Wednesday, November 29, 2017

NANAS 'CRYSTAL HONEY' - SATU TINJAUAN

NANAS 'CRYSTAL HONEY' merupakan salah satu varieti nanas yang popular dikawasan Melaka, Johor Utara dan Selatan Negeri Sembilan. Nanas (Ananas comosus) ini adalah salah satu jenis dari kumpulan Nenas Moris yang khusus kerana rasa yang manis sedangkan nanas moris biasa adalah masam manis. Penulis sebelum ini hanya dengar sahaja akan nanas 'Crystal Honey' yang bermakna 'Madu berkristal' bermaksud ianya adalah manis dan seperti ada kristal teksturnya. Kalau anda lihat foto diatas yang saya ambil sebaik sahaja dipetik di Kebun Kg Cerana Putih, Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka di kebun En Lim memang amat menarik tekstur dan warnanya untuk segera dinikmati. Melihat nanas Crystal Honey yang dipotong ini penulis terus membuat ujirasa. Kemanisan nanas tersebut mencapai bacaan 14 darjah Brixs dibahagian bawah dan bacaan 10 darjah Brixs dibahagian atas buah. Ia adalah bacaan daripada alat Brixmeter yang dibawa. Ini menunjukkan nanas yang purata beratnya 1.3 kg ini sesuai digunakan untuk makan segar dan juga untuk diproses. Kandungan sukrose tinggi pada empulur dan isi nanas Crystal Honey. Bacaan ini menjadikan bacaan pH Crystal Honey rendah. Daripada 9 jenis varieti nanas yang telah didaftarkan, varieti Nanas Crystal Honey belum didaftarkan dengan Jabatan Pertanian seperti dalam tulisan saya sebelum ini (Silakan klik disini)Belum ramai kalangan penanam nanas yang menanamnya di Malaysia kerana nanas ini hanya popular di sekitar lokasi yang dinyatakan sebelum ini. Walau pun penulis bertanya sama ada En Lim ingin menukar nanas cyrstal honey ini kepada jenis lain seperti Josapine atau pun MD2 namun katanya beliau tidak berniat akan menukar varieti Crystal Honey. Kepelbagaian tanaman varieti nanas di negara kita sebenarnya membolehkan kita sebagai pengguna ada banyak pilihan untuk mengambilnya selain daripada ianya bergantung kepada cara penggunaannya. Artikel malam ini saya menulis didalam "Anim Agro Technology" sedikit info atau keterangan mengenai varieti nanas Crystal Honey dari hasil lawatan sekadar untuk dijadikan bahan bacaan. 


Nanas ini mempunyai buah yang matang masih berwarna hijau dengan mata buah kelihatan kilat sedikit (Sila anda lihat foto disebelah). Penelitian penulis blog yang melawat kebun En Lim seluas 9 ekar ini mendapati pertumbuhan tanaman yang baik memberikan buah nanas crystal honey dikelaskan dalam gred A sekitar 60% dan selebihnya adalah gred AA (10%) dan bakinya adalah Gred B. Buahnya berbentuk selinder dengan berat buah yang sekata jika ditanam diatas tanah mineral yang mendapat sinaran matahari 100% dan pembajaan cukup mengikut jadual memang tidak mengecewakan. Mata buah nanas jenis ini terkeluar sedikit dan jelas dapat dibezakan dengan varieti nanas lain. Nanas ini dahulu luas ditanam di Johor sahaja tetapi kini tumpuan petani sudah berubah kenegeri lain seperti di Melaka. Nanas ini sesuai ditanam dikawasan tanah gambut tetapi lebih baik lagi jika ditanam dikawasan tanah mineral. Nanas crystal honey yang ditanam diatas tanah mineral mempunyai ciri tambahan seperti tahap kemanisan yang tinggi, buah lebih rangup dan masa matang lebih cepat. Bagaimana pun nanas ini mempunyai daun yang berduri dengan struktur daun yang menegak kedudukannya. bagi atasi masaalah duri ini sebaiknya memakai seluar jeans yang tidak ditemburi durinya.


