Tuesday, November 21, 2017

PASARAN DURIAN KECHINA - CABARAN

PASARAN DURIAN MALAYSIA KE CHINA menjadi satu perbincangan hangat di media sosial sehingga dibawa dalam parlimen Malaysia pada November 2017. Ini setelah satu promosi makan durian di Festival Malaysian Durian 2017 di Hang Yang City, Nanning, China yang diadakan dari 3-5 November 2017. Pameran ini yang dikunjungi lebih daripada 300,000 pengunjung mendapat liputan meluas oleh media dinegara tersebut sehingga mendapat pertanyaan banyak  mengenai bekalan dan harganya. Pada tahun 2017 telah dicatatkan sebagai tahun dimana harga durian premium seperti Musang King (D197) mencecah sehingga hampir RM140 sekilogram di kawasan Raub, Pahang iaitu kawasan utama penanaman dan pengeluaran buah durian Musang King di Malaysia. Pada penulis amat setuju dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan harga buah durian premium yang tinggi ini memberikan pulangan baik kepada petani. Bagaimana pun penulis berpendapat keadaan harga durian yang tinggi ini banyak berkait dengan faktor bekalan yang berkurangan sedangkan permintaan amat tinggi pada tahun 2017. Cuaca El-Nino (Kemarau dan suhu tinggi) sepanjang tahun 2016 diikuti dengan La-Nina (Banyak Hujan) pada 2017 telah menyumbang kepada produktiviti durian premium ini disekitar Pahang Barat. Tinjauan peribadi penulis mendapati pokok durian dilereng gunung dan bukit sahaja yang berbunga dan berbuah sedangkan dikawasan tanah rendah dan landai ada yang berbunga tetapi banyak tidak menjadi buah. Selain faktor cuaca, faktor amalan agronomi tanaman durian juga mempengaruhi produktiviti dan kualiti buah durian. Walau pun permintaan domestik dan eksport seperti kepasran China nanti terbuka, perlu ada perancangan dan strategi bagaimana hendak menghasilkan buah durian berkualiti dan berterusan untuk pasaran domestik dan eksport. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pasaran buah durian ke China untuk dijadikan bahan bacaan.


Malaysia kini terus dan sedang berusaha untuk mengeksport buah durian jenis terbaiknya varieti Musang King ke negara China. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek nyatakan buah-buahan yang ingin dieksport ke China mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak republik itu (Sila lihat foto disebelah). Pada masa ini hanya sampel buah durian yang menerima rawatan penyejukan bawah 18 darjah sahaja dibenarkan masuk keneraga tersebut.  Dimasa akan datang sebaik sahaja kita penuhi syarat dan peraturan yang dipersetujui maka selepas itu kita perlu cari pelabuhan atau destinasi untuk hantar buah durian. Menteri juga memaklumkan bahawa sebiji durian berharga kira-kira RM800 di Hong Kong. Sehubungan itu, beliau percaya durian Musang King akan dapat dijual dengan mudah di China pada harga kira-kira RM200 hingga RM300 sekilogram. Jika ini dapat dilaksanakan kelak maka ini amat baik bagi petani kita  di Malaysia yang menanam durian dan dapat meningkatkan perdagangan dua hala. Pada masa ini China mengimport durian dari negara jirannya terutama Thailand dan sedikit dari Vietnam. Dalam satu perbincangan di Beijing bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dalam rangka lawatan kerja lima hari di China, Ahmad Shabery telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan pihak berkuasa China bagi pengeksportan nanas buat kali pertama ke republik itu. Sebenarnya selepas kejayaan nanas menembusi pasaran China maka usaha seterusnya ialah untuk mengeksport buah nangka. Antara buah-buahan Malaysia yang berjaya menembusi pasaran China sebelum ini ialah manggis. Kini dinyatakan dimana produk durian dalam bentuk pes dan produk IAT berasaskan durian tidak mempunyai masaalah untuk dieksport ke China.


