Saturday, March 3, 2018

KOPI NANAS - POTENSI MINUMAN ENAK!

KOPI NANAS atau KOPI NENAS (Pinealpple coffee) kini merupakan satu produk baru yang kini menjadi lebih popular dengan pelbagai promosi. Sebenarnya produk kopi nanas ini telah lama dijual dipasaran dibeberapa negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand. Di Malaysia produk kopi nanas ini mempunyai pasaran khusus (niche market) dengan beberapa syarikat telah beroperasi mengeluarkan dan juga mempromosikannya. Kopi Nanas asasnya adalah dimana ia menggunakan bahan asas Biji Kopi (Coffea spp) dan Buah Nanas (Ananas comosus). Penulis blog telah menulis lebih daripada 100 artikel mengenai kopi dan 200 artikel mengenai nanas dalam blog ini. Kopi merupakan tanaman yang dulu popular ditanam di Malaysia tetapi kini telah berkurangan.  Penanaman kopi di Malaysia diberi perhatian semenjak dulu kala sebagai tanaman industri untuk diusahakan oleh pihak estet swasta dan paling ramai oleh pekebun kecil. Keluasan tanaman kopi adalah seluas 9,470 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 68.184 mt pada tahun 1996 telah menurun kepada seluas 8,557 hektar pada tahun 2005 dan pada tahun 2010 hanya seluas 3,160 hektar sahaja (Sumber: Laporan Statistik, Jabatan Pertanian Malaysia 2012). Tanaman Nanas adalah jenis buah yang tidak bermusim daripada keluarga Bromaliceae dengan mempunyai 3 kumpulan utama yang dikomersilkan iaitu Kumpulan Spanish, Smooth Cayene dan juga Queen. Penulis blog merujuk kepada data dari LPNM dimana ia melaporkan keluasan penanaman nanas dalam negara terus naik daripada seluas 14,833 hektar (2005) kepada 15,311 (2007) , 15,792 hektar (2009) dan seluas 17,601 (2010) seperti apa yang dilaporkan dalam Laporan Agromakanan Kementerian Pertanian 2011 dan Laporan Tahunan LPNM). Sebanyak 416,070 metrik tan nanas dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai RM 644.908 juta dengan jumlah purata pengeluaran nanas negara sekitar 25.1 metrik tan sehektar. Negeri Johor adalah merupakan pengeluar utana nanas di Malaysia dengan kawasan seluas 9,830 hektar (atau 68% daripada keluasan di Malaysia) dan menghasilkan sebanyak 163,830 metrik tan pada tahun 2010. Industri nanas telah lama di usahakan di Johor terutama ditanam di atas tanah gambut untuk di kaleng (ditinkan) atau pun untuk jualan nanas segar. Pada masa ini perkapita penggunaan buah nanas adalah 14.3 biji seorang setahun dengan kadar ini terus meningkat. Permintaan nanas terutama nanas premium MD2 terus meningkat untuk pasaran domestik dan eksport. Terbaru dimana negara China telah membuka pasaran eksport nanas dari Malaysia dengan termeterainya protokol pengeksportan buah nanas dengan sasaran sebanyak RM320 juta menjelang 2020. Eksport pertama nanas segar ke China telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah LPNM pada 12 Oktober oleh Syarikat Top Fruit di batu Pahat, Johor. Kini produk kopi nanas menjadi satu produk yang ingin dikembangkan lagi. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis artikel ke 4,646 tentang industri produk kopi nanas untuk rujukkan dan bacaan anda.


TESTIMONI 1: HARIAN METRO

Kopi perisa nanas
rencana@hmetro.com.my


Selain isinya, tidak ramai yang tahu daun, kulit, empulur dan tangkai nanas sebenarnya boleh diproses untuk menghasilkan pelbagai produk sebagai satu lagi sumber kewangan tambahan. Daun nanas umpamanya boleh dijadikan benang dan fabrik berkualiti, kulit sebagai baja, sementara empulurnya boleh diproses menjadi jus minuman serta ‘nata de coco’. Di Feista Nanas 60, sempena sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian, Johor, baru-baru ini, kopi berperisa nanas diperkenalkan dan dipasarkan usahawan muda, Mohd Redzuan Shah Ahmad, 34, melalui jualan di atas trak makanan. MOHD Redzuan menunjukkan nanas MD2 sebagai penambahan perisa dalam kopi yang dihasilkan (Sila lihat foto disebelah). Lebih menarik kopi nanas berjenama ‘Coffee Ngencess’ bukan saja menjadi tumpuan pengunjung malah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong. Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM Datuk Mohd Anim Hosnan dan Pegawai Daerah Pontian Mohd Shukri Masbah.  Mohd Redzuan ketika ditemui berkata, idea kopi perisa nanas diperkenalkan dalam usaha menambah produk berasaskan nanas dan menarik minat orang ramai. Katanya, dia mula berniaga melalui trak makanan sejak dua tahun lalu dan membuka empat cawangan, tiga melalui trak makanan dan satu di gerai di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. “Saya menggunakan nanas jenis MD2 untuk menghasilkan kopi berperisa nanas dengan kerjasama pembekal kopi dari kilang (OEM). Alhamdulillah dengan modal permulaan sebanyak RM20,000 dan dibantu isteri, Roslina Sapawi serta 12 pekerja, kami kini mampu memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan,” katanya.

