Wednesday, May 9, 2018

TILAPIA DALAM KOLAM SIMEN

TERNAKAN IKAN DALAM KOLAM KONKRIT merupakan satu teknologi yang mudah untuk di kawal kerana cara pengurusan lebih mudah dilakukan berbanding dengan kolam tanah tradisional. Apa yang penting adalah sumber air bersih dan berkualiti dimana air terus mengalir masuk dan keluar dari kolam konkrit. Penulis blog berpeluang melawat satu projek kolam konkrit di Bandar Keningau kepunyaan Dato Yap yang memelihara beberapa spesis ikan seperti Ikan Tilapia Merah, Ikan Tilapia Hitam, Ikan Empurau dan beberapa spesis lagi. Dato Yap yang juga pemilik Eco-Yap Sdn Bhd merupakan usahawan pertanian berjaya di Malaysia dengan banyak aktiviti pengeluaran makanan dan produk organik seperti susu lembu, sarang burung walit, padi organik, nanas, ternakan buaya, ternakan rusa, ternakan burung unta, ladang kelapa sawit, pengeluaran baja kompos, tanaman durian dan banyak lagi. Beliau juga membangunkan sektor pembinaan dan perumahan sangat gigih dalam sektor pertanian dan menerima banyak pengiktirafan diperingkat nasional dan antarabangsa. Ternakan ikan dalam kolam konkrit ini merupakan projek terkini yang baru sahaja disiapkan melibatkan satu kompleks mengandungi Kolam Ikan Konkrit, Rumah Burung Walit 4 tingkat, Cadangan Kolam Renang dan Sebuah Hotel dalam satu kawasan prima yaang berada di jalan utama di Keningau. Kolam konkrit ini mempunyai bekalan air bersih daripada air gunung yang tidak tercemar turun melalui sistem graviti. Satu struktur parit konkrit sepanjang 1.5 km dibina dengan lebar 1 meter yang mengalirkan air ke 10 buah kolam Fasa 1 yang telah pun beroperasi. Sebanyak 20 lagi kolam konkrit akan dibina untuk Fasa 2 dan berikutnya (Sila lihat foto paling bawah sekali). Artikel malam ini say amenulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai ternakan ikan tilapia dalam kolam konkrit sebagai satu testimoni hasil lawatan penulis ke lokasi tersebut.


Ikan tilapia merupakan spesis ikan air tawar yang mudah dipelihara dan mendapat psaran yang baik dikalangan pengguna.  IKAN TILAPIA (Oreochromis spp) adalah sejenis ikan yang popular dari keluarga CICHLIDAE yang terdapat dikawasan air tawar dan juga sedikit di kawasan air payau. Terdapat lebih dari 100 spesis ikan tilapia diseluruh dunia yang mendudukki kawasan Sungai, Tasek, Kolam dan kawasan takungan air. Di Malaysia ikan tilapia merupakan salah satu jenis ikan yang di ternak dan dijual secara komersil terutama dikawasan penternakan ikan dalam kolam ikan air tawar termasuk sesuai diternak dalam kolam moden menggunakan komkrit (Sila anda lihat foto disebelah). Daripada 8 Genus Ikan Tilapia hanya 3 Genus yang paling banyak diternak dan dikenali serta mempunyai nilai komersial iaitu Genus Oreochromis, Genus Sorotherodon dan Genus Tilapia. Genus Oreochromis sahaja mempunyai sebanyak 30 spesis seperti Tilapia Merah, Tilapia Hitam, Tilapia Biru, Tilapia Sirip Panjang, Tilapia Mozambique, Tilapia Nil, Tilapia Rufigi dan Tilapia Wami. Antara genus Tilapia Sarotherodon (lebih 10 spesis) adalah seperti Tilapia Mangga, Tilapia Senegal dan Tilapia Dagu Hitam. Ikan Tilapia merupakan spesis ikan ketiga terpenting diternak dan dimakan selepas ikan kap dan ikan Solmon. Ikan ini mudah membiak dan diternak dalam kawasan air tawar dengan memakan tumbuhan dalam air serta makanan formulasi moden dan cepat membesar. Ikan ini adalah jenis 'omnivorus' dan boleh hidup dalam keadaan kolam atau kawasan dengan padat dimana tidak mudah mati walau pun suhu air agak panas pada waktu tengahhari di kawasan tropika. Dibeberapa negara anak ikan tilapia dimasukkan dalam sawah padi dan dituai semasa padi hendak dituai apabila mencapai saiz 12-15 cm. Jumlah pengeluaran ikan tilapia seluruh dunia sekitar 1.5-2.0 juta metrik tan setahun terutama dikawasan tropika dan Asia.


