Thursday, August 8, 2019

DURIAN KAMPONG DI MARAN

DURIAN KAMPONG DI MARAN, PAHANG yang penulis blog membuat tinjauan merupakan salah satu daripada dusun durian tradisional yang terdapat di Daerah Maran. Durian (Durio zibethinus) yang ditanam di kebun ini kepunyaan Puan Saniah yang mewarisi kebun durian bercampur seluas 2 ekar ini daripada keluarganya. Selain daripada 24 pokok durian yang sudah berumur hampir 20 tahun, kebun ini ditanam dengan pokok getah, pokok pisang dan beberapa jenis tanaman sayuran kampong. Kawasan kebun ini berada di Kg Pasir yang tidak jauh daripada anak sungai Pahang. Penulis blog sebelum ke kebun ini telah membuat tinjauan teknikal tanaman mesta komersil sekitar 1.5 km jauhnya daripada kebun durian kampong ini. Pemilik kebun yang menaiki Toyota Hilux membuka kunci pagar ketika musim buah durian gugur untuk elakkan sebarang risiko seperti kecurian dan sebagainya. Tanaman durian di Pahang merupakan antara jenis tanaman buah-buahan yang popular terutama dikalangan penduduk kampong tradisional dan pengusaha komersil diseluruh negeri. Jabatan Pertanian Negeri melaporkan terdapat seluas 18,293 hektar dengan pengeluaran sebanyak 45,078 metrik tan (Sumber: Laporan statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018) sebagai tanaman berhasil. Durian jenis Musang King (D197) merupakan antara varieti durian yang popular di Pahang terutama dibeberapa daerah seperti di Raub dan Bentong. Di Daerah Maran juga tidak kekurangan tanaman durian apabila ada pengusaha durian kampong dan durian klon yang mana kebanyakannya adalah berkualiti. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan tulisan artikel mengenai kunjungan penulis blog kekebun durian tradisional di Kg Pasir, Maran, Pahang ini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.   


Puan Saniah merupakan seorang pekebun durian tradisional dengan mempunyai 24 buah pokok durian yang sedang gugur buahnya ketika tinjauan dilakukan penulis. Rombongan ini diikuti sama oleh Penghulu Mukim, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Maran, APT Maran dan juga beberapa penduduk kampong. Setibanya di pintu pagar didapati buah durian sudah bertaburan diatas tanah dan kami mengumpulkannya sebelum ia dimasukkan kedalam kereta sorong. Sebanyak 10 biji dikumpulkan pada bahagian hadapan kebun dan 15 biji lagi dibahagian belakang kebun. Menurut Pn Saniah, ada beberapa jenis durian kampong yang terdapat dikebunnya akan tetapi dakwanya pokok jenis 'durian belimbing' yang beliau paling suka kerana kualiti isi yang kuning, manis dan lemak rasanya. Pada beliau pokok durian belimbing ini (ada 3 pokok) buahnya akan diasingkan dengan buah durian daripada pokok lain dan dijadikan satu indikator semasa membuat grading untuk jualan. Puan Saniah juga mahir membelah buah durian dengan parang (Sila lihat foto disebelah) dimana didalam beberapa minit sahaja lebih 3 biji berjaya dibelah dan dihidangkan kepada kami semua untuk memakannya. Memang sungguh unik apabila buah durian kampong yang baru 'berdebub' jatuh diatas tanah dikebun durian ini terus dibelah walau pun terpaksa 'berperang' dengan nyamuk yang terus menghisap darah penulis blog. Nyamuk disini pun memilih mangsa dimana perokok mereka tidak diganggu dengan ada juga kemungkinan darah mereka tidak disukai nyamok.


