Monday, December 25, 2017

SIGNIFIKAN SAMBUTAN LPNM KE 60

SAMBUTAN FIESTA NANAS 60 TAHUN sempena dengan penubuhan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah berjaya acara kemuncak pada 14 - 17 Disember 2017 di Pusat Dagangan Pontian, Pontian, Johor. Ia merupakan satu majlis gilang gemilang dengan kehadiran Menteri Pertanian, kedua-dua Timbalan Menteri Pertanian, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, YB Exco Pertanian dan Pembangunan Koperasi Negeri Johor, Pengerusi LPNM, Ketua Pengarah LPNM, YB Exco Perlacongan Negeri Johor dan seramai 32,000 pengunjung. Lebih 20 gerai pameran dan 20 gerai jualan selain daripada 15 buah food truck memeriahkan sambutan Fiesta Nanas tersebut. Banyak aktiviti yang diadakan semasa Fiesta ini termasuk Upacara Perasmian, Ceramah Ugama. Persembahan Pentas 'Rhythm of Pineapple', Acara Memancing Pantai, Pelbagai Acara Pertandingan dan sebagainya. LPNM yang ditubuhkan pada 15 Disember 1957 merupakan sebuah agensi terawal dibawah sektor pertanian dengan tumpuan untuk memajukan tanaman nanas sebagai satu komodi yang menyumbang kepada KDNK dan nilai eksport negara sejak dahulu. Malaysia memang terkenal dengan eksport nanas kaleng (nenas dalam tin) sejak awal penubuhan agensi ini walau pun kini ia lebih menumpukan kepada penghasilan nanas segar untuk pasaran tempatan dan pasaran eksport. Kini dengan pengenalan beberapa nanas varieti baru termasuk nanas MD2 telah membolehkan industri nanas negara akan terus berkembang dimasa akan datang. Bagi pasaran eksport, dengan pembukaan pasaran nanas segar MD2 ke China menjadikan ia satu peluang dan cabaran untuk negara didalam penanaman dan pengeksportan buah nanas. Kerajaan dalam pada ituu telah meletakkan nanas sebagai satu komoditi 'sumber kekayaan baru' didalam bajet 2018 bersama dengan 5 komoditi pertanian lain. Liputan akhbat tempatan seperti Utusan Malaysia beberapa kali menyiarkan laporan mengenai Fiesta ini intuk dirujuk. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya mnulis semula laporan akhbar tersebuat untuk bacaan dan rujukkan anda semua.



Laporan 1:  Signifikan sambutan LPNM ke-60

ANTARA ruang pameran yang disediakan di Fiesta Nanas. 

Wartawan Muhammad Zikri pada 21 Disember menyatakan di Fieata Nanas di Pontian adalah ibarat sirih pulang ke ganggang, keris pulang ke tampoknya. Itulah perumpamaan paling sesuai apabila sambutan Fiesta Nanas Ulang Tahun ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) diadakan di daerah ini baru-baru ini. Tepat sekali apabila LPNM yang dikenali Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu (LPNTM) semasa penubuhannya pada 1957 memilih Pontian sebagai lokasi sambutan ulang tahun tersebut. Ini kerana tanaman nanas mempunyai sejarahnya yang tersendiri di daerah ini. Beliau mengimbau kembali dimana usaha penanaman nanas yang merupakan sejenis tanaman tropika berasal dari bahagian timur Amerika Selatan diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke-16 oleh pedagang-pedagang Portugis ke rantau ini. Selaras perkembangan tanaman getah pada tahun 1921, nanas mula ditanam di Singa­pura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Tanaman nanas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut terutama di Johor.


Kini Malaysia merupakan sa­lah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain Thailand, Fili­pina, Indonesia, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Brazil, Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan. Justeru, penganjuran Fiesta Nanas yang diadakan di Pusat Perdagangan Pontian di sini pada 14 hingga 17 Disember lalu begitu signifikan yang berjaya menarik kira-kira 20,000 pengunjung. Menerusi Fiesta Nanas itu diadakan pameran sejarah penanaman nanas, jualan pelbagai jenis nanas dan produk berasaskan nanas selain seminar teknologi dan inovasi nanas. Pengisian program juga dimeriahkan dengan pertandingan gubahan berasakan buah nanas, pelancaran e-Pineapple serta seminar teknologi dan inovasi nanas. Turut dilancarkan kopi perisa nanas (kopi ngences), forum perdana bertajuk Bagaimana Menjadi Usahawan Berjaya, pelancaran Mobile Food Kiosk, Larian LPNM 60 tahun dan Kayuhan Basikal Lautan Biru.

Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, sejak 60 tahun lalu ada pelbagai cabaran dan halangan telah ditempuh LPNM dalam usaha untuk memartabatkan industri nanas negara. Katanya, walaupun industri itu mengalami penurunan pada tahun 1990-an, LPNM terus berusaha memastikan peranannya relevan dalam pembangunan sektor pertanian yang boleh menyumbang kepada pendapatan negara. “Memandangkan kini banyak negara mengeluarkan buah nanas mungkin daripada varie­ti sama, pegawai-pegawai perlu mempunyai ilmu teknikal yang kukuh bagi menghadapi daya saing itu. “Mereka (pegawai) juga berhadapan pengusaha dan pemain industri nanas yang mungkin berbeza pengetahuan mereka pada masa lalu dengan adanya pelbagai maklumat di hujung jari hari ini. “Dengan pengumuman kerajaan bahawa tanaman nanas akan menjadi sumber kekayaan baru, tentunya memberikan peluang kepada lebih ramai pengusaha individu mahupun syarikat untuk mengambil bahagian,” katanya ketika ditemui sempena sambutan itu baru-baru ini. Mohd. Anim berkata, persai­ngan menghasilkan buah nanas berkualiti dengan negara pengeluar nanas lain perlu dilakukan dengan cara amalan pertanian yang baik serta dapat mematuhi protokol negara-negara yang akan mengimpot nanas nanti.

Menurutnya, cabaran itu digalas 340 pegawai LPNM seluruh negara dan sudah tentu mereka bukan sahaja perlu mahir dan berpengetahuan tetapi menjadi pakar rujuk mengenai tanaman nanas dari awal, mengesan pe­nyakit, proses pembesaran, penuaian hingga soal pemasaran. Mohd. Anim yang dikenali sebagai 'doktor buah-buahan' berkata, pekebun kecil nanas juga perlu diberi pendedahan mengenai penghasilan benih nanas dan pengeluaran buah berkualiti. Peluang pekebun kecil dan pengusaha tanaman nanas bagi memasarkan nanas mereka ke luar negara terbuka luas dengan adanya pelbagai perjanjian de­ngan negara pengimport, katanya. Tambah beliau, dengan permintaan yang semakin tinggi, pengeluaran buah nanas perlu ditingkatkan bukan sahaja memenuhi permintaan domestik tetapi ke luar negara seperti menerokai pasaran China dan negara-negara Asia Barat. Sehubungan itu, Mohd. Anim berharap sambutan ulang tahun itu akan melonjakan industri nanas tempatan pada masa depan dengan menambah keluasan tanaman daripada 15,000 kepada 20,000 hektar.




Laporan 2: Fiesta Nanas jadi inspirasi tingkat kualiti, produktiviti
PONTIAN 20 Dis. – Pengusaha tanaman nanas melahirkan harapan sambutan ulang tahun ke-60 bagi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LNPM) akan terus memacu industri tersebut. Harapan itu disuarakan me­reka yang baru menceburi tanaman nanas se­ca­ra individu, ber­kelompok ma­hupun syarikat terutama tanaman nanas MD2 yang dianggap sebagai musang king pada ketika ini. Mereka yang hadir dalam Se­mi­nar Teknologi dan Inovasi Na­nas sempena sambutan itu bersukur kerana dapat menimba seberapa ba­nyak pengalaman me­ngenai tanaman nanas. Mohd. Ismi Abdullah, 40, dari Baling, Kedah, berkata, pihaknya sedang memulakan usa­ha menanam nanas MD2 di tanah seluas 32 hektar yang diusahakan secara berkelompok. “Kita berterima kasih kerana LNPM membantu usaha tersebut bagi membangunkan kawasan berbukit untuk dimajukan dengan tanaman baru dalam kalangan penduduk tempatan.  “Kehadiran kami ke seminar bagi menimba seberapa banyak ilmu mengenai penanaman nanas untuk dibawa balik ke Baling nanti dan mendedahkannya kepada pengusaha lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. David Disam, 51, dari Bau, Serawak, berkata, kebenaran membawa masuk sulur nanas ke Sarawak akan memberikan peluang kepada pengusaha tempatan untuk menceburi bidang tersebut (Sila lihat foto diatas). Katanya, ta­nah seluas 129 hektar akan mu­la ditanam de­ngan nanas MD2 tidak berapa lama lagi de­ngan bimbingan dan tunjuk akar pegawai-pegawai LPNM bagi memastikan projek itu berjaya. Menurutnya, nanas bukan ta­naman asing ba­gi penduduk Bau yang dianggarkan mempu­nyai kira-kira 200 pekebun kecil yang mengusahakan pelbagai jenis varieti nanas.  “Peluang me­ngikuti seminar ini memberikan saya banyak maklumat dan pengetahuan mengenai nanas MD2 yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pemain industri tersebut,” jelasnya. Bagi Khairiah Che Zin, 55, seperti pengusaha lain, dia mengusahakan tanaman nanas MD2 pada 2016 yang memberikan pulang yang baik melalui ladang kontrak bersama-sama FAMA. Katanya, tanaman itu akan diperluaskan pada tahun depan dengan cadangan penanaman 70,000 pokok nanas MD2 di atas tanah seluas 2 hektar berdasarkan kejayaan penanaman sebelum ini.


