Monday, June 5, 2017

AGRONOMI TANAMAN - TERUNG PANJANG

TERUNG PANJANG (Solanum melongena Linn) merupakan sejenis sayuran buah dari keluarga Solanaceae yang juga di panggil sebagai 'Terung Peparu' berwarna ungu yang dijual dipasarkan segar. Kita sebagai pengguna mungkin tidak berapa arif dengan tips penanaman terung ini dan gred terung panjang yang dijual di pasar, di hypermarket atau di pasar malam. Asalkan ada bentuk terung, berwarna ungu berkilat dan tidak berlubang-lubang selalunya pengguna akan beli sahaja. Kebanyakan kita juga pentingkan soal harga dan kesegaran terung peparu tersebut. Penanaman sayuran terung panjang merupakan satu aktiviti yang telah dijalankan berterusan sepanjang tahun dimana pada tahun 2015 seluas 1,540 hektar telah ditanam dengan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 25,950 metrik tan yang bernilai RM 51.8 juta. Kawasan utama pengeluaran terung mengikut laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia (Data termasuk terung panjang, terung bulat dan jenis lain) adalah di Pahang (331 hektar) diikuti dengan Johor (200 hektar) dan Sarawak (188 hektar). Penulis dapati jenis terung panjang adalah antara jenis terung yang mendominasi varieti yang ditanam sekitar 60 -70% daripada jumlah semua. Terung panjang dimasak sebagai sayuran segar dengan menumis, dibuat sambal pedas, bahan ramuan untuk masakan kari, paceri terung dan di goreng untuk dimasukan dalam asam pedas dan sebagainya. Subuh Ahad ini saya menulis satu lagi artikel ke 4,058 mengenai info lain dalam "Anim Agro Technology" mengenai tips penanaman terung panjang untuk makluman anda semua agar tahu akan perkara tersebut. 

Tips menanam terung panjang boleh dijadikan bahan rujukkan kepada mereka yang baru mencuba menanam terung panjang disekeliling rumah. Mereka yang biasa dengan makan terung panjang akan tahu terung ini mempunyai tekstur rasa yang sangat lembut dimana ia adalah sesuai disediakan dalam masakan seperti digoreng, rebus atau dikukus. Terung boleh ditanam diberbagai jenis tanah asalkan ia subur, gembur, mempunyai saliran yang baik dan kaya dengan bahan organik. Jenis tanah yang paling sesuai ialah bertekstur lom yang baik dalam membekalkan nutrien, air dan udara kepada akar tanaman, pH yang sesuai antara pH5.0 dan pH6.5. Ia juga boleh ditanam di tanah gambut, tanah BRIS dan tanah bekas lombong. Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (cm) untuk memudahkan tujuan asas pertumbuhan akar. Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 0.6 dan satu meter, tinggi batas 23 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter. Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara 1-3 kg/meter persegi, bahan ini hendakklah digaulkan kedalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga dan enam tan/hektar bagi tanah mineral. Bagi mereka yang ada hobi menanam terung disekeliling rumah memadai dengan menanamnya dalam bekas pasu atau dalam polibeg sahaja. Anda yang ada kawasan halaman luas pula boleh menanam terung panjang dengan cara fertigasi terbuka. 

Bagaimana pun kini penanaman terung panjang lebih canggih dengan menanam melalui teknologi Sistem Fertigasi Gantung (Hanged fertigation). Teknologi ini lebih cepat mengeluarkan hasil, kurang masaalah serangan musuh dan penyakit serta boleh dituai hasilnya sepanjang tahun. Rumah Sturktur Pelindung Hujan (SPH) melindungi tanaman terung daripada hujan kuat dan mengelakkan banjir dimusim tengkujuh (Sila lihat foto disebelah). Pada waktu ini selalunya harga terung panjang adalah mahal kerana kurang bekalannya. Satu polibeg akan ditanam dengan sepokok saja dimana media tanaman yang sering digunakan adalah cocopeat. Air Baja dari Set Baja A dan Set Baja B dibancuh dalam tangki poli yang besar dan dipam kepada setiap pokok melalui sistem pengairan yang canggih. Pembajaan ini dilakukan secara sistematik membolehkan pokok terung akan berhasil dengan cepat dan agak seragam. Kurang berlaku kes kematian pokok akibat penyakit Layu Bakteria dan lain-lain serangan perosak. Kerja menanam terung panjang dengan sistem fertigasi gantung lebih moden walau pun kos asas pembinaan infra agak tinggi.

