Friday, September 29, 2017

JANTUNG PISANG - BERKHASIAT

JANTUNG PISANG atau 'Banana Flowers' adalah bunga yang dihasilkan oleh Pokok Pisang (Musa spp.) iaitu sejenis tumbuhan dari kelurga Musaceae yang mana pokok pisang ini berfungsi untuk menghasilkan buah pisang. Kini jantung pisang sesuai dimakan sebagai ulam atau sayuran bagi spesis pisang tertentu. Terdapat banyak jenis atau 24 varieti pisang yang didaftarkan di negara kita daripada Pisang Awak (MP1) sehingga Pisang Cavendish (MP14) seperti mana ada dalam penulisan saya dalam artikel sebelim ini (Sila Klik Disini).  Terdapat banyak lagi pisang liar, pisang hutan dan pisang untuk dijadikan bahan pokok hiasan (Ornamental tree). Antara beberapa negara di kawasan Asia Tenggara, Filipina merupakan paling banyak menanam pisang untuk pasaran domestik dan ekspot diikuti dengan Indonesia, Thailand dan Malaysia. Diantara varieti pisang yang popular di tanam di negara kita untuk pasaran ekspot seperti Pisang Berangan ( Matang -12 bulan), Pisang Mas (Matang - 8 bulan) , Pisang Rastali (Matang - 12 bulan) dan Pisang Cavendish (Matang - 13 bulan). Beberapa varieti khusus untuk psaran tempatan adalah seperti Pisang Nangka, Pisang Nipah, Pisang Tanduk dan Pisang Raja. Saya fikir ramai diantara kenal akan marfologi pokok pisang dan ramai juga yang kenal akan beberapa varieti pisdang yang popular di Malaysia. Jantung Pisang bagi kebanyakan spesis pisang yang boleh dimakan boleh dipetik, dimasak dan dimakan. Antara jenis jantung pisang yang popular di kalangan orang Malaysia adalah Jantung Pisang Nipah atau Pisang Kapok, Jantung Pisang Nangka, Jantung Pisang Embun, Jantung Pisang Raja dan beberapa jenis lagi. Kalau dahulu jantung pisang hanya dimakan oleh masyarakat kampong sahaja tetapi kini saya dapati masyarakat bandar telah makan jantung pisang yang dibeli dari pasar basah, pasar tani atau pasaraya. Beberapa hotel, premis dan restoran telah pun mengkomersilkan jantung pisang sebagai hidangan istimewa kepada pelanggan. Artikel ini saya berbincang dalam "Anim Agro Technology" tentang teknologi mengenai jantung pisang berdasarkan pemerhatian, kajian ringkas, pembacaan buku teknikal dan pengalaman peribadi.

Jantung Pisang dihasilkan semasa proses pokok pisang berbunga dimana ia akan menghasilkan tandan pisang sehingga lengkap (Sila Lihat Foto sebelah). Sepokok pisang lazimnya hanya akan mengeluarkan satu tandan pisang dan satu biji jantung pisang sahaja walau pun ada kalanya yang menghasilkan lebih dari satu sebab berlaku mutasi. Hanya dalam keadaan tertentu atau spesis tertentu jumlah tandan dan jantung pisang melebihi daripada satu dimana lazimnya jika ada kelainan akan dijadikan peristiwa 'pelik' yang sering dilaporkan didalam akhbar. Jantung Pisang berbentuk HATI (Heart) yang berwarna Coklat-Ungu Gelap dan mempunyai kelopak atau 'kulit luar' dimana didalamnya ada bunga berwarna kuning keputihan dipangkal kelopak. Ukuran jantung pisang sekitar 25-40 cm dengan ukurlilit tengah jantung 12-25 cm. Kulit jantung pisang luar adalah sederhana keras dan akan terbuka apabila sampai waktu bagi mendedahkan bunga betina. Bunga Betina dan bunga jantan ini menghasilkan manisan atau nektar bagi menarik serangga menghisapnya dan menjalankan proses pendebungaan. Beberapa haiwan pendebunga atau menyedut nektar seperti Kelawar Kecil, Kupu-kupu, Rama-rama, Burung kecil (Kelicap), Semut, Lebah Madu dan sebagainya. Bunga Jantung Pisang Kapok merupakan antara bunga pisang yang paling manis dan paling banyak dikunjungi serangga. Menurut Dr Catur Hermanto, iaitu pakar pisang dari Pusat Penyelidikan Buah-buahan Tropika di Bandung (PPBT), Indonesia yang saya berbincang di Melaka, katanya proses penyebaran penyakit 'blood disease' pisang jenis paling signifikan ini akibat jantung pisang yang sering dipetik dan dikunjungi serangga.

Struktur jantung pisang mempunyai banyak lapisan kulit daripada yang paling gelap coklat-ungu kemerahan dibahagian luar kepada warna putih krim susu iaitu dibahagian dalam (Sila lihat foto sebelah). Terdapat susunan bunga berbentuk jejari diantara kulit tersebut dan ditengahnya empulur yang lembut. Jantung pisang lazimnya akan mengeluarkan sejenis cecair berwarna jernih jika dilukakan dan akan bertukar menjadi pudar apabila terdedah kepada udara. Cairan ini akan menyebabkan baju yang terkena akan menjadi buruk dan sukar dicuci bersih. Orang tua memang amat marah kalau lihat baju anak-anaknya terkena cairan dari pokok pisang. Keratan rentas akan menunjukkan jantung pisang tersebut mempunyai 3-6 lapisan bergantung kepada saiz dan spesis. Ketebalan setiap lapisan ini sekitar 4 - 8 mm bergantung kepada spesis pisang dan kesuburan pokok. Lapisan yang paling dalam lazimnya paling enak direbus untuk dimakan kerana ianya lembut dan kurang kelat rasanya pada spesis tertentu. 