Sama seperti perniagaan lain, pada mulanya dia berdepan pelbagai masalah dan kesukaran namun berkat usaha gigih serta rajin menyertai pelbagai program atau karnival anjuran pelbagai agensi kerajaan, kopi berperisa nanas mula dikenali ramai. Kini ia dipasarkan di beberapa negeri sekali gus meningkatkan semangat untuk lebih maju pada masa hadapan. Pengunjung, Faridah Mohd Fadzil, 46, berkata menjual pelbagai menu dari atas trak dilihat semakin popular dalam kalangan usahawan muda dan ia menjadi tarikan kepada orang ramai yang mahu menikmati pelbagai menu lazat secara santai serta mudah didapati di mana-mana lokasi sesuai. MOHD Redzuan bersama Roslina menunjukkan kopi berperisa nanas yang dihasilkan (Sila lihat foto sebelah)“Perniagaan trak makanan bukan saja mewujudkan persekitaran bersih dan tersusun malah menjadi daya tarikan. “Melalui jualan menu seperti kopi berperisa nanas, ia bukan saja menambah kelazatan dan khasiat dalam minuman malah menjadi nilai tambah untuk penghasilan produk menarik. “Pada masa sama mampu menjana pendapatan kepada pengusaha itu sendiri dan petani,” katanya. Menurutnya, selama ini, nanas hanya popular sebagai makanan. Namun kini ia boleh diminum dan sesuai dengan daerah ini yang terkenal dengan tanaman itu.


Sementara itu, Tee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, sektor kulinari atau masakan adalah aspek penting kerana dapat memberi nilai tambah terhadap produk berasaskan nanas. Katanya, penghasilan kopi berperisa nanas antara minuman hasil kreativiti dan inovatif yang mampu menarik minat ramai pengunjung termasuk pelancong dari dalam serta luar negara. “Seperti slogan saya ‘Ingat Pontian Ingat Nanas’ dalam usaha mempromosikan nanas atau produk berasaskan tanaman itu supaya ia menjadi identiti atau ikon penting Pontian. “Kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai peluang dan bantuan bagi yang berminat menceburi perniagaan seperti LPNM menyediakan insentif nilai maksimum RM60,000 khususnya bagi usahawan trak makanan berasaskan nanas,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:03 AM



TESTIMONI 2: UTUSAN MALAYSIA

Kopi nanas semakin dapat sambutan
13 Oktober 2017 3:00 AM

JOHOR BAHRU 12 Okt. – Jika anda penggemar kopi, jangan lepaskan peluang untuk anda mencuba kopi nanas. Walaupun agak baru, namun percubaan oleh sebuah syarikat bumiputera, Coffee Ngences dimana ia kian menampakkan hasil apabila pelbagai jenis minuman yang dihasilkan dengan campuran buah nanas semakin mendapat sambutan daripada orang ramai. Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, usaha tersebut merupakan salah satu lagi langkah memperluaskan pasaran dan kegunaan nanas.Mohd. Anim Hosnan (tiga dari kiri) dan rombongan dari Sarawak mencuba rasa kopi nanas yang dihasilkan syarikat Coffee Ngences di ibu pejabat LPNM Bandar Baru Uda , Johor Bahru, baru-baru ini (Sila lihat foto disebelah). Kini usaha ini juga merupakan nilai tambah bagi buah nanas. Ini berita baik kepada pekebun dan pengusaha produk nanas,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini. Beliau ditemui pada sesi mencuba rasa pelbagai minuman yang dicampur nanas oleh syarikat Coffee Ngences di Ibu Pejabat LPNM, Bandar Baru Uda, di sini. Mohd. Anim turut meraikan rombongan dari Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismawi Ismuni dengan mencuba minuman berkenaan selepas me­ngadakan mesyuarat berkaitan penanaman nanas di negeri berkenaan.  Sementara itu, pemilik Coffee Ngences, Mohd. Redzuan Shah Ahmad berkata, minuman seperti kopi nanas yang diperkenalkan pihaknya kira-kira sebulan lalu semakin mendapat sambutan daripada orang ramai. “Kami memperkenal enam minuman yang dicampur na­nas, iaitu kopi nanas, mocha nanas, coklat nanas, yogurt nanas, vanila nanas dan kopi nanas 3 dalam 1. “Minuman berkenaan dijual dengan harga antara RM6 hingga RM8 satu cawan,” katanya. Beliau yang merupakan anak jati Muar nekad untuk memperkenalkan minuman berasaskan buah nanas kerana tanaman tersebut merupakan salah satu identiti negeri ini.  “Kami juga berusaha untuk membantu mempelbagaikan produk nanas,” katanya.


