Thursday, November 16, 2017

MANGGA - PANGKASAN

PEMANGKASAN (Pruning) bagi tanaman pokok Mangga (Mangifera indica) merupakan satu amalan agronomi yang sangat penting dijalankan. Pemangkasan juga penting yang perlu dilakukan oleh petani yang menanam pokok mangga terutama varieti-varieti baru seperti Mas Delight (MA226), Harumanis, Golek dan Masmuda. Tujuan sebenar aktiviti pemangkasan ialah untuk mendapatkan satu rangka bentuk pokok yang lebih elok dengan sistem percabangan yang lebih mantap. Ianya dapat mengekalkan perseimbangan di antara dahan dan ranting supaya kelihatan lebih menarik, di samping mendapat penghasilan buah yang lebih tinggi dan seragam. Pangkasan juga dapat mengawal ketinggian pokok seperti mana dikehendaki. Serangan musuh dan penyakit dapat dikurangkan dengan mengamalkan cara pangkasan yang berterusan. Cahaya matahari juga dapat menembusi di celah-celah bahagian pokok disertai peredaran udara yang sempurna pada keseluruhan bahagian pokok. Penulis blog memang mempunyai pengalaman mengenai membuat pangkasan pada tanaman mangga Chok Anan kerana menanam buah mangga jenis ini di Kg Tehel, Jasin, Melaka selama 10 tahun. Kebun mangga tersebut kini menjadi kenangan apabila tanah tersebut telah diambil semula untuk pembinaan jalanraya baru Air Keroh - Kg Tehel pada tahun 2006. Pemangkasan pad pokok mangga amat pening dilakukan untuk dijadikan sebagai satu amalan agronomi yang esti dilakukan. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu amalan penting dalam penjagaan mangga iaitu teknologi pengkasan pada pokok mangga yang amat penting dijalankan sebagai amalan perlu dibuat. Daripada proses pembelajaran dan pengalaman, penulis blog dapati terdapat dua jenis tujuan pemangkasan yang diamalkan iaitu (a) Pemangkasan Pembentukan dan (b) Pemangkasan Penjagaan. Ada yang mengatakan pangkasan ini sama dengan aktiviti cantasan (Pruning). Pengalamn penulis sedia ada menerangkan teknologi pemangkasan ini berdasarkan buku rujukkan Jabatan Pertanian yang saya baca dan juga pengalaman penulis sendiri dalam menjalankan aktiviti tersebut diladang. 



(a) Pemangkasan Pembentukan

Sistem pemangkasan yang paling berkesan untuk tanaman mangga ialah sistem 'terbuka tengah' atau dalam bahasa inggeris sebagai 'Open center'.  Apa yang perlu dilakukan adalah dengan batang utama dipotong pada ketinggian sekitar 0.7 - 0.8 meter dari paras tanah. Biarkan 3 dahan sahaja yang tumbuh membesar untuk membentuk dahan utama (Lihat foto dibawah). Dahan tersebut akan bertunas lagi dan ia perlu dibiarkan untuk membentuk cabang pada paras 0.6 meter dari paras cabang utama. Pilih 2 - 3 dahan sahaja yang membesar untuk membentuk paras cabang peringkat ketiga seterusnya akan dibiarkan untuk tujuan pengeluaran hasil. Gambar diatas boleh dirujuk yang menunjukkan peringkat cantasan pembentukan. Pokok-pokok yang dilatih mengikut teknologi pangkasan ini lazimnya tidak begitu tinggi dimana ia akan mempunyai bentuk yang rendang. Hasilnya saya dapati ia akan memberi ruang pergerakan udara. Seterusnya keadaan ini akan memudahkan kerja-kerja penjagaan pokok seperti aktiviti menyembur racun, membalut buah dan juga kerja mengutip hasil dapat dijalankan dengan sempurna. Pastikan kita menjalankan aktiviti pangkasan pembentukkan dengan cara betul dan tepat pada masanya untuk kejayaan optimum.


Sebanyak 3-4 cabang utama selepas dinentuk.

(b) Pemangkasan Penjagaan
Pemangkasan Penjagaan (Maintenance pruning) adalah aktiviti yang dijalankan bagi menjaga bentuk pokok supaya mendapat rangka yang baik dan memberi pendedahan kepada cahaya matahari serta pengedaran udara. Cantasan juga lazimnya akan dapat mengawal serangan perosak yang boleh membantutkan  pembesaran pokok. Dahan-dahan yang tidak dikehendaki iaitu  dahan-dahan yang terlalu rendah, dahan bersilang dan yang berpenyakit mesti dipotonh serta dibuang. Aktiviti ini juga termasuk membuang dengan memotong tunas-tunas air dan dahan-dahan kecil yang tidak produktif dan menghalang pengedaran udara. Selepas aktiviti pungutan hasil lazimnya  terdapat ranting-ranting yang telah mati atau ranting buah (bunga) dan juga ranting-ranting yang telah pun  berpenyakit yang mesti dicantas. Cara ini dapat meningkatkan pengeluaran bunga dan buah pada musim akan datang. Pemerhatian saya mendapati, jika ranting kering ini tidak dibuang akan menganggu penghasilan bunga dan buah pada musin berikutnya terhadap tanaman mangga varieti Chok Anan dan Harumanis.

Semasa hendak menjalankan cantasan, perhatian mesti diberikan kepada alatan atau perkakas yang digunakan seperti pisau cantasan (Scateurs), gunting pokok dan gergaji pangkas supaya sentiasa tajam dan bersih. Saya membeli gergaji pangkasan dengan harga RM 80.00 jenama 'TOP - QUALITY' buatan Jepun yang amat tajam dan efektif. Kerja memangkas pokok mangga sepatutnya dijalankan di awal musim hujan dan elakkan memangkas semasa musim kemarau atau cuaca sangat kering dan panas. Selepas pangkasan dijalankan sebaiknya sapukan bahan seperti cat atau tar untuk mengelakkan serangan kulat jika mampu. Sebaiknya pokok mangga perlu diberi pembajaan secukupnya terutama baja organik dan baja foliar. Caran potongan dahan dan ranting hendaklah dibuat rapat dengan dahan utama atau batang asal. Pangkasan penjagaan dijalankan mengikut syor dan jadual yang sesuai. Aktivitii pangkasan pokok mangga adalah penting untuk dijalankan oleh petani bagi menentukan pokok dalam keadaan baik. Pokok mangga yang tidak dicantas akan kelihatan rimbun, kurang sihat, berpenyakit dan akhirnya boleh mati jika bahagian dahan diserang penyakit dan serangga dibiarkan.  Wasallam !...
PANGKASAN POKOK... ADA CARANYA...
POKOK DIBENTUK... SEMASA IA MUDA...
PENJAGAAN DAHAN...EDARAN UDARA...
POKOK SIHAT... HASILNYA KUALITI ADA....

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 1926, Hatten Hotel,
Bandar Hilir,  Melaka,
Malaysia
(21 Rejab 1434H)
Published from Hotel Katerina, Batu Pahat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.