Monday, October 9, 2017

PAKU PAKIS - KENAL JENISNYA

PAKUPAKIS (Ferns) merupakan tumbuhan yang mudah kita jumpa didalam belukar di Malaysia terutama di kawasan tanah pamah yang lembab.  Tumbuhan pakupakis (pteridofit) adalah dari keluarga Davalliaceae mempunyai lebih dari 40 spesis merupakan jenis tumbuhan berdaun yang lazimnya berwarna hijau atau berwarna lain yang mengandungi anthocyanin. Ia merupakan satu dari golongan tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri khas dimana selalunya pada pucuk daun muda terdapat satu bentuk seperti 'gelungan tali' yang berlingkar dikenali sebagai 'krozier'. Ciri lain yang nyata ialah kesemua pakupakis menghasilkan spora yang terbentuk di dalam sporangium. Sporangium ini berkumpul membentuk tompokan iaitu di bahagian hujung, permukaan ataupun tepi daun. Kumpulan sporangium ini dikenali sebagai sorus. Susunan dan bentuk sorus berbeza-beza bergantung kepada spesies pakupakis tersebut.  Secara umumnya saya dapati tumbuhan paku pakis dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu pakupakis primitif yang berstruktur ringkas  (fern-allies) dan pakupakis sejati (true-fern). Pada paku-pakis primitif akarnya hanya berupa rizoid  (seperti Psilotum), berbatang kecil dan secara umumnya berwarna hijau kerana memiliki klorofil sehingga dapat membantu proses fotosintesis dan daunnya hanya berupa sisik dengan satu vena daun sahaja. Manakala pada paku–pakis sejati terdapat pembahagian antara akar, batang dan daun nampak jelas. Ketiga-tiga organ tersebut telah mencapai kesempurnaan yang tinggi. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis pakupakis iaitu tumbuhan yang ada disekeliling kita sekadar dijadikan bahan rujukan dan bacaan anda hasil pembacaan dan pengalaman penulis.


Pakupakis pada umumnya mempunyai kitar hidup dengan perselangan dua jenis generasi Generasi tanpa seks dan Generasi Matang. Pakupakis yang dikenali sebagai sporofit yang berupa tumbuhan pakupakis yang dapat dibezakan antara akar, batang dan daun. Generasi tanpa seks ini disebut generasi yang diploid. Generasi seks pula adalah gametofit yang berasal dari sporofit sehingga gametofit ini bersifat haploid. Gametofit ini akhirnya akan membentuk gamet jantan (anterozoid) dan gamet betina (sel telur). Sila lihat rajah kitaran hidup pakupakis diatas. Saintis yang bernama Farlow (1874) berpendapat bahawa gametofit dapat membentuk sporofit tanpa persenyawaan gamet dan dikenali sebagai Apogami seperti padaTectaria foliata. Seorang saintis lain iaitu Druery (1885) menyatakan sporofit dapat membentuk gametofit tanpa spora terlebih dahulu dan ini dikenali oleh Bower (1885) sebagai Apospori. Contohnya adalah pakis Athyrium filix-foemina. Lazimnya gametofit akan menghasilkan anteridium dan arkegonium yang dikenali sebagai gametangium. Dari segi pengelasan tumbuhan jenis pakupakis ini didalam division Pteridophyta dan daripada famili Schizaeceae dengan nama botaninya sebagai  Lygodium microphyllum R. atau dipanggil sebagai Ribu-ribu. Pakupakis jenis ini amat mudah dijumpai. Ia tumbuh dengan merambat pepohon lain di tempat yang terdedah dengan cahaya matahari. Ia menyerupai pakupakis Lygodium flexuosum tetapi ukuran daunnya lebih kecil dan berwarna hijau pucat.


Pakupakis daripada famili Matoniaceae adalah seperti jenis dikenali Matonia pectinata R. Br. Lazimnya pakupakis jenis ini ditemui di kawasan pergunungan misalnya di Gunung Ledang, Tanah Tinggi Genting dan Gunung Tahan (Sila lihat foto disebelah). Dari segi marfologi didapati sistem percabangan pada daun Matonia ini hampir menyerupai Gleichhenia. Namun selalunya apa yang membezakannya ialah sistem percabangan menggarpu Matonia lebih sempurna dan tidak terdapat pucuk dorman pada celah-celahnya yang dilindungi oleh indusium. Rizomnya tumbuh menjalar dan ditutupi oleh rambut berwarna coklat yang berkilat. Sementara itu jenis pakupakis dari famili Marattiaceae pula seperti  Angiopteris angustifolia Presl. atau pun dikenali dengan nama biasa sebagai Pakis Paku Gajah. Jenis pakupakis ini selalunya berukuran lebih besar dan mencapai ketinggian 6m. Tumbuhan ini hanya dijumpai di kawasan tanah tinggi sahaja misalnya di Bukit Fraser. Ia menghuni tempat yang lembap seperti tebing sungai atau anak air di dalam hutan tebal. Pakupakis seterusnya dari famili Osmundaceae seperti Osmunda javanica Bl. Jenis pakupakis jenis ini mempunyai taburan yang luas di seluruh dunia. Ia biasanya berada di aras lebih 1,000m dari paras laut. Habitatnya adalah merupakan kawasan lembap atau pinggiran sungai yang mempunyai ketinggian kira-kira 1,200 m ke atas aras laut dan terlindung. Batangnya pendek, kuat dan selalu tumbuh dengan menegak.


