Thursday, August 23, 2018

CAPATI - MAKANAN ISTIMEWA

CAPATI merupakan sejenis makanan yang juga dipanggil sebagai Chapati, Chappati atau Chapathi iaitu roti rata yang tidak beragi dimana ada juga memanggil sebagai roti. Makanan ini dipercayai berasal daripada negera seperti Nepal, India dan Pakistan. Ia adalah sejenis makanan di Asia Selatan dan juga di kalangan ekspatriat Asia Selatan dan di seluruh dunia. Capati ada dihidangkan di Asia Tengah dan negara Afrika seperti Kenya, Tanzania dan Uganda dengan sedikit penyesuaian masakan. Sebenarnya apa yang penulis blog diberitahu pembuat capati terkenal di Melaka bahawa perkataan 'Chapati' bermakna "leper bulat" dalam bahasa India. Kepingan capati adalah salah satu bentuk yang paling biasa di mana gandum diuli dalam satu bentuk roti atau rotta (roti). Di Malaysia capati lebih sering diadun dengan cara menggunakan campuran tepong gandum dan tepung Atta dan juga air. Ada juga sesetengah orang menambah garam  atau minyak untuk menjadikan kepada bentuk doh. Doh ini akan ditebar dan dicanai serta diletakkan pada kuali kering yang rata permukaanya yang dipanaskan. Berbeza dengan roti canai biasa ianya tidak menggunakan minyak semasa memasaknya memadai dengan permukaan kuali yang panas. Maka capati memang tidak berminyak dan dianggap sebagai makanan sihat. Ia akan diterbalikan beberapa kali diatas kuali sehingga masak dan terus dihidangkan bersama kuah dal, kari, kari kambing, kari ikan, kari daging hancur dan dimakan begitu sahaja. Penulis blog paling suka makan capati dengan lauk kari kambing untuk mendapatkan rasa sebenar makan capati yang memang mengenyangkan untuk jangkamasa yang lama. Antara beberapa lokasi restoren yang penulis suka di Air Hitam Johor, Capati Tehel di Melaka dan beberapa lokasi di Perak. Artikel malam ini iaitu pada cuti Hari Raya Aidil Adha 2018 saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' satu jenis makanan iaitu capati seperti mana yang ada dilaporkan didalam beberapa akhbar tempatan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Dalam Akhbar Utusan Malaysia bertajuk ''Capati Tehel jadi tarikan'' merujuk dimana kalau dahulu makanan berasal dari negara di India dan Pakistan kini telah diusahakan oleh orang tempatan. Usahawan dikenali dengan nana Senakan Bibi menunjukkan kemahiran menguli dan membakar capati di gerainya di Batu 9, Jalan Tehel, Melaka (Sila lihat foto disebelah). Pada ramai penduduk tempatan mereeka mendakwa inilah capati paling sedap dimakan. Kelazatan roti dan kuahnya memang tiada tandingan. Itulah reaksi spontan seorang pelanggan sebuah warung capati dan roti jala di Batu 9, Jalan Tehel di sini apabila ditanya mengapa dia sanggup berkunjung ke situ hampir setiap hari. Bukan sahaja dikenali di kalangan penduduk setempat malah orang dari luar Melaka cukup mengenali warung yang diberi jolokan 'Warung Capati Tehel' di kalangan penggemarnya. Bagi yang berkunjung ke sini khususnya mereka yang datang dari luar Melaka, warung capati Tehel menjadi tempat persinggahan awal sebelum berkunjung ke beberapa tempat menarik di bandar ini. Capati yang disediakan di sini, tidak sama seperti di mana-mana gerai lain kerana keenakannya apa lagi dengan hidangan sepinggan kuah kima kambing dan kari ayam membuatkan mereka yang menikmatinya menghela nafas lega serta puas. Anda jangan terkejut jika anda terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk dibawa balik begitu juga mereka yang datang mencari tempat duduk kosong. Memang anda perlu banyak bersabar menanti giliran, pastinya anda tidak akan hampa apabila dapat menikmati capati Tehel. Akhbar juga nyatakan salah seorang pelanggan dari Muar, Johor, Azman Abdul Halim, 35, berkata, dia mendapat tahu akan kelazatan warung capati Tehel itu daripada seorang rakan. Katanya ''Kira-kira enam bulan lalu, seorang rakan karibnya  ada memberitahu ada sebuah warung capati yang sedap dan terletak di tepi jalan bersebelahan ladang kelapa sawit. 'Mula tu, saja ingin mencuba, tapi tak sangka pula sedapnya hingga buat saya ketagih sehingga sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia. Seorang lagi pelanggan, Ismail Dangi, 47, pula berkata, dia sanggup membawa keluarganya makan di situ walaupun mempunyai pilihan lain yang berdekatan dengan rumahnya di Bukit Baru, dekat sini.  ''Kalau ada masa lapang, saya pasti bawa keluarga makan di sini, walaupun jauh, tapi ia berbaloi kerana keenakannya," katanya. Bagi Rasnah Abdul Wahid, 32, keenakan capati dan roti jala di warung tersebut terletak pada adunan tepungnya yang lembut dan kuahnya yang sukar ditandingi di tempat lain. ''Saya tidak tahu hendak gambarkan enaknya makan capati di sini dengan sepinggan kuah kima kambing atau kari ayam. Rasanya lain dari yang lain," katanya lagi. Bukan menjadi satu perkara yang pelik apabila berkunjung ke warung ini, orang ramai sentiasa memenuhi setiap ruang tempat duduk yang ada.


