Tuesday, August 29, 2017

MAKANAN SELAMAT - BERMULA DILADANG

PASTIKAH ANDA makan sayuran dan buah-buahan yang selamat?. Keselamatan makanan pada penulis blog adalah bermula dari ladang yang diusahakan oleh petani. Pada masa ini Malaysia mempunyai seluas 35,000 hektar kawasan CHE yang bertanam dengan sayuran dan lebih 112,000 hektar kawasan tanaman buah-buahan komersil untuk pasaran domestik dan pasaran eksport. Kawasan utama pengeluaran sayuran terbahagi kepada kawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highlands dan Kundasang yang aftis menghasilkan pelbagai jenis sayuran tanah tinggi. Dalam pada itu beberapa negeri seperti Johor, Pahang, Perak dan Selangor pula merupakan kawasan yang luas menanam sayuran dan buah-buahan. Penduduk Malaysia lazimnya akan mendapatkan bekalan sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan sebagainya daripada pasaraya besar, pasar malam, pasaraya, pasar besar, pasar tani dan juga penjaja bergerak daripada rumah kerumah dengan lori, van atau motorsikal roda tiga. Pada saya sektor pertanian merupakan nadi penting dalam membangunkan ekonomi negara. Ia juga merupakan bidang yang mempunyai potensi cerah untuk diketengahkan apabila lebih banyak golongan muda dilihat mula menceburi bidang ini dan menyumbangkan kepada kecukupan makanan dalam negara dan mengurangkan kadar import makanan. Ia bertepatan dengan matlamat kerajaan yang ingin memastikan negara menerajui pasaran eksport bagi produk berasaskan pertanian. Cara pertanian tradisional dan konvensional kini telah berybah kepada kaedah pertanian komersil dan moden. Kawasan penanaman terbuka kini mula disesuaikan dengan teknologi penanaman seperti tanaman dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH), Sistem Fertigasi dan Kaedah Hidroponik. Kini kaedah penanaman secara hidroponik juga perlu untuk disesuaikan dengan mempraktikkan amalan pertanian baik bagi meningkatkan keselamatan makanan yang dihasilkan. Sebenarnya peranan semua pihak peru ada didalam membekalkan makanan yang selamat dan ia adalah bermula daripada ladang. Pengamalan MyGAP merupakan satu langkah dimana ianya akan menjamin hasil tanaman adalah berkualiti dan selamat dimakan. Pada subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" berkaitan kefahaman dimana makanan selamat adalah bermula dari ladang.

Subsektor tanaman secara intensifnya melibatkan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan yang dilakukan secara berskala besar dan hanya sebahagian sahaja kecil-kecilan oleh petani. Oleh itu lazimnya petani komersil ini  memerlukan input-input pertanian yang moden dan berteknologi tinggi seperti baja atau benih yang berkualiti, racun perosak dan lain-lain teknologi pertanian dalam menjamin pengeluaran yang tinggi dan berterusan. Sebenarnya faedah penggunaan racun perosak dalam pengeluaran tanaman memang tidak dapat dinafikan dimana ia akan terus digunakan pada masa-masa hadapan. Ini bagi memastikan pengeluaran bahan makanan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan sama ada untuk kegunaan di dalam negara mahupun bagi pasaran eksport. Tanpa bahan input yang sesuai mungkin menyebabkan penghasilan yang rendah dan kualiti produk sayuran atau buah-buahan yang tidak menepati kriteria kualiti. Bagi penulis blog apa yang penting adalah dimana semua pihak sama ada pihak berkuasa, industri, badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memastikan agar tahap penggunaan racun perosak dilakukan secara berhemah dan bijaksana bagi menjamin pembangunan yang lestari. Kini ada isu keselamatan hasil pertanian dalam pasaran tempatan mahupun yang diimport dimana ianya adalah saling berkait dengan penggunaan racun perosak dan baja kimia. Antara tanaman sayuran yang sering mengandungi kadar sisabaki racun perosak adalah Cili, Sayuran Daun dan beberapa jenis lagi. Cili (Capsicum annuum) merupakan tanaman penting untuk ditanam dinegara kita (Sila lihat foto disebelah).