Seterusnya bagi jenis pakupakis dari famili Cyatheaceae seperti pakis dikenali dengan Cyathea contaminans (Hook) Copel. Ia dikenali dengan nama sebagai 
Paku Pohon dimana ia merupakan spesies yang paling mudah didapati di kawasan tanah tinggi kira-kira 1,000m dari aras laut (Sila lihat foto disebelah). Ia juga mudah dikenali kerana pelepahnya yang mudah tanggal meninggalkan bekas pada batangnya .Batang paku pokok diselimuti oleh akar yang mati berselirat seperti dawai dan biasanya kulit batang ini diperdagangkan untuk pemindahan anak benih tanaman orkid. Tangkai fronnya yang panjang, menjunjung lamina. Pakupakis ini lebih berjaya membiak secara vegetatif iaitu melalui kaedah pertumbuhan panjang rizomnya yang kemudian akan terputus secara mekanisma misalnya akibat arus kencang, terpotong dan lain-lain maka akan terbentuklah individu tumbuhan yang baru.


Jenis pakupakis dari famili Adiantaceae pula dikenali sebagai Ceratopteris thalictroides (L) Briongn. Keseluruhan tumbuhan ini berwarna hijau (Sila lihat foto disebelah). Struktur rizomnya adalah pendek, menegak dan ia mengeluarkan segerombolan akar yang lembut berwarna putih. Bahagian pangkal stip besar, kira – kira 1 cm tebalnya dan semakin mengecil ke bahagian hujung. Sporangium terdapat dalam sorus yang memanjang iaitu di atas vena. Selain itu ada pakupakis dari famili Salviniaceae dengan nama botani adalah Salvinia cucullata Roxb. Jenis ini merupakan pakupakis akuatik yang aneh kerana tidak memiliki akar. Ia biasanya menempati bendang padi, kolam, longkang atau tali air. Rizomnya berbulu, tidak berakar, panjang dan terapung di atas permukaan air. Dari rizomnya itu keluar tiga kelompok daun, dua kelompok menyerupai daun yang berwarna hijau sementara kelompok yang ketiga terbenam di dalam air membentuk segmen – segmen yang terdiri daripada organ yang seperti akar. Jenis seterusnya adalah pakupakis dari famili yang dinamakan Dennstaedtiaceae dengan nama botaninya sebagai Oleandra pistillaris. Jenis ini  Pakupakis ini amat mudah dikenali kerana bentuk daunnya yang tumbuh berjambang mengelilingi batang. Batangnya tumbuh tegak dan diselimuti oleh sisik yang berwarna coklat dan bercabang-cabang. Setiap daun tidak bertangkai dengan tepi daun berombak. Sporangiumnya terdapat di dalam sorus yang berbentuk barisan di kiri kanan vena utama iaitu berada di permukaan bawah daun. Lazimnya untuk Sorus ia tidak dilindungi oleh indusium.


Jenis pakupakis dari seterusnya  famili Polypodiaceae adalah juga dipanggil sebagai Pokok Duit-duit, Pokok Ribu-ribu atau Pokok Sisik Naga dengan nama botani iaitu  Drymoglossum piloselloidesPakupakis epifit ini mudah dijumpai di atas pokok yang besar dan tua. Daunnya selalu berwarna hijau dengan bentuk seakan bulat (Sila anda lihat foto disebelah). Batangnya mempunyai rizom yang halus dimana ia selalu menjalar dan dilitupi oleh sisik kecil. Sporangiumnya terkumpul dalam sorus yang mengelilingi hampir semua keseluruhan tepi daun fertil. Sesetengah petani terutamanya di Melaka dan Pahang dilaporkan mempercayai air tumbukan daripada pakupakis ini apabila dicampurkan dengan buah kundur dapat membunuh dan mengusir serangga pianggang  atau nama saintifiknya Leptocoriza varicornis iaitu sejenis serangga yang merosakkan padi yang baru mula berbuah. Pokok duit-duit ini merupakan ancaman kepada beberapa jenis tanaman buah-buahan seperti pada pokok durian dan dokong serta beberapa pokok hutan lain. Sila baca rtikel mengenai pokok duit-duit ini pada tulisan sya terdahulu (Sila klik disini). Ia menceritakan lebih terperinci.


