Saturday, December 30, 2017

SENARIO TERKINI INDUSTRI KELAPA

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan tanaman indutri yang keempat terpenting di Mlaysia selepas Kelapa Sawi, Getah dan Padi. Tanaman ini merupakan tanaman penting satu ketika dulu sebelum komoditi baru mengambil alih secara berperingkat digantikan dengan tanaman kelapa sawit bagi sektor pekebun kecil terutamanya. Bagaimana pun Perdana Menteri Malaysia dalam Bajet 2018 telah memberikan tumpuan khas pembangunan kelapa dengan jumlah perunukkan yang besar iaitu sebanyak RM50 juta pada tahun 2018. Penulis blog mengupas isu sejarah komoditi tanaman kelapa ini dimana dahulu sekitar tahun 1960 - 1980 ada program khas dibawah Jabatan Pertanian iaitu Program Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) yang memperkenalkan tanaman kelapa terutama varieti Malayan Tall (CN1). Bagaimana pun program yang berjaya memajukan lebih daripada 120,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia ini dihentikan pada tahun 1980án awal kerana produktiviti dan pendapatan penanam kelapa pada masa itu adalah diantara yang terendah. Kajian penulis blog mendapati purata pokok kelapa varieti Malayan Tall sekitar 7,000 - 8,000 biji sehektar setahun. Pada masa itu harga kelapa dikebun hanya sekitar RM0.30 - RM0.50 sebiji menjadikan petani hanya menerima pendapatan sekitar RM2,100/ha/tahun hingga RM4,000 /ha setahun. Jika hendak dibahagi dengan bulanan maka purata pendapatan penanam kelapa adalah antara terendah pada masa itu iaitu dianara RM175 - RM 334 sebulan. Penanaman kelapa telah tidak digalakkan selepas itu dn daripada 12 buah estet kelapa kini hanya tinggal 2 estet sahaja yang masih mempertahankan tanaman kelapa iaitu satu di Perak (UP Plantation) dan satu di Pahang. Negara memerlukan sebanyak 750 juta biji kelapa setahun untuk kegunaan domestik bagi pasaran segar dan kilang. Sehingga kini sebanyak 650 juta mampu dikeluarkan dalam negara dan bakinya sebanyak 100 - 120 juta biji kelapa diimport dari negara jiran Indonesia. Kelapa tua biji yang diimport ini hanya untuk diproses oleh 17 buah kilang yang ada di Semenanjun Malaysia. Saya menulis lebih daripada 70 artikel mengenai kelapa dalam "Anim Agro Technology" untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan. Kali ini aya paparkn senario terkini industri kelapa dipetik daripada akhbar tempatan untuk anda.

Pada masa ini jumlah keluasan kawasan penanaman menunjukkan trend yang menurun dalam tempoh 10 tahun lepas disebabkan oleh persaingan dengan tanaman lain terutama kelapa sawit. Pada analisa penulis blog, di Malaysia kini jumlah keluasan bertanam kawasan kelapa pada tahun 2006 adalah seluas 119,465 hektar (ha) dan dianggarkan akan menurun kepada 80,360 ha pada tahun 2016. Pada ketika ini Jabatan Pertanian melaporkan dianggarkan seramai 68,000 keluarga tani yang terlibat dengan tanaman kelapa. Taburan keluasan sebanyak 63 peratus kawasan adalah di Semananjung Malaysia, manakala 20 peratus di Sabah dan 17 peratus di Sarawak. Apa pun berdasarkan statistik semasa antara negeri yang mempunyai keluasan penanaman terbesar adalah Sabah diikuti Sarawak, Johor, Selangor dan Perak. Pada saya secara keseluruhannya jumlah produktiviti adalah agak rendah iaitu sebanyak antara 5,000 hingga 6,000 biji sehektar setahun iaitu kebanyakannya adalah dari pokok kelapa Malayan Tall yang tua (Senile tree). Pokok ini merupakan pokok kelapa yang diberikan bantuan oleh Jabatan Pertanian dalam Program khas RPSKK yang saya nyatakan diatas tadi. Penanaman baru kelapa dengan jenis kelapa pandan dan Matag kini mula mendapat tempat sekitar pertengahan tahun 2000 (Sila anda lihat foto disebelah). Permintaan kelapa muda pada analisa penulis blog telah meningkat berganda-ganda dengan ujudnya produk seperti 'Coconut Shake' yang mampu menjada permintaan kelapa muda yang tinggi. Petani lebih untung menjual kelapa muda dengan harga ladang RM1.50 sebiji berbanding dengan kelapa tua yang gugur hanya RM1.00 sebiji. 