Dalam kenyataan lain dinyatakan dimana usaha Malaysia untuk mengeksport durian ke China tidak menjejaskan dominasi eksport raja buah oleh Thailand memandangkan pasaran yang sangat luas di negara Tembok Besar itu. Kini  produk durian dari Malaysia dan Thailand adalah berbeza serta mempunyai peminatnya yang tersendiri di China. Dalam dunia moden sekarang ini Malaysia tidak perlu gusar kerana durian Thailand ada penggemar sendiri dimana festival durian diadakan di Nanning kini adalah peluang untuk Malaysia ketengahkan hasil produk seperti varieti ‘Musang King' dan ‘Blackthorn'. Di China potensi pasarannya sangat besar dimana tidak semua orang China suka makan durian tetapi jika dididik atau dibiasakan lebih ramai orang di sana makan durian. Oleh itu perlu adakan aktiviti seperti pesta durian dan sebagainya dimana akhirnya nanti akan menjadikan durian sebahagian budaya dan cara hidup dan menjadi satu ruang pasaran besar.  Sebuah portal berita antarabangsa juga telah melaporkan kesediaan China mengetepikan larangan ke atas Malaysia untuk mengeksport durian segar dimana ini dilihat mampu menamatkan dominasi Thailand yang menjadi pengeksport terbesar ‘Raja Buah' ke negara itu. Bagaimana pun kini permintaan ke atas durian Musang King dari Malaysia meningkat mendadak setelah kementerian berjaya mendapat kelulusan khas untuk membawa lima tan durian segar pelbagai jenis dan termasuk produk-produk premium berkaitan durian ke festival selama tiga hari di Nanning, Wilayah Guanxi itu. Sebelum ini dinyatakan Malaysia hanya diberi kebenaran untuk mengeksport durian yang disejuk beku dan produk pes ke China dengan pasaran bernilai RM23.52 juta dan RM18.02 juta masing-masing pada tahun 2015 dan 2016. Pada masa sama dilaporkan Singapura turut menzahirkan kebimbangan pasaran mereka hanya akan menerima durian gred kedua sekiranya Malaysia lebih memberi tumpuan kepada pasaran China. Bagaimana pun sebenarnya tidak menjadi masalah untuk Malaysia terus menghantar durian gred tinggi ke negara jiran itu dengan syarat mereka bersedia dengan harga yang dapat memberi pulangan tinggi kepada pengusaha durian di Malaysia.  Dalam sistem pasaran, kalau Singapura mampu membayar lebih maka rakyat mereka mempunyai lebih berkemampuan maka mereka juga tidak perlu gusar kerana Malaysia akan menghantar durian terbaik ke Singapura. Kini selain lima tan metrik durian Musang King serta produk buah-buahan seperti nangka madu dan nanas dibawa bersama adalah produk berasaskan industri asas tani ke festival tersebut. Ia dilakukan bagi merangka untuk menyediakan platform kepada usahawan yang terlibat untuk menyertai sesi pemadanan perniagaan yang telah diatur dengan 400 pengusaha China.