Di dalam 10 kolam konkrit diprojek ini terdapat 8 kolam dimasukkan dengan ikan tilapia dimana 5 kolam dengan jenis Tilapia Merah, 3 kolam dengan Tilapia Hitam dan bakinya 2 kolam dimasukkan dengan Ikan Empurau.  Penternakan ikan tilapia boleh dibuat dalam kolam ikan air tawar, Dalam Kolam Kanvas, Dalam Sangkar dan disini didalam komam Konkrit yang moden. Lokasi penternakan ikan tilapia yang dipilih akan menentukan keupayaan muatan sangkar (carrying capacity) kerana kualiti air bergantung kepada keadaan persekitaran luar sangkar. Aliran air menerusi sangkar semasa bekalan air dari empangan, tiupan angin atau pergerakan ikan dalam sangkar akan menambahkan oksigen terlarut dan mengeluarkan bahan buangan dari dalam sangkar. Antara faktor penting yang telah diberi perhatian semasa pemilihan tapak pemasangan sangkar bagi ternakan ikan tilapia merah ialah kualiti air, kedalaman air dan kelajuan air. Kualiti air dan persekitaran yang baik memberi kesan terhadap pembesaran ikan tilapia dengan cepat bagi sistem ternakan secara intensif. Sebagai panduan parameter-parameter yang dianalisa dan diperlukan bagi kesesuaian ternakan ikan tilapia merah (Oreochromics niloticus) adalah seperti suhu air - 20-35 0 C ( Optimum 28-32 0 C ), pH air - 6-8, kandungan Oksigen terlarut - lebih dari 2.5 ppm, Paras Karbon dioksida sebaiknya kurang dari 2.5 ppm, paras gas Ammonia sebaiknya kurang dari 1.0 ppm dan tahap kemasinan sekitar 0-20 ppt. Penulis blog dapati kualiti ikan tilapia merah di projek ini amat baik tanpa bau tanah dengan saiz tuaian seragam (Sila lihat foto disebelah). Purata saiz tuaian sekitr 500 - 600 gram seekor dengan kualiti yang baik untuk pasaran


Kedalaman air antara 1.0-1.5 meter dalam kolam konkrit dengan air sentiasa mengalir masuk dari taliair utama memang sesuai untuk ternakan ikan tilapia dalam kolam konkrit ini. Kedalaman air melebihi 1 meter antara permukaan paras kolam adalah masih sesuai bagi ternakan ikan dalam kolam konkrit. Ini bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan bakteria patogenik terhadap ikan yang terdapat di dasar permukaan kolam. Kedalaman air 2 meter dalam kolam sesuai untuk ternakan ikan dalam saiz kolam 20 meter x 10 meter  setiap satu kolam. Kelajuan arus air yang disyorkan adalah antara 10-25 cm/saat bagi tujuan memastikan pertukaran air yang baik. Sekiranya kadar air yang masuk kolam konkrit mempunyai kelajuan terlalu perlahan mungkin akan berlaku kekurangan oksigen terlarut dan ikan yang diternak akan mengalami ketegasan (stress) dan boleh menyebabkan gangguan lain kepada kadar pertumbuhan ikan tilapia. Sebaliknya jika aliran kelajuan air terlalu kuat maka ikan tilapia perlu menggunakan tenaga yang berlebihan untuk berenang melawan arus dimana ini menyebabkan sebahagian daripada makanan akan mudah hilang dibawa arus kuat. Modul sistem ternakan ikan dalam kolam konkrit bagaimana pun kos pembinaannya agak tinggi berbanding dengan kolam tanah tau kolam kanvas. Ini kerana konkrit yang digunakan memerlukan tapak yang kukuh tanahnya dan struktur kukuh (BRC) agar tidak berlaku keretakan atau kebocoran terutama pada bahagian bawah kolam atau pun dinding. Dinding konkrit setebal 20 -25 cm disediakan bagi tujuan ini. Ia berbeza dengan menternak ikan tilapia dalam sangkar dengan kedalaman jaring pukat kurungan ikan adalah antara 1.8 - 2.0 meter. Isipadu jaring kurungan ikan dalam sangkar bersaiz 3 m x 3 m adalah antara16-18 meter padu. Sangkar yang menggunakan kerangka besi (G.I Pipe) bersaiz 6 m x 6m boleh digunakan bagi mengurangkan kos. Bagi kolam konkrit ini kos pembikinan kolam amat tinggi bagaimana pun ia efektif untuk jangkamasa lama. Mudah untuk menguruskan kolam konkrit ini seperti memberikan makan dan mengurusakan sanitasi kolam (Sila lihat foto disebelah). Pengusaha menuai beberapa ekor tilapia merah menggunakan jala dan dibawa ke gerai berhampiran (Sila anda lihat foto paling atas sekali). Penulis blog terus menikmati 2 ekor ikan tilapia yang dituai dari kolam dengan membakar dan steam dimana memang enak sekali kerana tiada bau hanyir dan isi daging yang berkualiti (Sila lihat foto dibawah). Semuga tulisan ini dapat memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..

KOLAM KONKRIT ... ISI IKAN TILAPIA....
TILAPIA HITAM... TILAPIA MERAH ADA...
IKAN EMPURAU... DIMASUKKAN JUGA...
ENAK DIMAKAN...SEGAR DARI KOLAMNYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1028, Hotel Promenade,
Kota Kinabalu, Sabah,
Malaysia.
(24 Syaaban 1439H).
Selamat Mengundi pada PRU 14,

Posted from Room 730, Hotel Dorsett
PUTRAJAYA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.