Laporan menunjukkan penggunaan kelapa tempatan 2016 adalah dianggarkan sebanyak 640 juta biji setahun manakala pengeluaran adalah sebanyak 538 juta biji. Justeru, baki keperluan sebanyak 102 juta biji lagi adalah diimport dari Indonesia. Dari aspek lain sebenarnya apakah cabaran utama yang dihadapi industri kelapa masa akan datangi?. Pada penulis blog yang juga dirujuk sebagai pakar dalam tanaman kelapa mendapati terdapat beberapa cabaran dan isu yang dihadapi industri kelapa negara di antaranya ialah dimana ada petani atau pekebun sedia ada telah berumur iaitu purata 55 tahun ke atas. Golongan muda kini sudah tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Sebab ke 2 dimana saiz kebun yang kecil (antara 0.2 hingga dua hektar) dan tidak ekonomik untuk tanaman kelapa. Seterusnya yang ke 3 adalah dimana tanamn kelapa mungkin tidak dapat memberikan pendapatan yang tinggi kepada petani seperti saya nyatakan diatas jika tidak ada kombinasi (intergrasi) dengan komoditi lain. Purata keluasan milikan petani di Malaysia kekal dalam 1.2 hektar sahaja. Keempat adalah dimana tanaman kelapa sering menerima ancaman perosak dan penyakit juga adalah salah satu cabaran yang tidak boleh dipandang rendah. Pada ketika ini, terdapat sejenis perosak iaitu Kumbang Merah Palma (Rhynchophorus ferrugineus) telah didapati menyerang tanaman kelapa dan telah diisytiharkan sebagai wabak di negeri Terengganu pada Julai 2011. Jabatan Pertanian telah memperuntuk sebanyak RM4 juta untuk membendung, mengawal dan menghapuskan perosak tersebut dan sehingga kini perosak tersebut telah dapat dikawal daripada merebak ke negeri-negeri lain. Anda boleh rujuk artikel tulisan saya mengenai perkara ini.

Kekangan dan cabaran dalam industri kelapa yang ke 5 dimana jika pengurusan ladang yang tidak sistematik atau masih lagi mengamalkan pengurusan tradisional seperti tidak membaja pokok dan hanya kutip hasil tunggu buah tua jatuh. Lazimnya pokok kelapa sedia ada kebanyakannya adalah jenis kelapa tinggi Malaya (Malayan Tall) dengan hasil yang diperoleh adalah di antara 3,000 hingga 4,000 biji sahaja dalam sehektar. Di samping itu, pokok ini juga telah mencapai ketinggian antara 50 hingga 60 kaki dan menyukarkan proses mengait buah atau menuai hasil. Didakwa kepapa hibrid Matag mampu menghasilkan potensi sehingga 25,000 biji sehektar jika dijaga dengan baik. Kelapa Pandan pula jenis kelapa wangi yang semakin popular ditanam dikalangan petani. Penulis blog fikir apakah langkah-langkah atau usaha yang dilaksanakan bagi memulihkan industri kelapa negara?. Sebenarnya sejak tahun 1960-an lagi seperti para pertama diatas, kerajaan melalui Jabatan Pertanian telah memperkenalkan program Penanaman Semula dan Pemulihan kawasan tanaman kelapa sedia ada iaitu menerusi program Skim Pembangunan Pekebun-pekebun Kecil Kelapa dengan memperkenal penanaman varieti Malayan Tall. Seterusnya menerusi Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) varieti hibrid MAWA (Malayan Red/Yellow Dwarf X West African Tall) pada tahun 1980-an. Pada tahun 1990-an iaitu sepanjang Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) kelapa hibrid Matag telah diperkenal bagi menggantikan kelapa MAWA yang boleh memberikan hasil yang lebih tinggi di samping dapat memberikan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kelapa. Pada RMK-8 (2000-2014) Pelan Pembangunan Kelapa juga telah diluluskan oleh pihak iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan dokumen ini telah digunakan oleh Jabatan Pertanian sebagai panduan bagi melaksanakan program pembangunan tanaman kelapa di negara ini.