Pelanggan mendakwa rotinya sungguh lembut dan kuahnya pula serba serbi cukup rasa. Bagi Marina Yahya, 46, dia terkejut melihat orang beratur untuk membeli capati dan keadaan jalan raya di situ sesak kerana banyak kenderaan diletakkan di bahu jalan. ''Beberapa minggu kemudian, ada rakan bercerita mengenai keenakan makanan di situ dan selepas itu barulah saya tahu kenapa terdapat banyak kereta di letakkan di situ. ''Bila mencuba hidangan di sini, saya begitu berselera sampaikan makan capati sehingga tiga keping pun tidak sedar," katanya lagi. Sementara itu, pemilik warung berkenaan, Senakan Bibi, 50, berkata dia mula berniaga menjual capati secara kecil-kecilan sejak hampir 10 tahun lalu. Senakan yang berasal dari Pakistan menambah, dia tidak menyangka capati dan roti jala yang dijualnya menjadi buah mulut pelanggannya sehingga kini. "Ramai orang cakap, roti dan kuah saya sedap, tapi bagi saya, biasa saja kerana semuanya saya buat menggunakan rempah ratus tempatan. ''Saya belajar cara mengadun tepung dan membuat kuah daripada saudara-mara semasa di kampung halaman dulu," katanya. Tambahnya, dia mampu menjual capati sehingga 10 kilogram tepung setiap hari dan setiap bulan mampu meraih pendapatan pada sekitar RM4,000Menurutnya lagi, warung capatinya beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 5.30 petang sehingga 11 malam. Harga bagi sekeping capati di warung capati Tehel ialah 80 sen sekeping manakala kuah kima daging lembu atau ayam RM2 sepinggan. Penulis blog beberapa kali berkunjung ke gerai capati ini untuk memakannya.


Dalam akhbar Harian Metro dan juga beberapa akhbar lain yang dirujuk melaporkan mengenai kisah di New Delhi, India dimana gara-gara capati ada yang ''Mati kerana capati tak bulat''Seorang wanita hamil mati dibunuh suaminya semata-mata berang kerana mangsa tidak dapat membuat roti capati yang berbentuk bulat. Mangsa yang dikenali sebagai Simran, 22, dipercayai dicekik hingga mati oleh suaminya selepas bergaduh pada malam Sabtu lalu. Mayat Simran yang hamil empat bulan ditemui terbaring di sebuah rumah pangsa di sini pada pagi Ahad lalu oleh abang mangsa. Anak perempuan pasangan itu yang berusia empat tahun ditemui dikurung di dalam sebuah bilik manakala suami mangsa melarikan diri. Kanak-kanak itu memberitahu polis, bapanya sering memarahi ibunya kerana wanita itu tidak dapat membuat capati berbentuk bulat. Ibunya seorang yang pandai memasak tetapi bentuk capati yang dibuatnya sering menimbulkan kemarahan bapa saya,” katanya. Menurutnya, dalam kejadian itu, bapanya berang selepas dihidangkan capati yang tidak berbentuk bulat dan terus menendang perut ibunya. “Saya cuba membantu ibu tetapi bapa mengheret saya masuk ke dalam bilik dan mengunci dari luar,” ceritanya. Polis memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa mati selepas leher dijerut dengan tali. “Polis kini memburu suami mangsa dan suspek berdepan dakwaan membunuh,” katanya.