TESTIMONI 3 : SINAR HARIAN

Iktiraf Pontian Bandar Nanas
NOR AZURA BINTI MD AMIN
19 DISEMBER 2017


PONTIAN - Replika nanas yang diletakkan di tengah-tengah bulatan di Pusat Perdagangan Pontian sempena Fiesta Nanas 60, perlu dikekalkan sebagai tarikan pelancong. Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, replika nanas itu bukan sahaja unik tetapi dapat menonjolkan keunikan daerah Pontian sebagai pengeluar nanas segar utama di negara ini.Siew Kiong (kiri) cuba membuat kopi perisa nanas semasa program Fiesta Nanas di Pusat Perdagangan Pontian (Sila lihat foto disebelah). Menurutnya, pelbagai binaan dan hiasan berbentuk nanas sudah pun diketengahkan di daerah ini termasuk tempat menunggu bas yang mempunyai rekaan buah tersebut. “Binaan dan hiasan yang mengandungi unsur buah nanas selain replika buah itu yang banyak terdapat di daerah ini menjadikan Pontian sebagai Bandar Nanas. Oleh itu kerajaan negeri bersedia menerima pandangan agar bandar Pontian dikenali sebagai Bandar Nanas bagi menarik pelancong sebagaimana Cameron Highlands yang dikenali sebagai Bandar Strawberi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran kopi perisa nanas (Kopi Ngences) pada program Fiesta Nanas sempena sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Perdagangan Pontian di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd Anim Hosnan; Pegawai Daerah Pontian, Mohd Shukri Mohd Masbah; Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Khairul Zamri Mohd Salleh dan Pengerusi PPK Pekan Nanas, Selamat Othman. Siew Kiong berkata, cadangan tersebut juga akan memberi nilai tambah kepada daerah Pontian yang dikenali sebagai Bandar Penghujung Benua Asia bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan. Katanya, ketika ini satu-satunya muzium nanas juga terletak di Pontian yang menunjukkan daerah ini sebagai perintis kepada penanaman nanas dengan wujudnya kilang nanas. “Syor ini cukup baik untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengiktiraf bandar Pontian sebagai Bandar Nanas dalam kalangan pelancong. “Ia perlu diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga LPNM dengan mewujudkan Laman Nanas di bandar Pontian bagi memudahkan pelancong untuk melihat tanaman tersebut,” katanya. Beliau berkata, pengusaha atau peniaga tempatan juga boleh membuat pelbagai hasilan cenderamata berteraskan nanas seperti baju T, topi, seluar, pemegang kunci, lukisan dan sebagainya. “Produk makanan yang berasaskan nanas seperti nasi nanas, tat nanas, sos nanas dan jus nanas harus diperkenalkan," katanya.

Terkini, seorang artis lagenda popular dengan lagu 'ISABELLA' iaitu Amy Search melangkah satu lagi usaha mempromosikan 'Kopi Nanas Pheewieett' iaitu jenama yang akan menjadi produk syarikatnya. Beliau telah berkunjung berbincang dengan LPNM strategi pengeluaran dan bantuan teknikal perusahaan kopi nanas ini pada 25 Feb 2018 di Johor Bahru (Sila lihat foto dibawah). Diharapkan produk kopi nanas ini akan menjadi satu produk minuman yang diterima baik oleh semua. Semuga anda mendapat info berguna dari tulisan dalam anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
KOPI NANAS... ENAK RASANYA...
SUDAH POPULAR... ADA DIMANA...
CAFFIENE, BROMELIN..DALAMNYA...
SELALU MINUM... SIHAT JADINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bandar Baru UDA, Tampoi,
Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(11 JamadilAkhir 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.