Tuesday, September 4, 2018

CEKUR MANIS - KENALI DAN KHASIATNYA

CEKUR MANIS (Sauropus androgynus) adalah sayuran dari keluarga Euphorbiaceae dimana penulis blog dapati ia adalah merupakan sayuran tradisional. Ia adalah pokok yang tumbuh renek dan mencapai ketinggian hingga 3.5 meter. Batang tidak mudah bercabang kecuali bila dicantas. Ramai dikalangan rakyat Malaysia terutama generasi Y kurang kenal akan tumbuhan ini yang didakwa berkhasiat. Oleh itu saya akan paparkan bagaimana mengenali dan apakah khasiat cekur manis. Ini kerana mungkin ramai belum lagi mengenali pokok cekur manis apatah lagi ia merupakan sayuran tradisional yang biasanya diperoleh di kawasan luar bandar. Pada batang terdapat ranting ranting lateral pendek dan daunnya tumbuh secara berselang seli hingga ke hujung. Daun cekur manis beraroma sedikit bila diramas, buahnya globos berukuran1.5 cm diameter, berpangsa tiga dan berwarna putih kemerahan (Sila lihat foto diatas). Cekur manis juga dipanggil sayur pucuk manis atau asin asin dan mempunyai warna hijau gelap serta ditanam di Asia Tenggara, India,Sri Lanka dan selatan China. Cekur manis kaya dengan kabohaiderat, lemak, serabut, asid amino, besi, fosforus, kalsium, vitamin A, B1, B2 dan C. Dari segi khasiat makanan, daun, pucuk boleh dimasak air, digoreng atau dimakan mentah. Buah cekur manis boleh dijadikan jeruk manis. Khasiat ubatan cekur manis boleh merangsang pengeluaran susu ibu dan ubat bagi memulihkan wanita lepas bersalin, ia mengubat demam panas, masalah buang air kecil, merawat pening, melawaskan kencing dan hidung berdarah. Artikel subuh ini selepas solat subuh saya terus menuls dalam blog ''Anim Agro Technology'' mengenai penanaman cekur manis serta mengupas akan kehebatan khasiat tumbuhan ini sekadar berkongsi maklumat dalam kedinginan pagi.

Pembiakan dan penanaman tumbuhan ini mudah dilakukan oleh semua. Cekur manis mudah dibiakkan melalui sistem batang yang berkayu keras dimana batangnya yang matang boleh dipotong  sepanjang 20-25 cm boleh ditanam terus kebatas atau dibiakkan di dalam polibag yang diisi media tanah campuran dan diletak di tapak semaian. Anda boleh cucukan diatas tanah dikawasan keliling rumah (Sila anda lihat foto disebelah). Penanaman secara komersil sebaiknya dibuat diatas batas.  Batas disiapkan dengan ukuran lebar satu meter dengan panjang batas bersesuaian dengan kawasan penanaman. Cekur manis memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai bahan organaik yang tinggi. Jarak tanaman yang sesuai ialah 50-100 cm antara pokok dan 100-120 cm antara barisan tanaman. Tanaman dibuat satu barisan sahaja kerana ia akan bercabang banyak bila selalu melakukan cantasan. Pokok boleh bertahan sehingga 8-10 tahun jika penjagaan sempurna. Pengairan tanaman ini amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan diman sebaiknya tanaman perlu agar disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis. Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan cara menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan agar semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman. Apa yang mesti diketahui adalah mengenai pembajaan. Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan. Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 boleh digunakan dengan kadar 80-100 gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan dengan bahan sistem tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga kg /meter persegi. Baja foliar bagi semburan daun boleh digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan daun bekalan bergantung pada pasaran.

Pemangkasan tanaman cekir manis mesti dijalankan. Cekur manis perlukan  pemangkasan bagi memastikan pokok tidak terlalu tinggi kerana ini boleh  menyukarkan penuaian hasil, ketinggian yang disyorkan ialah antara 1.0 - 1 .2 meter (Sila lihat foto disebelah). Pokok cekur manis ini juga perlu dicantas bagi mengawal paras ketinggian dan menggalakkan pertumbuhan tunas atau pucuk baru. Cekur manis jarang diserang perosak di peringkat awal penanaman, serangan koya, hamama bermula setelah sekian lama penuaian dilakukan. Jika terdapat banyak serangan serangga maka sebaiknya pokok cekur manis juga boleh dicantas secara keseluruhan bagi mengurangkan perosak mengikut paras ketinggian yang dikehendaki. Biasanya aktiviti menuai pucuk cekur manis dilakukan dengan memetik pucuk muda. Ia boleh dilalukan menuai setiap hari dengan memotong kira 20-25 cm dari pucuk. Pucuk di susun dan ditimbang antara 300 - 400 g dimana kemudian perlu diikat atau dimasukkan di dalam sistem yang di lubangkan bagi tujuan perpeluhan dan dijual di pasaran. Sama ada anda memetik hasil untuk dimsak sendir atu dijual sebaiknya ia dimakan ketika masih segar dan belum layu untuk mendapatkan khasiat dan rasa keenakannya. Di pasar malam biasanya seikat cekur manis ini dijual dengan harga runcit diantara RM2.00 - RM4.00 bergantung kepada saiz ikatan dan lokasi jualan. Kini sayuran cekur manis telah ada dijual dipasaraya dengan pek pembungkusan daun yang telah siap dibuang batangnya untuk memudahkan memasak.

