Tuesday, July 17, 2018

RUMPUT KEMUNCUP - KENALI DIA

RUMPUT KEMUNCUP (Chrysopogon aciculatus Retz) ini adalah sejenis rumput tropika dari keluarga Poaceae (dulu keluarga Graminae) yang tumbuh dibanyak kawasan lapang dimana bijinya sering melekat pada kain seluar jika kita melaluinya. Rumput ini juga dipanggil sebagai Rumput Jarum atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'Love grass' atau juga dipanggil sebagai pilipiliuala. Rumput kemuncup ini apa yang penulis blog kenal mempunyai nama botani sinomim dengan Andropogon aciculatus Retz. Rumput kemuncup tumbuh dikawasan terbuka (terrestrial) dengan tumbuhan dari jenis renek (annual prostrate herbs) yang mudah kita jumpa dikawasan lapang seperti dipadang bola, tepi jalan, halaman rumah, dalam kebun, diatas padang golf dan sebagainya. Ia adalah sejenis rumput 'invasive' yang menganggu dikawasan tropika. Rumput ini juga merupakan rumput yang ditanam dikawasan padang bolasepak kerana ia didapati memang mempunyai daya ketahanan baik serta sifat yang tahan lasak. Bagaimana pun jika pengurusan memotong rumput dijalankan dengan baik ia merupakan jenis rumput baik untuk bersukan. Apa yang pasti ialah jika rumput ini tidak dipotong akan menghasilkan bunga yang melekat pada pakaian (seluar atau baju atau setokin) yang menyucuk kulit seperti jarum dan akibatnya gatal atau tidak selesa. Dalam beberapa rujukkan didakwa rumput ini sering juga digunakan untuk perubatan tradisional oleh masyarakat tertentu. Artikel subuh Isnin  ini saya menulis maklumat mengenai jenis rumput kemuncup didalam "Anim Agro Technology" untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan berdasarkan dari pengalaman penulis sendiri dan juga pembacaan beberapa buku.


Rumput Kemuncup tumbuh menjalar dengan stolon yang akan mengeluarkan akar pada setiap ruasnya (nodes). Akarnya adalah jenis akar serabut (fibrous roots) dengan berwarna putih atau agak coklat. Batangnya adalah berbentuk leper (flat) dengan agak berbulu sedikit. Dibahagian ruas juga didapati berbulu. Rumput kemuncup didapati tidak mempunyai 'stipules'. Daunnya berbentuk linear atau sessile dengan ukuran 2 cm panjang atau lebar dimana hujungnya tajam. Urat daun yang selari dari bahagian bawah daun kehujung daun jelas kelihatan dengan daun yang berwarna hijau ini mempunyai susunan spiral bertentagan (Sila lihat foto sebelah). Ia mempunyai bunga yang terbentuk pada satu tangkai terbit dari ruas menegak keatas dalam kumpulan (sessile and terminal panicle). Bunga yang berbentuk jarum ini mempunyai cangkuk tajam pada hujungnya yang mampu melekat pada pakaian dan berwarn akuning kecoklatan. Rumput kemuncup juga mempunyai biji didalam buahnya dalam bentuk 'nuts' yang boleh membiak jika jatuh ketanah sesuai. Rumput kemuncup sering didapati tumbuh dalam kelompok yang benyak dimana ia mudah dilihat dengan mata kasar. Ini kerana pembiakan benih rumput kemuncup ini berlaku dalam kawasan sekitar yang sama sahaja. Hanya manusia, haiwan dan lain-lain faktor yang akan membawa biji benih kemuncup ini berkembang kekawasan lain untuk berkembang. 


Kaedah pembiakan rumput kemuncup secara semulajadi adalah melalui cara bijibenih dan cara vegatatif (keratan dari stolon yang ada akar terus kekawasan baru). Penulis blog juga mendapati rumput kemuncup memang tidak disukai oleh kita yang hendak lalu dikawasan rumput tersebut dan kadang-kadang kena singsing seluar untuk elakkan dari bunganya melekat. Bagaimana pun bunga kemuncup akan melekat pada setokin pula. Memang penat hendak membuang bunga kemuncup yang melekat ini satu persatu kalau berada distokin atau seluar jenis nylon ini. Kalau hendak memudahkan cara membuang biasanya cara yang sering dilakukan dengan menggunakan pisau tajam dan gosok pada kemuncup yang melekat pada seluar dan pastikan ia tanggal. Kalau hendak cabut satu persatu semua bunga kemuncup memang amat meletihkan. Paling malang jika ada bunga kemuncup yang melekat didalam singlet atau dibahagian belakang baju yang menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan. Bagaimana pun kalau terkena baju akan menyebabkan gatal pada badan dan ia perlu dicari untuk dibuang. Kadang-kadang hanya bahagian jarum tajam yang sukar dilihat dalam baju yang menyucuk kita. Kalau tidak disedari seluar yang banyak kemuncup dimasukkan kedalam mesin basuh yang bercampur dengan pakaian lain, nasiblah kalau ia melekat pada seluar dalam.

Semasa kecil zaman kanak-kanak dulu rumput kemuncup merupakan rumput yang sangat berguna didalam permainan pertandingan. Penulis blog masih ingat lagi bagaimana kami akan cabut bunga kemuncup dan di lekatkan dengan bunga kemuncup lawan (Sila lihat foto sebelah) dan dipusingkan sehingga melekat. Kemudian kita tarik tangkainya dan lihat bunga siapa yang terputus. Jika bunga putus ia dikira "KALAH" sementara satu pihak lagi yang bunganya utuh akan dikira "WINNER". Permainan ini memang murah untuk kita menentukan siapa yang pertama bermain dalam giliran melastik getah karet, main ting-ting, kondang kondi, galah panjang dan banyak lagi permainan tradisional. Apa yang pasti kanak-kanak zaman sekarang mungkin tidak pandai main benda ini tetapi mereka akan lebih cekap didalam permainan komputer games. Itulah diantara perbezaan antara generasi 'Babby boomers' dengan generasi Y masa kini. Belum ada kajian terperinci apakah dia khasiat rumput kemuncup ini dalam nilai permakanan dan juga nilai ekonomi. Ini kerana rumpur spesis invaisive ini masih menjadi ancaman kepada kawasan kebun dan kawasan lapang di tropika. Walau pun belum ada aktiviti menanam rumput kemuncup ini secara komersil tetapi usahawan pembekal rumput padang ada menyimpan rumput kemuncup ini untuk permintaan khusus. Semuga tulisan saya mengenai rumput kemuncup ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
RUMPUT KEMUNCUP...KENALKAH ANDA..
TUMBUH DIPADANG...IA MERATA-RATA...
MELEKAT DIBAJU...GATAL AKIBATNYA...
CEPAT MEMBIAK...ANCAMAN SEMUA...


By,
M Anem
Taman Cendana
Persimpangan Air Keroh,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(3 Zulkaedah 1439H)
  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.