Monday, November 13, 2017

PROMOSI NANAS MD2 DI NANNING, CHINA

PROMOSI BUAH NANAS MD2 telah diadakan di Hang Yang City, Nanning, China daripada 3-5 November sempena satu program dinamakan 'Malaysian Durian Festival 2017'. Promosi ini telah dikunjungi lebih daripada 300,000 orang pengunjung warga tempatan dan sejauh daripada Guangzhu dan Shenzen semata-mata untuk merasa buah Durian Musang King (D197) yang dibawa daripada kawasan Raub di Pahang serta buah nanas dan nangka serta produk IAT berasaskan buah-buahan dari Malaysia. Perasmian Festival ini dilakukan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia YB Dato Seri Shabery Cheek dengan kehadiran Speker Dewan Rakyat dan Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Nanning China. LPNM bersama 3 syarikat lain telah membawa sebanyak 500 biji buah nanas MD2 dengan beratnya 1.45 metrik tan untuk diuji rasa oleh para pengunjung di festival ini di China sebelum mereka makan durian Musang King. Pada masa ini beberapa syarikat telah berjaya untuk mengeksport nanas MD2 ke China iaitu yang bermula penghantaran pertama satu kontena pada 12 Oktober 2017. Syarikat Top Fruit daripada Batu Pahat telah memulakan eksport satu kontena nanas MD2 ke China pada 12 Oktoner 2017 den berterusan sehingga kini penghantaran sekitar 2-3 kontena sebulan. Sejumlah 100 biji nangka varieti J33 atau nangka 'Tekam Yellow' juga dibawa untuk tujuan promosi walau pun protokol untuk pengeksportan nangka ke China masih belum selesai lagi dengan pihak AQSIQ China. Nanas merupakan satu jenis buah yang menjadi hidangan masyarakat China yang memang suka makan buah-buahan dalam menu harian mereka. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai program promosi buah nanas MD2 kepada rakyat China untuk tujuan utama memperkenalkan nanas premium dalam pasaran eksport yang besar di negara tersebut.


Nanas MD2 merupakan nanas premium yang ditanam untuk pasaran domestik dan eksport. Pada masa ini terdapat sekitar 1,750 hektar tanaman nanas MD2 diseluruh negara dengan benih nanas MD2 menjadi rebutan ramai usahawan tanaman nanas. Harga benih nanas MD2 dahulu semasa diperkenalkan adalah mahal sekitar RM3.50 satu sulur tetapi pada tahun 2017 harga benih nanas telah stabil pada sekitar RM1.50 satu sulur. Daripada sumber LPNM dilaporkan sehingga kini sebanyak lebih daripada 20 juta benih nanas MD2 telah diedarkan diseluruh negara untuk ditanam oleh mereka yang terdiri usahawan nanas MD2 yang terpilih. Nanas dari benih kultur tisu (Tissue Culture atau TC) bagaimana pun kini tidak digalakkan untuk ditanam kerana masaalah 'Somaclonal variation' dimana isu ini boleh menjejaskan industri nanas MD2 negara dimasa akan datang. Pada masa ini beberapa varieti nanas yang masih banyak ditanam seperti Nanas Moris, Nanas Josapine, Nanas N36 dan juga Nanas Yankee (Selangor Sweet) serta Nanas Sarawak. Semasa di Nanning, penulis telah dibawa melawat pusat simpanan buah nanas MD2 untuk festival durian Malaysia 2017 di CIQ, Nanning. Pegawai CIQ mengawal ketat semua konsainan durian, nanas dan nangka dalam bilik sejuk sekitar 10 celcius. Dari pemeriksaan mendapati nanas didalam kotak ini ada yang hampir rosak disebabkan oleh suhu yang rendah ini untuk lebih daripada 7 hari terutama buah yang terlalu masak (Sila anda lihat foto disebelah). Bagaimana pun suhu ini telah disesuaikan semula selepas lawatan pasukan kami. Lawatan ke CIQ Nanning ini menjadi sejarah iaitu penghantaran kali pertama durian sejuk beku, nanas MD2 dan nangka Tekam Yellow ke China sempena Festival Durian Malaysia 2017. Hanya syarikat ang dilantik iaitu Regal Company yang akan membawa buah-buahan ini ketapak pameran yang dikawal ketat oleh CIQ sehingga kulit, biji, reja dan sebagainya dimasukkan dalam bekas khas untuk dimusnahkan.


