Tuesday, December 5, 2017

HARGA BAWANG MERAH NAIK?

BAWANG MERAH (Allium spp) merupakan tanaman kontan yang ditanam daripada keluarga Alliaceae iaitu dalam order Asparagales. Bawang Merah (Shallots) lebih kecil serta lebih manis rasanya berbanding daripada bawang besar (Onion). Malaysia merupakan negara pengimport tegar semua jenis bawang dari luar negara kecuali 'daun bawang'. Penggunaan bawang didalam masakan di Malaysia adalah satu kewajiban kerana masakkan tanpa bawang akan kehilangan rasa iaitu enaknya. Bawang merah merupakan tanaman semusim yang ditanam secara komersil untuk umbisi dan juga daun bawang dinegara jiran tetapi bukan di negara kita. Malaysia mengimport bawang merah terutama daripada India dan China serta beberapa negara pengeluar bawang merah lain. Dalam laporan akhbar pada 3 Disember 2017 oleh KOSMO! yang bertajuk 'Harga bawang naik tiga kali ganda ekoran India sekat eksport' oleh wartawan Julia Ismail penulis blog ini ingin berkongsi info mengenai perkara tersebut. Berita yang dipetik daripada Serdang (Berdekatan Pasar Borong) menyatakan bahawa harga pelbagai jenis bawang didapati melonjak hampir tiga kali ganda sejak dua bulan lalu (Oktober 2017). Ini adalah disebabkan berikutan tindakan pengeksport terbesar komoditi tersebut iaitu negara India yang menghadkan kuantiti penjualannya ke negara lain. Daripada tinjauan akhbar kosmo di beberapa pemborong bawang merah dan bawang lain di sekitar Lembah Klang mendapati, harga bawang pelbagai saiz dari India telah melambung dua hingga tiga kali ganda mencecah RM36 bagi satu guni (sembilan kilogram) berbanding RM13 satu guni dua bulan lepas. Menurut salah seorang petugas di sebuah pusat borong di Seri Kembangan iaitu En Salman Jan, 32, harga bawang besar dari India terpaksa dijual pada harga RM36 satu guni ekoran pembekal menaikkan harga. Kini bawang kecil dari India pula sudah seminggu tidak ada stok dan terpaksa dijual pada harga RM11 bagi 2.5 kilogram berban­ding RM6 hingga RM7.50 sebelum ini. Walau pun ada pilihan lain iaitu bawang dari China yang dijual pada harga RM27 seguni tapi ramai yang tidak suka bawang dari China ini dilaporkan di sini semalam. Kesan kenaikan harga bawang ini tidak berkait dengan kadar kenaikan minyak petrol atau lain-lain faktur kecuali disebabkan oleh negara India telah menghadkan pengeksportan keluar negara bagi bawang mereka yang bersifat sementara. Artikel subuh Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sekadar berkongsi info mengenai bawang.

Bawang Merah sama dengan bawang besar ditanam secara komesil dinegara yang lain mempunyai iklim sesuai. Bawang ini memiliki umbisi yang berlapis (bulb), berakar jenis serabut dan daun berbentuk silinder serta berongga. Umbisinya terbentuk daripada pangkal daun yang bersatu dan akan membentuk batang yang kemudian berubah bentuk dan fungsinya yang seakan-akan umbi berlapis. Apa yang saya perhatikan umbisi bawang merah bukanlan ubi sebenarnya seperti ubi kentang ataupun ubi keledek (Sila anda lihat foto disebelah). Ia terbentuk dari lapisan-lapisan daun yang membesar dan kemudiannya bersatu. Rasa bawang merah adalah sedikit pedas dan berangin. Tumbuhan herba ini adalah kecil setinggi 30- 45 cm mempunyai jenis akar serabut dibahagian bawah umbisi. Marfologi daunnya adah jenis daun tunggal yang mempunyai susunan berpilin, ia adalah panjang dengan hujung meruncing dan dibahagian tengah daun selalunya berlubang. Daun bawang berwarna hijau muda dengan permukaan berkulat dan mempunyai aroma yang kuat. Terdapat spesis yang memang khusus ditanam untuk penghasilan daun bawang. Bunga bawang merah jenis majmuk berwarna putih dan terdapat dalam jambak bunga di atas tangkai bunga yang panjang. Bunga bawang lazimnya akan keluar atau tumbuh di hujung daun. Buah atau biji-biji bawang bersaiz kecil berwarna kehitaman. Bebawang adalah daun (daun terubah suai) berisi yang berlapis-lapis diameter kurang dari 3 cm. Warna bawang merah berbagai julat daripada merah cerah sehingga merah gelap bergantung kepada varietinya.