Dalam beberapa penulisan dan laporan akhbar dilaporkan dimana sayuran cekur manis lawaskan kencingIni kerana masaalah kencing tidak lawas merupakan gejala yang memang merimaskan kerana ia boleh mengganggu aktiviti harian terutama ketika penghidapnya berada di kawasan tumpuan umum atau sedang sibuk dengan tugasan penting. Gejala yang dikenali sebagai ''urge incontinence'' ini sebenarnya sering membelenggu pada kehidupan dan pemikiran pesakit yang kebanyakannya lelaki berusia 50-an dan ke atas. Ini kerana mereka lazimnya terlalu kerap berasa hendak membuang air kecil sedangkan air kencing yang keluar hanyalah sedikit. Dalam situasi lain pula dikalangan pesakit mungkin tidak puas ketika mereka membuang air kecil kerana merasakan masih ada baki air kencing yang tidak keluar. Ini menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama di dalam tandas ataupun jika ingin terus beredar akan sentiasa bimbang kemungkinan baki air kencing itu menitik atau mengalir tanpa disedari sehingga membasahi pakaian. Herba pilihan iaitu pokok CEKUR MANIS atau ASIN-ASIN atau nama saintifiknya Phyllanthus frondosus memang telah lama dikenali ramai kerana ditanam sebagai sayur-sayuran dan digunakan dalam masakan. Apa yag unik dimana selama ini anda tentu sering menikmati keenakan daun cekur manis yang dimasak lemak putih dicampur bersama keledek yang menimbulkan kesan aroma pembangkit selera (Sila lihat foto disebelah)Tetapi mungkin tidak ramai mereka yang mengetahui bahawa daun cekur manis juga sejak dulu sering digunakan oleh pengamal rawatan tradisional kerana ia juga mempunyai banyak khasiat.

Daun cekur manis sebenarnya apa yang penulis blog tahu, selain dijadikan hidangan yang menyelerakan ia juga digunakan oleh pengamal rawatan tradisional untuk tujuan membantu mengubati penyakit kencing tidak lawas dan mengurangkan kepanasan badan ketika demam. Merujuk kepada dakwaan oleg Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan dari Institute Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM) dikenali dengan nama Tajuddin Abdul Manap ada juga memberitahu dimana bagi pesakit kencing tidak lawas lazimnya mereka hanya perlu merebus daun cekur manis (Sila lihat foto disebelah). Dakwa beliau dimana air rebusan tersebut kemudian perlu diminum terutama ketika ia masih panas atau masih suam sebanyak dua atau tiga kali setiap hari. Ini akan memberikan kesann mungkin tidak boleh dirasai dalam waktu yang agak singkat sebaliknya air rebusan daun cekur manis perlu diminum selalu. Sebaik-baiknya apabila ia telah mula beri atau menampakkan kesan penggunaannya seeloknya ia boleh dijadikan amalan sehingga masalah kencing tidak lawas dapat dikurangkan atau diatasi. Seterusnya khasiat cekur manis bagi mengubati demam dengan mengambil secekak daun cekur manis perlu diramas-ramaskan dengan beras di dalam semangkuk air. Kemudian daun yang diramas itu dipupuk perlahan-lahan dan berulang kali di kepala dan juga bahagian-bahagian badan yang lain. Lakukan sehingga demam sembuh tetapi jika tidak ada apa-apa kesan sebaliknya demam masih tidak kebah maka dinasihatkan berjumpa dengan doktor perubatan profesional untuk mendapatkan rawatan lanjutan. Semuga artikel subun ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!...
CELUR MANIS.. CEKUR BERBEZA...
MUDAH DITANAM... CACAK SAHAJA...
PETIK SELALU... BANYAK PUCUKNYA...
KHASIAT TERBAIK... PERLU AMALNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria, Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(22 Zulhijjah 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.