Pada masa ini telah ada pelan memajukan kelapa bagi tujuan tersebut dengan memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil dan meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan bagi meningkatkan pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. Perancangan tersebut juga telah diteruskan sehingga ke RMK-11 dan insentif yang diberikan kepada pekebun termasuk Program Pengeluaran Benih, Program Penanaman Semula dan juga Program Pemulihan serta Program Integrasi Kelapa dengan tanaman lain. Kini Program Pengeluaran Benih Kelapa Berkualiti adalah salah satu program yang amat penting memandangkan industri kelapa negara pada masa ini mengalami kekurangan bekalan anak benih yang berkualiti dan boleh memberikan hasil tinggi iaitu anak benih kelapa hibrid Matag. Isu ini juga telah menjejaskan program penanaman semula tanaman kelapa. Namun demikian ada dilaporkan dimana Jabatan Pertanian juga telah memperluas lagi kawasan pengeluaran benih kelapa hibrid Matag dengan membangunkan kawasan ladang pokok induk seluas 90ha di Pusat Pertanian Lekir pada tahun 2012 selain 40ha yang sedia ada di Pusat Pertanian Jorak, Pagoh, Johor bagi meningkatkan lagi pengeluaran anak benih kelapa. Selain itu Program Penanaman semula juga sedang giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian iaitu menggantikan Malayan Tall dengan Matag dan kelapa terpilih lain seperti Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD). Pada masa ini jenis insentif yang disediakan adalah berbentuk pembangunan infrastruktur dan bahan input yang berbentuk in-kind untuk tempoh empat ahun sebanyak RM20,000 sehektar. Program pemulihan adalah aktiviti memulihkan kawasan-kawasan kebun yang masih produktif untuk meningkatkan hasil. Insentif yang disediakan ialah bantuan input berbentuk in-kind untuk tempoh tiga tahun berjumlah RM5,500. Program integrasi adalah aktiviti penanaman tanaman lain selain seperti pisang, nanas, kopi dan tanaman singkat masa di kawasan kelapa bagi memberikan pendapatan tambahan kepada pekebun.

Apakah strategi pemasaran dalam meningkatkan hasil eksport kelapa negara?. Sebenarnya Jabatan Pertanian sentiasa menggalakkan pengusaha dan pengilang untuk terlibat dengan aktiviti pemprosesan produk kelapa seperti santan, kerisik, minyak kelapa, air kelapa dan produk yang berpotensi untuk dieksport seperti karbon teraktif, sabut dan sebagainya. Pada masa ini minyak kelapa dara (VCO) juga mendapat permintaan yang amat tinggi dari negara-negara Europah dan Amerika Syarikat. Namun kebanyakan pengusaha yang terlibat hanya menjalankan perusahaan ini secara kecil-kecilan. Sekiranya dapat dilaksanakan dengan skala yang besar ia akan dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara. Selain itu penyelidikan oleh pihak universiti tempatan juga telah membuktikan bahawa minyak kelapa juga mempunyai khasiat yang baik dari segi kesihatan dan dengan adanya promosi yang baik produk-produk ini akan meningkatkan lagi eksport negara. Teknologi-teknologi baharu yang diperkenal kepada petani agar dapat meningkatkan keluaran kelapa negara. Jabatan Pertanian sehingga kini sentiasa memberikan khidmat nasihat teknikal kepada petani dari segi amalan agronomi dan juga lepas tuai bagi meningkatkan hasil dan juga kualiti hasil yang dikeluarkan. Penggunaan mesin pengupas kelapa juga telah diperkenal kepada petani supaya kerja-kerja tersebut labih efisien dilaksanakan. Kerjaan sudah mengumumkan untuk menggabungkan Lembga Nanas dengan Kelapa dan buah-buahan dan diharap sektor pembangunan kelapa khususnya akan lebih maju dimasa akan datang. Semuga anda mendapat info terbaik daripada anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TANAMAN INDUSTRI... IANYA KELAPA...
PERLU DIMAJUKAN... JANGANLAH LUPA....
LEMBAGA BARU... DICADANGKAN MOA...
BUAH KELAPA BANYAK...PETANI SUKA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(5 RabiulAkhir 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.