Sunday, July 30, 2017

VANILLA - APA POTENSINYA


VANILLA (Vanilla fragrans) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Orchidaceae yang berasal dari Amerika Tengah dan Mexico dan kawasan Tropika lain di Asia. Terdapat lebih 20,000 spesis didalam keluarga orkid diseluroh dunia dimana tumbuhan orkid ada yang tumbuh sebagai pokok, renek, herba, parasitk dan sebagainya. Pengeluaran vanilla dunia adalah sekitar 7,508 metrik tan setahun dengan 50% dari jumlah pengeluaran adalah di Indonesia sebagai pengeluar vanilla terbanyak didunia. Pengeluaran vanilla juga daripada Madagascar (1,587 mt) dan China (1,385 mt). Negara lain yang menanam vanila adalah Kepulauan Seychelles, Fiji, Tahiti, Mexico, Malawi, Grenada dan Sri Lanka dimana ia kebanyakannya adalah negara berpulau (Islands). Sila rujuk kepada jadual dibawah untuk melihat negara yang menanam dan menghasilkan vanilla. Vanilla perlukan iklim yang tinggi kelembaban, suhu tinggi, kurang hujan pada musim berbuah dengan keperluan hujan antara 2,000 -2,500 setahun. Artikel kali ini saya berkongsi dalam "Anim Agro Technology" maklumat mengenai tanaman vanilla yang saya baca dari buku 'An introduction to Botany of Tropical Plats" karya L.S. Cobley dari Longman 1972 dan pengalaman penulis serta carian maklumat lain berkaitan vanilla. Apakah potensinya untuk menanam vanilla di Malaysia?... itu satu persoalan yang boleh dibincangkan.

Vanila adalah sejenis tanaman rempah yang didakwa boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan. Penanaman vanila tidak memerlukan kawasan yang terlalu luas tetapi ia memerlukan keadaan yang sesuai serta penjagaan yang rapi. Vanila sangat sensitif kepada keadaan persekitaran maka dengan itu pengetahuan teknikal yang baik adalah amat diperlukan. Daripada banyak rujukkan yang saya baca dan jumpa, tanaman vanila mula ditanam di Pulau Jawa kemudian di Bali, Lampung, Acheh dan Sumatera Barat dari digelar 'emas hijau' kerana harga pasaran yang tinggi. Vanila dari Pulau Jawa terkenal kerana kualitinya yang tinggi dan mengandungi vanilin yang tinggi dan dikenali sebagai 'Java Vanilla Bean'. Vanila dari variati Vanilla Planifolio Andrews telah dikenal pasti sesuai ditanam di Sabah. Penggunaan vanila adalah meluas dalam industri makanan, perubatan, kosmetik, wangian, tayar, cat dan sebagainya. Dianggarkan bahawa penggunaan vanila asli di dunia hanyalah 3% sahaja manakala 97% lagi adalah vanila sintatik. Dengan kesedaran terhadap penggunaan barangan asli, permintaan vanila asli semakin meningkat.



Penanaman vanilla di negara kita pernah dipromosikan oleh beberapa syarikat swasta dan juga terdapat agensi kerajaan. Penanaman vanilla bagaimana pun kurang berjaya disebabkan oleh kurang minat daripada petani, teknologi yang kurang pasti, kesesuaian amalan pengurusan tanaman, varieti yang kurang sesuai dan ketidaktentuan pasaran. Walau pun pernah diujudkan sistem pasaran kontrak (Contract Farming) dalam usaha untuk memajukan tanaman vanilla tetapi ianya masih gagal. Tanaman vanila memerlukan lindungan cahaya antara 30-50% (Sila lihat foto sebelah) seperti ditanam dibawah struktur naungan dengan jaring hitam. Jadi persekitaran di kebun kelapa dewasa sesuai untuknya. Jarak tanaman yang disyorkan untuk vanila sebagai tanaman selingan di kebun kelapa ialah 1.5 m di antara baris dan 1.0 - 1.5 m di antara pokok dalam baris. Dengan jarak ini kepadatan tanaman ialah 3,300 - 5,000 pokok /hektar. Bagi memulakan tanaman vanila, tapak perlu dibersihkan daripada pelbagai pokok-pokok besar yang tidak sesuai. Penanaman mula dimulakan dengan membina batas selebar 60 cm x tinggi 30 cm. Pada bahagian batas akan disediakan lubang untuk penanaman pokok tumpang atau pelindung. Biasanya pokok baja (glyceridia) ditanam kerana ketinggian 4-5 kaki sesuai sebagai pokok tumpang atau pelindung sebelum tanaman vanila ditanam. Lubang penanaman vanila adalah diposisi sebelah timur dengan keluasan dan kedalaman bersesuaian dengan saiz anak pokok. Jarak antara lubang untuk tanaman vanila dan pokok tumpang adalah 10-15 cm.