Perkara untuk pasaran durian ke China ini diselaraskan oleh kementerian dengan pihak FAMA dengan mensasarkan nilai eksport RM100 juta setahun ini bagi durian sejuk beku Musang King dan D24. Negara sasaran utama adalah seperti Singapura, Hong Kong, China, Indonesia dan Australia berikutan permintaan tinggi di sana. Bagi China saja dilaporkan nilai eksport durian sejuk beku tahun ini dijangka sebanyak RM23.4 juta berbanding RM18.2 juta pada tahun 2015 peningkatan 175 peratus berbanding pada 2011 iaitu 1.11 juta. Pada keseluruhannya dilaporkan nilai eksport durian ialah RM74. 4 juta pada 2016 berbanding RM65 juta pada tahun sebelumnya. FAMA menjangkakan eksport durian terutama Musang King ke China bertambah berikutan kejayaan membawakan durian sejuk beku, ulas (pulp) dan produk berasaskan durian ke tujuh wilayah China setakat ini. Dilaporkan dimana produk IAT berasaskan durian berjaya dieksport ke Beijing, Shenzhen, Shanghai, Chengdu, Nanning, Chongqing dan Guangzhou ke lebih 60 pasar raya, sembilan kedai durian, tiga kedai buah-buahan dan pemasaran atas talian (Online). Perkara ini diumum FAMA pada Majlis Pelepasan Penghantaran Durian Sejuk Beku ke Qinzhou dan Guangxi, China sempena Festival Durian Nanning 2017 yang bertemakan 'Durian Musang King ke China: Sumber Kekayaan Baru'. Satu penghantaran percubaan itu ia telah membabitkan kontena dengan seberat lima tan durian sejuk beku dibawa ke China melalui kapal. FAMA juga telah pun dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jabatan Logistik di Malaysia bagi menghantar durian sejuk beku ke China sempena Durian Festival Nanning 2017. FAMA juga akan  membuat tiga penghantaran durian sejuk beku Musang King (D197) ke negara berkenaan menggunakan kapal laut dan kapal terbang. Penghantaran ini bermula pada 11 Oktober 2017 dengan menggunakan kapal di Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Qinzhou, Guanxi sementara penghantaran kedua pada 17 Oktober melalui Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta yang ketiga membabitkan nangka dan nanas pada 30 Oktober ke Guiling, Nanning. Dijangka nilai  eksport buahan segar pula disasarkan sebanyak RM600 juta berbanding perolehan eksport tahun lalu sebanyak RM413 juta dengan peningkatan 41 peratus. Ini sekali gus akan memberikan pulangan kepada petani dan pengusaha ladang, meningkatkan pendapatan negara. Dijangkakan dalam masa terdekat ini eksport durian sejuk beku ini akan diperluaskan ke Kanada, Korea dan Taiwan berikutan durian kita berkualiti tinggi memenuhi amalan pertanian baik (GAP) serta disemak diakreditasikan Pentadbiran Pemantauan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ). 


Bagaimana pun ada viral dalam internet pada 15 November 2017 menyatakan sebanyak 20 kontena durian Musang King dari Malaysia telah di hantar pulang kerana mengandungi bahan tercemar dan tidak mengikuti spesifikasi. Penafian oleh MoA nyatakan memang Malaysia belum ada menghantar durian segar ke China kerana belum ada kelulusan untuk meneksport kenegara tersebut setakat ini. Ini mungkin usaha pihak tertentu dalam usaha untuk menghalang eksport durian ke China. Laporan oleh BH Online yang penulis rujuk pada hari berikutnya menyatakan dimana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyifatkan maklumat berhubung kegagalan 20 kontena durian Musang King memasuki China adalah tidak berasas. 
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata viral berhubung durian Musang King gagal memasuki China kerana kandungan racun serangga yang tinggi adalah tidak berasas dan tak sahih. "Buat masa ini durian segar berkulit dari Malaysia masih belum diberikan akses pasaran ke China. Daripada gambar yang viral, rupa durian itu tidak sama dengan bentuk dan sifat Musang King Malaysia. Kini Malaysia hanya diberikan kebenaran untuk mengeksport durian separa proses seperti pes dan produk-produk industri asas tani berasaskan durian. "Malaysia sedang dalam proses memohon untuk mendapatkan akses pasaran bagi buah durian dalam bentuk biji yang disejuk beku pada suhu bawah -80 selsius melalui proses individual quick freezing (IQF) dan mengekalkan suhu pada suhu -18c. "Ini adalah antara kaedah terbaik bagi memastikan durian Malaysia kekal segar dan berkualiti sepanjang rantaian nilai pengeksportan," katanya menerusi laman facebook. Mohd Sallehhuddin mengeluarkan kenyataan itu berikutan penyebaran viral, semalam berhubung 20 kontena durian Musing King yang dikatakan dikembalikan semula ke Malaysia kerana tidak dibenarkan memasuki China. Terdahulu, ketika di Festival Durian Malaysia di Nanning awal November baru-baru ini, MOA mendapat kelulusan khas untuk membawa masuk 3.8 tan metrik buah durian berkulit yang disejuk beku hanya bagi tujuan promosi saja. Semuga tulisan subuh ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology agar ia dimanafaatkan. Wasallam!!!...
BUAH DURIAN... POPULAR DIA...
JENIS MUSANG KING...ISTIMEWA...
BOLEH DIEKSPORT... KEMANA JUA...
KUALITI DIJAGA... MEMBAIK HARGA.... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1118, Hotel Mariott,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(30 Safar 1439H).
Posted from Room 1327, Hotel Zenith,
Kuantan, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.