Pakis dri famili Azollaceae pula adalah sejenis rumpaiair yang dikenali dengan nama Azolla pinnata. Saya ada juga menulis mengenai tumbuhan ini dalam blog sama (Sila klik disini). Jenis pakis ini amat aneh kerana bentuk dan ukurannya yang sangat kecil berbanding dengan jenis pakupakis yang lain (Sila anda lihat foto disebelah). Tumbuhan ini mudah dijumpai di kolam air dan juga disawah padi. Azolla lazimnya mempunyai rizomn yang halus dengan ukuran panjang 2 cm dan darinya keluar dua barisan daun serta akar yang mengarah ke dalam air. Ia juga biasanya dijumpai dengan banyaknya dalam takungan air yang akan menyebabkan air  yang berwarna kuning kehijauan. Kehadiran azolla ini di sawah padi menguntungkan kerana ia hidup bersimbiosis dengan sejenis rumpai air dikenali dengan nama Anabaena yang dapat mengikat gas nitrogen. Dalam amalan agronomi tumbuhan azolla ini amat berguna kerana ia menghasilkan biomass dan menyuburkan tanaman padi.


Menyentuh dengan pakupakis daripada Divisi Microphyllophyta ia mempunyai dua famili iaitu Lycopodiaceae dan Selaninellaceae, Bagi famili Lycopodicee ia dikenli dengan nama botani pakupakis sebagai Lycopodium phlegmariaPakupakis ini sering dijumpai di kawasan tanah rendah di dalam hutan tebal. Ia akan dilihat bergantungan di celah-celah dahan yang besar, lembap dan kaya dengan humus Rizomnya menjalar di kulit kayu pokok lain yang berhumus terutamanya di celah cabang (Sila anda lihat foto disebelah). Daunnya yang kecil berbentuk segitiga dengan bahagian yang rata dan lebar melekat pada cabang pokok kayu. Ia jenis ini hanya mempunyai satu vena sahaja yang terletak di bahagian tengah. Sporangiumnya terkumpul di dalam strobilus di bahagian hujung cabang dan terletak di celah daun fertil yang lebih kecil. Ia sering ditanam sebagai tumbuhan perhiasan yang sangat menarik. Bagi jenis pakupakis dari famili Selaninellaceae ia dikenali dengan nama botani sebagai Selaninella wallichii. Pakupakis ini tumbuh melata tetapi tegak. Ia banyak didapati di pinggir hutan dan lantai hutan yang tidak terlalu redup. Pakupakis herba ini kerap tumbuh berkelompok membentuk koloni yang homogen. Percabangan yang terbentuk dikenali sebagai jenis psedopinat. Sporangiumnya terkumpul pada bahagian hujung anak cabang membentuk sorus yang dinamakan strobilus. Strobilus ini berbentuk tetragon.


Akhir sekali adalah pakupakis daripada division Arthrophyta dan juga division Psilotophyta. Bagi jenis Anthrophyta ia mempunyai famili Equisetaceae dikenali dengan nama botani sebagai  Equisetum debile dimana orang awam memanggilnya sebgi Paku Ekor Kuda (Sila anda lihat foto disebelah)Pakupakis herba ini hidup di dalam bermacam habitat khasnya di kawasan berpasir di pinggir sungai, tasik atau lombong. Biasanya ia tumbuh tegak dengan ketinggian sekitar 1.5 m. Daunnya hanya merupakan sisik yang tidak berwarna dan tumbuh berkarang di bahagian buku batang dan melekat di antara satu dengan yang lain bagi membentuk saluran yang memanjang. Sejak dahulu lagi tumbuhan ini telah digunakan untuk mencuci pinggan mangkuk atau barang-barang porselin kerana terdapatnya silika di dalamnya. Bagi divisi Psilotophyta ada pakis dari famili Psilotaceae dengan nama botani iaitu  sebagai Psilotum complanatum. Pakis ini mempunyai taburan lokasi di pantaropika tetapi amat sukar untuk ditemui. Apa pun dilaporkan di Semenanjung Malaysia ia hanya ditemui di Selangor, Perak dan Pahang sahaja mulai dari kawasan tanah rendah hingga pada paras ketinggian 1,000 m dari aras laut. Psilotum complanatum khasnya adalah pakupakis jenis epifit dan biasanya dijumpai dalam kebun kelapa sawit yang tumbuh menjuntai pada pelepah daun. Semuga tulisan pada subuh ini selama 2 jam memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
BANYAK JENIS... PAKUPAKIS YANG ADA...
ADA YANG DIKENALI... BANYAK TIADA...
DINEGARA KITA... BIODIVERSITI FAUNA...
MEMBACA ARTIKEL... BARU GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1926, Hotel Hatten,
Bandar Hilir, Melaka,
Malaysia.
(2 Muharam 1439H)
Posted From Room 2321,
Hotel Imperial, Miri,
Sarawak (9/10/ 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.