics membiarkan akar tumbuh-tumbuhan tersebut di udara. Biasanya tanaman tersebut akan disiram secara berkala menggunakan alat rias yang direka khas. Kedua-dua kaedah inovasi ini mampu memainkan peranan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan tanah dalam pertanian. Beberapa dasar kerajaan perlu dilihat semula bagaimana untuk pastikan pengeluaran makanan negara meningkat dan mengurangkan kebergantungan import makanan yang semakin meningkat.  Dasar ini perlu ditransformasikan dalam eplan tindakan menyeluruh agar kecukupan makanan dalam negara meningkat dan terjamin. Semuga artikel ini mampu memberi info berguna kepada semua pembada anim agro technology pada kali ini. Wasallam!!...
KECUKUPAN MAKANAN... PERKARA UTAMA...
KURANGKAN IMPORT....TANAM SENDIRI SAJA...
PELBAGAI DASAR... MELIBATKAN SEMUANYA...
MEMBACA ARTIKEL... TERCABAR RASANYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(10 JamadilAkhir 1441H).
Bersamaan 3 Januari 2020).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.