Bawang merah adalah jenis tumbuhan yang boleh ditanam pada tempat beriklim panas seperti iklim tropika dan subtropika. Tanah yang sesuai untuk bawang merah adalah tanah yang tidak menakung air atau pun mempunyai saliran baik. Bawang merah boleh ditanam dari bahan tanaman biji benih dan juga bebawang (Umbisi). Bawang merah yang baru ditanam perlukan penyiraman air dua kali sehari lazimnya pada waktu pagi sekali dan petang sekali lagi bergantung kepada cuaca. Pengalaman saya mendapati penggunaan kompos pada peringkat awal penanaman adalah amat baik dan digalakkan. Pembajaan bawang merah boleh dilakukan dengan kaedah menggunakan baja NPK Hijau (15:15:15) dengan kadar disyorkan. Pengalaman saya mendapatti terdapat 3 jenis bawang yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti dari Siam, Indonesia dan India. Bawang jenis dari China kurang sesuai ditanam di Malaysia kerana iklim yang berbeza dan harganya pun memang mahal untuk dibuat benih. Tanah yang sesuai untuk bawang merah mestilah mempunyai saliran yang baik dengan pH 6.0 - 7.0 dan tidak boleh di tenggelami air. Penanaman bawang mesti dibuat di atas batas berukuran 4-10 inci (12-30 cm) tinggi dan lebar 36-48 inci (1.1-1.4 m) lebar serta panjang ikut kesesuaian. Batas tersebut kemudian dibubuh baja asas organik dan sebaiknya diberi sungkupan seperti jerami padi kering atau rumput atau lalang kering. Kalau tiada sungkupan akibatnya benih yang baru ditanam akan rosak akibat hujan dan hakisan terutama jika ditanam diatas tanah bris seperti di Mersing. Saya pernah menanam bawang merah di Mersing diatas tanah bris pada tahun 1998 - 2000 sebagai petak pemerhatian jabatan untuk kajian potensi penanaman bawang merah secara komersil di Teluk Sari dan Sri Pantai. Kajian ini melibatkan pegawai dan petani projek kelompok terpilih.

Benih bawang merah yang segar di pasaran digunakan (jenis India dan Indonesia) dengan bungkusan dalam sebakul buluh (lingkungan 8-10 kg). Proses pertama adalah dengan cara mengasingkan umbisi bawang dari rumpun dan potong bahagian atas sedikit untuk mempercepatkaan proses pertumbuhan semasa penanaman. Kalau kita tidak mepotong bahagian atas umbisi akan menyebabkan kelewatan pertumbuhan tunas antara 3-5 hari. Keperluan benih antara 1,200 -1,500 kg/ ha dikawasan tanah bris yang ditanam diatas batas. Biji bawang sebaiknya perlulah di celup dalam racun cendawan dan racun kulat sebelum ditanam (Thiram). Lazimnya syor jarak tanaman adalah antara 13 cm x 13 cm (5 inci x 5 inci) dengan kedalaman umbisi dimasukkan 2/3 bahagian darinya kedalam tanah. Penyiraman perlu dijalankan dua kali sehari dan jangan biarkan terlalu basah atau terendam sebab bawang akan reput. Proses penuaian hasil boleh dilakukan apabila semua daun bawang telah kering atau bertukar kepada warna merah telah rebah iaitu sekitar 6 hingga 8 minggu selepas penanaman. Tuaian hendaklah dilakukan ketika cuaca kering agar bawang boleh disimpan lama. Elakkan menuai selepas hujan kerana bawang akan mudah diserang fungus jika basah ketika dituai. Cara menuai bawang adalah dengan mencabut terus dari tanah dan kemudian dijemur sehingga semua daun atas kering.

Tanaman bawang lazimnya akan matang dan boleh dituai selepas 75 - 90 hari ditanam iaitu apabila daun bawang telah mulai kering dan rebah bergantung kepada varieti. Rumpun bawang yang dituai diikat dan dikeringkan dibawah sistem pengudaraan yang baik (Lihat foto sebelah). Bawang merah agak tahan disimpan sehingga 6 bulan (bergantung kepada varieti) dan boleh digunakan semula untuk dijadikan benih tanaman dan sebahagian boleh dijual. Kajian di Malaysia mendapati sebiji bawang akan membiak sebanyak antara 15 - 25 biji bebawang serumpun walaupun kajian mendapati di India mencapai 40 -60 biji/rumpun. Beberapa varieti di Indonesia (Mentes, Pakitan) contohnya cuma mempunyai sekitar 8-12 pokok serumpun sahaja. Pada tahun 1998 berlaku krisis bekalan bawang merah seluruh dunia yang telah pun menyebabkan harga bawang merah yang biasanya dijual runcit pada purata harga RM 1.20/ kg telah meningkat sehingga RM 5.40/ kg. Krisis ini disebabkan oleh beberapa negara pengekspot utama bawang keMalaysia seperti India, China, Thailand, Indonesia dan sebagainya mengalami bencana kemarau akibat El - Nino. Harga yang mahal terpaksa ditanggung pengguna di Malaysia. Disapati pengimpot amat sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah ketika ini. Kementerian Pertanian melalui Jabatan Pertanian telah pun melancarkan beberapa program pemerhatian untuk cuba menanam bawang merah tetapi kurang berjaya. Kenaikan harga borong akan menyebabkan harga runcit bawang nerah naik berganda. Masih ramai dikalangan pengguna yang terus membeli bae=wang merah walau harnyanya melambong tetapi dengan kuantiti sedikit. Paling terkesan adapah pengusaha bawang goreng yang bergantung bekalan sepenohnya daripada bawang import. Diharap artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini mengenai bawang merah. Wallahualam!...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Bandar Baru UDA,
Tampoi, Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(15 RabiulAwal 1439H).
Posted from Room 824,
Hotel Hilton, Kuching, Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.