Anakbenih sulur yang ditanam dengan jarak 1.5 kaki x 2 kaki sesuai dilakukan untuk nanas jenis ini. Bagaimana pun En Lim menanam nanas ini dengan jarak lain yang disesuaikan yang memberikan kepadatan 12,000 pokok seekar. Jika menanam terlalu rapat dan padat maka kesannya adalah saiz buah kecil sedikit tetapi jika menanam dengan jarak agak jauh maka buahnya lebih besar dan lebih manis. Penanaman rapat juga dapat mengelakkan ancaman rumpai tetapi tanaman yang jarak perlu mengawal rumpai untuk 4 bulan pertama penanaman. Daunnya selalu bersaiz sederhana kecil dengan warna hijau kebiruan yang tumbuh sedikit menegak. Sebaiknya buah yang hampir matang dibungkus dengan kertas atau plastik atau bahan lain untuk elakkan masaalah kecederaan 'scorching' (Sila lihat foto disebelah). Ia akan dibaja mengikut jadual pembajaan yang disediakan oleh LPNM dan menjadualkan aktiviti seterusnya menghormon pokok nanas dewasa. Aktiviti menghormon selalu dilakukan pada bulan ke 6=7 bergantung kepada kesuburab pokok. Lazimnya jenis bahan kimia (hormon) yang sesuai untuk nanas varieti crystal honey adalah Etephon (Kalau tidak keluar bunga boleh ulangi semburan). Aktiviti menyembur hormon perlu dilakukan ketika waktu tidak hujan kerana mengelakkan daripada tidak berkesan. Aktiviti menghormon perlu dijadualkan dengan betul untuk tujuan pemasaran yang mana ia berterusan mengikut kehendak pasaran. Lazimnya sekali menuai En Lim akan mengatur dengan jumlah sekitar 2,000 biji seminggu dimana kuantiti ini adalah amat sesuai dengan pasaran dan jadual tenagakerja dikebun.


Keunikan nanas crystal honey adalah kerana ia mampu menghasilkan sulur anak yang banyak untuk dijadikan benih. Sulur ini akan keluar sekitar 6-8 sulur setiap pokok buah yang sudah matang dan boleh dikumpulkan semasa buah nanas dipetik (Sila lihat foto disebelah). Dari pemerhatian penulis blog juga ada mendapati sulur yang dihasilkan ini mencapai saiz sesuai untuk terus dijual atau ditanam semula. Sulur ini akan dikumpulkan disatu lokasi sebelum dirawat dan ditanam dilokasi lain. Harga ladang anak benih sulur nanas varieti  crystal honey diantara RM0.30 - RM0.50 satu sulur. Sulur benih ini sebaiknya perlu diasingkan dengan mengikut saiz sulur untuk tujuan menanamnya mengikut barisan tanaman yang berlainan. Ini memudahkan program amalan agronomi tanaman yang berikutnya. Bekalan benih untuk nanas crystal honey tidak sukar untuk dibeli atau didapati TIDAK seperti benih nanas MD2 yang masih lagi berkurangan. Kepada mereka yang bercadang untuk menanam nanas jenis crystal honey boleh mendapatkan benih disekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Johor Utara. Pokok nanas varieti ini agak tahan dari serangan penyakit dan perosak kecuali gangguan oleh orang yang ingin datang mencuri buah. Kawasan tanaman dikebun ini bagaimana pun dipagar dengan kukuh dengan pintu yang sentiasa berkunci. Harga buah nanas pada masa ini seperti nanas crystal honey membolehkan penanaman dilakukan berterusan.


Daripada tinjauan ladang En Lim mendapati penggunaan baja foliar (Baja Semburan Daun) telah membantu beliau mendapatkan tanaman nanas crystal honey yang berkualiti. Bukan sahaja ia mampu menghasilkan buah yang besar dan seragam malahan kesan baja foliar ini juga memberikan rasa buah lebih manis dan berjus serta kulit yang mudah untuk dikupas. Lazimnya meurut Lim beliau akan memberi baja lebih sedikit daripada syor oleh LPNM dengan tujaun untuk singkatkan proses kematangan. Buah yang matang akan dipetik dan dikumpulkan dulu untuk digred sebelum beliau bawa keluar menggunakan kenderaan Pick-up atau ada peraih yang membawa lori untuk mengambil kuantiti yang banyak. Beliau sendiri akan tentukan gred buah yang hendak dipetik (Sila lihat foto disebelah). Aktiviti kawalan rumpai amat sukar diperingkat awal penanaman sehingga pokok nanas berumur 6 - 8 bulan dimana apabila daun nanas bercantum maka kadar pertumbuhan rumpai berkurangan. Bagaimana pun hanya pembajaan yan baik akan membantu petani mendapatkan nanas ini dengan jaminan kualiti. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda semua. Diharap ada pihak lain yang akan mendaftar nanas Crystal Honey, Nenas Moris Meranik, nanas Madu Kaca dan beberapa lagi kepada Jabatan Pertanian dengan kaedah menggunakan Borang DK-1 yang boleh dimuatturun daripada lamanweb.  Nanas varieti Crystal Honey adalah berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu varieti nanas di Malaysia. Sekian Wasallam!!!...

NANAS...CRYSTAL HONEY NAMANYA....
DITANAM LUAS...JOHOR UTARA ADA...
MELAKA, NS.. TANAH BARU DIBUKA...
MAKAN YANG SEGAR...SIHAT KITA....

By:
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 103A,
Hotel Wasasan, Simpang Rengam,
Kluang, Johor,
Malaysia.
(29 Zulhijjah 1438H).
Posted from Room 1807, 
Hotel Imperial Heritage, Melaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.