Thursday, October 31, 2019

TANAMAN GANTIAN TEMBAKAU - APA DIA?

TANAMAN TEMBAKAU (Nicotiana tabacum) merupakan tanaman yang dahulu popular diusahakan di negara kita akan tetapi kini sudah dikurangkan penanamnnya. Lembaga Tembakau Negara (LTN) telah ditubuhkan pada tahun 1973 bagi menguruskan industri tanaman tembakau sebagai sejenis tanaman untuk dikomersilkan. Bagaimana pun semenjak tahun 2010 polisi kerajaan telah berubah dimana penanaman tembakau mesti dikurangkan kearah dihapuskan (mungkin). Ini adalah selaras dengan pematuhan Rangka Kerja Awalan Tembakau (FCTC) dibawah kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan merokok adalah membahayakan kesihatan. Dalam negara selepas itu pada 2010 Lembaga Tembakau Negara (LTN) telah ditukar kepada Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN) yang nyata mengalakkan tanaman kenaf bagi menggantikan tanaman tembakau sebagai satu alternatif. Dalam Mesyuarat LKTN pada tahun 2013 dimana aktiviti menukar tanaman tembakau kepada tanaman lain khususnya tanaman makanan diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu melalui Jabatan Pertanian Malaysia.  Seramai 505 penanam tembakau didalam senarai LKTN diserahkan namanya kepada Jabatan Pertanian untuk dilaksanakan projek intergrasi tanaman bukan tembakau melibatkan keluasan sebanyak 716 hektar diseluruh negara. Pecahan mengikut negeri dimana paling ramai di Kelantan (236 orang seluas 249 hektar), Terengganu (110 orang seluas 239 ha), Kedah (79 orang seluas 103 hektar), Perlis (37 orang seluas 52 ha), Melaka (27 orang seluas 65 ha) dan Pahang (16 orang seluas 8 ha) dari Jabatan Pertanian (Sumber: Laporan Kajian Program PEGT, Jabatan Pertanian Malaysia 2019). Tanaman Tembakau memang tradisinya popular dibeberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan purata keluasan tanaman sekitar 1.4 ha seorang dan purata umur peserta projek sekitar 57 tahun. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya paparkan beberapa temuan mengenai kemajuan program menggantikan tanaman tembakau dengan tanaman lain yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian sebagai sangat berjaya untuk bahan rujukkan anda.


Program PEGT (Program Ekonomi Gantian Tembakau) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia menerima peruntukkan sebanyak RM6 juta untuk tempoh selama 3 tahun (2016, 2017, 2018) bagi kos pembangunan menukarkan kawasan tanaman tembakau kepada tanaman makanan melalui bajet diberikan oleh LTKN. Skop projek untuk pembangunan infrastruktur ladang dan input pertanian serta khimat nasihat kepakaran dan latihan teknikal diberikan oleh Jabatan Pertanian. Kadar bantuan diberikan adalah maksima sebanyak RM8,000 sehektar untuk projek ini. Pada penulis blog memang memang perlu ada skim bantuan seperti ini dimana ianya akan mempercepatkan proses  penukaran tanaman daripada tembakau kepada tanaman makanan seperti jagung manis, sayuran (sayur buah dan sayur daun), Keledek (Sila lihat foto disebelah), Labu Manis. Labu Air dan sebagainya. Tanaman ini sebaiknya mudah ditanam, dijaga dan mendapat pasaran yang baik dan mudah dijual. Perbezaan yang berlaku dimana pada bekas penanam tembakau harga dan pasaran selama ini memang dijamin dan diselaraskan oleh LTN mengikut perjanjian dan fungsi.  Petani ini perlukan khidmat teknikal yang diberikan oleh pegawai di Jabatan Pertanian bagi tujuan penanaman sehingga aspek pemasaran.