Input pertanian memang diperlukan dalam memastikan pengeluaran hasil pertanian berada pada kadar yang optimum tanpa mendatangkan kerugian kepada pihak petani dan pengeluar akibat serangan perosak dan juga kesan kekurangan nutrien. Bagaimanapun kaedah penggunaan racun perosak dan baja kimia yang tidak berhemah iaitu tidak dikawal penggunaannya serta tidak mengikut amalan pertanian yang baik boleh juga mendatangkan keburukan kepada pengguna, pengendali dan alam sekitar. Justeru itu difahamkan Jabatan Pertanian Malaysia memainkan peranan penting dalam isu dalam keselamatan makanan dan jaminan bekalan makanan di negara ini. Bagi memastikan kedua-dua perkara itu dapat ditangani dengan baik, pihak jabatan telah melaksanakan pelbagai program diantaranya seperti Skim Pensijilan myGAP dan myOrganic dan pastikan Program pemantauan residu racun perosak dalam hasil pertanian berjalan. Penguatkuasaan Akta Racun Makhluk Perosak 1974 akan terus dilakukan untuk keselamatan makanan. Jabatan juga menyelaras penetapan Nilai Had Maksimum Residu (MRL) serta melaksanakan kawalan Racun Perosak dalam bahan Makanan di bawah Akta Makanan 1983 yang mana ia selalunya dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Jabatan Pertanian juga ada menyediakan perkhidmatan analisis residu racun perosak bagi hasil pertanian yang dieksport dan diimport. Melalui pelbagai program dan penguatkuasaan akta tersebut, ia jelas mencerminkan bahawa pihak jabatan sememangnya memandang serius terhadap isu keselamatan makanan bagi penduduk negara ini.

Pihak jabatan dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan lain juga tidak bersikap lepas tangan dalam memastikan kualiti dan keselamatan makanan sama ada yang dihasilkan atau diimport sentiasa dipantau. Antaranya agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan yang akan mengambil sampel hasil pertanian di pasaran tempatan dan pintu-pintu masuk negara untuk tujuan pemeriksaan kandungan kontaminan dalam makanan tersebut. Pada setiap tahun sebenarnya hampir 16,000 analisis racun perosak pada hasil pertanian telah dijalankan bagi tujuan memantau tahap keselamatan makanan untuk memenuhi kriteria pensijilan MyGAP. Analisis racun perosak yang dijalankan di makmal merangkumi pelbagai kumpulan racun perosak seperti organo-fosfat, organo-klorin, piretroid sintetik, karbamait dan lain-lain. Kesemua makmal di bawah Jabatan Pertanian telah mendapat pengiktirafan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SKMM) berdasarkan keperluan MS ISO/IEC 17025:2005 oleh Jabatan Standard Malaysia. Kini jika dilihat dari segi kawalan oleh pelbagai agensi terlibat, dapat dirumuskan bahawa hasil pertanian oleh petani kita serta hasil yang diimport ke Malaysia adalah selamat untuk dimakan dengan langkah yang dilaksanakan. Apa pun penulis blog mencadangkan supaya sebelum memasak sayuran dan makan buah0buahan perlu dibasuh dahulu dengan air bersih agar ianya membuang sisabaki racun. Makanan yang disediakan dengan baik akan memberikan khasiat yang baik untuk kesihatan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
TANAM SAYUR...BUAH-BUAHAN SAMA...
TANAMAN SUBUR....DIBERIKAN BAJA...
KAWAL PEROSAK...GUNAKAN KIMIA...
MAKANAN SIHAT.... SISABAKI TIADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 630, Hotel Dorsett,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(29 Dzulkaedah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.