Anak Benih tanaman vanilla mudah diperolehi daripada pokok induk yang matang. Lazimnya benih daripada keratan sepanjang 1.5 meter digunakan. Bahagian tiga ruas yang terbawah dibuang daunnya dan dicucukkan ke dalam lubang tanaman. Bahagian keratan yang berada di atas permukaan tanah diikat pada pokok tumpang supaya dapat melekat dan memanjat. Setelah pokok mencapai ketinggian 5 kaki, ia akan digayut juntai ke bawah, ke atas dan ke bawah. Pencantasan boleh dilakukan untuk mendapatkan cabang-cabang baru bagi menghasilkan buah yang lebat. Pokok vanila biasanya akan berbunga setelah berusia 2 tahun dan tidak berbuah jika tidak didebungakan. Bunga vanila mula berkembang setelah 12 malam dan layu pada 12 tengahari. Kerja-kerja untuk pendebungaan akan dijalankan waktu pagi hingga tengahari. Pucuk vanila dicantas sepanjang 15 cm bagi menggalakkan pengeluaran buah lebih baik dan mengambil masa 8-9 bulan untuk matang dan sedia untuk dipetik. Setiap tandan selalu mengandungi antara 15-20 biji buah tetapi buah yang kurang baik akan dibuang dan 10-16 biji dibiarkan setandan. Biasanya vanila mengeluarkan hasil setahun sekali.

Bagi kerja penyelenggaraan tanaman dan bagi menjamin hasil yang baik, pokok vanila perlu diselenggara dengan betul. Ketinggian yang disyorkan tidak melebihi 2 m. Aras lindungan hendaklah dikekalkan antara 30-50 % dengan mencantas pokok penaung sekiranya terlalu gelap. Pokok vanila perlu dipangkas untuk merangsang pertumbuhan cabang supaya dapat menghasilkan buah yang lebat dan bermutu tinggi. Selain baja asas semasa menanam, baja NPK (15:15:15) boleh diberikan pada kadar 1 kg sepokok iaitu setiap 4 bulan. Bagi tanaman yang belum mengeluarkan hasil, baja daun perlu disembur pada kadar 0.5 kg/ha dua minggu sekali. Pemberian baja daun ini hendaklah dikurangkan apabila tanaman sudah mengeluarkan hasil.


Setiap pokok berupaya menghasilkan sehingga 6 kg buah vanila mengikut benih dan kaedah pengurusan. Buah dipetik berperingkat-peringkat mengikut tahap kematangan dan buah cukup matang berwarna hijau pudar dan kuning dihujung. Buah perlu dipetik sebelum hujungnya pecah bagi mendapat gred terbaik dan buah vanila tidak matang tidak mempunyai nilai kerana kandungan vanilinnya rendah. Buah vanila yang cukup matang akan dipetik dan diasingkan mengikut gred yang telah ditetapkan. Buah ini akan disusun selari dalam bekas kotak sederhana besar dan dihantar ke pusat pengumpulan. Tanaman vanila dijangka dapat menjana pendapatan lumayan kerana boleh ditanam dalam kepadatan tinggi iatu satu ekar dengan 1,600-2,000 batang pokok. Pokok vanila juga boleh dijadikan tanaman sampingan sekiranya diusahakan di kebun atau ladang tanpa menjejaskan tanaman yang sedia ada. Projek penanaman vanila hanya memakan masa 1 - 12 tahun kerana selepas tempoh berkenaan pokok vanila tidak produktif dan petani perlu menjalankan penanaman semula.

Berdasarkan laporan teknikal diatas mungkin ada diantara kita yang berminat untuk menanam vanila. Bagaimana pun cara terbaik kepada peminat yang ingin menanam vanilla adalah dengan membuat lawatan belajar ke Indonesia untuk melihat bagaimana kaedah pengurusan tanaman ini dijalankan. Varieti yang sesuai dengan kawasan kita perlu dikenalpasti dan sistem pembajaan serta kawalan musuh dan penyakit. Paling penting adalah menganai pemasaran vanila yang dituai. siapakan yang sanggup membeli buah vanilla dengan kos pengeluaran yang agak tinggi di Malaysia?. Minyak dari vanilla mempunyai permintan yang tinggi dan harga lumayan untuk pasaran antarabangsa dalam industri (Lihat foto botol minyak ekstrak vanilla). Diharap artikel ini memberikan informasi berfaedah kepada anda. Wasallam!...
TUMBUHAN ORKID... JENIS VANILLA...
PERLU NAUNGAN...DI INDONESIA...
12 TAHUN... JANGKAHAYAT NYA...
KURANG SAMBUTAN...DIMALAYSIA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Kuala Pilah,
Negeri Sembilan,
Malaysia.
(24 Ramadan 1434 H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.