Wednesday, February 7, 2018

BUAH ASAM PAYA

BUAH ASAM PAYA (Zalacca conferta) merupakan buah yang dihasilkan oleh Pokok Asam Paya atau dipanggil juga sebagai Pokok Asam Kelubi di negara kita. Nama Asam Paya juga ada digunakan untuk Asam Kelubi (Elaoidoxa conferta) yang mana janga kita terkeliru diantara dua jenis tumbuhan tersebut. Buah Asam paya adalah tumbuhan yang tumbuh dikawasan paya dalam hutan dimana ia seakan pokok salak didalam famili Malvaceae. Tumbuhan ini tergulung didalam kumpulan buah nadir yang natif di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia dimana kini telah ada usaha untuk menanamnya bagi menghasilkan buah asam paya. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman ini serta spesis khusus didaftarkan oleh Jabatan Pertanian. Penanaman pokok asam paya secara komersil juga belum ada laporan rasmi tetapi saya menganggarkan sekitar 180-200 hektar CHE sahaja. Kajian ringkas mengenai taburan pokok asam paya ini (Laporan dari FRIM 2010) ada  menunjukkan ia terdapat di Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan juga Negeri Sembilan. Apa yang lebih menyeronokkan adalah bila penulis blog berkunjung ke Pasar Satok di Kuching pada setiap hari Sabtu dan Ahad dimana beberapa orang penjual memperagakan Buah Asam Paya ini dengan harga murah dan masih segar. Satu longgok asam paya ini dijual dengan harga RM2.00 sahaja dan ada yang siap dikupas dan asam paya dijeruk dengan harga sangat berpatutan disini. Pokok asam paya lazimnya secara semulajadi sesuai tumbuh dikawasan tanah lembab atau berpaya sedikit dengan ada naungan. Artikel pagi Rabu ini saya menulis mengenai tumbuhan Asam Paya dalam "Anim Agro Technology" untuk dijadikan bacaan dan menambah ilmu pengetahuan pembaca blog popular ini.



Tumbuhan asam paya lazimnya akan tumbuh seperti pokok salak adalah sejenis tumbuhan yang serupa pokok nipah iaitu tumbuh secara berumpun menegak dengan ketinggian maksima pokok sehingga 5 meter (Pokok Nipah lebih biasanya tinggi lagi). Pada daun Pelepah keluar dari perdu pokok dimana ia mempunyai daun berwarna hijau yang lurus dengan susunan bertentangan sepanjang 1.5 meter panjang dan 3-5 cm lebar. Panjang pelepah daun sekitar 3-4 meter dan pelepah akan mati apabila ianya telah mengeluarkan bunga dan buah. Akar pokok kelubi adalah akar serabut seperti pokok palmae yang lain iaitu keluar daripada disekeliling perdu pokok. Selalunya pokok asam paya tumbuh berkelompok dan rapat diantara satu sama lain. Pokok ini banyak tumbuh dikawasan lembab dan mempunyai bahan organik mencukupi. Penanaman pokok ini secara komersil belum lagi dilaporkan 


Bunga Asam Paya keluar daripada bahagian perdu pokok dengan terdapat bunga betina dan bunga jantan pada tangkai yang sama. Buah asam paya akan terbentuk selepas pendebungaan dan buah ini adalah bersisik keras ini adalah sangat masam isinya. Buah kelubi ada yang berwarna merah dan ada juga yang merah kekuningan dan selalunya mengandungi 1-2 biji buah didalamnya. Isi buah asam paya yang mentah adalah keras tetapi buah asam paya yang telah cukup masak adalah berair dengan warna putih jernih. Buah yang bersusun dalam jambak berangkai ini mempunyai ukuran 3-6 cm garispusat bergantung kepada umur dan kesuburan pokok. Buah ini boleh di tuai dengan memotong tangkai buah menggunakan pisau tajam atau sabit. Saya pernah beberap kali memotong tangkai buah kelubi di Endau, memang tidak mudah juga melakukannya kalau tidak berpengalaman. Tangkai buah kelubi yang dipotong ini akan dibawa keluar kekampong untuk di proses seterusnya. 

Saya belum ada mendengar lagi laporan ada petani yang menanam pokok asam paya ini untuk tujuan komersi kerana pokok yang sedia ada untuk dituai kebanyakan tumbuh secara semulajadi. Pembiakan pokok asam paya selalunya daripada biji yang telah masak yang disebarkan oleh binatang atau jatuh sendiri ketanah. Buah yang telah masak adalah sangat masam dan tidak ramai mampu untuk makan isi buah kelubi segar tersebut. Apabila dibuang sahaja kulitnya yang bersisik, buah asam paya memang sesuai untuk di proses dengan membersihkannya, kemudian diperam dalam air dibubuh dengan sedikit garam untuk mengurangkan rasa kemasaman selama beberapa hari dalam jar atau bekas khas. Ada yang penulis suka mencampurkan gula dan bahan lain yang sesuai untuk membuat Asam Paya Jeruk. Buah Asam Paya segar juga boleh digunakan dalam kita memasak daging asam pedas dan sebagainya sebagai pengganti asam keping. Memang sedap makan asam pedas yang ada isi asam paya terutama apabila perut sangat lapar tengahari balik dari memancing udang di Sungai Endau.

Jeruk Asam Paya atau ada yang panggil sebagai Jeruk Asam Kelubi merupakan satu-satunya produk proses yang telah dikomersilkan dari tumbuhan ini (Lihat foto sebelah). Jeruk ini dijual bersama-sama dengan beberapa jenis jeruk lain seperti Jeruk Mangga, Jeruk Cermai, Jeruk Buah Pala, Jeruk Betik , Jeruk Kedondong dan sebagainya. Harga jualan runcit jeruk kelubi sekitar RM 4.00 - RM 6.00 sekilogram di gerai-gerai dan boleh disimpan lama dalam peti sejuk. Kepada mereka yang tahan masam boleh makan buah kelubi segar dan ianya dipercayai dapat membantu menghilangkan masaalah batuk-batuk dan melunakkan suara serta sakit kerongkong. Daun pokok kelubi juga boleh dianyam untuk dibuat atap rumah walau pun saiznya agak kecil daripada daun nipah. Daun Kelubi juga boleh dijadikan anyaman untuk dinding rumah atau kraftangan lain. Diharap banyak kajian untuk tumbuhan kelubi ini pada masa akan datang tentang potensi kegunaan lain yang mungkin boleh dimenafaatkan.  Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology. Wasallam!!...
BUAH ASAM PAYA...JUGA KELUBI....
MACAM SAMA... KENA KAJI LAGI...
DIBUAT JERUK...ENAK SEKALI...
ADA DIMANA... SUKAR JUGA DICARI...

By,
M Anem
Bilik Mesyuarat Prima 1,
Best Western Prima Inland Sea Resort,
Port Dickson, 
Negeri sembilan,
Malaysia
(12 Rejab 1434H)
(Kemaskini pada 20 JamadilAwal 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.