Thursday, October 24, 2019

PROJEK KELAPA KG PASIR PUTIH, MARANG

PROJEK RANCANGAN TANAH BERKELOMPOK (RTB) KELAPA Kg Pasir Putih, Marang, Terengganu merupakan satu projek bimbingan Jabatan Pertanian Terengganu yang membanggakan. Penulis blog berkesempatan membuat tinjauan di projek ini bersama rombongan daripada pegawai Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dan disambut oleh AJK dan peserta ladang kelompok tersebut. Keluasan fizikal projek adalah  76.03 hektar melibatkan seramai 112 orang peserta dari kalangan penduduk tempatan. Projek yang terletak di pesisir Sungai Marang dibawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Negeri Terengganu. Siri tanah bagi dikawasan projek adalah jenis Sisi Tanah Ibai dimana ia adalah jenis tanah lempung laut yang masam dan berpotensi untuk masam. Kawasan projek adalah berada disepanjang Sungai Marang dengan sering kali juga air masin mencecah kekawasan kebun ketika pasang besar dimana peserta projek ada yang memerlukan sistem perparitan yang baik. Tanaman kelapa adalah tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selapas Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Malaysia menanam 84,500 hektar kelapa (kebanyakannya adalah jenis Kelapa Tinggi Malaya - CN1) semasa program pembangunan kelapa iaitu Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa oleh Jabatan Pertanian (RPSKK) sekitar tanin 1970-1980an.  Keperluan penggunaan kelapa negara sekitar 750 juta biji setahun sedangkan rekod pengeluaran tempatan sebanyak 650 juta biji setahun. Baki sebanyak 100 juta biji perlu diimport dari Indonesia setiap tahun melalui kawasan kuota im[port kelapa untuk kegunaan kilang sahaja. Keluasan tanaman kelapa di seluruh negeri Terengganu adalah sebnayak 4,146 hektar dengan pengeluaran sebanyak 17,776 metrik tan pada tahun 2018 (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Daerah Marang di Terengganu antara daerah yang agak luas menanam kelapa di Terengganu pada masa ini. Hasil kelapa digunakan untuk kegunaan tempatan dan kekurangan kelapa membolehkan ia dibekalkan dengan kelapa daripada Johor dan Selangor. Artikel malam saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mwngwnai projek kelapa Kg Pasir Putih, Marang, Terengganu untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda semua.


Menanam kelapa dikebun memerlukan ilmu pengetahuan asas pertanian yang tinggi untuk menentukan kejayaan. RTB Kg Batu Putih ini dahulu tanah yang diusahakan adalah tanah milik dan juga ada tanah rizeb pertanian dimana surat kebenaran pemilikkan tanah dikeluarkan oleh pejabat tanah dimana pilihan petani di kampong ini adalah untuk pembangunan kelapa (Cocos nucifera). Terdapat dua varieti popolar yang ditanam sejak 8 tahun dulu melibatkan 3 peringkat tanaman dengan mana kebanyakannya adalah Kelapa Pandan (CN6) diikuti dengan Kelapa Matag (CN14, CN15) dan beberapa varieti lain. Ketibaan penulis blog di sambut seramai 23 orang AJK dan peserta projek RTB kelapa ini di Pondok Tani (Sila lihat foto disebelah). En Nasir selaku Setiausaha dan En Sulaiman telah memberikan taklimat ringkas perlaksanaan projek dan beberapa isu berkaitan tanaman kelapa disini. Pegawai Pertanian Daerah pula En Nik menambah fakta mengenai bantuan dan peranan Pejabat Pertanian Daerah Marang didalam projek ini. AJK Kelompok memohon 3 perkara bantuan daripada kerajaan bagi meningkatkan produktiviti RTB Kelapa iaitu Pagar Kawasan Kebun, Latihan Teknikal Tanaman Kelapa (Lanjutan) dan juga Infrastruktur tambahan seperti jalanladang dan Culvert. Keperluan ini bagaimana pun dipohon jika ada peruntukkan bajet negeri kerana skop baja persekutuan tiada perkara tersebut.


