Wednesday, December 20, 2017

LADANG NANAS AQINA

LADANG NANAS AQINA merupakan sebuah ladang nanas yang paling awal menanam nanas varieti MD2 di Malaysia. Nanas MD2 (Ananas comosus) dimana ia kini merupakan diantara varieti nanas premium yang kini paling popular di Malaysia malahan didunia. Lawatan ke ladang ini oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia iaitu Dato Seri Dr. Ismail hj Bakar sempena Fiesta Nanas 60 tahun diiringi oleh Ketua Pengarah LPNM iaitu Dato' Hj Mohd Anim Hosnan dan Pengarah LPNM Johor serta pegawai daripada MAQIS serta pegawai MoA Inc yang lain (Sila lihat foto diatas). Lawatan keladang ini disambut oleh Pengurus Syarikat Steven Yong, Pengurus Ladang B. Kumutu dan beberapa kakitangan lain. Ladang Aqina yang terletak di Kampong Sg Boh berdekatan Janakuasa Eletrik Tg Bin ini seluas 200 ekar tetapi hanya 90 ekar yang bertanam dengan nanas MD2. Kawasan ini juga merupakan tanah dari jenis gambut dalam yang mempunyai saliran baik disekelilingnya. Menurut pengurus Syarikat Aqina, syarikat yang beribupejabat di Pekan Nanas, Daerah Pontian, Johor ini menjalankan penternakan ayam sebagai perniagaan utama selain daripada mempunyai ladang sawit yang luas. Tanaman nanas MD2 di sini merupakan satu usaha yang dilakukan hampir lebih 10 tahun lalu dengan nanas varieti MD2. Syarikat ini mendakwa mereka adalah merupakan syarikat paling awal membawa masuk benih nanas MD2 daripada luar negara. Menurut kata pengurus syarikat, pada awalnya nanas varieti ini adalah dibawa masuk untuk dijadikan nanas kaleng (ditinkan) kerana ianya mempunyai kualiti yang baik bagi menggantikan nanas N36, Nanas Gandul dan sebagainya. Bagaimana pun apabila kualiti nanas MD2 sangat manis (sehingga mencapai 16-18 darjah Brix tahap kemanisan) menyebabkan ia lebih sesuai dimakan segar. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ladang nanas Aqina sempena lawatan rasmi KSU MoA keladang ini pada 16 Disember 2017 sebagai bahan info untuk rujukkan dan bacaan.


Tanaman nanas kini telah mendapat perhatian khusus kerajaan setelah ianya dikategorikan sebagai tanaman sumber kekayaan baru. Dari apa yang penulis lihat, penanaman nanas jenis ini berjaya menghasilkan buah nanas MD2 berkualiti untuk pasaran domestik dan eksport. Tanah gambut dalam dengan saliran baik membolehkan tanaman nanas MD2 disini memberikan buah yang 'very juicy'. Jarak tanaman yang dilakukan sama dengan jarak tanaman seperti dalam Pakej Amalan Teknologi yang disyorkan dengan kepadatan sekitar 17,000 -18,000 pokok seekar.  Benih yang berkualiti diambil daripada sulur tanah dan jambul pokok induk yang mana ia dikenalpasti telah berbuah selepas buahnya dipetik. Cara penanaman benih sulur nanas diatas tanah gambut yang telah dibersihkan lebih mudah berbanding dengan ditanah mineral. Kawasan ladang ini tidak perlukan plastik silvershine seperti di tanah mineral juga (Sila lihat foto disebelah). Pengurus ladang di sini adalah warga Filipina dengan nama En Maracus yang telah hampir 2 tahun bekerja diladang ini. Disamping itu terdapat seramai 22 orang pekerja dari Filipina dan 6 orang pekerja Indonesia yang bekerja diladang ini. Menurut En Maracus, masaalah paling utama diladang ini adalah kerana kekurangan pekerja ladang. Bagaimana pun kerja menanam, membaja, mengawal rumpai, menghormon, memetik hasil dan mengambil benih sulur nanas diaturkan mengikut blok penanaman dikawasan ladang ini. Ladang ini perlukan sekitar 50 orang pekerja ladang jika mahu ianya beroperasi sepenohnya keseluruhan 200 ekar tanah dapat diusahakan dengan tanaman nanas.