Dalam Akhbar KOSMO Onine pula ada dilaporkan artikel bertajuk ''Capati'' yang sangat menarik untuk dibaca. Kini ramai  orang memilih capati kerana ia dikatakan lebih menyihatkan daripada nasi. Benarkah atau hanya andaian semata-mata? Sebanyak 40 gram beras menghasilkan satu cawan nasi iaitu 138 kcal kalori. Manakala 1 keping capati seberat 40 gram adalah 136 kcal kalori. Jadi, tidak banyak beza di antara keduanya. Bagaimanapun, bila kita makan nasi, kita akan makan pelbagai jenis lauk-pauk lain. Lauk itulah yang akan menambahkan kalori. Berbanding dengan capati yang selalunya dihidangkan dengan kuah dal atau kari. Pilih kari tanpa santan supaya kalori tidak bertambah. Oleh kerana capati diperbuat daripada tepung atta, maka ia lebih mengenyangkan kerana kandungan serat atau fibernya. Secara dasarnya, setiap hidangan capati mengandungi 80 kalori, 15 gram karbohidrat dan 3 gram protein serta sedikit lemak. Satu cawan tepung atta boleh menghasilkan lima keping capati. Ia tanpa kolestrol dan dapat membantu penghadaman serta melawaskan. Tepung atta atau tepung capati juga dikenali sebagai tepung gandum tulin (wholewheat flour) dan ia tidak perlu diayak sebelum digunakan. Supaya tahan lama, ia perlu disimpan di bahagian bawah peti sejuk. Adunan capati jangan diuli terlalu lembik. Ini kerana ia menjadi lebih lembut setelah diperap selama beberapa jam. Minyak sapi boleh digantikan dengan marjerin atau mentega. Anda juga boleh menggunakan minyak jagung apabila memasak capati. Adalah lebih sesuai menggunakan kuali leper yang berat kerana haba yang sekata. Jika anda menggunakan kuali yang terlalu nipis, capati akan mudah hangus. Panaskan kuali terlebih dahulu, kemudian perlahankan api ke tahap minimum. Pastikan juga capati tidak terlalu nipis bila dicanai. Capati yang nipis akan mudah hangus dan menjadi terlalu rangup. Sukar untuk mencicah kuah jika capati tidak tebal. Namun begitu, jika capati terlalu tebal, ia sukar untuk masak dan bahagian tengahnya akan berasa mentah. Jadi, canailah pada ketebalan yang sesuai, anggaran 2 hingga 3 milimeter.


Kaedah menekan sekeliling capati sebaik saja ia diterbalikkan akan memerangkap gelembung udara. Ini akan menjadikan capati lebih ringan. Sebaik saja diangkat dari kuali, letak di dalam bekas bertutup. Sebaik-baiknya, tutup dengan tuala supaya capati kekal lembut dan panas. Untuk memanaskan capati di dalam ketuhar gelombang mikro, tutup terlebih dulu dengan cling-film. Selain kari ayam atau ikan, kuah dal amat popular sebagai bahan sampingan capati. Kacang dal yang berwarna kuning itu mesti dibersihkan terlebih dulu sebelum direndam. Pastikan, ia jenis besar dan sudah dibuang kulitnya. Jika anda merendamnya semalaman, anda tidak perlukan masa yang lama untuk merebusnya. Jangan masukkan garam ketika merebus apa jenis kekacang sekali pun. Bagi kacang yang berkulit seperti kacang kuda, menambah garam semasa merebus akan membuat kulitnya tanggal. Sukatan air bergantung sama ada anda inginkan kuah dal yang pekat atau agak cair. Jika kacang dal direbus lama, ia akan menjadi lebih hancur dan membuatkan kuah lebih pekat. Begitu juga dengan kentang. Bagi yang ingin kuah sedikit 'manis' bolehlah digantikan sebiji kentang dengan sebiji keledek. Bagi penghidap penyakit kencing manis yang tidak boleh makan nasi, capati merupakan makanan alternatif yang menyihatkan. Anda boleh mengulinya banyak-banyak, kemudian simpan di dalam bekas bertutup yang diletak di atas rak peti sejuk. Kira-kira tiga jam sebelum memasak, keluarkan dan biar pada suhu bilik sebelum dicanai. Kaedah membuat kuah dal tidak menggunakan banyak minyak atau pun santan kerana ia akan pekat dengan sendirinya bila dal dan kentang empuk. Gunakan minyak zaitun bagi mendapatkan khasiat yang lebih. Untuk lebih rasa pedas, boleh taburkan serbuk lada hitam sejurus sebelum anda menghidangkannya. Jika tidak habis menggunakan tepung atta, ia boleh dicampur ke dalam adunan biskut (gantikan 1/3 sukatan tepung gandum) atau kek seperti kek lobak merah atau kek buah yang bertekstur lebih berat. Tepung atta juga enak dibuat skon dan lebih berkhasiat daripada tepung gandum biasa. Semuga artikel kali ini dalam anim agro technology memberi info berguna kepada semua. Wasallam!!
MAKAN CAPATI... ENAK SEKALI....
KARI KAMBING... PEKAT ADA ISI...
HARGA MURAH... KENYANG LAGI...
MAKAN DIKEDAI...BUAT SENDIRI...

By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(22 Ogos 2018).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.