Laporan 3: Tanah terbiar ditanam nanas
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN selepas merasmikan Seminar Teknologi dan Inovasi Nanas sempena Fiesta Nanas 60 tahun di Pontian, Johor, semalam. Berita yang keluar pada 16 Disember 2017 di petik Utusan Malaysia di Pontiianm dimana kini lebih 200,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara berpotensi dimajukan dengan tanaman nanas yang kini mendapat permintaan tinggi untuk pasaran eksport. Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek itu boleh dibangunkan menerusi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan nanas sebagai tanaman utama. “Bagi menjayakannya, ke­rajaan negeri boleh memberikan peluang kepada koperasi mahu pun Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk memajukan tanah terbiar de­ngan tanaman tersebut. “Peluang ini perlu direbut masyarakat luar bandar yang mempunyai tanah-tanah terbiar melalui bimbingan dan tunjuk ajar Lembaga Perin­dustrian Nanas Malaysia (LP­NM),” katanya. Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar sele­pas merasmikan Seminar Tek­no­logi dan Inovasi Nanas sempena Fiesta Nanas di Hotel Pontian di sini malam tadi. Seramai 150 peserta menghadiri seminar itu bertujuan memberi input dan penekanan mengenai hala tuju industri nanas selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara (2011-2020). Yang turut hadir, Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali, Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan, Ketua Penolong Pegawai Da­erah Pontian, Abd. Hakim Abd. Manap dan Pengerusi Pela­dangNita negeri, Zarina Mohd. Bain. Tajuddin berkata, peng­usaha mampu memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan bagi setiap hektar tanaman dan jumlah tersebut selari dengan sasaran LPNM pada tahun 2020. Menurut beliau, tanaman nanas dianggap sebagai sumber kekayaan baru berdasarkan permintaan yang tinggi di luar negara sekali gus memerlukan lebih banyak kawasan tanaman yang baharu.

Laporan 4: Pengeluaran nanas meningkat dan Lima inisiatif baharu mampu tingkat pendapatan petani
AHMAD SHABERY CHEEK memegang buah nanas ketika Majlis Perasmian Fiesta Nanas di Pusat Perdagangan Baru Pontian semalam. Turut hadir Samsolbari Jamali (dua kiri) dan Ismail Mohamed (kanan). Uutusan juga pada 15 Disember 2017 yang menyatakan Lembaga Perindustrian Na­nas Malaysia (LPNM) men­­jangkakan pengeluaran na­nas negara mampu meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun depan menerusi pelaksanaan lima inisiatif baharu. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, inisiatif tersebut adalah dengan kaedah memperluaskan kawasan tanaman nanas, penyediaan modal awal dan ge­ran, penyelidikan bagi menghasilkan benih lebih baik dan variati, pengeluaran produk hiliran serta pelaksanaan program bagi me­ningkatkan kesedaran pengguna. “Menerusi lima inisiatif baharu ini, dijangkakan pengeluaran nanas akan meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun depan iaitu mencapai sebanyak 437,930 metrik tan dengan nilai penge­luaran RM636 juta. “Impak pelaksanaan inisia­tif tersebut, pasaran nanas semasa akan tumbuh sebanyak 45 peratus dengan nilai anggaran eksport RM200 juta pada tahun depan,” katanya selepas beliau merasmikan Fies­ta Nanas 60 sempena Sambutan 60 Tahun LPNM di si­ni hari ini. Yang turut hadir ialah Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali serta Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian dan Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Ismail Mohamed. Ahmad Shabery berkata, menerusi insiatif itu juga, kemente­riannya berharap akan dapat meningkatkan produktiviti pe­tani khususnya menerusi penanaman nanas variati MD2 yang mendapat pasaran yang baik dari China. “Kita mensasarkan mampu me­­­nampung permintaan 20 kon­tena seminggu untuk di eksport ke China. Buat masa ini, hanya lapan kontena saja dapat dibekalkan ke negara ber­kenaan,” katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, negara pada masa ini mengimport 100 juta kelapa bagi menampung permintaan pasaran tempatan dan dijangka meningkat pada masa depan. Katanya, LPNM kini menggalas cabaran baharu dalam pengelua­ran kelapa dan lembaga itu sedang mengenal pasti variati kelapa yang sesuai untuk dikembangkan tanamannya mulai tahun depan.
FIESTA NANAS... SUDAH DILAKSANA...
RAMAI DATANG... SEMUA GEMBIRA...
LAPORAN AKHBAR... SUDAH ADA...
PESTA TAHUNAN...ADA DI USAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 301, Hotel Aloha,
Pusat Perdagangan Pontian,
Pontian, Johor,
Malaysia.
(17 Disember 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.