Saturday, December 16, 2017

CABARAN SEKTOR PERTANIAN


SEKTOR PERTANIAN merupakan salah satu daripada cabang ekonomi yang penting di negara kita selain daripada Sektor Industri, Sektor Perkhidmatan dan sebagainya. Kehebatan sesebuah negara apabila mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk kegunaan domestik dan mampu menghasilkan makanan untuk eksport. Sektor Pertanian negara melalui astu transformasi yang hebat semenjak sebelum merdeka sehingga kini melibatkan penggunaan teknologi dan amalan agronomi yang lebih canggih untuk penghasilan bahan makanan yang banyak, berkualiti dan paling penting mempunyai keselamatan makanan terjamin. Kalau dahulu amalan pertanian hanya untuk kecukupan sendiri (self sufficiency) bagi keluarga tetapi kini pertanian beralim kepada penghasilan komersil untuk dijual sebagai punca pendapatan kerana kini 'pertanian adalah suatu perniagaan'. Bidangusaha dalam sektor tanaman, ternakan, ternakair, industri asas tani dan perkhidmatan pertanian kini dojalankan secara komersil dan berpandukan kepada skala komersil serta penggunaan teknologi moden. Foto diatas adalah salah satu teknologi penanaman secara fertigasi dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang mampu menghasilkan sayuran dan buah-buahan lebih berkualiti dan produktiviti tinggi. Pastinya sektor pertanian mempunyai cabaran berterusan walau pun ia mesti diperkukuhkan dari semasa kesemasa. Sektor pertanian perlu terus berkembang walau pun kekangan kos pengeluaran, kekurangan tenaga kerja ladang, serangan perosak dan penyakit serta harga pasaran yang tidak menentu. Ramai kalangan pengusaha pertanian kini terdiri daripada golongan tua mula berubah kepada mereka yang masih muda dan berkemampuan. Artikel malam ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa cabaran dalam sektor pertanian untuk dikongsi bersama dengan pembaca semua.




Salah satu cabaran dalam sektor pertanian dinegara ini adalah tahap penggunaan jentera moden dalam mentransformasikan sektor pertanian. Dalam sektor tanaman padi kini penggunaan jentera banyak membantu pesawah daripada aktiviti penyediaan tanah sehingga jentuai untuk menuai padi. Sektor perikanan juga mengalami modenisasi jentera dan automasi dalam penternakan ikan dan tangkapan ikan dilaut. Sejarah menunjukkan dimana Malaysia bermula dengan sebuah negara pertanian dengan tumpuan kepada tanaman komoditi seperti sawit, getah dan kelapa. Sejarah negara memang jelas bergantung sektor tanaman komoditi yang kini dikenali sebagai pertanian industri yang masih dikendalikan bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK). Malaysia dikenali antara pengeluar terbesar komoditi tersebut sejak dahulu hingga sekarang dan tidak ada masalah timbul mengenainya dari segi teknologi dan ekonomi pengeluarannya. Penanaman kelapa sawit masih menjadi tulangbelakang ekonomi pertanian negara dengan keluasan tanaman sawit  mencecah seluas 4,691,160 hektar pada tahun 2009. Keluasan tanaman kelapa sawit di Malaysia pada tahun 1975 hanya cuma 642,00 hektar sahaja. Pada masa ini didapati Negeri Sabah merupakan kawasan utama tanaman sawit di Malaysia (1.362 juta ha atau 29.7%) diikuti oleh Sarawak (0.840 juta hektar atau 16.6% ) dan Johor (0.712 juta hektar atau pun 15.32%). Negeri paling kecil mempunyai tanaman kelapa sawit adalah di Pulau Pinang iaitu cuma 14,000 hektar sahaja. Daripada jumlah keluasan tersebut seluas 2.807 juta hektar kelapa sawit ditanam oleh pihak estet swasta (59.8%) sementara 20.2% dimajukan oleh Skim Kerajaan (FELDA - 675,167 ha, RISDA- 80,262 ha dan FELCRA - 160,832 ha) sementara seluas 321,947 ha (7,1%) oleh Skim Kerajaan Negeri dan bakinya seluas 540,194 hektar (12.98%) oleh pekebun kecil.


