Thursday, July 12, 2018

TERUNG HIJAU BULAT

TERUNG HIJAU BULAT atau TERUNG LALAP ( Solanum melongena) atau sering juga dipanggil terung ulam hijau dri keluarga Solanaceae merupakan sejenis terung yang mudah ditanam dan enak dimakan sebagai sayuran atau ulaman. Penulis blog yang baru-baru ini melawat beberapa negeri dipantai Timur iaitu Negeri Pahang, Terengganu dan juga  Kelantan sempat melawat beberapa kebun petni yang menanam terung bulat hijau dan beberapa gerai makan yang menghidangkan terung ini. Walau pun penanaman terung jenis ini hanya sebagai tanaman campuran dengan sayuran lain namun ianya telah memeberikan pendapatan yang baik kepada penanamnya. Terung ini ditanam daripada benih yang diperolehi daripada buah terung hijau tua yang di kutip daripada pokok sedia ada dan dikebun dan dijemur sebelum dikeluaran bijinya. Ia dijemur dan kemudian disemai didalam tapak semaian atau didalam polibeg dan apabila sesuai ditanam diatas batas atau didalam pasu. Lazimnya terung ini akan berbunga dan berbuah selepas 3 - 4 minggu selepas ditanam dan dengan penjagaan yang baik mampu tumbuh berhasil sehingga lebih daripada 5-6 bulan. Terung yang matang bersaiz sekitar bola pingpong atau besar sedikit dengan kulitnya berwarna hijau gelap dengan hijau terang  (Sila lihat foto diatas). Terung ini sebaiknya diberikan baja organik dan elakkan daripada gunakan sebarang racun kimi  kerana ia sering juga dimakan sebagai ulam-ulaman atau dimakan terus dengan nasi dan sambal. Terung jenis ini lazimnya ada dijual dipasar tani, pasar biasa dan juga di pasaraya beberapa premis tertentu dengan harga yang berpatutan. Artikel subuh ini jam 3.30 pagi sambil menonton perlawanan bolasepak separuh akhir Piala Dunia Russia 2018 diantara Perancis dengan Belgium (Perancis Menang 1-0) saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai terung bulat hijau sekadar untuk memberikan info teknikal kepada semua pembaca.


Mungkin ada dikalangan pembaca yang ingin katakan apakah perbezaan antara Terung Hijau Buat dengan Terung Pipit.
Terung Pipit (Solanum tarvum) atau juga dikenali sebagai terung rembang atau terung manggul adalah sejenis ulam yang tumbuh liar atau lazim ditanam dikawasan kebun tetapi lazimnya ia terdapat di hutan Malaysia. Terung Pipit diberi nama mungkin kerana ia adalah amat disukai oleh burung seperti burung pipit yang memakan terung ini apabila masak didalam keadaan semulajadi (Sila lihat foto disebelah). Saya ada menulis artikel mengenai terung pipit sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Terung pipit banyak dijual dipasar tani atau pasar tamu atau pasar minggu yang dikutip oleh penduduk kampong dengan harga selonggok diantara RM2.00 - RM3.00. Belum ada senarai harga terung pipit di dalam senarai harga sayuran dipasar yang dipaparkan. Antara kegunaan terung pipit adalah untuk dijadikan ulam ketika makan nasi dengan dicecah sambal belacan atau dimasak sayuran sambal ikan bilis pedas dan sebagainya. Ia merupakan sejenis sayur yang berkhasiat dimana secara saintifik apa yang penulis rujuk didalam tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan mengandungi bahan iaitu air 89 g, protein 2 g, lemak 0.1 g, karbohidrat 8 g, serat 1.0 g, kalsium 50 mg, fosforus 30 mg, ferum 2 mg, vitamin A 750 I.U., vitamin B1 0.08 mg, vitamin C 80 mg. Oleh itu tidak hairan jika dikatakan bahawa terung pipit merupakan tumbuhan berubat yang digunakan secara tradisi. Buahnya memang mengandungi banyak khasiat seperti diantaranya dengan meminum air rebusan buah ini dapat meredakan kesakitan akibat sakit perut yang berterusan. Selain itu akarnya pula dapat mengubati retak kulit pada kaki. Batangnya berkayu liat dan ia mempunyai dahan banyak dan berduri. Daunnya yang berwarna hijau dan tebal tumbuh berpasangan dan mudah dikenali. Ia mempunyai garis bentuk bujur dan terdapat juga duri pada urat daunnya. Bunganya berjambak-jambak di hujung atau terminal ranting, berwarna putih. Penggunaan lain terung pipit adalah ia mempunyai potensi bagi membersihkan kawasan tercemar pada tanah kerana ia mampu menyerap logam berat (Heavy metal) dari tanah. Bagaimanapun pokok yang ditanam bagi tujuan ini hasilnya adalah tidak sesuai digunakan kerana mengandungi logam berat atau untuk dimakan bagi mengelak keracunan kepada manusia yang memakannya. 