Aspek terpenting didalam perlaksanan untuk penukaran tanaman tembakau yang telah diusahakan berpuluh tahun kepada tanaman lain khususnya tanaman makanan perlukan kursus dan bimbingan sewajarnya. Pegawai Jabatan Pertanian akan membuat kursus teknikal  pengurusan tanaman tersebut dari semua aspek amalan agronomi sehingga kepada penuaian sehingga kepada aspek pemasaran hasil (Sila lihat foto disebelah). Kajian penilaian dilakukan oleh Jabatan Pertanian selepas 3 tahun perlaksanaan terhadap kejayaan program PEGT ini melibatkan kajiselidik terhadap semua responden terlibat. Temuan didapati dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan melalui program ini telah berjaya meningkatkan pengeluaran peserta projek daripada 8,000 mt sebelum projek kepada sebanyak 24,724 metrik tan selepas projek iaitu kenaikan sebanyak 123%. Pengeluaran ini jika dijadikan nilai kewangan adalah sebanyak RM20 juta sepanjang 3 tahun perlaksanaan. Data dianalisa mendapati seramai 200 peserta bekas penanam tembakau telah mencapai purata pendapatan sehingga RM2,500 sebulan iaitu melibatkan seramai 57% daripada jumlah bekas penanam tembakau yang pernah menerima bantuan ini. Sumbangan dalam pengeluaran makanan daripada peserta dilihat sebagai satu kejayaan dimana mereka ini tidak lagi menanam tembakau sebaliknya terus menanam tanaman makanan yang lebih menguntungkan. 


Bagaimana pun dari segi pemilihan tanaman yang dikaji, lebih 69% petani mengusahakan tanaman jagung manis kerana tanaman ini paling mudah ditanam, cepat dituai dan kurang masaalah pemasaran. Jagung Manis Hibrid (Zea mays) ini hanya mengambil masa kurang 3 bulan untuk ditanam sehingga dituai dimana ia sesuai disebabkan teknologi dan amalan agronominya sudah sedia ada. Tanaman ke 2 yang menjadi pilihan bekas peserta tanaman tembakau adalah Labu Manis (Cucurbita moschata) iaitu jenis labu manis Taiwan yang mendapat pasaran baik dan mudah dijaga. Labu manis ini kurang penjagaan berbanding dengan tanaman lain dan kurang serangan perosak dan penyakit serta tahap pada penggunaan tenagakerja agak rendah. Ke 3 adalah tanaman Tembikai (Citrullus lunatus) terutama tembikai merah hibrid yang mendapat pasaran baik dan mudah dijaga. Terdapat juga bekas penanam tembakau yang mendapat Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang menanam Melon (Cucumis melon) dimana ianya juga memberikan pendapatan baik kepada peserta. Tanaman Sayuran menduduki tempat ke 4 dan tanaman Keledek (Impomea batatas) tempat ke 5. Apa pun diantara petani yang suka menukar tanaman bergantung kepada amalan agronomi, kehendak asaran dan juga pada pengalaman selepas beberapa musim menjalankan projek PEGT. Beberapa penambahbaikan program ini dimasa akan datang jika ada seperti menggalakan peserta projek ini untuk menjalankan projek pemprosesan makanan (IAT), mengikat perjanian pemasaran melalui Skim Ladang Kontrak, menambah akan penggunaan mekanisasi dan automasi ladang dan kawalan keselamatan kebun dengan memasang pagar kawasan. Penulis blog juga meyokong dengan usaha cadangan mengamalkan teknologi Fertigasi Gantung terutama bagi kawasan yang terdedah kepada banjir iaitu dimusim tengkujuh. Kekurangan sumber air pula dimusim kemarau juga boleh dibantu dengan pemasangan telaga tiub dilokasi sesuai. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
 
TANAMAN TEMBAKAU... KURANGKAN..
POLISI WHO... MENJAGA KESIHATAN...
PROJEK PEGT....TANAMAN GANTIAN...
SUDAH DILAKSANA... CAPAI KEJAYAAN..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan P11d/14, Precint 11,
WP Putrajaya, Putrajaya,
Malaysia.
(12 Muharram 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.