Nanas MD2 diletakkan di kaunter pertama dalam ruang legar pameran dan citarasa buah-buahan Malaysia. Semua buah nanas ini dipotong bahagian atas dan kemudian dengan mengguakan alat mengorek khas mengeluarkan isi nanas dan mengasingkan daripada empulurnya. Kemudian buah nanas ini dipotong kecil untuk diletakkan dalam bekas khas bagi ujirasa oleh para pengunjung festival ini. Sebanyak 500 biji buah nanas dengan anggaran 1.4 metrik tan habis dipotong dalam masa festival selama 3 hari ini. Diantara VVIP yang mengunjungi gerai nanas dan ujirasa nanas MD2 adalah Gobenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang dan Menteri Pertanian dan Industr Asas Tani serta Speaker Dewan Negara Malaysia iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan VVIP lain. Mereka memberikan tanda 'Jempol' yang bermakna nanas MD2 ini adalah bagus dan sesuai dengan citarasa rakyat disini. Antara tetapu VVIP lain seperti Pengerusi Agrobank (Sila lihat foto disebelah), Duta Malaysia ke China, Mayor Bandar Nanning, Konsulat dari Thailand, Konsulat dari Kemboja dan juga VVIP lain. Hari perasmian merupakan aktiviti paling sibuk dengan memotong lebih daripada 350 biji buah nanas dari jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam. Penunjung sanggup berbaris sepanjan 3 jam untuk dapatkan passport dan merasa 3 jenis buah dari Malaysia yang dihidangkan. Nanas MD2 kini telah dihantar ke pelabuhan Shenzen dengan kuantiti satu kontena mengandungi 2,100 kotak sekitar 18,000 - 20,000 metrik tan. Harga nanas i China adalah amat baik daripada bulan Julai sehingga Disember setiap tahun kerana pengeluaran tempatan yang selalunya berkurangan dan pengimportan dri Filipina serta Taiwan juga berkurangan ada waktu ini.


Buah Nanas MD2 yang dipotong kecil ini disajikan tanpa lidan dan manis iaitu jauh lebih baik daripada buah nanas yang dihidangkan di Hotel Mariott Nanning dimana kami tinggal. Golongan dewasa dan remaja serta kanak-kanak yang rasa nanas ada yang mengambil ketulan nanas beberapa kali kerana kemanisannya dan juga keenakannya (Sila anda lihat foto disebelah). Nanas merupakan salah satu komoditi buah yang ditanam di kawasan Nanning dengan luas tetapi ia tiada dikawasan Utara dan Pendalman China. Selepas merasa buah nanas MD2 dari Malaysia ramai yang bertanya dimana mereka mahu membelinya. Melalui jurubahasa yang diupah oleh LPNM (nama jolokkan adalah 'Sofea' yang boleh berbahasa Melayu dan Mandarin) ada menjelaskan dimana Malaysia sudah mengeksport buah nanas mulai Oktober tahun ini. Potensi pasaran nanas di China adalah sangat besar dan pemerhatian selama 1 tahun diberikan kepada Malaysia unruk membekalkan nanas MD2 agar mengikuti spesifikasi dan protokol yang dipersetujui. Penanam dan pengeksport nanas di Malaysia diminta mematuhi syarat yang diberikan agar pengeksportan ini akan memberikan kekayaan baru kepada penanam nanas di Malaysia. Disasarkan pada tahun 2020 jumlah eksport nanas Malaysia ke negara China adalah bernilai sebanyak RM320 juta. Anggaran keperluan untuk pasaran eksport China sahaja memerlukan satu perancangan menyeluruh di Malaysia bagi tujuan ini. Pada masa ini nanas segar dari Malaysia telah dieksport ke Singapura, Jepun, Korea, Negara-negara Teluk dan juga beberapa negara lain. Rawatan khas diperlukan untuk proses eksport ke China dan tidak sama dengan syarat dierlukan oleh negara-negara lain. Pada masa ini teknik rawatan dengan VapourMate sahaja yang diterima oleh negara China. Bagaimana pun dimasa akan datang mungkin ada teknologi lain yang sesuai dan murah berbanding dengan teknologi rawatan yang diterima pada masa ini.  Promosi nanas MD2 ini di Nanning, China dijadikan satu tanda aras dimana penerimaan nanas dari Malaysia dinegara tersebut diterima baik oleh rakyat mereka. Semuga tulisan ini memberi info beguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...

NANAS MD2 PREMIUM...KE CHINA...
DIBUAT UJIRASA... MEREKA SUKA...
SUDAH DIEKSPORT...OKTOBER MULA...
UAHAWAN NANAS... PERLU BERSEDIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 2020, Hotel Mariott Nanning,
Nanning, China.
(6 November 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.