Terung bulat hijau akan dipetik dan biasanya akan dimakan bersama dengan ulaman dan kampong lain sama seperti ulam lain iaitu kacang botor, petai, jering, daun pucuk gajus, pucuk tepus, terung pipit, timun mini, jantung pisang rebus, pucuk betik, ulam raja, selom dan sebagainya. Ulaman ini sesuai dimakan bersama sambal belacan atau sambal lain bersama nasi putih dan pelbagai lauk lain (Sila lihat foto sebelah). Memang cukup menyelerakan makan tengahari dengan pelbagai jenis ulam-ulaman di beberapa buah restoren yang penulis blog kunjungi di Pahang, Terangganu dan Kelantan dimana ia adalah menu hidangan yang sering menarik minat ramai pelanggan. Ulaman seperti terung hijau bulat ini lazimnya perlu dibasuh bersih dengan air sebelum dihidang begitu sahaja atau ia di belah dua sebelum dihidangkan. Memang terung ini mempunyai rasa sedikit kelat dan aroma terung jika dimakan mentah bersama bijinya yang masih muda. Jika terung yang dihidangkan ini terlalu tua maka ia agak keras dan kurang enak dijadikan ulaman. Apa pun memang amat menyelerakan apabila kita masuk kerestoren yang menghidangkan pelbagai jenis ulaman untuk makan tengahari. Harga makanan seperti ini memang murah berbanding dengan memakan pelbagai lauk-pauk lain yang dijual di restoren tersebut.


Sebenarnya penulis blog amat suka dengan hidangan terung hijau bulat yang dimasak sambal pedas sama ada dengan cili api (berwarna hijau) atau dengan cili kering (berwarna kemerahan). Terung bulat hijau ini mudah dimasak dengan cili api dan beberapa ramuan lain seperti bawang, bilis, garam dan sebagainya dan dihidangan dengan nasi putih panas (Sila lihat foto disebelah). Sayuran ini sangat mudah disediakan dan enak dimakan pada masa tengahari. Jika ingin masak dengan sambal merah cili kering pun ianya amat enak dan mudah untuk disediakan. Sayuran yang kaya dengan vitamin C dan beberapa nutrisi lain ini boleh didakwa sebagai sayuran organik jika tidak menggunakan bahan kimia semasa menanamnya. Hidangan berasaskan terung bulat hijau ini boleh dippromosikan diperingkat nasional dan antarabangsa jika ada pihak kuliner yang mereka mahu melakukannya. Penanaman secara komersil terung jenis ini juga boleh dirancang dengan lebih sistematik sama seperti penanaman jenis sayuran jenis buah yang lain untuk jumlah pengeluaran yang banyak dan konsisten. Semuga artikel subuh ini memberikan info berguna kepada pembaca anim agro technology subuh ini. Wasallam!!...
TERUNG BULAT HIJAU... SUDAH JUMPA....
DIJADIKAN ULAMAN... ENAKNYA RASA....
MUDAH DITANAM... DIRUMAH ANDA JUA...
MEMBACA ARTIKEL...TERIMAKASIH SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 743, Hotel Mariott Putrajaya,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(27 Syawal 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.