Dalam cara menanam terung panjang secara konvensional diatas batas tanah, menyemai anakbenih terung dijalankan dahulu sebelum dipindah ke ladang. Semai biji benih dalam dulang penyemaian (seeding tray). Gunakan peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan bahan berkenaan dan letak biji benih setiap sel dan diletak di rumah semaian yang mempunyai sekurangnya 50 peratus lindungan antara empat dan lima minggu, disiram setiap hari (Sila lihat foto disebelah). Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan. Pembesaran pokok semaian juga boleh dibuat di polibeg hitam kecil atau kotak semaian, gunakan campuran media percambahan 2:1:1 (tanah atas:bahan organik:pasir). Isikan media campuran tanah dan letak satu atau dua biji benih. Anak benih dijarangkan atau dipindah ke polibeg lain bila telah ada dua helai daun. Bagi tujuan penanaman anak benih diubah ke ladang bila berumur empat minggu apabila telah ada empat atau lima helai daun sebenar, tinggi antara 10 hingga 15 cm. Aktiviti mengubah lebih sesuai dibuat sebelah petang kerana redup yang panjang berbanding mengubah disebelah pagi.

Bagi penanaman konvensional disyorkan iaitu jarak tanaman yang sesuai ialah 60 - 90cm antara barisan dan 60 cm antara pokok. Penanaman dalam satu barisan lebih sesuai kerana memudahkan pengurusan tanaman. Jika terdapat anak benih yang mati atau kurang sihat ia perlu diganti semula dengan yang baru. Selepas tiga hingga empat minggu mengubah sebaiknya pokok terung perlu diberi kayu sokongan bagi mengelak daripada rebah dan buah terkena tanah. Cantasan perlu dibuat ke atas tanaman terung bagi membuang dahan dahan kecil yang berlebihan terutama di bahagian bawah pokok, lakukan ketika pokok masih muda, tinggalkan hanya tiga hingga empat cabang sahaja. Gunakan gunting pemangkas atau pisau yang tajam sebagai alat cantasan. Pengairan bagi tanaman terung memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur, Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Selalunya pengairan dibuat secara manual atau dengan kaedah menggunakan sistem pengairan. Pengairan yang berkesan selalunya memerlukan maklumat tentang tanah, pertumbuhan akar, jenis tanaman dan kandungan air dalam tanah.

Aktiviti pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi dimana kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaigan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu. Pembajaan pokok terung menggunakan baja yang disyorkan. Baja tersebut adalah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar tetapi ia bergantung pada jenis tanah disesuatu kawasan,keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan. Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40 hingga 50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga. Bagi kawalan perosak dan penyakit ada beberapa jenis musuh iaitu serangan Kumbang Kutu (Epilachna indica) yang menyerang anak atau pokok dewasa menyebabkan bahagian lapisan atas daun dan ianya akan meninggalkan lapisan lutsinar. Pengorek pucuk dan buah (Leucinodes orbonalis) akan mengorek ke dalam pucuk dan buah dan mengakibatkan pucuk layu dan buah berlubang halus dan dipenuhi sisa najis. Kutu Daun (Aphis sp) pula menyerang semua peringkat (daun, bunga, buah muda) kutu akan menghisap cecair dari bahagian yang diserang dan menyebabkan buah berparut dan pokok terbantut, daun yang diserang akan berkerekot. Jika serangan melebihi 10 peratus semburan racun perlu dibuat menggunakan racun yang sesuai, daun dan buah yang diserang perlu dikutip dan dimusnahkan dan kawasan tanaman perlu dibersihkan dari rumpai yang menjadi perumah bagi perosak. Penyakit Layu Bakteria (Pseudomonas solanacearum) biasanya akan menyerang pangkal dan akar tanaman, pokok akan menjadi layu dan bermula dari daun muda dan mengakibatkan batang dan ranting kecut dan kering. Kawalan dibuat dengan menggilirkan tanaman, gunakan jenis tahan penyakit dan cabut dan bakar pokok yang terkena jangkitan. Penuaian buah terung akan mula mengeluarkan hasil selepas sembilan atau 10 minggu selepas mengubah ke ladang. Hasil dituai dua kali seminggu dan berterusan hingga dua atau tiga bulan dan anggaran hasil 20 hingga 30 tan/hektar. Kerja penuaian dibuat waktu pagi atau petang, tangkai dipotong dengan gunting dan pastikan tidak terpisah dari buah sekurangnya dua atau tiga sm dari tampuk buah. Terung akan tahan empat atau lima hari pada suhu bilik,tetapi dengan penyejukan, hasil boleh disimpan sehingga dua minggu. Semuga tip menanam terung ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
MENANAM TERUNG..ADA KAEDAHNYA...
BIJI DISEMAI ... DIDALAM DULANGNYA...
SELALU DIBAJA...KAWAL MUSUHNYA...
TERUNG DITUAI ..DIJUAL UNTUNGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Jalan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(7 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.