Ketua Kelompok dalam ucapannya telah menyatakan pada peringkat awal mereka sukar untuk mejual kelapa pandan yang saiznya kecil berbanding dengan Kelapa Tinggi Malaysn Tall (CN1). Dalam Fasa 1 penanaman kelapa iaitu seluas 39 hektar yang dilaksanakan melibatkan 35 ha kawasan pemulihan dan 4 hektar merupakan tanaman kelapa dikawasan baru melibatkan 56 orang petani pada tahun 2009. Kos untuk pembangunan kelapa Fasa 1 sebanyak RM203,555.00  Kemudian Fasa 2 dilaksanakan pada tahun berikutnya dengan keluasan 28.4 ha melibatkan seramai 52 orang petani dengaan kos pembangunan sebanyak RM188,540. Akhir sekali pada Fasa 3 Jabatan Pertaanian memberikan bantuan kelapa seluas 8.50 hektar libatkan 10 orang petani dengan kos perbelanjaan sebanyak RM33,270 melalui kaedah 'reimbursement'. Kadar bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian bagi tanaman kelapa untuk Tanaman Baru adalah sebanyak RM12,500 (bagi tahun pertama) dan juga bantaun input baja dan bahan kimia untuk tahun ke 2, ke 3 dan ke 4 sebanyak RM7,500. Bagaimana pun kadar bantuan sebanyak RM4,500 diberikan kepada penanam kelapa untuk program pemulihan semula kawasan kelapa di kampong ini. Menurut pengerusi RTB ini kini telah ramai menemuinya untuk penanaman kelapa kerana harga kelapa sawit yang rendah mereka ingin menanam kelapa dan bertanya beliau bagaimana untuk mendapatkan bantuan.


Penulis blog yang terus ke bawah pokok kelapa dan seterusnya ada membuat perbincangan teknologi tanaman kelapa sangat mengembirakan ramai petani. Antara topik yang diterangkan kepada petani seperti teknik pembajaan yang tepat, penggunaan gel pertanian, kaedah kawalan kumbang tanduk (Rhinocerous beetle), Ketulinan Benih Kelapa Pandan, Cara menentukan kelapa muda yang tepat untuk dituai, keperluan pengaporan dan banyak lagi. Peserta projek juga gembira apabila penulis blog anim agro 'muncul' dihadapannya kerana sudah bertahun mereka 'google' mengikuti maklumat yang dirujuk kepada blog tersebut. Apa yang penulis blog syorkan seperti penggunaan baja organik dan kurangkan penggunaan rcun sistemik untuk mengawal rumpai. Ini kerana kebanyakan petani akan menggunakan racun rumpai yang sistemik dan racun ini mengganggu akar tanaman pokok kelapa. Mereka digalakkan menambah aplikasi baja dan menggunakan baja organik untuk tingkatkan produktiviti. Selain daripada menanam kelapa disyorkan juga petani untuk menanam tanaman lain seperti nanas, kopi, sayuran dan yang sesuai untuk penambahan pendapatan. Terkini di Kg Batu Putih ini dimajukan Pusat Perlancongan Agrotourism berasaskan tanaman kelapa. Pejabat Daerah Marang meluluskan bajet sebanyak RM255,000 untuk membina infra seperti jalanladang, pondok pelancong, jeti, peralatan dan sebagainya ditengah kawasan tanaman kelapa dan ditepian sungai. RTB bergotongroyong membuat beberapa infra dan mempromosikan produk berasaskan kelapa kepada pelancong seperti Air Nira, Jelly Kelapa, Nira Ice, Kuih Lempeng Kelapa, Air Kelapa Pandan Muda dan banyak lagi. Aktiviti riadah seperti mengutip lokan, melihat kunang-kunang di pokok berembang, memencing ikan dan udang serta perkhemahan ada disediakan dimasa terdekat. Penulis blog membuat group foto ditapak agrotourism disini (Sila lihat foto paling bawah). Memang RTB kelapa dan agrotourism disini beoleh dijadikan model terbaik bagi pembangunan ekonomi dikampung ini. Semuga tulisan ini mampu memberikan info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
TANAM KELAPA... BERKELOMPOK DIA...
KELAPA PANDAN... MATAG PUN ADA...
TANAM BARU... PEMULIHAN JUGA...
AGROTOURISM... DIGABUNG SAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 417, Grand Puteri Hotel,
Jalan Masjid  Abidin,
Kuala Terengganu,
Terengganu, Malaysia.
(4 Muharram 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.