Dalam pada itu bagi sektor tanaman makanan yang menjadi tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, banyak perkara perlu dilihat dan diberikan perhatian serius kerana terdapat banyak kekangan dalam pengeluarannya. Antara beberapa isu adalah bagaimana cara untuk meningkatkan pengeluaran bagi semua subsektor yang melibatkan tanaman dan ternakan. Antara cabaran seperti tahap pengeluaran yang tidak cukup tidak dapat memenuhi permintaan yang lebih tinggi bagi menampung kekurangan tersebut, oleh itu kerajaan terpaksa mengimport bahan makanan. Laporan Agromakanan MoA mendapati pada 2015 misalnya jumlah import makanan mencecah kepada RM43 bilion dengan defisit atau kekurangan dalam dagangan (BOT) sebanyak RM18 bilion. Bagi sumber iaitu makanan dilaporkan hanya produk ayam dan telur yang mampu dikeluarkan melebihi permintaan atau melepasi kadar 100 peratus tahap sara diri (SSL) sedangkan padi hanya 72 peratus SSL dapat dapat dipenuhi. Terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan Malaysia berdepan cabaran bagi meningkatkan pengeluaran makanan menerusi pertanian. Kenyataan dari Ketua Kluster Pertanian dan Makanan Majlis Profesor Negara (MPN) iaitu Prof Dr. Ghizan Saleh berkata bahawa di antara faktor tersebut adalah faktor biologi, faktor fizikal dan alam sekitar. Dakwanya faktor biologi merangkumi varieti atau baka iaitu Malaysia masih kekurangan varieti tanaman dan baka ternakan tempatan yang unggul. Malaysia juga masih banyak mengimport varieti dan baka ini dari luar. Antara faktor fizikal yang didakwa mempengaruhi adalah keadaan jenis tanah di negara ini yang kebanyakannya berasid dimana perkara ini umumnya memerlukan kerja-kerja pengapuran untuk merawatnya sebelum dapat dimanfaatkan untuk tujuan penanaman.


Kos pengeluaran makanan di negara kita berkait dengan harga bahan input dan kos tenaga buruh upahan. Perkara ini telah menambahkan kos pengeluaran dan juga merosakkan struktur dan juga komposisi tanah. Keadaan alam sekitar yang sentiasa berubah dan tidak menentu juga banyak mempengaruhi kestabilan pengeluaran bahan pertanian. Ketika ini penulis blog dapati ada kira-kira 7.6 juta hektar tanah yang sesuai untuk pertanian tetapi 70 peratus daripadanya merupakan tanah berasid. Faktor tanah terbiar juga amat penting dimana dilaporkan oleh Jabatan Pertanian terdapat sekitar 120,000 hektar (ha) tanah terbiar dan angka ini meningkat setiap tahun kerana masalah pemegangan tanah yang tidak tukar nama daripada tanah pusaka atau tidak ada kesepakatan dalam keluarga untuk melakukan pembahagian tanah. Dalam pada itu penelitian penulis blog juga mendapati dimana keperluan baja dan sistem pengairan tanaman yang dipasang akan mengakibatkan kos pengeluaran terus meningkat. Antara faktor yang berkaitan dengan persekitaran banyak memberi impak dan memberi kesan kepada bidang pertanian di negara ini. Penulis dapati isu perubahan suhu bumi yang meningkat sehingga 0.2 darjah Celsius dalam tempoh tiap 10 tahun juga akan mengakibatkan dijangka suhu naik sebanyak dua darjah Celsius pada tahun 2100. selanjutnya isu kenaikan suhu ini akan menyebabkan terjejasnya kehidupan tanaman dan ternakan yang banyak bergantung pada suhu sebagai faktor kehidupan. Masalah pemanasan global ini juga akan menyebabkan kenaikan paras air laut dan sungai melimpah menyebabkan kawasan pertanian rosak akibat limpahan air masin. Masalah bencana alam seperti kerosakan akibat banjir juga boleh mencecah sehingga berbilion-bilion ringgit. Sebagai contoh bencana banjir di Thailand pada tahun 2011 telah menyebabkan kerugian pertanian sebanyak RM40 bilion manakala di Acheh, Sumatera semasa kejadian tsunami pada 2004 menyebabkan kerugian RM16 bilion kepada industri pertanian.