Pokok nanas diladang ini akan dihormon selepas 8-10 bulan selepas ditanam atau mengikut tahap kesuburan tanaman. Pekerja ladang akan menyembur hormon dari jenis Etephon (Ethrel) mengikut jadual. Oleh kerana tanah diladang ini adalah dari jenis gambut dalam maka penggunaan alatan jentera adalah terhad terutama untuk penyediaan kawasan, membaja dan mengutip hasil nanas. Buah nanas dari ladang ini akan dipetik setelah 130 - 135 hari selepas dihormon untuk syarikat mendapatkan tahap kematangan pada 'indeks 0' dimana kulit buah nanas adalah masih hijau lagi (Sila lihat foto disebelah). Penuaian buah nanas MD2 diladang ini dilakukan dengan memotong tangkai nanas dan dimasukkan dalam bakul sebelum dikumpulkan dalam pusat pengumpulan hasil dan pengredan. Dalam pusat penggredan ini buah yang berkualiti akan dikumpulkan disatu lokasi dan buah nanas MD2 yang kurang berkualiti akan dikumpulkan dalam bekas lain. Buah kurang berkualiti seperti buah cacat, kecil, terlalu masak dan rosak dimakan haiwan (musuh yang merosakkan adalah tikus) diletakan dalam bakul khas. Buah ini akan djual kepada pemborong tempatan dengan harga purata RM1.00 sebiji untuk ianya dipasarkan dipasar tempatan atau dijadikan jus atau untuk bahan masakkan. Buah berkualiti akan dibahagikan kepada dua bekas lagi iaitu satu bekas untuk di eksport ke Singapura dan satu bekas lagi untuk pasaran Tempatan seperti di Johor Bahru dan Kuala Lumpur atau bandar lain mengikut jadual edaran. Permintaan nanas MD2 yang tinggi membolehkan ia tidak menghadapi masaalah pasaran semenjak nanas MD2 ditanam diladang Aqina ini.


Daripada penelitian penulis, buah nanas MD2 dari ladang ini mempunyai kualiti amat baik dari segi saiz, kemanisan dan juga aromanya. Buah ini mempunyai saiz yang sederhana dan bentuk buah betul iaitu 'silindrical shape' yang dikehendaki untuk pasaran domestik dan eksport (Sila lihat foto disebelah). Dilihat dari segi marfologi pokok dan buah, penulis agak pasti ia menggunakan benih dari sulur MD2 yang dikawal. Pengurus ladang juga menyatakan agar bakal penanam nanas MD2 'Tidak' menggunakan nenas dari benih Kultur Tisu (Tissue Culture). Menurutnya syarikat Aquina ada juga membekalkan benih sulur yang tulin kepada bakal penanam nanas jenis ini. Dakwanya LPNM pernah memdapatkan bekalan benih sulur nanas MD2 dari ladang ini untuk tujuan diedarkan keseluruh negara. Bagaimana pun pada tahun 2017 ini syarikatnya tidak menghantar benih kepada LPNM kerana kebanyakan benih yang dihasilkan adalah untuk meluaskan tanaman nanas diladangnya. Permintaan buah nanas MD2 yang berkembang pesat terutama dari Singapura dan permintaan domestik menyebabkan penanaman nanas diladang ini diperluaskan dengan lebih banyak. Syarikat juga sedang mencari kawasan tanah mineral untuk meluaskan tanaman nanas MD2 bagi pasaran ke China seperti yang telah dirancang. Syarikat Aqina mendapati penanaman nanas memberikan pulangan balik dimasa ini dengan nanas jenis MD2. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technologi kali ini. Wasallam!!!.
LADANG NANAS... LADANG AQINA...
DAERAH PONTIAN...LUAS TANAMNYA...
NANAS MD2... SINGAPURA EKSPORTNYA...
BUAH BERKUALITI... BAIK HARGANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 301, Hotel Aloha,
Pusat Perdagangan Pontian,
Pontian, Johor,
Malaysia.
(16 Disember 2017).
Selepas lawatan dengan KSU.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.