Jantung Pisang popular amat dijadikan makanan di kawasan Asia Tenggara sebagai menu istimewa dengan pelbagai jenis resepi makanan. Antara resepi jantung pisang adalah seperti Jantung Pisang Rebus, Jantung Pisang Kukus, Kerabu Jantung Pisang, Salad Jantung Pisang, Jantung Pisang Masak Lemak Cili Api, Jantung Pisang Masak Sambal dan sebagainya. Tidak banyak kajian saintifik mengenai kandungan zat jantung pisang tetapi ianya didapati banyak mengandungi Vitamin C, Protin (1.2%), Lemak (0.3%) dan Karbohiderat (7%). Kandungan serat dan unsur Posforan, Fe dan Magnesium juga banyak dalam jantung pisang. Sebenarnya makan ulam jantung pisang amat menyihatkan kerana saya dapati kebanyakan jantung pisang dikawasan kampong atau disekeliling rumah tidak pernah diracun atau dibaja menjadikan ianya sebagai 'Jantung Pisang Organik'. Penduduk luarbandar atau dikampong amat mudah untuk mendapatkan jantung pisang yang ada ditanam disekeliling kampong. Bagaimana pun bagi penduduk bandar mereka perlu membeli jantung pisang yang ada dijual dipasar tani, pasaraya, pasar basah dan juga kedai runcit. Jantung pisang ini dijual diantara RM1.00 - RM3.00 sebiji bergantung kepada premis jualan, saiz jantung dan juga jenis jantung pisang tersebut.

Antara menu jantung pisang yang paling poular dan penulis blog suka adalah KERABU JANTUNG PISANG yang mudah disediakan dan enak dimakan (Sila lihat foto disebelah). Kerabu jantung pisang ini dimakan bersama nasi putih yang panas dan saya lebih minat kerabu yang lebih pedas. Berikut adalah resepi kerabu jantung pisang yang boleh anda buat sendiri dari resepi yang mudah. Bahan-bahan yang diperlukan untuk makan seramai 4-5 orang adalah 1 biji jantung pisang, 1 ekor ikan (dikukus), 6 ulas bawang merah (ditumbuk), 1 sudu besar lada hitam (ditumbuk), 5 biji cili merah (dihiris), 1 senduk santan, 1/2 biji limau nipis dan garam serta gula. Cara-cara membuat kerabu jantung pusang dengan membuang kulit dari jantung pisang yang paling keras. Kemudian dibelah dua dan hiris nipis-nipis jantung pisang. Rebus sehingga empuk atau kukus dengan stim. Toskan jantung pisang dan ramas sedikit supaya air rebusan turun. Sementara itu, tumbuk/kisar lada hitam dan bawang merah sehingga sebati. Kemudian digaulkan bersama-sama cili yang telah dihiris dan isi ikan yang telah dikukus dan dibuang tulangnya. Panaskan santan dalam periuk dengan gunakan api yang perlahan. Masukkan lada hitam, bawang merah, isi ikan dan cili yang telah digaul sebati ke dalam santan dan kacau sehingga sebati. Masukkan hirisan jantung pisang dan perah limau nipis kedalam santan tadi. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan boleh ditambah serbuk perasa. Menu ini sudah siap untuk dihidangkan bersama dengan nasi putih panas. Makanan yang sedap dimakan ketika lapar dan merupakan sajian yang berkhasiat daripada jantung pisang. 

Jantung Pisang dipanggil sebagai Banana no tsubomi (Jepun), Dok Kluai (Thailand), Shang Chao phua (China), Jantung Pisang (Indonesia), Kehel mal (Sri Lanka), Kere kafool (India) dan Banana flower; Banana Blossom ; Banana Heart (English). Jantung pisang tahan sehingga 3-4 hari dalam keadaan segar dan jika disimpan dalam peti sejuk mampu bertahan sehingga 10 hari. Kini di Thailand dan di Indonesia jantung pisang telah pun di tinkan dan diedarkan kepada pengguna diseluruh dunia (Sila lihat foto disebelah). Di negara kita mungkin belum ada usahawan yang mengetinkan jantung pisang seperti ini untuk dikomersilkn. Industri jantung pisang dalam tin penulis blog terfikir boleh dilaksannakan di negara kita oleh usahawan sebagai satu jenis perniagaan baru yang boleh di cuba. Beberapa pemilik ladang pisang boleh terokai bidang ini kerana teknologi memproses adalah mudah sahaja. Tetapi untuk pasaran domestik mungkin belum besar kerana lazimnya penduduk tempatan akan memilih jantung pisang segar yang murah dan mudah diperolehi. Semuga tulisan dalam anim agro technology ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro kali ini. Wasallam!...
BENTUK MENARIK...JANTUNG PISANG...
DIBUAT KERABU...DIMAKAN BERULANG...
HARGA MURAH...KHASIAT TAK KURANG...
IANYA ISTIMEWA...GENERASI MENDATANG..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 530, Hotel Dorsett,
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(3Muharam 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.