Pada musim tahun ini Pn Saniah juga ada mendakwa dimana buah durian kampong didusunnya menghasilkan keadaan buah sederhana banyaknya akan tetapi baik kualitinya. Walau pun beliau dakwa kadar pemberian baja sama seperti tahun-tahun sebeumnya akan tetapi cuaca yang baik memberikan pokok berbuah dengan baik. Semenjak durian gugur 2 minggu lepas beliau mengutipnya dan menjual secara longgok dengan bercampur beberapa jenis buah pada harga RM48.00 selonggok terdiri dari 5-6 biji buah durian kampong dari dusunnya. Kalau buah bersaiz kecil akan lebih jumlahnya berbanding dengan buah yang bersaiz besar dan berkualiti. Pembeli yang sering datang kegerainya selalu berpuashati dengan durian kampong dan mereka akan singgah beberapa kali untuk membelinya. Sehingga kini tidak ada masaalah jualan durian daripada dusunnya kerana ia dijual dengan harga berpatutan dan ada jaminan kualiti. Memakan durian kampong (boleh dikatakan seakan durian organik) berbeza dengan durian klon atau durian premium kerana aroma, kandungan gula dimana kali ini memang banyak ulas dan biji boleh dihabiskan. Penulis blog dan rombongan mampu menghabiskan lebih dari 10 biji yang dibelah Pn Saniah. Lepas makan buah penulis blog berbincang untuk beliau memperbaiki kesuburan tanah dengan membuat aktiviti pengapuran, menambah baja organik dan melakukan 'pocket fertilizer application' selepas musim buah tamat kelak. Ini bagi pokok-pokok yang dilihat perlukan baja tambahan berdasarkan pemerhatian dilakukan.


Dalam pada itu Pn Saniah juga telah menanam beberapa anak pokok durian dikawasan kosong menggunakan varieti durian belimbing miliknya. Biji benih yang diambil disemai dalam polibeg dan telah ditanam dilokasi kosong dikebunnya (Sila lihat foto disebelah). Dari pemerhatian didapati anak benih durian ini hidup dengan baik dan selalu dijaga dengan ada sistem pengairan titis dipasang pada anakbenih tersebut. Apa pun penulis blog beritahu untuk beliau menanam 3 anak pokok dalam satu lubang dan membuat cantuman dengan durian varieti premium kelak. Pn Saniah teruja untuk mencuba teknik 3 in 1 ini untuk ditanam pada musim akan datang. Penulis blog juga menjelaskan untuk beliau membuat aktiviti 'cantuman dewasa' bagi beberapa pokok durian kampong yang kurang berkualiti isinya (durian singlet dan kurang manis) dengan tinjuk ajar daripada pegawai daripada Jabatan Pertanian. Sebaikya kerja melakukan cantuman dewasa ini dilakukan pada dahan yang paling bawah sekali untuk meningkatkan peratus kejayaan yang tinggi. Penulis blog percaya dengan cara menanam anak pokok durian klon baru dan membuat cantuman dewasa akan dapat meningkatkan lagi potensi penghasilan durian premium dimasa akan datang.


Menilai dari segi kualiti durian kampong memang agak subjektif. Ada kalangan peminat buah durian yang suka durian premium seperti Musang King walau pun harga jualannya sekitar RM35 - RM45 sekilogram semasa artikel ini ditulis. Apa pun durian kampong ada dijual daripada serendah RM3.00 sekilogram sehingga RM20.00 sekilogram bergantung kepada kualitinya. Pengalaman Pn Saniah ada menyatakan permintaan terhadap durian kampong masih kukuh di Maran apabila beliau dakwa memang tidak ada masaalah tentang penjualannya. Bagaimana pun usaha untuk menanam varieti durian premium masih dijalankan agar ada pilhan pembeli untuk mendapatkan hanya durian kampong sahaja atau campuran antara keduanya pula. Keunikkan durian kampong adalah kepelbagaian warna isi buah, kemanisannya dan juga aromanya (Sila lihat foto disebelah). Buah durian kampong memang masih tetap ada peminatnya kerana kepelbagaian rasa dan juga harga yang berpatutan atau mampu dibeli oleh ramai pengguna. Kemungkinan pihak Jabatan Pertanian perlu menaiktaraf status durian kampong dengan beberapa skim dan juga pendafataran durian ini dimasa akan datang. Semuga artikkel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
DURIAN KAMPONG... DIMARAN ADA...
PN SANIAH... PEMILIK DUSUNNYA...
BANYAK JENIS... PELBAGAI RUPA...
ADA PASARAN... BERPATUTAN HARGA...

By,
M Anem,
Room 2111, Suite Floor,
Hotel Zenith, Jalan Putra Square,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(25 Julai 2019).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.