Penulis blog mendapati semasa bertugas di Pahang mendapai kesan banjir pada 2014 memusnahkan banyak tanaman sayuran dan buah-buahan dengan teruk. Kejadian kemarau panjang selama 4.5 bulan yang berlaku di TKPM Lanchang, Temerloh, Pahang pada 2016 menyebabkan hasil tanaman berkurangan 70% dan ada pokok nangka yang mati akibat kekeringan. Kemudian pada awal tahun 2017 pula berlaku banjir beberapa kali di kawasan TKPM ini yang juga menyebabkan kerosakan tanaman. Daripada laporan menunjukkan dimana sektor tanaman banyak mengalami kemusnahan sehingga di negara kadangkala mencecah sekitar RM50 juta setahun. Masalah seterusnya adalah kekurangan tenaga buruh menyebabkan industri pertanian terpaksa bergantung kepada 80 peratus buruh asing. Ketika ini sektor pertanian makanan tempatan terlalu bercirikan buruh intensif sedangkan rakyat tempatan lebih berminat kepada pekerja di bawah pendingin hawa. Kini penulis dapati faktor teknologi menjadi masalah yang tidak kurang pentingnya dan menjadi ancaman dalam usaha pemodenan pertanian. Walau pun teknologi kita ada banyak tetapi banyak juga yang kurang sesuai kerana kurang diadaptasikan aplikasinya. Sebagai contoh teknologi rumah kaca di negara Barat dimanfaatkan untuk mengelak cuaca sejuk manakala suasana di negara kita berbeza dan memerlukan rumah kaca tidak mengakibatkan suhu yang terlalu panas di dalamnya. Penghasilan teknologi untuk membantu memodenkan sektor pertanian kurang berjaya kerana tidak sampai kepada pengguna menerusi proses pemindahan teknologi. Peranan ini wajar dimainkan oleh jabatan dan kementerian tertentu yang terlibat.


Penulis blog dapati dimana faktor ekonomi juga penting kerana ia berkait dengan cara memasarkan hasil-hasil pertanian. Peranan FAMA didakwa perlu berusaha lebih dalam mereka dapat memberikan jaminan harga yang stabil kepada pengusaha bertujuan bagi memastikan petani mempumyai saluran pemasaran yang melindung mereka. Berkemungkinan mungkin satu sistem insentif harga seperti padi juga perlu diwujudkan untuk tanaman-tanaman lain yang kritikal, seperti jagung bijian untuk ternakan ayam dan beberapa sayuran terpilih. Selain itu menyentuh mengenai isu keselamatan makanan yang memerlukan kerajaan memantapkan jaminan bekalan bagi mengelakkan berlakunya krisis seperti yang pernah berlaku pada 2008. Stok penimbal makanan utama seperti beras perlu dimantapkan, dan setakat ini untuk beras, ia sudah meningkat dari 30 hari kepada 45 hari. Ini bermakna, jika tidak ada pengeluaran atau import beras, Malaysia boleh bertahan tanpa bekalan ini selama tempoh tersebut. Adalah dicadangkan agar sistem stok penimbal seumpama ini juga diwujudkan untuk jagung bijian yang merupakan makanan penting untuk ayam ternakan. Malaysia juga berdepan dengan isu kenaikan harga makanan terutama padi, gandum, jagung dan kacang soya. Kini terdapat beberapa isu yang menghambat sektor pertanian makanan iaitu kenaikan harga seperti mana yang berlaku ketika krisis dahulu (2007/2008) yang mencatatkan kenaikan antara 125 hingga 150 peratus. Kenaikan harga makanan seperti jagung juga antara lain disebabkan oleh polisi kerajaan negara luar yang menggunakan bahan makanan seperti jagung diproses menjadi bahan bakar bio (biofuel). Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!.

SEKTOR PERTANIAN...BANYAK CABARAN...
BENCANA ALAM... BANYAK KEROSAKKAN...
TEKNOLOGI MODEN... BELUM DIAMALKAN...
PERLU DIRANCANG... BEKALAN MAKANAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 749, Hotel Marriot,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(6 Muharam 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.